Ulasan Buku: Tuesdays With Morrie

Cover Tuesdays With Morrie

Pengenalan
Apakah perasaan anda bila anda mengetahui bahawa orang yang anda kasihi akan tiada lagi di sisi dalam waktu yang tidak berapa lama lagi? Akankah anda membeku dan tidak tahu bertindak menghadapi kenyataan ini atau andakah yang terlalu runsing memikirkan kemungkinan yang menyedihkan ini?

Pengajaran Seorang Mahaguru
Tuesdays With Morrie, tulisan Mitch Albom, adalah sebuah buku yang digambarkan sebagai cerita ‘seorang lelaki tua, seorang lelaki muda, dan pengajaran hidup yang terbesar’. Setebal 192 halaman, ia ditulis pada 1997 oleh seorang wartawan sukan dari Detroit Free Press.

Siapakah pula Morrie? Mitch Albom mendapat ijazah pertamanya dari Universiti Brandeis, di Massachusetts dan Morie Schwartz adalah profesor sosiologinya di universiti tersebut. Hubungannya dengan Morrie bukan sekadar hubungan mahasiswa dengan guru sahaja; Morrie menganggapnya pelajar yang boleh diajak berbincang selain sukatan pelajaran mereka. Dan Morrie terkenal sebagai seorang profesor yang menyayangi mahasiswanya, selain cemerlang dalam bidangnya. Tahun 1979 adalah kali terakhir Mitch bertemu profesornya, semasa dia mendapat ijazah. Dia memperkenalkan profesornya kepada kedua ibu bapanya, yang berkata kepada ibu bapanya bahawa Mitch seorang pemuda yang istimewa. Namun keistimewaan ini tidak ditemui Mitch setelah keluar dari universiti.

Mitch menjadi pemuzik profesional, menulis lagu dan lain-lain setelah menjadi siswazah. Dia tidak menghiraukan apa-apa, sehinggalah pak cik kesayangannya meninggal dunia pada usia 44 tahun, kerana menghidap penyakit barah pankreas. Hidupnya berubah. Dia mengambil ijazah dalam bidang kewartawanan dan mencuba nasib di New York dan Florida, kemudian bekerja di Detroit. Mitch menjadi lebih tergesa, sibuk dengan pelbagai tugas, mengumpul harta dan berumah tangga. Dan hidupnya berlegar sekadar kerja dan ditambahi dengan banyak lagi kerja.

Profesornya pula, yang terkenal suka bergaul dengan orang ramai, menari, berenang dan sebagainya, manusia yang mencintai manusia dan kehidupan, tiba-tiba mendapati dirinya (1994) menghidap penyakit ‘amyotrophic lateral sclerosis’ (ALS), sejenis penyakit sistem urat saraf. Penyakitnya menghancurkan penguasaan otot-otot, yang bermula dari kaki dan kemudian naik ke atas. Morrie yang berusia lebih 70 tahun ketika itu, diberi kurang 2 tahun untuk hidup.

Sementara itu Mitch tidak tahu menahu mengenai penyakit profesornya (kerana semua surat dari Brandeis tidak dibukanya semenjak dia mendapat ijazah) sehingga Morrie diwawancara oleh Ted Koppel, dalam satu rancangan TV, yang kebetulan ditonton Mitch. Dia terdengar kata-kata profesornya dalam rancangan itu: ‘Terimalah apa yang anda boleh atau tidak boleh lakukan….Jangan andaikan sudah terlalu terlambat untuk terlibat dalam kehidupan….’ dan lain-lainnya yang menyentuh hati Mitch. Dia membuat keputusan menemui profesornya, lalu terbang 1000 batu ke rumah Morrie di Boston.

Pertemuan Mitch Dengan Profesornya
Pertemuan yang disalutkan dengan wawancara (kerana Mitch sukar berdepan dengan perasaannya), berakhir dengan rangkaian pertemuan setiap hari Selasa. Morrie terpaksa mengakhiri kuliahnya di Universiti Brandeis, sesuatu yang amat menyedihkannya tetapi penglibatannya dalam kehidupan tidak pudar, walaupun satu per satu kebolehannya menguasai diri dan otot-ototnya menurun. Melalui Mitch, dia ‘hidup’ kembali, mengajar murid kesayangannya beberapa pelajaran mengenai kehidupan walaupun ini dilakukan dengan agak payah, kerana dia semakin lemah. Antara perkara yang mereka bincangkan termasuklah mengenai maut, dunia, penyesalan, rasa hiba diri, keluarga, wang, perkahwinan, perasaan, hari tua, kemaafan, perpisahan dan lain-lain.

Kita terbawa menghadami kata-kata Morrie, yang rasa kasihnya yang murni kepada manusia, membenarkan dia berkisah tanpa memaksa dan sekali gus, mendamaikan resah gelisah orang-orang di sekelilingnya dan menghadapi maut dengan tenang. Dia mengajar Mitch misalnya, untuk menghubungi adiknya (Mitch) yang lama terpisah daripada keluarga. Dia juga membimbing Mitch untuk pandai meluahkan perasaannya, tanpa menjadi sentimental, dan melihat kehidupan dari kaca mata yang lebih berseimbang. Dalam keadaannya bagai kelongsong usang, Morrie tetap menambat hati dengan humornya, semangatnya yang terus hidup dan caranya mengasihi dan melepaskan orang-orang yang dia sayang: isterinya Charlotte, anak-anaknya Rob dan Jonathan, kaum keluarga, sahabat handai dan Mitch, kerana baginya kematian bukan bererti putusnya hubungan dia dengan mereka.

Penutup
Membaca Tuesdays With Morrie, membuat kita hiba, menghargai kehidupan, belajar memaafkan yang silam serta meraikan perasaan kemanusiaan kita. Dan seperti Mitch bila sesekali terbaca tugasan lama universitinya yang ditulis di tepi-tepinya: ‘Dear Coach’ dan dijawab Morrie: ‘Dear Player’, tetapi menyebakkan perasaannya, dia tetap meneruskan kehidupannya yang diharap lebih bermakna, demikianlah diharapkan bagi kita yang turut mengalami hal sebegini.

Ditulis: 1997
Tajuk Asal: Buku Mitch Albom Tuesdays With Morrie
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), pada 14 Feb 1999
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s