Catatan 30 Mac 2016: Rapuhnya Kehidupan

1. Beberapa kali pada bulan Mac ini dunia dikejutkan oleh pengeboman di beberapa negara di dunia – kali ini di Turkey, Belgium dan Pakistan. Kita bagaikan sudah lali mendengar dan menyaksikan peristiwa-perstiwa berdarah begini tetapi sebagai manusia kita tidak berupaya menjadi lali akan hal-hal begini. Hati kita akan turut bersedih dan cuba melakukan sesuatu agar hal-hal begini tidak berlaku.

Terlalu banyak kehuruharaan buatan manusia – baik pengeboman nekad, kezaliman, penindasan, pencerobohan wilayah yang dianggap hak milik sesuatu negara – masih terus berlaku dalam dunia yang semakin canggih. Namun, bak kata ramai pemerhati dan juga Dr Yasir Qadhi, kadangkala ‘outrage and coverage’ kita mengenai sesuatu tragedi tidak seimbang. Kita seolah-olah menyatakan bahawa ada nyawa manusia lebih berharga daripada nyawa manusia lainnya. Betapa kita mengamalkan sikap dwitara (double standard) yang semakin ketara kini.

Berkali ramai yang telah ditulis mengenai ini – siapakah Frankestein yang dinamakan ISIS, ISIL, Taleban dan sebagainya ini. Siapakah Mary Shelley, pencipta Frankestein ini? Siapakah yang menangguk untung daripada segala kehuruharaan dunia? Jawapan-jawapan sejujurnya mungkin dapat meleraikan beberapa kekusutan kita mengenai tragedi yang tidak henti melanda manusia dan kemanusiaan kita.

Nyawa manusia itu tidak boleh sewenang-wenangnya dimusnahkan, baik apa pun agama atau bangsa orang tersebut. Membunuh seorang manusia, sebagaimana disabdakan Rasulullah s.a.w., seperti membunuh seluruh kemanusiaan. Dan ajaran sebegini tidak terbatas kepada agama Islam sahaja. Namun kemurniaan ajaran sedemikian semakin dicemari oleh pelbagai Frankestein yang kini semakin berleluasa.

2. Bertolak daripada hal sejagat, kematian beberapa orang di Singapura turut menjejas sebilangan kita.

A. Pada 19 Mac lalu, Seniwati Neng Yatimah meninggal dunia. Dengan pemergian beliau, tinggal segelintir sahaja seniman dan seniwati Jalan Ampas dan Cathay Keris kita. Allahyarhamah akan sentiasa dikaitkan dengan air mata sehingga timbul kata-kata seperti ‘dah jadi Neng Yatimah’ dan lain-lain yang digunakan bagi seseorang yang mudah menitiskan air mata. Bersama Allahyarhamah Mak Neng, kita turut terkenang keluarganya yang telah berpulang ke rahmatullah – suaminya, penyanyi Jasni, anaknya Roseyatimah dan menantunya, Mustapha Maarof. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Mak Neng dan semua seniman silam kita yang telah berpulang ke rahmatullah. Al-Fatihah.

Saya teringat kata-kata Seniwati Sarimah bahawa setiap kali filem-filem seniman silam kita ditayangkan di kaca TV, satu sen pun mereka tidak diberi saguhati. Betapa sedihnya kenyataan ini. Ini berbeza dengan seniman di Barat, misalnya. Saya pernah bercakap dengan beberapa orang bukan Melayu mengenai hal ini – rupa-rupanya gejala ini agak berleluasa di kalangan seniman silam Asia. Soal mendapatkan royalti atau saguhati kerana filem yang diceburi atau ciptaan seni lainnya, kurang diberi perhatian. Kita berkali-kali menonton filem yang mereka ceburi atau menyanyi lagu ciptaan atau nyanyian mereka tetapi sebilangan besarnya tidak mendapat apa-apa, kecuali minat dan mungkin sedikit sokongan kita sahaja.

Saya teringat kisah beberapa seniman filem kita yang terpaksa berjualan nasi dan sebagainya dan berusaha dengan pelbagai cara untuk menyara hidup mereka setelah studio filem Jalan Ampas dan Cathay Keris ditutup. Tidak, tiada hinanya menyara hidup dengan berjualan nasi dan sebagainya tetapi betapa bakat mereka yang ada seolah-olah tertimbus kerana penyimpangan sebegini dan lowongan-lowongannya semakin pudar bagi mereka dalam bidang seni mereka. [Sila baca sajak saya, ‘Jalan Ampas’ yang tersiar di blog ini pada 8 April 2011, mengenai seniman silam kita.]

