Oh Ibu, Jasamu Tidak Ternilai

Salah sebuah iklan yang menyentuh hati Sri satu masa dulu ialah mengenai sebatang pena. Ibu dalam iklan itu memberi anaknya pena tersebut dan setiap kali anaknya menggunakan pena itu, dia terkenangkan ibunya yang jauh di mata, kerana dia menuntut di luar negara. Iklan yang disiarkan pada zaman tanpa Internet, telefon bimbit dan SMS itu membuat Sri terkenangkan nenek Sri yang Sri panggil ‘mak’. Beberapa kali Sri terpaksa hidup berjauhan daripadanya sama ada kerana menuntut ilmu atau kerjaya, tetapi banyak perkara, bukan sekadar sebatang pena, selalu mengingatkan Sri kepadanya dan segala jasa baiknya membesarkan dan mengasuh Sri.

Minggu ini ramai di antara kita meraikan wanita yang istimewa dalam hidup kita: ibu atau orang yang kita anggap sebagai ibu kita. Walaupun acara sebegini tidak berleluasa pada tahun-tahun 60-an atau 70-an, tetapi ia bukan pula sesuatu yang bercanggah dengan nilai-nilai hidup kita. Asalkan acara sebegini tidak dijadikan acara komersial semata-mata, Sri pasti ramai yang ingin turut menyertainya. Namun, ada juga di antara kita tidak suka segala basa-basi ini kerana bagi mereka setiap hari adalah hari ibu, kerana kita sering bertembung dengan ibu kita atau terkenangkannya, setelah ketiadaannya.

Banyak cerita mengenai pengorbanan wanita istimewa yang kita panggil ibu ini. Tidak semua dapat dicatatkan atau dimasukkan dalam buku rekod dunia tetapi jarang pula ada ibu yang tidak sanggup berkorban untuk anak dan keluarganya. Dari sanggup bersengkang mata menjaga kita ketika sakit, mengatur keperluan keluarga dari segi makan minum sehinggakan memberi asuhan dan kasih sayang serta menampung nafkah keluarga dan sebagainya, ibu kita selalu terpaksa memainkan pelbagai peranan dalam sesebuah keluarga. Walaupun para bapa juga banyak berkorban untuk keperluan keluarganya, ibulah selalu menjadi tempat rujukan dan mengadu kita. Ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusia 35 tahun ke atas (*ketika rencana ini ditulis pada 2003) – kita sering bercakap dulu dengan ibu kita bila ada satu-satu hal kerana agak ‘segan’ hendak pergi langsung kepada bapa kita.

Benarkah ibu kita hanya sanggup jadi macam ‘Neng Yatimah’ saja, sering sekadar mengeluarkan air mata bila berhadapan dengan masalah dan cabaran? Sri rasa tidak, walaupun sesetengah kita amat murah dengan air mata. Ada ibu kita yang sanggup berkorban apa saja, asalkan yang dilakukan itu halal, demi membesarkan anak-anaknya. Dan ada juga ibu kita yang tanpa pelajaran formal sanggup berkorban dengan tulang empat kerat, keringat dan air matanya untuk menjadikan kita ‘orang’. Namun, beliaulah juga insan yang kita ‘lawan’ semasa zaman pembesaran kita atau kita berbalah pendapat, dan terlupa, dalam dalam satu fasa hidup kita itu, bahawa beliau adalah wanita istimewa yang seharusnya kita hargai sepanjang masa.

Benar, ada juga ibu yang tidak bersikap seperti ibu kepada anak-anaknya tetapi bilangannya tidaklah ramai. Dan seperti kata pepatah kita: segarang-garang harimau, dia tidak memakan anaknya. Proses hamil atau membesarkan anak, sama ada anak kita atau anak orang yang dijadikan anak kita, adalah suatu proses yang amat istimewa; jarang sekali seseorang ibu dapat membenci anak yang yang turut dibesarkannya, melainkan dia mempunyai masalah psikologi dengan anak tadi. Sedangkan kita memelihara haiwan seperti kucing kita demikian sayang-kannya, apatah lagi anak yang kita besarkan. Sebab itu ramai beranggapan ibu itu bukan hanya wanita yang melahirkan kita, walaupun kita menghargai jasanya membukakan, dengan izin Allah, alam dunia kepada kita. Ibu juga adalah wanita yang membesarkan kita sama ada nenek yang memelihara kita, ibu angkat yang membesarkan atau ibu tiri yang turut memainkan peranan ibu dalam hidup kita. Dan seperti manusia lain, seseorang ibu itu tidak semestinya menjadi seratus peratus sempurna untuk kita menyayanginya. Kita menyayanginya kerana dirinya dan apa pun kekurangannya kita terima kerana dia ibu kita. Seperti kata ahli psikologi, seseorang ibu itu selalunya mencuba yang terbaik untuk keluarganya walaupun yang terbaik itu mungkin meleset daripada jangkaan umum, tetapi itulah yang terbaik yang dapat diusahakannya.

Ada kenalan Sri pernah menceritakan mengenai ibunya yang sering jatuh sakit setelah pemergian bapanya. Anak-anaknya memberinya wang, malah menyuruhnya pergi bercuti, tetapi dia tetap jatuh sakit. Akhirnya doktor menyuruh adik-beradik kenalan Sri ini melakukan sesuatu, selain memberi ibu mereka wang dan menyuruhnya pergi bercuti, iaitu meluangkan masa untuk ibu mereka secara tetap dan melibatkannya dalam kehidupan mereka, bukan sekadar menjenguk sekejap dan pulang ke rumah masing-masing. Kenalan Sri ini dan adik-beradiknya bersatu hati mencuba cadangan doktor tadi, dan alhamdulillah, ibu mereka semakin sihat, ceria dan bahagia selepas itu. Kerana seorang ibu (dan juga bapa), berapa pun umurnya, memerlukan perhatian dan kasih sayang kita, bukan sekadar wang ringgit sahaja, sebagaimana kita juga memerlukan perhatian dan kasih sayangnya semasa kita kecil dan insya-Allah sampai ke akhir hayat kita.

Hari ini ketika anda meraikan ibu anda atau mengenangkannya, fikirkanlah cara-caranya untuk lebih mengeratkan hubungan anda dengan ibu anda atau menambahkan amal jariahnya, jika beliau telah tiada. Dan fikirkanlah juga cara-caranya agar anak-anak anda lebih rapat dengan ibu mereka, agar hidup kita ini akan membahagiakan semua yang terlibat dengan keluarga kita. Dengan menghargai ibu kita hari ini dan setiap hari kita sebenarnya menghargai insan istimewa yang jasanya tiada ternilai dan seluas lautan dalam melayarkan bahtera kehidupan kita.

Ditulis: 7 Mei 2003
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 11 Mei 2003
Tajuk Asal: Mengenang Jasa Ibu
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s