Ulasan Buku: Esei & Puisi Baha Zain

Cover Baha Zain
Buku: Esei & Puisi Baha Zain. Tentang Penulis Dan Persekitarannya. 2002: KL: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pengenalan
Sebuah esei atau puisi yang baik sering merangsang daya fikir, indera, dan nurani kita. Kita disentuh oleh bahasa, dibawa ke beberapa terowong masa dan minda penulisnya, dan kita juga bagai didamaikan oleh beberapa pertemuan dan pencarian penulis tadi, lewat tulisan-tulisannya. Demikianlah tanggapan saya semasa membaca buku Baha Zain. Buku setebal 157 halaman ini memuatkan 16 buah esei yang terdiri daripada 11 esei yang menelusuri beberapa isu penting mengenai penulis dan persekitarannya dan 5 esei khusus membincangkan 5 penyair Malaysia. Esei-esei ini ditulis dari tahun 1987 sehingga 1996. 50 kuntum puisi juga dimuatkan dalam buku ini; dibahagi kepada 3 bahagian utama: ‘Dalam Diri’ yang memuatkan 17 kuntum sajak, ‘Mencari Kaki Langit’ yang terdiri daripada 16 kuntum sajak dan ‘Citra Kota: Jalan Yang Berliku’ yang mengandungi 17 kuntum sajak. Sajak-sajak ini ditulis dari 1981 sehingga 1999.

Sedikit Mengenai Baha Zain
Baha Zain atau nama sebenarnya Baharuddin Zainal dilahirkan di Perak pada 22 Mei 1939 tetapi dibesarkan di Sabak Bernam, Selangor. Mendapat pendidikan awalnya di sekolah Melayu di Sabak Bernam, beliau meneruskan pelajarannya di sekolah Inggeris iaitu Anglo-Chinese School di Teluk Anson dan Anderson School, di Ipoh. Baha melanjutkan pelajarannya ke Universiti Malaya pada 1960 dan memperolehi ijazah sarjana muda sastera pada 1963. Beliau mula bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1963. Pada 1970 sehingga 1972, beliau mengikuti kursus khas di Fakultas Sastera, Universitas Indonesia, di Jakarta. Semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, beliau pernah menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, editor untuk majalah Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat serta jurnal Tenggara. Pada 1984, Baha melepaskan jawatannya di Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menjadi penerbit. Beliau terlibat dalam dunia penulisan sejak zaman remajanya lagi dan bergiat dalam pertubuhan-pertubuhan seperti PENA, Gapena, Persatuan Penterjemahan Malaysia, dan Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional.

Baha mula menulis pada penghujung tahun-tahun 50-an dan karya-karyanya lebih terserlah mulai tahun-tahun 60-an. Beliau lebih terkenal sebagai seorang penyair dan eseis, walaupun Baha ada juga menulis beberapa buah cerpen. Buku-buku persendiriannya termasuklah: Perempuan dan Bayang-Bayang (1974; puisi), Dari Kertas Catatan Tengah Malam (1978; puisi), Tiga Catatan Perjalanan (1980; puisi),Esei Sastera Baharuddin Zainal (1980), dan Jalan Desa Ke Kota (1994; puisi). Buku Esei & Puisi Baha Zain merupakan buku terbaru beliau. Beliau telah diberi beberapa anugerah sastera kerana penulisannya*.

Sedikit Mengenai Buku Esei & Puisi Baha Zain
Esei-esei Baha Zain bernas dan idea-idea yang dikemukan mudah dihadami pembacanya. Walaupun dalam prolog esei-eseinya Baha menyatakan adakalanya beliau sendiri terasa lucu menginsafi ‘kebodohan’ nya meminjam sesuatu dengan penuh keyakinan pada masa lalu, namun tiada terdapat apa pun ‘kebodohan’ dalam esei-eseinya. Beliau bukanlah penulis yang penuh retorik atau menggunakan bahasa secara bombastik. Kejituan idea-ideanya dan kejernihan pemikirannya membuat kita ingin membaca terus tulisan-tulisannya. Saya perturunkan beberapa perenggan esei-eseinya untuk renungan kita bersama:

