Pak (Dr.) Liaw Yock Fang Dalam Kenangan (14 September 1936 – 23 April 2016)

Perjumpaan Hari Raya Sep 1977 Univ SporePL 2Perjumpaan Hari Raya September 1978
[Gambar:Perjumpaan Hari Raya di Universiti Singapura, 1977 (kiri) dan 1978 (kanan)]
PL 3Seminar Di KL 2007PL 4Seminar di KL 2 2007
[Pak Liaw dan Mrs Liaw bersama rakan-rakan pembentang kertas kerja di seminar di KL, 2007]

PL 1PL 3PL 4PL 8Pelancaran
[Gambar: Pak Liaw memberi ucapan pelancaran buku, Pak Liaw bersama Mrs Liaw dan keluarga saya sebagai tetamu terhormat, Pak Liaw menerima hadiah daripada para pelajarnya yang diwakili Hashimah Johari dan diacarakan Pairah Satariman, gambar Pak Liaw bersama Mrs Liaw dalam acara tersebut – 1 Disember 2007 di Earshort Café, The Arts House, Old Parliament Building dan di Restoran Hajah Maimunah, Joo Chiat Road, Singapura.]

Pengenalan

Apabila guru anda meninggal dunia dan anda telah lama meninggalkan bangku sekolah atau universiti, anda akan terasa betapa cepatnya masa berputar dan betapa kehidupan ini berentetan dalam pusingan kelahiran, pembesaran, kedewasaan, kematian. Demikian fikiran yang berlegar-legar dalam benak saya dan juga beberapa orang yang mengenal Pak Liaw Yock Fang.

Pak Liaw Dan Senarai Bukunya

Sesiapa yang mengkaji sastera klasik atau tradisional Melayu-Indonesia, pasti mengenal sarjana yang bernama Liaw Yock Fang. Terdidik di Singapura, Indonesia dan Belanda serta mahir dalam beberapa bahasa seperti bahasa Melayu/Indonesia, Mandarin, Inggeris, Belanda, Arab serta dialek-dialek Tionghoa dan pandai membaca dan menulis abjad Jawi, beliau juga mendalami bidang linguistik/filologi. Mendiang terkenal kerana mengkaji mengenai Undang-Undang Melaka bagi tesis doktoratnya di Universiti Leiden, Belanda, yang diperolehi pada 1976. Di antara karyanya yang dibukukan termasuklah (sebilangannya beberapa kali diulang-cetak):

1. Iktisar Kritik Sastera (dengan kerjasama H.B.Jassin), 1970.
2. Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik, 1974
[Buku ini diulang-cetak beberapa kali dan kemudian ditambahi dan dikemaskini, diberi judul yang sama dan diterbitkan di Indonesia dalam dua jilid, pada 1991 dan 1993 dan juga diterbitkan dalam satu buku (penerbit berlainan di Indonesia) pada 2011]
3. The Complete Poems of Chairil Anwar (dengan kerjasama H.B.Jassin), 1974.
4. Undang-Undang Melaka, 1976.
5. Pelajaran Bahasa Melayu (bersama Bahri Rajib), beberapa siri, 1982.
6. Nahu Bahasa Melayu, 1985.
7. Standard Indonesian Made Simple, 1990.
8. Speak Standard Indonesian, 1990.
9. Standard Malay Made Simple, 1991.
10. Indonesian In Three Weeks, 1992.
11. Nahu Melayu Moden (bersamaAbdullah Hassan), 1994
12. Easy Indonesian Vocabulary, 1995.
13. Indonesian Grammar Made Easy, 1996.
14. Speak Standard Malay, 1997.
15. Essential Indonesian Reading, Volume 1, 1998.
16. Essential Indonesian Reading, Volume 2, 1999.
17. Indonesian For Daily Use, 2003.
18. Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut, 2003.
19. A History of Classical Malay Literature, 2013, terjemahan karya Pak oleh Harry Aveling dan Razif Bahari.

Pak Liaw juga menulis pelbagai kertas kerja/makalah, menulis rencana ilmiah dalam jurnal dan majalah tersohor serta menulis dalam akhbar-akhbar berbahasa Mandarin dan Melayu mengenai hal-hal kesusasteraan dan bahasa Melayu.

Pak Liaw Dengan Para Pelajarnya

Pak Liaw memang giat menulis sejak zaman persekolahannya, malah semasa di Universiti Nanyang (Nantah), beliau juga mengusahakan majalah bahasa dan sastera untuk mahasiswa. Beliau aktif dalam pertubuhan sastera dan seumpama itu dan tidak lokek untuk berkongsi ilmunya jika dipinta.

Pada mulanya Pak Liaw mengajar di Universiti Nanyang (Nantah) dan hanya mengajar kesusasteraan Melayu Klasik di Universiti Singapura secara sambilan. Beliau mengajar saya dan kawan-kawan saya pada tahun dua, pada tahun akademik 1977/78. Sebelum atau sekitar 1980, Pak Liaw menjadi tenaga pengajar sepenuh masa di Universiti Singapura/Universiti Nasional Singapura.

Apa yang sukar dilupakan, Pak Liaw begitu bersungguh-sungguh mengajar kami sehingga sering berpeluh-peluh. Pada 1977 itu, pelajarnya di Universiti Singapura sekitar puluhan orang, tetapi beliau ceria mengajar kami. Yang sukar dilupakan, selain beliau menyuruh kami menekuni buku Sejarah Melayu yang diterangkan agak terperinci juga bagi bab-bab tertentu, beliau juga menerangkan mengenai pengkhususannya iaitu Undang-Undang Melaka.

