Ulasan Sajak ‘Anugerah’ Tulisan Rabindranath Tagore

Gintajalitagore 2

Latarbelakang

Rabindranath Tagore lahir pada tahun 1861 di Calcutta (Kolkota), India, dan meninggal pada tahun 1941. Beliau berasal dari keluarga orang-orang ternama dan terpelajar. Tagore menerima pendidikan di rumah dan juga di England. Beliau mula menulis sajak dalam usia 8 tahun dan karyanya yang pertama tersiar ketika umurnya 14 tahun. Antologi puisinya yang pertama, Sandhya Sangeet (Lagu Senja), diterbitkan ketika usianya 21 tahun.

Pada tahun 1913, Tagore menerima anugerah Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan kerana karyanya (antologi sajak) yang berjudul Gitanjali. Gitanjali lah yang memasyhurkan nama Rabindranath Tagore kepada dunia luar, terutama dunia Barat. Bakat seni Tagore tidak hanya terbatas kapada bidang penulisan; beliau juga berbakat dalam bidang lukisan dan penciptaan lagu. Seperti Muhammad Iqbal, penyair yang sezaman dengannya, Tagore banyak menyuarakan masalah masyarakatnya melalui tulisan-tulisannya. Beliau telah menghasilkan sebanyak 12 buah novel, 11 buah drama muzikal, 4 buah satira, beberapa jilid cerpen dan esei, berpuluh-puluh keping lukisan dan susunan-susunan lagu serta 44 antologi puisi.

Prakata

Karya-karya Tagore banyak mengungkapkan masalah-masalah kemanusiaan; pencarian manusia dalam kehidupan; hubungan manusia dengan alam sekitarnya dan juga hubungan manusia dengan Penciptanya. Tagore sering menggunakan kata-kata yang lembut puitis dalam karya-karyanya dan walaupun karya-karyanya disarati dengan perutusan, cara penyampaian beliau adalah sederhana dan bersahaja. Salah sebuah karyanya yang menarik berjudul ‘Anugerah’ yang dipetik dari antologi puisinya yang bertajuk A Flight Of Swans. Sajak terjemahan saya ini telah diambil daripada jurnal Jejak Kembara, Jilid 2, Bilangan 1, tahun akademik 1983/84.  Saya perturunkan keseluruhan sajak tersebut:

Anugerah

Kepada sang burung telah kauberi lagu,
Lalu ia menyanyi;
Kepadaku hanya kauberi suara
Tetapi aku kembalikan lebih daripada itu –
Aku menyanyi.

Sang angin telah kau jadikan bebas,
Lalu dengan longlai ia mematuhi perintahmu;
Tapi daku telah kau berati dengan beban,
Bersamanya aku berjuang
Melalui kematian demi kematian,
Dengan perlahanku bebaskan diriku daripada beban,
Sehingga dengan tangan terbuka aku datangi
Bersedia berbakti kepadamu.

Sang purnama telah kau hadiahkan senyuman,
Ia melimpahkan kejelitaannya
Dan memenuhi dengan indah cangkir dunia.
Pelipisku yang telah kau sentuhi dengan sengsara,
Ku sucikan dengan air mata, menukarkannya kepada bahagia.
Mencampuri kegelitaan dengan cahaya
Telah kaucipta dunia;
Kepada bumi itu telah kau hantari daku,
Tanpa sesuatu.

Memerhati dengan senyuman di balik hijab,
Kau memerintahkan daku mengubahnya menjadi syurga.

Kepada semua telah kau anugerahi
Hanya daripadaku telah kau tuntuti.
Menuruni dari takhtamu
Dengan senyuman, telah kau abadikan di hati
Apa yang daripada cinta, dapat kuberikan padamu.
Segala yang kau letakkan di telapak tanganku
Seribu kali diperkayakan,
Ia kembali kepadamu.

Ulasan Ringkas Sajak ‘Anugerah’

Keindahan sajak ini bukan sahaja terletak pada bahasanya yang puitis dan lembut tetapi juga pada perutusannya yang disampaikan melalui perlambangan. Jika diteliti, sajak ini bukan sahaja boleh ditujukan kepada seseorang yang disayangi penyair, bahkan juga kepada Pencipta sang penyair.

Dalam sajak ini penyair telah membandingkan dirinya yang serba kekurangan dengan makhluk lain, iaitu ‘sang burung’. Namun, Tagore tidak bersedih kerana kekurangannya yang ‘tidak diberi lagu’, sebaliknya Tagore berusaha menukar kekurangannya menjadi suatu ‘kelebihan’ – dia menyanyi seperti ‘sang burung’. Secara tidak langsung Rabindranath Tagore cuba mengingatkan kita bahawa kekurangan kita dalam satu-satu bidang bukanlah sesuatu yang abadi; kita mampu dan boleh mengubah keadaan tersebut menjadi suatu ‘kelebihan’, jika kita mahu.

