Ada Makna Di Sebalik Warna

Apakah warna kegemaran anda? Ada orang suka pilih warna ‘garang’; apa pun pilihannya mesti warna-warna tersebut. Sesekali bila dia pilih warna tak ‘garang’ kita pun turut hairan bin ajaib. Ada pula suka benar warna hitam, warna kegemaran anak remaja kini, dari kemeja-T/blaus, seluar jean sehingga kasutnya. Ada kala gincu dan pembayang matanya pun warna hitam. Inilah pengalaman Sri semasa dalam ‘tube’ di London beberapa tahun lalu. Gadis Inggeris yang putih melepak berpakaian serba hitam, termasuk warna kuku, gincu dan sebagainya. Entah mengapa ketika itu Sri teringatkan ‘the three witches’ daripada drama ‘Macbeth’ karya Shakespeare. Nasib baiklah Sri tak tiba-tiba melatah dan mengungkapkan kata-kata Shakespeare, almaklum Sri sedikit terperanjat dan ‘takut’ pada petang yang meremang itu…

Warna banyak kegunaannya. Bila ternampak kain berwarna merah berkibar-kibar di belakang lori, tahulah kita ada yang dibawa itu boleh membahayakan, misalnya tong gas, kayu balak dan lain-lain dan kita diingatkan jangan terlalu hampir dengan kenderaan tersebut masa memandu. Warna merah ini juga menunjukkan emosi marah, tengoklah wajah kita bila marah, selalunya merah padam. Tapi kalau hendak padamkan marah, seperti Nabi saw nasihatkan, perlulah kita kalau berdiri, duduk, kalau duduk, baring, atau berwuduk, masa itu padamlah marah yang merah tadi. Sesiapa yang biasa melihat lembu lalu-lalang masa tinggal di kampung, tahu bahawa lembu suka menyondol bila anda berpakaian merah. Bagi orang Tionghoa pula, warna merah membawa tuah. Dan ada di antara kita berasa panas bila berpakaian merah dan akan diejek ‘merah sangatlah mak ngah’.

Beberapa istilah bahasa Inggeris dari segi warna amat asing dalam bahasa Melayu. Misalnya, tidak ada istilah ‘Hari Isnin biru’ (Blue Monday), ‘hijau dalam cemburu’ (green with envy), ‘daerah kelabu’ (grey area) dan lain-lain. Tentulah sukar bila kita hendak terjemahkan seni kata lagu 60-an, misalnya, ‘Blue, blue, my world is blue’ dan ‘Green, green grass of home’. Sri agak warna itu banyak dipengaruhi budaya sesuatu masyarakat. Orang Melayu misalnya sering mengaitkan warna dengan alam semula jadi di sekitarnya. Misalnya, bagi warna hijau disebut jenis-jenis hijau seperti hijau pucuk pisang, hijau lumut; warna kuning misalnya jadi kuning telur, kuning pinang, kuning emas. Bagi warna biru pula ada biru laut, biru langit; warna putih ada istilah putih kapas, putih telur, putih kuning, putih melepak. Ada juga warna merah saga, merah jantung pisang, merah darah sama seperti ada juga istilah hitam jelaga, hitam kuali. Tapi mungkin yang manis ialah hitam manis seperti yang dilagukan oleh R.Azmi…

Kadangkala kita memberi gambaran yang berat sebelah terhadap warna-warna di sekeliling kita. Bayangkan sebentar – apa yang anda ucapkan bila melawat bayi yang baru dilahirkan. Tentu ucapan anda: ‘Comelnya…putih…’ Kebanyakan bayi sememangnya comel, tetapi kita seringkali menganggap yang putih itu sahaja yang cantik seolah-olah bayi yang hitam manis, sawo matang, perang dan lain-lain tidak cantik. Demikian juga bila kita melihat seseorang ketika dewasa. Yang hitam seringkali dikaitkan dengan jahat dan yang putih dengan baik. Seorang kenalan Barat Sri pernah duduk lama di Afrika dan pandangannya mengenai warna, terutama warna kulit seseorang agak berlainan sebab dia sudah melihat banyak keindahan dalam warna gelap. Yang cantik itu tetap cantik, walau kulit seseorang itu putih atau hitam. Sidney Poiter dan Danzel Washington, kedua-duanya pelakon kulit hitam, bagi Sri amat berbakat dan kacak – warna kulit yang gelap bukan penentu bakat, kebolehan dan kekacakan mereka.

Ada konsultan imej menganggap warna tertentu sahaja harus dipakai oleh wanita professional tetapi bagi Sri ini bergantung pada latar masyarakat tersebut. Sut warna hitam mungkin sesuai bagi wanita profesional di Barat atau warna coklat tidak sesuai bagi mereka, tetapi bagi wanita-wanita profesional lainnya mungkin tidak. Di Amerika Selatan, pakaian mereka sering pelbagai warna sama seperti batik yang digemari masyarakat Melayu khususnya. Bayangkan kalau semua penghuni dunia mempunyai cita rasa yang sama mengenai warna – tentulah tidak begitu menarik untuk melihat kepelbagaian kita sebagai manusia yang berbudaya dan bertamadun.

Ahli psikologi pula menganggap ada warna-warna yang mententeramkan kita. Warna-warna ini adalah warna-warna lembut, yang disebut juga sebagai warna ‘pastel’. Di rumah sakit, misalnya, hanya warna-warna tertentu digunakan untuk menimbulkan suasana tenang. Warna juga digunakan dalam terapi, misalnya masalah gangguan emosi dan mental. Malah ahli psikologi menasihatkan kita agar menukar warna rumah kita selang beberapa tahun kerana penukaran ini menimbulkan suasana baharu dalam kehidupan yang baik untuk kesihatan mental kita.

Islam pula memilih warna hijau sebagai warna pilihan, selain warna putih. Hijau bermakna kesegaran, pertumbuhan dan ketenangan. Malah di sana sini kini timbul ‘Pergerakan Hijau”’ (Green Movement) untuk kita kembali menghargai alam semula jadi dan ‘menghidupkan’ bumi kita yang satu-satu ini. Mungkin ‘kehijauan’ inilah bakal mewarnai masyarakat alaf baru yang menanti…

Ditulis:  24 Jun 1999
Tajuk Asal: Kita Dan Warna
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 27 Jun 1999
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s