Drama Kita Harus Buat Masyarakat Segar Menonton

Sukakah anda mendengar, menonton dan membaca drama ? Ada orang amat menyukai drama sebab sudah jadi darah dagingnya. Ada pula amat tidak menggemarinya kerana dianggap semua drama bagaikan khayalan belaka. Tapi seni, dalam apa pun cabangnya, kalau ditukangi dengan baik akan mencerminkan kehidupan dan memantulkan bukan sekadar isu-isu semasa yang dibincangkan bahkan hal-hal yang lebih bersifat sarwajagat.

Penglibatan Sri dalam drama agak terhad; sekadar pernah melakonkan watak ‘goblin’ yang nakal sewaktu di sekolah rendah, mengarah sebuah drama di sekolah menengah/praUniversiti dan menulis drama ringkas yang memenangi hadiah. Selain itu, Sri sekadar menonton, mendengar, membaca dan juga pernah mengajarnya, selain beberapa bidang lain. Drama seringkali menarik perhatian kita bukan hanya kerana ceritanya bahkan juga dengan adanya watak-watak dan pelakon-pelakon yang melakonkannya. Ada saja komen kita bila sesuatu drama itu agak ‘bodoh’ jalan ceritanya atau seseorang pelakon begitu kaku memainkan peranannya. Tidak kurang pula kita agak ‘terlibat’: pada ketika-ketika tertentu rasanya hendak sahaja kita beritahu sesuatu watak jangan atau seharusnya melakukan sesuatu – semuanya kerana kita inginkan ‘happy ending….’

Drama memang besar juga peranannya. Bermula sebagai upacara keagamaan ia kemudiannya menjadi lebih canggih misalnya dalam peradaban Yunani. Malah di daerah kita, drama atau khususnya wayang kulit yang sering mengisahkan cerita-cerita daripada cerita Ramayana dan Mahabharata diubahsuai dan ‘diislamkan’ oleh wali-wali songo dan dengan itu menyebarkan syiar Islam melaluinya, walaupun ada juga cara-cara lain Islam disebarkan di Nusantara selain cara ini.

Drama yang baik akan mengesankan kita; bertahun setelah membaca atau menontonnya anda tetap terlihat keindahannya. Membaca drama-drama Shakespeare misalnya, walaupun ‘menyeksa’ ketika zaman persekolahan, terkesan keindahannya bila kita meningkat dewasa kerana cerita dan kata-katanya masih relevan sehingga sekarang. Sesiapa yang pernah mendengar drama-drama tulisan Jah Lelawati akan tahu beliau benar-benar berbakat, terutama bila mengisah dan melakonkan cerita-cerita seram sehingga naik takut kita dibuatnya. Sama seramnya agaknya bila menonton filem-filem Alfred Hitchcock atau siri ‘Twilight Zone’ pada suatu zaman dahulu.

Satu siri drama yang sukar Sri lupakan ialah siri drama keluarga ‘Pak Awang Temberang’ yang disiarkan pada tahun 60-an. Drama ini dengan watak Pak Awang (lakonan Salim Bachik), Mak Otek (lakonan Zainon Ismail) dan anak mereka Rahimah dan Rahman Rahim demikian menambat hati sehingga ramai yang terikut-ikut cara mereka, sampai hendak beli perabot pun hendak macam perabot Pak Awang! Sesetengah kita mungkin mengalami masalah seperti yang dialami oleh keluarga Pak Awang lantas mudah pula kita mencari bandingan daripada siri drama ini. Pada tahun 70-an dan 80-an ada siri-siri keluarga seperti ‘The Waltons’ dan ‘Little House on the Prairie’. Kedua-dua siri ini lama ditayangkan dan anda temui watak-watak dalam kedua-dua keluarga begitu hidup dan berkembang. Banyak nilai baik diketengahkan tanpa menjadi hambar. Dalam siri ‘The Waltons’ selain menggemari kehidupan keluarga mereka yang walaupun mungkin berbeza antara satu dengan lain tetapi tetap utuh dan saling menyayangi, Sri sukakan watak John-Boy (lakonan Richard Thomas) kerana dia, seperti Sri ketika itu, bercita-cita ingin menjadi penulis, jadi adalah sumber contoh!

