‘Susahlah Jika Tiada Helang Belalang Mengaku Helang…’

Kalau anda sering mendengar radio misalnya, anda akan selalu terdengar istilah-istilah seperti ‘ISO’, ‘ISO 9002’ dan lain-lain. Apakah sebenarnya ISO ini ?

ISO adalah satu cara pentarafan sama ada syarikat atau perkhidmatan yang anda sediakan sudah pun mencapai tahap tertentu yang diiktiraf dunia. Ini selalu dilakukan dalam bidang pengilangan (manufacturing) dan perkhidmatan. Ada ISO siri 9000 yang memberi penilaian bagi amalan pengurusan yang baik dan ada pula siri 14000 yang lebih menjurus pada bidang pengurusan persekitaran. ISO pula maknanya ‘International Organization for Standardization’. Kita dengar-dengarnya sekarang, tapi usaha memberi semacam panduan penilaian bagi bidang teknikal terutamanya ini, sebenarnya bermula pada 1947.
Dan ISO itu menurut rencana yang Sri baca, berasal daripada perkataan Yunani, ‘isos’ yang bererti ‘sama’, misalnya ‘isometric’ iaitu sama ukuran atau dimensi ataupun ‘isonomy’ iaitu persamaan manusia dari sisi undang-undang.

Kenapalah Sri berpanjang lebar pasal ISO ini, macam serius nah Sri kali ini. Sebenarnya kisah pentarafan atau ISO ini seolah-olah tergiang-mengiang di telinga Sri kerana menyaksikan beberapa gejala dalam masyarakat kita. Tiap kali Sri ternampakkan sesuatu yang macam tak kena, terasa benar istilah ISO ini macam tak difahami ramai orang.

Sebagai contoh, kalau anda meminati kuih-muih atau masakan tradisional kita, anda tahu ada beberapa tukang masak kita yang masyhur. Sesiapa yang biasa di Kampung Gelam/Kampung Jawa atau disebut juga Kampung Kaji tahu bahawa masakan dan kuih dari sana, satu masa dulu, (dan hingga sekarang, terutama pada bulan Ramadan) memang hebat. Sri ingat nenek Sri suka membawa Sri ke sana, kebetulan beliau ramai saudara dan sahabat di sana. Tiap kali makan, rasanya macam tak cukup. Begitu juga kalau disebut Hajah Asfiah Hj Abdullah, kita tahu kuih-muih tradisionalnya memang hebat. Demikian juga beberapa orang dalam masyarakat kita yang memang terkenal dalam soal masakan dan kuih-muih. Bagaimana pula jika orang-orang yang tidak tahu menahu pasal soal memasak kita beri jolokan ‘pakar’ pula ? Setakat boleh memasak okeylah, tapi bagaimana pula jika kita seolah-olah jadikan mereka semacam ‘pakar rujuk’ pula ? Ini bermakna kita merendahkan taraf mereka yang benar-benar pakar dan memberi implikasi bidang memasak ini misalnya sesiapa pun boleh menceburi tanpa ada persediaan.

Demikian juga dalam bidang seni. Ada seorang seniman veteran beritahu Sri pada tahun 50-an, timbul gejala orang yang baru menulis satu dua cerpen sudah dipanggil ‘pujangga’, walhal istilah ‘pujangga’ itu amat hebat. Kini kita lihat bila ada orang yang baru melibatkan diri sama ada sebagai penyanyi, pemuzik, penulis dan sebagainya, dengan mudah kita anggap mereka sudah ‘pakar’. Kita seharusnya memberi mereka galakan tapi jolokan sedemikian hanya akan merosakkan mereka dan masyarakat. Sebagai contoh, Nona Asiah, Normadiah, Saloma, Kartina Dahari dan Sharifah Aini tentulah boleh kita panggil ‘biduanita’ kerana penceburan mereka yang lama dan sungguh-sungguh tetapi penyanyi muda yang setakat buat satu album dan pandai menggayakan diri saja takkanlah hendak kita panggilnya ‘biduanita. Sama merunsingkan jika orang yang sekadar pandai buat bising tapi kurang menghasilkan karya baik secara tekal, kemudian kita calonkan dalam kategori ‘Hadiah Nobel’ misalnya. Ini tentu akan merendahkan makna sebenar ‘Hadiah Nobel’, kerana tanpa menghasilkan yang berbobot pun, asal pandai retorika, seolah-olah sesiapa pun boleh dicalonkan sedemikian.

Atau kita jadikan sumber contoh orang-orang yang dalam erti kata sebenar tidak seharusnya dijadikan sumber contoh kerana gaya hidupnya atau cara penampilannya akan menghakiskan ciri-ciri murni dalam masyarakat kita. Yang berlaku nanti, jika tanpa ‘penapisan’ semacam ISO, yang ‘keruh’ kita anggap ‘jernih’ dan yang ‘jernih’ kita anggap ‘keruh’. Implikasinya amat besar bagi masyarakat kita yang kecil ini.

Sri teringat kata-kata seorang ‘kawan’ Sri, yang menukilnya daripada mahagurunya. Kata profesornya dalam kuliah tahun 70-an itu: ‘Jadilah seperti kambing yang makan rumput supaya cita rasa anda dibina dengannya, jangan jadi seperti kambing makan kertas kerana anda membiasakan cita rasa anda dengan sesuatu yang tidak baik dan anda tidak tahu nanti menilai yang baik.’ Kalau cara pentarafan kita rendah ini bermakna pencapaian kita juga akan menjadi rendah dan sesiapa pun boleh dengan mudah menjadi ‘sumber rujukan’ dan ‘pakar’ dalam masyarakat kita. Maknanya, mereka yang benar-benar pakar, yang menyisihkan sejumlah besar masa, tenaga, kebijaksanaan, keikhlasan dan wang ringgitnya untuk mendapatkan kepakaran akan menjadi sia-sia, kerana orang-orang begini mungkin tidak pandai memukau khalayak dengan retorika kerana mereka bukan jenisnya yang berbuat demikian.

Alangkah sedihnya jika peribahasa ini benar-benar berlaku: Di tempat tiada helang, belalang mengaku helang…..

Ditulis: 16 Ogos 2000
Tajuk Asal: Kisah Pentarafan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 20 Ogos 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s