B. Pada 22 Mac lalu, dua orang anak muda, Nasrulhudin Najumudin, 26 tahun, dan Md Asyraf Ahmad Buhari, 24 tahun, pegawai penyelenggaraan dalam latihan Sistem Pengangkutan Gerak Cepat Singapura (SMRT) kemalangan dan meninggal dunia di pelantar stesen Pasir Ris. Berita ini amat mengejutkan rakyat Singapura, lebih-lebih lagi keluarga allahyarham keduanya.

Yang mungkin menimbulkan rasa kurang senang sebilangan rakyat Singapura ialah cara pihak SMRT pada mulanya menjelaskan kemalangan itu. Kita maklum malang tidak berbau tetapi adalah kurang adab bila tragedi sebegini seolah-olah diremehkan dengan cara dibuat pihak SMRT, pada mulanya. Mudah-mudahan SMRT dan pihak-pihak sebegini akan lebih prihatin mengenai hal-hal sebegini dan tidak dengan cara lewa menjelaskan sesuatu kemalangan yang berlaku dalam bidang kuasa mereka.

Kepada keluarga besar dan sahabat handai Allahyarhan Nasrulhudin Najumudin dan Md Asyraf Ahmad Buhari, kita mendoakan agar mereka tabah dan tenang menerima tragedi ini. Allah sahaja tahu penderitaan yang ditanggungi dan semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan kedua-dua Allahyarham di kalangan hamba-hamba pilihan-Nya. Amin. Al-Fatihah.

C. Pada 23 Mac pula, seorang budayawan, ahli bahasa dan sasterawan Singapura, Cikgu Muhammad Arif Ahmad (nama penanya MAS) berpulang ke rahmatullah. Allahyarham berusia 91 tahun. Banyak yang telah ditulis mengenai sumbangan Allahyarham dan ternyata sumbangan Allahyarham Cikgu Ariff akan dikenang bukan hanya oleh keluarga dan sahabat handainya, malah para muridnya dan mereka yang pernah berhubung dengan Allahyarham serta masyarakat Melayu-Islam Singapura amnya.

Hanya secebis sahaja kenangan saya dengan Allahyarham Cikgu Ariff. Saya membaca beberapa karya Allahyarham Cikgu sebelum bertemunya. Semasa di sekolah rendah, pada tahun 60-an dahulu, atau semasa awal 1970-an, saya ada membaca bukunya Pak Pandir Moden. Pada 1968, ketika saya berusia 12 tahun, saya membaca novel Sarah Pengarang Kecil tulisan Allahyarham Cikgu; buku ini menjadi teks tambahan bagi kelas bahasa Melayu aliran Inggeris pada 1968 itu dan buku itu menjadi salah sebuah teks bagi saudara saya di menengah satu ketika itu. Saya berminat betul membaca novel itu dan masih ingat betapa saya ingin menjadi seperti Sarah dalam novel tulisan Allahyarham Cikgu.

Saya pertama kali saya bertemu Allahyarham Cikgu pada 1973, semasa Perkampungan Sastera anjuran ASAS ’50 pada 4-5 Ogos 1973. Saya masih menuntut di menengah empat ketika itu. Pada 1974, saya mewakili sekolah praUniversiti (junior college/form six) menulis dan mendeklamasikan sajak. Allahyarham Cikgu merupakan salah seorang pengadilnya dan menegur saya kerana satu sebutan saya yang kurang tepat. Namun, saya mendapat hadiah bagi sajak tulisan saya tetapi hadiah pendeklamasi terbaik dimenangi oleh orang lain.

Semasa acara-acara Asas 50 yang sering diadakan pada tahun-tahun 70-an dan awal 80-an dahulu, memang mudah bertemu dengan Allahyarham Cikgu Ariff. Walaupun Allahyarham lebih bersifat kebapaan, tetapi mudah diajak bertegur sapa.

Anak sulung Allahyarham Cikgu, Muhammad Shahrir, merupakan kohort saya di Universiti Singapura ketika kami sama-sama memulakan pelajaran di universiti tersebut pada tahun akademik 1976/1977. Anaknya dua tahun lebih tua daripada saya kerana telah menjalani perkhidmatan negara (national service).

Semasa melengkapkan tesis sarjana (M.A.) saya di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada tahun-tahun 80-an dahulu, saya mewawancara Allahyarham Cikgu. Penjelasannya membantu saya memahami beberapa hal, bukan sahaja mengenai penglibatan seninya. Allahyarham mudah diajak berbual dan tidak lokek berkongsi ilmunya dan tidak pernah menolak apabila ditanyai sesuatu hal melalui telefon.

