Ulasan Buku: In A Brown Mantle Tulisan Peter Nazareth

Cover IABMnazareth[1]

Pengenalan
Peter Nazareth telah berkali-kali datang ke Singapura secara peribadi dan profesional. Beliau berasal dari Uganda dan berketurunan Goa (India). Terdidik di Universiti Makerere dan Universiti Leeds, Peter pernah bertugas sebagai guru dan kemudian pegawai kewangan kanan di Uganda sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat. Di Amerika, Peter bertugas sebagai seorang felo/ahli zamil di Universiti Yale, menjadi pensyarah dan kemudian profesor Inggeris dan Afrika-Amerika di Universiti Iowa. Beliau terlibat dalam Program Penulisan Antarabangsa (International Writing Program) di Universiti Iowa sejak 1973, dan menjadi menjadi penasihat Program ini sehingga kini.

Peter Nazareth merupakan seorang pengkritik, penulis cerpen, drama dan novel serta banyak menulis mengenai Elvis Presley dan pengaruhnya dalam kebudayaan Amerika. Di antara karya-karyanya yang dibukukan termasuklah:
1. In a Brown Mantle (novel-1972)
2. Literature and Society in Modern Africa (esei-1972)
3. The Third World Writer. His Social Responsibility (esei-1978)
4. The General Is Up (novel-1984)
5. In The Trickster Tradition: The Novels of Andrew Salky, Francis Ebejer and Ishmael Reed (esei-1994)
6. Critical Essays on Ngugi wa Thiong’o (esei-2000)
7. Edwin Thumboo. Creating a Nation Through Poetry (esei dan wawancara-2008).
Selain buku-buku ini, Peter banyak menulis kritikan, esei, cerpen dan kertas kerja dan sebagainya dalam sejumlah buku dan jurnal sastera tersohor yang memuatkan karya-karya dari Afrika dan Asia, selain dari benua-benua lain.

In a Brown Mantle: Novel Pertama Peter Nazareth

In a Brown Mantle ditulis ketika Peter berusia 32 tahun dan berkhidmat sebagai pegawai kewangan kanan di Uganda. Ia bermula dengan penceritaan mengenai watak utamanya P (Pantaleo) D (Deogratius) Joseph D’Souza atau dipanggil Deo sahaja dalam novel ini, seorang berketurunan Goa, yang kini bermastautin di London. Deo terbaca berita bahawa Robert Kyeyune, mantan ketua dan rakan seperjuangan politiknya dulu telah ditembak di Damibia (nama rekaannya bagi Uganda). Kenangan Deo mengenai kehidupannya di Damibia, Afrika, dan peristiwa-peristiwa yang melingkari kehidupannya di negara tersebut yang merangkai novel In a Brown Mantle ini.

Orang Keturunan Goa Dalam Novel Peter Nazareth
Kita dikenalkan kepada orang-orang berketurunan Goa dari India melalui penyingkapan Deo ini. Kita tahu, misalnya, bapa Deo datang ke Damibia kerana mencari peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik. Berbeza dengan orang-orang India lainnya yang dijajah Inggeris (kecuali sebuah dua negeri yang dijajah Perancis), Goa dijajah oleh Portugis. Kebanyakan orang Goa beragama Roman Katolik. Mereka bekerja sebagai pegawai kerajaan dalam pentadbiran awam di Damibia; mempunyai persatuan mereka sendiri dan bagi kebanyakan orang berketurunan ini jarang pula mereka terlibat secara mendalam dengan masyarakat peribumi Damibia. Keterikatan mereka dengan pemerintah Inggeris agak ketara kerana banyak amalan hidup mereka, dari segi upacara keagamaan dan sebagainya agak sama dengan pihak Inggeris. Dengan orang India lainnya pula, mereka agak berbeza kerana pengaruh Portugis dan agama Roman Katolik.

Kisah Deo Dan Negara Damibia
Tukar senario ini sedikit dan kita bertemu dengan Deo yang tercari-cari akar kehidupannya sebagai orang berketurunan Goa dan berwarga Damibia. Walaupun dia turut berbangga dengan pencapaian dan sumbangan orang-orang berketurunan Goa, tetapi identitinya tidak pernah berhenti di situ. Dia berfikir mengenai perkembangan politik di Damibia dan Afrika dan rentak kehidupannya berkait rapat dengan perjuangan dan pembangunan orang-orang Damibia khususnya dan Afrika umumnya. Deo bukan sekadar seorang warga Damibia yang berada dalam semacam selubung warna perang (in a brown mantle). Namun selubung warna perang inilah yang mencarik-carik keterlibatannya pada Damibia.