Penyair kita sekarang hidup dalam dunianya sendiri, dalam glory cita-citanya untuk menjadi masyhur dengan cara selamat dan bahagia. Kita kadang-kadang menjadi lebih berminat untuk menghibur daripada memberikan puisi dengan getar dan api yang membakar, atau dengan wawasan yang membijaksanakan. Penyair hari ini nampaknya harus menjenguk keluar daripada alunan suaranya untuk melihat kepada yang aktual dan yang possible, yang betul-betul terjadi dan boleh terjadi. Yang betul-betul terjadi itu berada di sebalik yang nampak terjadi, dan yang boleh terjadi itu akan betul-betul terjadi apabila kita mempunyai impian dan bayangan terhadap masa depan.
(Penulis Dan Dunianya: Satu Kritik Diri; hal. 7)

Dari segi istilah, perkataan penulis itu berbeza daripada pemerhati, pengulas, atau pengkritik. Tetapi dalam kenyataannya, mahu tidak mahu, seorang penulis itu adalah juga pemerhati, pengulas, dan pengkritik sekali gus, kecuali kalau dia seorang yang dungu atau kita memang terlalu bermurah hati dengan gelaran penulis itu.
Jadi sulit untuk memisahkan fungsi pemerhatian, pengulasan, dan pengkritikan dalam istilah dan gelaran penulis oleh kerana sifatnya yang sensitif, cenderung melihat kepada kebenaran dan menyatakannya walaupun dalam keadaan yang tertekan.
(Penulis Sebagai Pengkritik Zaman; hal. 18)

Keburukan yang seperti ini (berfikir secara mekanikal—penerangan pengulas) juga harus diperingatkan kepada golongan penulis agar perhubungan yang akrab dan mesra dengan golongan lain itu jangan sampai akhirnya menjadi mekanikal juga, tidak kritis dan peka lagi. Perhubungan kerjasama dengan golongan politik atau pedagang itu mesti dinilai buruk baiknya dari waktu ke waktu demi kepentingan bersama dan rakyat. (Perhubungan Pahit Manis Antara Golongan Politikus Dan Sasterawan; hal. 47)

Lima penyair yang ulas karya mereka terdiri daripada Kassim Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Latiff Mohidin, Kemala, dan T. Alias Taib. Ada di antara tulisan-tulisan ini merupakan prakata kepada antologi penyair tersebut lantas tulisannya tidak begitu menyelongkar. Namun, Baha dapat menangkap kekuatan penyair-penyair ini dan mendorong kita terus membaca terus karya-karya mereka.

Kekuatan perpuisian Baha terletak pada bahasanya yang bersahaja tetapi memikat serta ketajaman daya fikirnya. Terkenal kerana puisinya ‘Menangguhkan Kebenaran’, ‘Kolaj ‘Gerakan Moden’, ‘Rayuan Wanita Asia’ dan lain-lain, Baha adalah pemerhati dan pencatat yang serius, rapi dan berbakat dalam bidang ini. Kejujurannya, yang tidak dibuat-buat, terserlah dalam puisi-puisinya. Sebagaimana diri manusia itu adalah suatu misteri yang merupakan ‘nafsu berahi, benci amarah, tamak haloba, dan iri hati yang bergomol untuk menang di sisi kesucian dan keindahan’ (hal. 91), puisi-puisi Baha ada juga menyentuh sebilangan hal-hal sedemikian. Baha tidak hanya bersyukur akan anugerah kehidupan yang diberi Allah, malah tersentuh oleh kenangan silam, tempat-tempat yang dikunjunginya, keadaan negaranya dan dunia masa kini, malah gelora cinta dan sebagainya. Beberapa contoh:

Bunga Sedap Malam
Sedap malam
Mewangi dalam cahaya berbalam
Menyusup melalui daun pintu
Menyebar di ruang kamarku
Tuhanku
Engkau telah menaburkan harum-Mu
Diraikan ribuan kupu-kupu.
(Hal. 97)