Pada Julai 1985, saya mula mengajar di Maktab Rendah St Andrew’s (SAJC) setelah lulus ijazah sarjana dan diploma possiswazah dalam pendidikan saya. Saya mengajar bahasa dan kesusasteraan Melayu di maktab tersebut. Salah sebuah teks sastera ialah novel Mail Mau Kahwin, karya Allahyarham Cikgu. Novel ini telah beberapa tahun digunakan sebagai teks sastera untuk pelajar maktab rendah/praUniversiti ketika itu.

Pada zaman itu (tahun-tahun 60-an – awal 90-an) tiada peruntukan untuk program-pogram pengayaan (enrichment programmes) diberi kepada sekolah-sekolah di Singapura. Yang ada hanya sedikit peruntukan untuk kegiatan-kegiatan kokurikula. Saya terfikir bagaimana para pelajar dan guru akan dapat manfaatnya seandainya Cikgu Ariff dijemput ke sekolah dan berbincang mengenai buku beliau. Sejauh itu, belum ada mana-mana sekolah yang mengundang Cikgu Ariff untuk memberi ceramah dan perbincangan sedemikian. Cadangan saya disetujui oleh guru kanan saya di SAJC, Cikgu Ma’mun Suheimi, dan kami mengundang Cikgu Ariff ke SAJC pada 1986. Ceramah dan perbincangan Cikgu Ariff mendapat sambutan daripada pelajar dan guru dari pelbagai sekolah kerana ia banyak membantu mereka lebih memahami dan mendalami novel Mail Mau Kahwin yang dipelajari.

Singapura mula memberi Hadiah Sastera dan Hadiah Penghargaan kepada para penulis mulai 1975 dan usaha ini disokong oleh badan-badan sastera, bahasa, budaya dan sebagainya. Pemerintah Singapura tidak terlibat dalam hal ini. Sekitar 1987 sehingga 1990, hadiah-hadiah ini ditiadakan kerana jawatankuasa penganjur menghadapi beberapa masalah. Hadiah-hadiah ini, seperti penggantinya, Anugerah Persuratan, sering disalut kontroversi.

Pada 1993, melalui Majlis Bahasa Melayu Singapura, yang disokong pemerintah Singapura, Anugerah Persuratan diwujudkan bagi menilai karya-karya yang terbit pada 1991-1992. Dua kategori khas diwujudkan – Anugerah Tun Seri Lanang dan Anugerah Anumerta Tun Seri Lanang (ini bagi penyumbang yang telah berpulang ke rahmatullah).

Saya menjadi ahli jawatankuasa Anugerah Tun Seri Lanang pada 1993 dan juga 1995. Selepas tarikh ini saya menarik diri dan tidak lagi terlibat dalam jawatankuasa tersebut. Saya juga tidak pernah terlibat dalam jawatankuasa penilaian sebarang bidang penulisan yang dinilai sejak 1993, kecuali menjadi penilai peraduan menulis sajak dalam majlis Anugerah Persuratan yang pertama-tama kali diadakan pada 1993.

Dalam jawatankuasa Anugerah Tun Seri Lanang itu, kami hanya diberi senarai beberapa nama yang disarankan. Saya dapati ada nama-nama yang amat tidak layak disenaraikan apalagi menerima sebarang hadiah. Secara peribadi, walaupun saya setuju diadakan hadiah khas bagi penyumbang Singapura yang tekal dan bermutu memberi sumbangan dalam bidang persuratan, tetapi nama ‘Tun Seri Lanang’ itu tidak harus digunakan. Malaysia yang lebih layak menggunakan nama ini, tidak pula menggunakannya. Anugerah ‘Tun Seri Lanang’ seharusnya diberi di peringkat Nusantara. Namun, saya mahu ada semacam hadiah khas untuk penyumbang persuratan Singapura, yang diberi dengan telus, jujur dan saksama.

Nama Cikgu Ariff tersenarai dalam senarai yang diberikan kepada jawatankuasa. Saya tidak ragu-ragu mencadangkan nama Cikgu Ariff sebagai penerima pertama Anugerah Tun Seri Lanang memandangkan sumbangannya yang berterusan dalam bidang persuratan, bahasa dan budaya Melayu di Singapura. Demikian juga pandangan sebahagian besar ahli jawatankuasa. Pada 1995, Allahyarham Cikgu Masuri S.N. pula diberi Anugerah Tun Seri Lanang ini. Allahyarham Cikgu Ariff memang amat layak menerima hadiah khas dan tertinggi itu.

Pada awal tahun-tahun 2000, saya mewawancara Allahyarham Cikgu sekali lagi. Dan Allahyarham Cikgu seperti biasa, ramah melayan segala pertanyaan saya. Selepas waktu itu, sesekali saya bertemu Allahyarham Cikgu – ada beberapa kali di Singapura dan sekali di Johor. Saya mengikuti perkembangan Allahyarham Cikgu walaupun tidak lagi menemuinya.