Pertemuannya dengan Robert Kyeyune banyak mencorakkan penglibatan Deo dalam perjuangan politik Damibia ketika menuntut kemerdekaan dan sesudahnya. Robert merupakan seorang yang agak terbuka dan menerima orang-orang bukan berketurunan Afrika dalam perjuangannya, selain memang ikhlas orangnya. Deo menjadi pembantu peribadinya dan terlibat sama dalam beberapa usaha untuk menggerakkan masyarakat Damibia mencapai kemerdekaan daripada Britain. Namun melalui Robert dan kawan-kawannya, Deo turut juga diperkenalkan kepada rentetan kehidupan ‘malam’ yang mempesonakan derianya. Seperti dalam kebanyakan negara yang baru mahu mencapai kemerdekaan, golongan elita di Damibia juga terbawa-bawa dengan pelbagai slogan pembangunan, menggantikan tempat elita Britain dan sekali gus menjadi ‘the brown Englishmen’ di negara sendiri.

Pada mulanya pembangunan Damibia di bawah pimpinan Robert Kyeyune kelihatan mementingkan rakyat tetapi lama-kelamaan kita tahu, yang berubah hanya warna kulit golongan pemerintahnya tetapi ‘pemerasan’ yang berbeza sedikit daripada penjajahan telah mula bertapak di Damibia. Deo, sebagai pegawai kerajaan dapat bertahan daripada mengamalkan rasuah sementara orang di sekelilingnya menjadikan rasuah pakaian hidup mereka dan rakyat jelata semakin menderita. Lama-kelamaan dia pun turut terpalit dalam kancah yang sama walaupun rasuah yang dilakukan bagaikan busut berbanding gunung rasuah yang diamalkan oleh orang-orang lain dalam parti politik Robert Kyeyune. Deo kemudian insaf akan perbuatannya setelah seolah-olah bertemu dengan semangat Pius Cota, orang berketurunan Goa dan ahli politik yang amat bersih daripada rasuah dan jujur dalam perjuangan politiknya bagi semua masyarakat Damibia.

In a Brown Mantle banyak membuat kita berfikir mengenai makna mengisi kemerdekaan bagi negara-negara yang baru membangun. Banyak perkara yang perlu difikirkan dengan serius dan saksama tetapi jika kuman rasuah dan kecuaian dianggap enteng, pasti pembangunan yang diinginkan itu tidak akan tercapai. Makna mengisi kemerdekaan itu menjadi sekadar slogan dan retorika dan tiada pembangunan sebenar yang berlaku. Demikianlah hal Damibia. Peter Nazareth, melalui penceritaan watak Deo/Joseph D’Souza, berakhir di London; beberapa orang ahli keluarganya terpaksa berhijrah ke merata dunia, demikian juga masyarakat Asia lainnya. Damibia kucar-kacir dan seorang yang dinamakan Deo sebagai ‘Cow’, seorang pegawai tentera, telah mengambil alih tampuk kerajaan di Damibia. Sebahagian yang diceritakan Peter Nazareth dalam novel ini dapat juga kita saksikan dalam filem ‘The Last King of Scotland’ yang dibintangi oleh Forest Whitaker sebagai Idi Amin.

Yang Digambarkan Dalam Novel Dan Kenyataan Yang Menyusul
Walaupun Peter Nazareth menulis dalam halaman-halaman awal novel ini bahawa novel ini, watak-wataknya serta Damibia sekadar rekaan sahaja, kita tahu ini cuma selindungannya sahaja. Banyak perkara yang berlaku di Uganda pada tahun-tahun 60-an dan awal 70-an diselitkan dalam novel ini. Dan melalui riak-riak air di Damibia, kita tahu isu-isu merebut kemerdekaan, mengisinya dan menjayakan pencapaian kemerdekaan itu boleh sahaja diseliratkan dengan unsur-unsur yang menghambatnya seperti rasuah dan komitmen yang lewa daripada golongan elita dan pemimpinnya.

Dalam kehidupan nyata, seminggu selepas lahirnya novel sulung Peter Nazareth In a Brown Mantle ini, orang-orang Asia di Uganda dibuang negeri. Idi Amin, seorang pegawai tentera, telah mengambil alih kuasa daripada Milton Obote sebelum itu, dan Uganda semakin dicengkam ketidaktentuan. Menjadi manusia terpinggir, yang berkulit perang, seperti Deo atau Peter Nazareth bukanlah sesuatu yang baik pada ketika itu. Betapa pun Deo yang bukan orang berketurunan Afrika mencintai Damibia, dia tetap si orang luar dalam selubung warna perangnya – dan tetap disangsi dan dicurigai kesetiaan dan komitmennya.