Salah sebuah sajaknya ditujukan kepada Usman Awang ditulis semasa Usman masih hidup. Saya perturunkan sebahagian puisi ini:

Salam Kepada Usman Awang
Setelah setengah abad mencipta,
Lebih dewasa daripada usia merdeka,
Engkaulah antara mata yang pemerhati:
Tentang nasib rapuh rakyat biasa,
Dan tangan kasar orang berkuasa,
Tentang harga diri seorang manusia
Dan ukuran darjat suatu bangsa.
Kiranya itulah rahsia puisi-puisimu
Terpendam dalam suara ‘Pak Utih’ hingga ke ‘Salam Benua’
Tersergam jadi monumen di Dataran Merdeka
Lebih tinggi dari tiang sebuah bendera.
(Hal. 99-100)

Persoalan cinta membawa pelbagai kemungkinan bagi Baha. Dalam puisi ‘Permaisuri’, Baha memahkotakan permaisuri hidupnya iaitu isterinya, dengan kata-kata yang lembut, puitis dan menyentuh hati dan dalam sebuah lagi puisinya, ‘Surat Ke Semenanjung Dari Benua Jauh’, beliau berhujah (petikan) bahawa:

(Surat 2)
Hari ini terkoyak sehelai kertas di kalendar,
yang muda sehari lebih tua
yang tua setapak lebih dekat ke pusara,
aku tidak bimbang menghadapi kematian
atau bakat yang berkurangan.
Daun-daun pun lekang di dahan
kupu-kupu pun sementara di cahaya pelita.
Aku tidak akan berduka,
kita para kekasih akan mati,
tapi cinta tidak reput di bumi,
cinta bukan milik kulit, daging dan tulang,
ia kepunyaan ingatan dan kesetiaan.
(Hal. 113)

Atau sebuah kenangan pada cinta nan silam misalnya dalam sajak ‘Ah! Hanya Kenangan’ (hal. 104) dan sajak yang menyimpulkan pengalaman-pengalaman silam tersebut, misalnya sajak ‘Di Lewat Usiaku’ (hal. 101). Terdapat beberapa buah sajaknya mengenai kunjungannya ke tempat-tempat di luar negaranya. Namun, pemerhatian Baha tidak pula ditumpulkan oleh suasana-suasana yang sering dianggap lebih hebat. Dalam sajak ‘Londonmu’, Baha mencatatkan:

ah! kali ini ada merpati merapat ke jendela,
lampu itu sudah padam, kereta meluncur ke jalan sana,
bunyi sepatu kedengaran lagi, dan wanita muda tangkas langkahnya,
lalu lintas terlalu sibuk, yang uzur berkurung di kamar saja,
London bukan kota, tetapi toko dan kantor wang eropah,
inilah dunia yang memencilkan orang tua.
(Hal. 119)

Sebilangan puisi Baha, terutama dalam bahagian ‘Citra Kota: Jalan Yang Berliku’ menyentuh peristiwa-peristiwa semasa yang melanda negaranya. Ada nada sinis Baha menyelongkar beberapa isu, walaupun harapannya untuk masa depan yang lebih baik tetap tercatat bersama sinisme tersebut. Dalam puisinya ‘Nasihat Orang Tua-tua’ beliau berharap:

Apabila engkau dewasa,
Engkau berhadapan dengan kerja lebih besar,
Bukan sekadar membersihkan najismu,
Tetapi memelihara kebersihan tanggungjawab:
Setia pada kawan, dan jangan mungkir janji,
Setia pada kehidupan yang dinafikan keadilan,
Setia pada keadilan yang ditindas kezaliman,
Berani kerana benar, dan jangan menyorokkan kesalahan,
Telunjuk biar lurus, kelengkeng biar telus,
Kena di mata terasa pedih,
Kena di perut jangan dikempiskan.

