5 Kuntum Puisi: ‘Tanyalah’, ‘Bukit Larangan’, ‘Pangkor’, ‘Makna Sejarah’ Dan ‘Kisah Sebatang Pohon’

mandela quoteQuote Poetry

Tanyalah

Tanyalah Puteri Gunung Ledang
mengapa kita di awang-awangan
& Sultan Mahmud Shah
apa sebab Melaka dijajah
tanyalah Laksamana Hang Tuah
apa benar dia perwira bangsa
& Pendekar Hang Jebat
apakah dia pemberontak bangsat
tanyalah budi bicara kita
mestikah diterima tanpa analisis
& pada warisan sejarah
mengapa berubah tanpa berdusta?

Ditulis: 2 November 1979
Panggung Victoria, Singapura – Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Bukit Larangan

Kaukah pernah tersergam indah
menakutkan Orang Laut & rakyat jelata
menarik para pelayar, pedagang,
& dihuni raja-raja silam?

Inikah sejarah
melihat teguhnya kubu penjajah
pintu gerbang, bangunan, sebuah perkuburan
serta sayupnya makam Iskandar Syah?

Di sinikah Raffles & Farquhar
merancang, memeta, sebuah kota
merombak ceritera purba
demi perdagangan & sebuah empayar?

Atau hadirmukah mengingatkan
betapa tinggi nilainya maruah
tidak tertebus harga diri oleh harta
& sejarah bergeser, menghakis, bagai tanah?

Ingin kupacakkan tiang ketabahan
tika lerengmu ditumbuhi bangunan
menggelapi sekitar dalam diam.

Ditulis: 15 Oktober 1984
Bukit Larangan/Fort Canning, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Pangkor

Tiada lagi penjajahan di sini
Perjanjian 1874
sistem residen
perang saudara
Raja Abdullah
atau pembenaran
meluaskan empayar.

Di tepi pantaimu, Pangkor,
terbina restoran & calet
padang golf & hotel
menyelinap bagai sistem residen
sedang masyarakat nelayanmu
terpinggir
bagai perahu karam
di tepi tebing.

Tiada lagi penjajahan di sini
atau James Birch baharu
kecuali harta & pangkat
memukau & menukar Pangkor
untuk peribadi tertentu.

Ditulis: 18 April 1994
Pulau Pangkor, Perak, Malaysia
Tulisan: Rasiah Halil.

Makna Sejarah
(Seekor burung layang-layang tidak menentukan
seluruh musim panas – peribahasa Inggeris*)

Jika kata-kata menjadi legenda
& legenda menjadi fakta
bagaimanakah nanti sejarah
meruangi negara?

Jika yang benar itu salah
& yang salah diwajarkan pula
mungkinkah terjadi kealpaan peristiwa
membenangi bangsa?

Ada sejarah yang senyap
ada kata-kata tak terucap
tanpa kecanggihan, kelicikan,
akankah pudar semua
dilapisi jerebu
hasrat
& pelali waktu?

*A swallow does not make a summer.

Ditulis: 14 – 28 September 2000
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kisah Sebatang Pohon

Berpuluh tahun terpacak di sini
daun-daun merimbun, dahan-dahan menjalar
tiada yang menganggap kau pengotor sekitar.

Kau adalah sebahagian kejiranan ini
menamsilkan ketahanan, ketabahan,
mendamaikan penghuni & alam
menghiasi kehidupan perbandaran
namun ada juga yang menyemai benci
melihat kau semakin menjalar, membesar,
& mula menuai dengki
bila daun-daunmu menghujani kenderaan
berselerak, mengotorkan persekitaran,
lantas dahan-dahanmu dipotong, dicantas,
biar segalanya kelihatan bersih, teratur,
bagai itulah sesempurna pengukur.

Pohon warisan, lambang kehidupan,
kau diperlakukan demi keselesaan
walau ramai yang terguris memaklumi
ketidakpedulian & keangkuhan
si pencantas yang kononnya berperadaban.

Ditulis: 30 November – 3 Disember 2006
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s