Sajak ‘Ego’, ‘Anak Kecil Itu’ dan ‘Sahan’

Ego

Bila ego itu membesar
walau disalut yang hakiki
cendekia & jati diri
segalanya semakin hambar
bagai kesan rumah hijau
melusuh sekitar.

Bila ego itu pemangkin
ia mengenyah yang murni
memacu keangkuhan
lalu yang dilibati
sekadar hiasan
luruh makna & nurani.

Ditulis: 14 April 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Anak Kecil Itu

Ketika melihat anak kecil itu
berkerenah & manja bersama ibunya
aku tiba-tiba terkenangkan kau
bersama saudara & sepupumu
betapa riang & riuhnya zaman itu
betapa cepatnya meluncur waktu
bagai kereta api ekpres
bertukar landasan, landskap
berhijrah, membesar.

Melihat anak kecil itu
dalam bergemanya selawat, tahlil
air mataku tiba-tiba menitis
terkenangkan yang tiada
terkenangkan kau & mereka
yang tiada lagi bersama
jauh menguruskan keluarga
atau memenuhi tuntutan semasa
& dalam keriuhan, aku bersepi
ditariki busur silam –
ketika kau kecil – keriangan dahulu – kerinduan.
.
Ditulis: 17 April 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Sahan
(Mengenang Nenda Fatimah Binti Abdullah,
yang hari lahirnya jatuh pada 26 April)

Seperti sahan
berpuluh tahun dalam simpanan
pusaka silam
penyeri & induk santapan
majlis keluarga, agama, kemasyarakatan
kau seindahnya
antik
unik
teguh tersendiri
tika majlis-majlis bertukar rupa
moden, terbuka, tergesa
kau tetap bertahan
tak lekang dek panas
tak lapuk dek hujan.

Motif sahan itu tidak pernah berubah
warna & bentuknya seperti yang asal
bak kasih & rasa tanggungjawabmu yang tekal
betapa diuji, dipertikai
kau tetap tabah, sabar
menyediakan yang terindah
untuk semua.

Betapa kurindui sahan itu
nenek & sekali gus ibu
khazanah termurni
ikhlas & prihatin
menghidangkan santapan
& bukan sekadar sandang pangan.

Ditulis: 24 – 26 April 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s