Berpada-pada Minati Selebriti

Baru-baru ini Sri terdengar perbualan seorang kanak-kanak dengan ibunya. Kanak-kanak itu memuji-muji seorang selebriti dan mahu segera pulang kerana hendak menonton lakonan selebriti itu di kaca TV. Cara dia memuji selebriti itu membuat Sri banyak berfikir mengenai hal ini.

Setiap masyarakat ada golongan selebritinya, selalunya orang-orang seni dan ternama. Kita memberi semacam penghargaan kepada sebilangan mereka kerana kebolehan mereka dalam bidang masing-masing. Dan lumrahnya, kita juga suka berbual mengenai dunia mereka yang kadangkala bagaikan di ‘awang-awangan’ daripada dunia kita. Sekadar meminati, tidaklah menjadi hal, tetapi bagaimana pula jika minat kita menjadi semacam obsesi sehinggakan sejumlah masa dan tenaga kita hanya terlorong ke arah dunia selebriti dan glamor ini?

Sumber contoh adalah penting dalam kehidupan seseorang, terutama bila anda masih remaja. Memilih sumber contoh yang baik atau sebaliknya bererti anda akan didorong menjejaki langkah -langkah hidup sumber contoh anda tadi. Sebab itu ada pepatah ke hadis Nabi s.a.w. mengatakan jika anda bergaul dengan pembuat minyak atar, sedikit sebanyak keharuman atar tadi akan terkena anda juga. Demikian juga sebaliknya. Siapa yang menjadi sumber ilham kita itu penting, kerana sebagai manusia biasa, kita sering mencari jawapan kehidupan melalui sumber-sumber contoh tadi, walaupun kita kadangkala tidak mengenali mereka secara peribadi.

Bagi orang Islam, sumber contoh terbaik tentulah Nabi s.a.w. Setiap langkah hidup Baginda adalah contoh bagaimana kita harus menjalani hidup kita. Tetapi kerana Nabi s.a.w. adalah insan sempurna, kita sering tempatkan Baginda di puncak kesempurnaan, dan mencari pula sumber-sumber contoh lain, yang mungkin lebih dekat dengan zaman kita. Ini tidak ada salahnya, selagi sumber-sumber contoh tadi mempunyai ciri-ciri yang baik untuk dicontohi dan kita mungkin mempunyai lebih daripada satu sumber contoh dalam hidup kita.

Ada di antara kita mungkin menjadikan para pemikir, ulama, politikus, seniman dan lain-lain sebagai sumber contoh, kerana mereka memenuhi beberapa daerah keperluan hidup kita. Sri ingat, misalnya, meminati beberapa bintang filem dan penyanyi tetapi zaman membesar itu juga Sri meminati Mahatma Gandhi, Martin Luther King Jr, Za’ba, Muhammad Iqbal, Hamzah Fansuri, Adibah Amin dan ramai lagi. Setiap mereka memberi semacam kayu ukur dalam beberapa bidang yang penting bagi kehidupan Sri. Za’ba misalnya, memberi Sri semacam semangat untuk sama memikirkan masalah masyarakat kita dan cuba meninggikan martabat kita sebagai suatu bangsa, dalam bidang akademik dan kesusasteraan. Mahatma Gandhi dan Martin Luther King Jr membuat Sri berfikir mengenai pergerakan non violence dan pentingnya membangkitkan harga diri dan maruah di tengah-tengah hiruk pikuk yang berlaku. Dan Adibah Amin pula menjadi contoh yang baik bagaimana kemahiran dalam bahasa dan kejujuran seorang penulis itu dapat dicerna dan dikongsikan bagi tatapan masyarakat. Dan banyak lagi kayu ukur yang sumber-sumber contoh Sri ini berikan kepada kehidupan Sri.

Apa ertinya jika masyarakat kita asyik terdorong ke arah dunia selebriti dan glamor dan menjadikan para penggiat dunia tersebut sebagai satu-satunya sumber contoh yang penting bagi kehidupan mereka? Satu kesannya, ramai anak muda kita akan terdorong ke arah itu dan menganggap pencapaian tertinggi hanyalah melalui dunia tersebut. Kita berfikir, bercakap dan mempamerkan sesuatu yang hanya berlegar dari dunia tadi dan ini secara keseluruhannya tidak akan membawa kita ke mana-mana. Jangan salah anggap, Sri tidak membenci sesiapa pun daripada dunia selebriti ini, tetapi obsesi masyarakat kita menggerunkan Sri.

Ada anak-anak kita misalnya, menganggap tidak perlulah belajar bersungguh-sungguh, asal kenal orang tertentu, mudah saja menjadi selebrtiti. Demikian juga, melihat gaya-gaya tertentu yang dipamerkan di kaca TV misalnya, anak-anak kita juga terikut-ikut seperti mereka, seolah-olah itulah satu-satu cara untuk mencapai kejayaan. Kesan seterusnya ialah pemilihan kerjaya mereka; di peringkat pengajian tinggi, sama ada di politeknik atau universiti, mereka memilih bidang-bidang yang mengarah ke dunia selebriti tadi, kadang-kadang kerana terikut-ikut, tanpa memikirkan kesan jangka panjang daripada pemilihan tadi. Bayangkan kesannya 10 atau 20 tahun mendatang, jika kita setakat berlegar dalam dunia glamor dan selebriti ini dan banyak kegiatan kemasyarakatan kita hanya tertumpu ke arah itu, bagaimana pula bidang-bidang lain, yang sama penting atau mungkin lebih penting untuk memaknakan kehidupan ini?

Edward Gibbon (1737-1794) seorang sejarahwan dengan buku tersohornya, The Decline and Fall of the Roman Empire, mencatatkan beberapa sebab kejatuhan empayar Romawi. Salah satu sebabnya ialah lekanya masyarakat Romawi dengan kemewahan dan hiburan. Kekuatan Romawi yang terserlah dalam bidang ilmiah, ketenteraan, seni bina, kejuruteraan dan lain-lain, larut oleh kelekaan pada hiburan ini, atau dalam konteks kita, dunia selebriti dan glamor ini. Jika empayar Romawi boleh dijatuhkan kerana kelekaan ini, bagaimana pula masyarakat kecil seperti kita?

Anak-anak kita memerlukan sumber-sumber contoh melalui pergaulan, pembacaan atau penontonan mereka. Dan biarlah sumber-sumber contoh itu mencakupi pelbagai bidang kehidupan yang lebih memanfaatkan dan bukan sekadar mereka yang bergiat dalam dunia glamor dan selebriti saja.

Ditulis: 12 Jun 2003
Tajuk Asal: Kita Dan Sumber Contoh
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 29 Jun 2003
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s