Ada juga ‘soap opera’ zaman itu misalnya ‘Dallas’ dan ‘Falcon Crest’ – anda mungkin mengikutinya tetapi selepas beberapa siri, timbul kebosanan pula, walaupun watak-wataknya memang berkembang dan bukan sekadar ‘cardboard characters’. Dulu Sri gemar menonton drama ‘Panggung RTM’ kerana drama-dramanya selalunya baik – dari segi cerita mahupun lakonan. Sri dapati siri drama ‘Pasir Panjang Roboh’ dan ‘Watan’ memikat. Kini Sri ikuti pula siri ‘7th Heaven’ dan ‘Growing Up’ kerana banyak yang disampaikan secara tersirat terutama mengenai kehidupan seharian. Satu siri drama Malaysia yang Sri minati ialah siri ‘Opah’. Opah, watak nenek dalam drama ini, bukan hanya menjadi lambang hidup berkeluarga, malahan habluran adab susila Melayu dan kemurnian nilai-nilai Islam. Yang disampaikan, tidaklah dibuat-buat dan kita mudah menerimanya kerana cara penyampaian nilai yang bersahaja dan berhikmah.

Mungkin drama-drama kita perlu fikirkan cara-cara yang lebih saksama mendekati khalayaknya. Kalau ada ‘Filem Nilam’ kenapa tidak kita adakan ‘Drama Nilam’ – drama-drama silam kita yang baik kita tayangkan semula. Dan mungkin satu siri drama keluarga terbitan TV12 [sekarang TV 12 dinamakan Mediacorp saluran Suria] dapat diusahakan. Banyak kebaikan dapat disampaikan tanpa menjadi hambar seperti ditunjukkan dalam siri ‘Opah’ dan ‘The Waltons’ misalnya dan nilai-nilai murni itu boleh sahaja disebarkan oleh insan-insan yang baik bukan sekadar ‘cardboard characters’ dan tidak pula ‘talk down’ tapi ‘talk with’ khalayaknya. Mungkin nanti masyarakat kita akan lebih terasa segarnya menonton drama-drama kita.

Ditulis: 18 Oktober 2000
Tajuk Asal: Kisah Drama
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 22 Oktober 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

2 thoughts on “Drama Kita Harus Buat Masyarakat Segar Menonton

  1. Ya benar. Drama kita terlalu banyak pekik2 tengking2 nangis meraung2… dan itu dianggap bagus. kalau boleh pekik2 bolehlah dapat anugerah pelakon terbaik. Kita kekurangan drama bersiri bersifat kekeluargaan yang boleh menjadi pengajaran. Memang cerita Opah saya ingat sampai skrg, menarik. Saya pernah usulkan, boleh tak beri peluang kpd penulis2 lain buat skrip drama. andai drama2 kita dihasilkan oleh orang2 yang sama, drama kita akan tetap ‘sama’ jalan ceritanya. dan orang2 yang sama juga dapat anugerah penulis skrip drama. Bukanlah bermaksud kita nak sgt anugerah. Apa yang perlu di sini adalah peluang harus diberikan kepada penulis lain. Saingan sebeginni sihat sebab kita akan melihat kerencaman cerita dan drama kita akan berkembang. sekadar pandangan.

    Noor Hasnah Adam

    • Ya, saya juga berasa banyak yang boleh diperbaiki dalam menghidangkan drama kita baik di TV, radio mahupun pentas. Memang ada juga penambahan dan pembaikan berbanding tahun-tahun 60-an dan 70-an dahulu tetapi masih banyak ruang yang belum diteroka untuk lebih meningkatkan mutu drama dan minda masyarakat kita. Walaupun memang ada kekangan dalam penulisan drama TV, misalnya penulis tidak boleh menyentuh soal politik atau agama yang boleh menjejas keharmonian masyarakat majmuk Singapura, namun itulah cabaran yang perlu disahut agar drama-drama kita lebih segar ditonton.
      Kepelbagaian itu banyak faedahnya tetapi ini mungkin kurang diberi perhatian oleh pihak-pihak berwajib. Dan kadangkala kita sanggup menyiarkan drama-drama luar yang terlalu melodramatik dan menyesakkan fikiran kita, mungkin kerana ini lebih murah daripada memberi peluang penulisan drama di TV, terutamanya, kepada bakat-bakat drama tempatan menajamkan pena mereka.
      Dan saya dapati terlalu banyak hal-hal sensasi dan hiburan melulu berpusar dalam media-media massa kita di Singapura.
      Terima kasih, Hasnah, kerana sudi berkongsi pandangan. Teruskan menulis, walaupun apa pun hambatannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s