Keistimewaan novel ini bukan sahaja terletak pada kebolehan Peter mengolah peristiwa-peristiwa semasa dalam olahan yang jitu, kreatif dan kuat, bahkan kerana kebolehannya untuk meramalkan sesuatu yang akan berlaku – pengusiran orang-orang berketurunan Asia di Damibia/Uganda sebelum peristiwa itu berlaku. Peter bersama isteri dan dua anak kecilnya meninggalkan Uganda pada bulan Januari 1973. Pada mulanya dia tidak tahu ke negara mana harus ditujunya kerana dengan keputusannya untuk meninggalkan Uganda (walaupun Idi Amin tidak menyeksanya dan membenarkannya tinggal terus di Uganda), dia kehilangan pekerjaan dan mata pencarian dan dia juga bukan orang berharta.

Novel In a Brown Mantle inilah menjadi ‘penyelamat’nya. Peter diberi ‘fellowship‘ ke Universiti Yale, di Amerika Syarikat, kerana novel In a Brown Mantle ini – sesuatu yang langsung tidak disangka-sangkakannya. Dia bukan sahaja memulakan kehidupan baharu di negara asing, malah memulakan kerjaya baharu pula sebagai pensyarah sastera. Melalui ‘fellowship‘ selama setahun itu, Peter sekeluarga kemudiannya berpindah ke Iowa, terlibat dalam Program Penulisan Antarabangsa/International Writing Programme, Universiti Iowa, sebagai peserta dan kemudian pensyarah dan pakar rujuk terkenal dalam bidang sastera Afrika dan Asia khususnya dan sastera-sastera lain umumnya, dari sana.

Penutup
Hanya sebuah novel sahaja tetapi betapa kejujuran, kreativiti dan pertukangan Peter Nazareth dalam novel tersebut telah membolehkannya merubah dan mencorakkan kehidupannya dan keluarganya selama-lamanya. Kerana apa yang ditulis dalam In a Brown Mantle ini bukanlah dibuat-buat atau direka-reka, dan dia tahu keadaan sebenar di Damibia (Uganda), keputusannya meninggalkan Uganda bukanlah semudah yang disangka. Benar, dia berada dalam selubung si kulit perang tetapi dia mencintai masyarakat peribumi di negaranya, dan negara-negara Afrika lainnya. Novel ini berjaya membawa Peter keluar dengan selamat dan memulakan kerjaya dan kehidupan baharu di negara asing, yang disangkanya sekadar persinggahan sementara sahaja. Rupa-rupanya Uganda, setelah terbitnya novel ini, telah ditinggalkan Peter Nazareth buat selama-lamanya kerana dia belum pernah menjejakkkan kaki lagi di sana setelah meninggalkan tanah airnya pada Januari 1973.

Peter Nazareth kehilangan Uganda buat selama-lamanya namun Uganda dan negara-negara dan masyarakat di Afrika tetap hidup di hatinya melalui pelbagai kajian dan cerekanya mengenai mereka serta pertemuuan dan jalinan persahabatannya dengan berbagai-bagai jenis penulis dari Afrika, Asia, dan benua lainnya menerusi Universiti Iowa dan juga Program Penulisan Antarabangsanya. Peter Nazareth, melalui In a Brown Mantlenya dan penglibatan seninya menunjukkan bahawa dia mungkin diselubungi warna kulit si perang dan tuntutan-tuntutan kehidupan yang berkaitan dengan si kulit perang tetapi hati dan penglibatannya sebenarnya buta warna, kecuali yang dikenali hanyalah warna-warni kemanusiaan dalam segala kepelbagaiannya.

NB: Peter Nazareth menulis dan menyumbang karya dalam beberapa lagi buku setelah esei ini ditulis. Sajak saya mengenai beliau dan isterinya, Mary, boleh ada baca dengan tajuk ‘Terbuang’ dan terjemahan Inggerisnya, ‘Exiled’, diterbitkan pada 20 April 2014 dalam blog ini.

Ditulis: 29 April – 6 Mei 2008
Tersiar: Ruangan Sastera Berita Minggu (Singapura) pada 2008 dengan tajuk yang berbeza
sedikit sahaja.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s