Tidak seperti ‘sang angin’ yang menjalani kehidupannya dengan tenang, manusia harus berhadapan dengan berbagai masalah dalam hidupnya. Manusia akan ‘terus diberati dengan beban’ dan diduga dengan berbagai cara semasa menjalani hidupnya, tetapi yang penting, menurut Tagore ialah ‘bersamanya aku berjuang’ melawani ‘kematian demi kematian’. Adalah penting, bagi Tagore, bahawa kita mempunyai sikap yang betul dalam menghadapi dugaan dan perjuangan kita nanti akan diberkati dengan kejayaan. Berjaya atau tidaknya kita bergantung kepada kesanggupan kita berjuang menentang segala rintangan yang menghambat kita. Dalam rangkap kedua sajak ini, Tagore juga menggambarkan bahawa tiap dugaan yang dihadapi manusia, jika dia tabah dan sabar, akan juga menyerlahkan rahmat dan hikmahnya. Misalnya, dugaan yang diterima Tagore membuat dia lebih insaf akan kewujudannya di maya pada ini; dia lebih bersyukur dan ingin terus berbakti kepada Penciptanya dengan ‘tangan terbuka’.

Adakalanya juga kehidupan manusia itu dinafikan kebahagiaan yang lumrahnya dinikmati oleh manusia lain. Misalnya, ada makhluk, seperti ‘sang purnama’ mendapat kelebihan dengan dianugerahi ‘senyuman’ untuk mengindahkan dunia. Tetapi manusia seperti Tagore pula telah ‘disentuhi dengan sengsara’ dan dia harus belajar untuk menukar segala ‘sengsara’ itu kepada ‘bahagia’, setelah menjalani suatu katarsis ataupun pembersihan jiwa. Dan Tagore juga sedar, melalui rangkap ketiga dan keempat sajak ini, bahawa dia telah dihantar ke dunia ‘tanpa sesuatu’ tetapi ini bukanlah halangan bahkan rangsangan untuk dia mencipta sebuah ‘syurga’ di tengah-tengah ‘ketiadaan’ dan ‘kegelitaan’ tersebut.

Kita tahu bahawa bukan daripada sebarang orang ataupun makhluk boleh kita tuntuti sesuatu, walaupun kita boleh menjalini hubungan yang rapat dengan mereka. Tuntutan kita hanya boleh diminta daripada orang-orang yang kita anggap ‘istimewa’ sahaja. Demikian juga dengan diri Tagore. Dia tahu Penciptanya memberi berbagai anugerah kepada semua makhluk, tetapi bagi Tagore, daripada dirinya yang serba kekurangan ini pula, telah dipinta untuk melakukan sesuatu untuk kemanusiaan dan kehidupan. Dalam rangkap terakhir ini kita tahu bahawa Tagore yakin segala ‘yang diletakkan di telapak tangannya’ sama ada baik ataupun buruk, sebenarnya mengandungi hikmah dalam rancangan Penciptanya. Semua ‘anugerah’ yang diterima telah ‘memperkayakan’ kehidupannya dan memberinya perspektif yang baharu mengenai erti kewujudannya. Dan bagi Rabindranath Tagore sendiri, dia akan terus ‘memperkayakan’ ‘anugerah-anugerah’ tersebut dan membuat kebaikan bagi manusia dan kehidupan.

Saya dapatj sajak ‘Anugerah’ ini banyak memberi kit pusaran-pusaran renungan mengenai kehidupan yang kita lalui. Apakah kita pandai berterima kasih terhadap segala ‘anugerah’ yang teJah kita terima, walaupun ‘anugerah’ itu berupa beban yang ‘menyentuh dengan sengsara’? Atau bijakkah kita berjuang melawan ‘kematian demi kematian’ untuk mewujudkan keadaan yang lebih selesa ?

‘Anugerah’ seolah-olah memantulkan riak-riak pemikiran kita untuk melakukan sedikit perubahan mengenai kehidupan dan penglibatan kita. Moga-moga, seperti tindakan Rabindranath Tagore, kita juga akan sama-sama berjuang, baik dalam bidang sastera, kemasyarakatan dan lain-lainnya demi menukarkan segala ‘sengsara’ dan ‘gelita’ menjadi ‘bahagia’ dan sebuah ‘syurga’.

Disiapkan: 21 Mac 1987
Universiti Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s