Apa Yang Paling Gentarkan Hati ?

Apa yang paling anda takutkan ? Berbagai-bagai perkara bermain di fikiran kita mengenai
ketakutan manusia. Ada yang demikian kecil, dan tidak kurang pula yang besar dan adakalanya kurang munasabah yang sering menimbulkan ketakutan kita.

Ada orang takut mendengar atau menonton cerita seram. Dia sanggup membaca apa saja, kecuali buku-buku bertema sedemikian. Dan jika anda memaksanya membaca atau tiba-tiba ghairah nak bercerita, mukanya boleh tiba-tiba juga berubah menjadi pucat lesi. Dia juga ada fobia bila tertonton cerita seram. TV anda boleh tertukar ke saluran lain atau dengan cepat dimatikan bila filem-filem tersebut ditayangkan. Tak kiralah yang menyeramkan itu secantik Maria Menado, dia tetap takut, dan ‘orang minyak’nya P.Ramlee, dia tetap tak berubah hati. Dialah yang mula-mula tutup muka bila ada adegan seram dan tak henti bertanya ‘dah habis?’ kerana ketakutan yang amat sangat. Ini belum lagi anda ceritakan kisah-kisah seram zaman dulu, yang Russell Lee (penulis cerita-cerita hantu) sendiri belum tentu berani….

Kadangkala pula ketakutan seseorang menggelikan hati kita. Dua orang anak saudara Sri misalnya, bujang yang trang-tang-tang, yang tinggi lampai, mempunyai ketakutan yang serupa: lipas. Bila ternampak lipas mereka jadi geli geman dan sedikit ‘kurang siuman’. Seorang daripada mereka, yang tingginya 6 kaki 4 inci/1.93 meter, boleh tiba-tiba ‘berperang” dengan lipas seekor yang dijumpai di bilik neneknya. Hebatnya bukan main, macam gunakan ‘skud’ dan kalah ‘robotcop’, hanya kerana lipas yang besarnya tak seberapa.Sri selalu hairan binti ajaib melihat tingkah laku mereka, bila terpegang lipas atau lipas tiba-tiba berjalan di atas badan mereka, boleh demam dibuatnya !

Ada orang pula boleh menggeletar bila terserempak bos besar. Tak semena-mena dia rasa pening, walaupun bos itu tak pun ambil pusing, dan dia memang menjalankan tugasnya dengan baik. Tidak kurang pula orang yang takutnya bukan main bila disuruh bercakap depan orang ramai.Lidahnya kelu untuk berkata, walaupun dia cuba bayangkan seperti kata orang, yang di depannya cuma pokok-pokok, dia tetap menjadi demikian ‘bisu’, walhal anda tahu dia seorang yang kuat berbual bila tak berdepan dengan orang ramai.

Anda takut pada ular ? Ramai yang mungkin bersetuju; reptilia ini menimbulkan rasa gerun kerana kulitnya yang kilat-basah, bisanya dan matanya yang liar, walaupun ada juga orang yang menganggap ular comel dan cantik. Ular sawa, ular senduk, ular lidi, ular daun dan ular biasa, ada juga kita temui semasa hidup di kampung dan mungkin pernah kita cincang dan pisahkan bahagian-bahagian badannya, kerana takut ia tercantum.Kini ular yang kita temui sekadar di taman haiwan atau ketika ada pertunjukan atau orang menjual ubat. Sesekali ada dokumentari mengenainya dan kita tetap gerun menontonnya. Namun, ada orang yang naik ‘syekh’ bila terserempak ular dan sanggup lakukan apa saja bila anda mengancamnya dengan ular, namun suka pula bila bermimpi dipatuk ular (ular lidi agaknya, ya ?).

Pada zaman kanak-kanak dulu, sebahagian kita bila terserempak dengan anjing, dengan cepat cabut lari, sudah lupa pula pada watak-watak anjing dalam siri TV ‘Rin Tin Tin’ dan ‘Lassie’. Yang kita hafal ialah ayat-ayat suci, terutama ‘Summum bukmum….(zaman “jahiliyah”lah katakan) dan ketakutan kita menjadi reda setelah ayat-ayat suci itu dilafazkan. Dan dah tua-tua ini, kadangkala bila anjing garang tiba-tiba muncul di depan kita, ketakutan lama itu menjelma dan ayat-ayat itu juga yang spontan terkeluar dari bibir kita.

Ramai wanita yang takutkan tikus; tak kiralah tikus mondok, cencorot, tikus biasa atau anak tikus yang masih merah. Masa di kampung dulu, tikus-tikus ini suka bersarang dalam laci dan almari dan kaum wanitalah yang ramai terpekik kerana ini. Anda terpaksa pasang perangkap dengan menaruh kelapa bakar di tengah-tengah perangkap dan tiap pagi anda memeriksa, terkenakah perangkap anda ? Adakalanya tikus-tikus ini begitu besar, sehingga ‘segan’ kucing anda menyapanya. Ada juga budak-budak nakal yang mengambil anak tikus untuk dibuat main atau dijual.

Takutkah anda pada alam semula jadi ? Terkilas kilat, naik takut. Dengar guruh, gerun. Lihat awan mendung, kita tambah takut. Atau lihat banjir, puting beliung. Dan ada orang takut pada laut, walau dia boleh berenang dan suka bersampan. Air dalam jumlah yang besar memang mengerikan, terutama di waktu malam. Lagipun dunia laut ini ada sikit lain macam, walaupun anda mungkin suka menonton kartun ‘Little Mermaid’ dan gemar membaca legenda-legenda Yunani, misalnya mengenai Neptune, dan suka menonton dokumentari Jacque Costeau. ‘Panggilan laut’ demikian menggerunkan, terutama bila anda berenang atau berkayak seorang diri dan malam bertambah malam…..

Ada juga orang yang takutkan pokok: pokok senalah, pokok kapas, pokok kenanga, malah pokok pisang. Tapi ada juga orang yang ketakutannya amat sederhana. Suatu masa dulu, bila ibu anda ‘angkat kening’nya saja atau bapa anda baru keluarkan tali pinggangnya atau sekadar pegang rotan/bulu ayam, anda dah rasa tak sedap. Kalau mereka bersuara sedikit, ketakutan anda sebegitu sehingga tak terfikir anda akan menjawab. Dan tak ada kata hendak anda ucapkan bila kebetulan buku laporan tahunan anda tercatat dengan angka merah. Merah bererti mesti kena marah, walaupun ibu bapa anda mungkin tidak faham apa-apa yang anda belajar di sekolah. Ketakutan anda demikian hebat kerana anda tahu, selain dimarah, angka corot dan merah bermakna rotan atau bulu ayam akan hinggap di badan anda dan ketakutan anda tak hilang untuk berhari-hari lamanya…….

Ditulis: 13 November 1998
Tajuk Asal: Apa Yang Paling Anda Takutkan?
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), 22 November 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s