Laluan hidup Allahyarham Cikgu Ariff banyak memberi pengajaran. Disiplin, kejujuran dan ketekalannya menghidupkan pertubuhan sastera pertama di daerah kita, ASAS 50, dan penglibatannya dalam Kesatuan Guru-guru Melayu, hal-hal bahasa, budaya, kesusasteraan dan agama seharusnya menjadi contoh kita. Allahyarham Cikgu juga seorang penyimpan data yang baik, sesuatu yang saya dapati diteladani oleh anak muridnya, Allahyarham Cikgu Md Naim Daipi.

Kita kehilangan seorang insan yang banyak baktinya – apa pun anugerah yang diterima Allahyarham Cikgu, baik ijazah kehormat doktor persuratan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), gelaran ‘Pendeta’ dari Majlis Pusat Singapura dan pelbagai anugerah lain masih tidak dapat menggambarkan keseluruhan sumbangan Allahyarham Cikgu kepada masyarakat Melayu-Islam Singapura khususnya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan Allahyarham Cikgu Muhammad Ariff Ahmad di kalangan hamba-hamba-Nya yang terpilih. Amin. Al-Fatihah.

D. Pada hari Sabtu lalu (26 Mac 2016), saya menerima berita berpulangnya ke rahmatullah seorang kerabat saya. Allahyarhamah baru berusia 54 tahun, meninggalkan suami dan dua orang anak yang sudah dewasa. Allahyarhamah menghidap komplikasi penyakit kencing manis dan darah tinggi. Allahyarhamah merupakan anak perempuan bongsu dalam keluarganya. Jenazahnya dibawa ke rumah keluarganya di Lorong Marican dan dibawa ke Pusara Abadi, Singapura, sekitar jam 10 pagi, pada 27 Mac lalu.

Pada petang Ahad lalu (27 Mac 2016), saya menerima berita berpulangnya ke rahmatullah seorang jiran lama, yang dahulu menginap di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Allahyarham bersama isteri dan keluarga adik-beradiknya bercuti di negara seberang. Allahyarham sempat solat subuh pada 26 Mac itu tetapi selepas subuh, semasa berehat, Allahyarham sudah berpulang ke rahmatullah. Keluarganya menguruskan segalanya agar jenazahnya segera dibawa pulang ke Singapura. Sayangnya usaha mereka dikandaskan oleh pihak tertentu yang mahukan duit suap yang tinggi. Perkara ini tidak pun diminta oleh negara tersebut tetapi pegawai yang bertugas, rasuah. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Abadi, Singapura, pada pagi 27 Mac lalu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kerabat dan jiran lama saya ini dan menempatkan mereka di kalangan hamba-hamba pilihan-Nya. Amin. Al-Fatihah.

Kematian akan selalu menyentak kita, berapa pun usia mereka yang meninggal dunia ini. Sewaktu-waktu kita akan selalu terkenangkan mereka – sesekali menangis dan bersedih kerana kita hanya manusia biasa. Semoga dengan pemergian mereka kita tidak akan memutuskan doa dan kebajikan kita untuk mereka dan meneguhkan lagi ikatan persaudaraan/persahabatan kita kepada keluarga yang ditinggalkan mereka, insya-Allah.

Saya ada menulis sebuah sajak mengenai pemergian beberapa kerabat dahulu. Mungkin sajak ini dapat dapat menggambarkan juga kesedihan hati anda – bacalah sajak ‘Pelepah’ dalam blog ini.

3. Ada beberapa hal yang sedikit merunsingkan saya dan sebilangan orang yang saya kenali. Kami risau dengan gejala-gejala yang kurang manfaatnya bukan hanya di media sosial, malah dalam media massa.

Kita semua suka kepada hiburan dan sewaktu-waktu memerlukan hiburan. Tetapi jika sesuatu masyarakat asyik berlegar pada dunia hiburan seolah-olah itulah segala-galanya, tentu ini merisaukan kita. Demikian juga apa yang kita sering paparkan atau perdengarkan di media massa. Kita boleh sahaja berhibur atau bernostalgia tetapi jangan sampai ia merendahkan minda atau martabat kita. Saya titipkan dua tulisan saya dalam ruangan ‘Sri Anggerik’ dahulu untuk renungan kita bersama.

Semoga kita sentiasa tabah diduga-Nya dengan pelbagai perkara – baik di peringkat sejagat mahupun dalam dunia peribadi kita. Betapa sedih, pilu dan tidak senangnya kita menghadapi sesuatu dugaan atau gejala yang kurang sihat, akhirnya kita harus yakin, seperti ditulis pepatah – ini juga akan berakhir. Dan di sebalik kesusahan atau kesulitan itu, seperti dijelaskan dalam Surah al-Insyirah, akan ada kemudahan, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
30 Mac 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s