Apabila menjadi pemimpin, tugasmu menjadi lebih payah:
Jangan ikut resmi ketam yang menyuruh
anaknya berjalan betul,
Kerana yang berjalan betul itu bukan kaki,
tetapi hati nurani.

Itulah nasihat orang tua-tua yang bijaksana,
Yang lama makan garam dan pandai membezakan antara
orang dan ketam. (Hal. 145)

Sebuah sajaknya yang sinis dan lucu berjudul ‘Sanatorium Terbesar di Dunia’ mengingatkan kita kepada sajak yang sama menyindir kedua-duanya berjudul ‘Bagaimana Kalau’ tulisan Taufiq Ismail dan Usman Awang. Saya perturunkan sebahagian sajak ini:

Bagaimana jadinya citra Malaysia?
Kalau tok guru pakai
bow tie
Minum kopi di Hard Rock Café,
Samy Velu pakai serban
Makan bersepit di restoran,
Lee Liong Sik bawa botol bir
Tunggu tok mudim di Masjid Negara,
Syed Hussin Ali pasang three piece,
Duduk tersedan diiringi
outrider,
Bagaimana kalau Mahathir jadi Sasterawan Negara,
Dan Shahnon jadi PM Malaysia?
………………………………………..
Bayangkan Fadzil Noor jadi tukang sunat
Menghadiri sidang Parlimen dengan pisau lipat
Beranikah Lim Kheng Yeik dan MP wanita hadiri mesyuarat?
Dipaksa jalani majlis khatan di depan rakyat.
(Hal. 156)

Kesimpulan
Antologi Esei & Puisi Baha Zain ini memang merangsang pemikiran dan nurani kita. Kekuatannya dalam kedua-dua bidang merimbun setelah berpuluh-puluh tahun mendalami bidangnya dengan penglibatan yang bukan iseng-isengan. Dalam prakatanya Baha menyatakan bahawa adalah lucu meninjau kejahilannya dalam esei-esei awalnya, dari segi meminjam idea-idea tertentu dengan penuh keyakinan. Tetapi itulah laluan yang harus direntasinya, untuk mendewasakan perspektifnya. Namun, dalam meninjau tulisannya, seperti beliau catatkan: ‘pada segi lain pula kita berasa bersyukur kerana pernah dalam hidup masa lalu kita telah berniat untuk membangunkan manusia melalui idea. Itulah yang telah mendarah daging dalam kehidupan seorang eseis”(dan juga penyair – tambahan pengulas; hal. 4). Dan kita yakin memang Baha Zain telah menyumbang dalam pembangunan manusia melalui idea-idea sebagaiman tertera dalam buku Esei & Puisi Baha Zain ini. Biarlah saya akhirnya ulasan ini dengan sebuah pesanan bererti daripada seniman Baha Zain:

Dalam Kekusutan
(pesan untuk anak cucu)
Galilah kebenaran,
Di bawah-bawah permukaan gelombang,
Antara belukar masalah,
Di dalam belantara persengketaan,
Di tengah-tengah kekusutan perasaan.

Setelah kau temukan,
Inti segala persoalan,
Kumpullah segala kekuatan,
Menegakkan kebenaran.

Tetapi insafilah akan segala dugaan,
Keris lembing dalam peperangan,
Tipu helah serta fitnah,
Bisa dan racun kata-kata,
Menyelinap bagai peluru dan panah,
Dari tempat-tempat yang tak beralamat,
Dari tangan-tangan yang tak bernama.

Perahlah akalmu di atas perasaan,
Pada ketika yang menuntut kebijaksanaan,
Tak ada siapa yang akan mengajarmu,
Tentang membilang dari esa,
Tentang membaca dari alif,
Engkau akan bersendirian,
Menghitung dan menimbang,
Dengan mata keimanan.
(Hal. 149)

* Baha Zain telah menulis beberapa buku lagi dan telah dianugerahi pelbagai anugerah persuratan, termasuk ijazah Doktor Kehormat Persuratan dan Sasterawan Negara.

Ditulis: 8 – 15 Mei 2004
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s