Saya tidak berapa ingat mengenai kuliah khusus ini tetapi yang sukar saya lupakan ialah apabila Pak Liaw menerangkan bahawa menurut Undang-Undang Melaka, sesiapa yang pergi memancing di laut, apa yang dipancing mata kailnya, menjadi haknya. Kisahnya, ada pula kes seseorang pengail, mata pancing tersangkut pada baju seorang wanita, yang merupakan isteri orang. Menurut undang-undang ini, wanita itu menjadi miliknya, kecuali tidak disetujui dan perkara tersebut harus dihakimi oleh Sultan yang memerintah. Ketika muda belia itu, ada di kalangan kami berangan-angan alangkah baiknya kalau ada undang-undang itu di Universiti Singapura – boleh mata kail kami ‘tersangkut’ orang-orang tertentu dan tak perlu dileraikan…..

Semasa di Universiti Singapura dulu, terdapat 5 orang pensyarah yang mengajar kami, termasuk Pak Liaw dan rata-ratanya yang lebih disayangi dan dihormati merupakan Pak Liaw dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu ketika itu, Profesor Syed Hussein Alatas. Kerana Universiti Singapura lebih mesra-pelajar, tidak terlalu besar dan para mahasiswa dan pensyarah mudah bertembung dan jumlah yang belajar di universiti ketika itu tidak besar, mudah untuk pensyarah mengenal dengan akrab para pelajarnya. Dan tidak mustahil pensyarah yang ramah dan prihatin seperti Pak Liaw dan Prof. Alatas lebih diakrabi para pelajarnya. Beliau sering bersama pelajar bila diundang bersama-sama menyambut Hari Raya, di Dewan Lee Kong Chian, di Universiti Singapura atau di Yusoff Ishak House, di Kent Ridge, Universiti Singapura/NUS. Pensyarah-pensyarah lain dari Jabatan Pengajian Melayu juga diundang, tetapi yang lebih kerap meluangkan masa untuk sambutan Hari Raya, merupakan Pak Liaw.

Saya masih menuntut di tahun dua  dan Tahun Baharu Cina disambut pada awal bulan Februari 1978. Pak Liaw mengundang kami, para pelajar Kesusasteraan Melayu Klasiknya ke rumahnya di Watten Estate, Bukit Timah. Kami diundang setelah beberapa hari Tahun Baharu Cina dan sebelum Chap Goh Meh (hari ke-15 Tahun Baharu Cina dan merupakan hari terakhir menyambut Tahun Baharu Cina). Beliau memanggil seorang penjual sate (masa itu ada orang menjaja sate dan membawa peralatan jualannya dan sate dipanggang di depan kita dan sate juga boleh ditempah di beberapa tempat misalnya dari warung-warung sate di Geylang Serai dan juga di Satay Club, di Elizabeth Walk) dan menjamu kami makan sate sepuas-puasnya. Kerana takut kami was-was, beliau membeli pinggan mangkuk plastik agar kami lebih selesa. Kami gembira kerana Pak Liaw demikian mengambil berat terhadap kami dan lebih gembira kerana seorang pensyarah ini terbuka mengundang kami ke rumahnya.

Setelah Mendapat Ijazah Dan Seterusnya

Setelah mendapat ijazah, walaupun ada di kalangan kami seakan terputus hubungan dengan Pak Liaw, namun beritanya sering kami dengar. Saya berjeda sekejap setelah mendapat ijazah pertama dan kemudian melanjutkan pelajaran saya di Universiti Nasional Singapura. Universiti Singapura telah berpindah ke Kent Ridge, Pasir Panjang, dan namanya ditukar. Pak Liaw merupakan salah seorang pensyarah saya untuk kursus ‘Teori M.A.’, sebelum saya dapat menulis tesis saya, dan seharusnya lulus kursus teori tersebut.

Semasa membuat kajian untuk tesis M.A. saya mengenai novel-novel Melayu Selepas Perang sehingga awal 1980-an, walaupun Pak Liaw bukan penyelia saya, beliau prihatin terhadap beberapa masalah yang saya hadapi, terutama mendapatkan novel-novel lama yang bertulisan Jawi. Beliau ada juga bertanya-tanya mengenai kajian saya dan memberi pandangannya kerana beliau memang mengikuti perkembangan kesusasteraan Melayu dan Indonesia. Bantuannya yang paling bermakna yang Pak Liaw hulurkan kepada saya ketika itu ialah membawa saya ke rumah Pak Yang Quee Yee dan isterinya Madam Chan Maw Woh, kawan-kawannya, yang selain menulis kamus dan beberapa kajian serta terjemahan, ada juga menyimpan karya-karya sastera lama, dalam tulisan Jawi dan Rumi. Saya meminjam sejumlah karya simpanan Pak Yang dan Madam Chan untuk dibuat salinan foto dan hampir semua karya yang saya pinjam bertulisan Jawi. Tanpa bantuan Pak Liaw dan budi baik Pak Yang dan Madam Chan, tentu tidak semudahnya bagi saya mendalami kajian saya.

Setelah lulus ijazah M.A., Pak Liaw mengharapkan saya dan kawan saya, Hashimah Johari, dapat diterima sebagai tenaga pengajar di NUS. Tapi harapan Pak Liaw tidak kesampaian. Hashimah kemudian menjadi pustakawan dan saya menjadi guru. Sesekali saya masih berjumpa dengan Pak Liaw di NUS kerana saya sesekali ke perpustakaan NUS, untuk meminjam buku dan juga bertemu Hashimah.

Bila saya dapat meneruskan kerjaya saya sebagai pensyarah sastera di Universiti Brunei pada Februari 1987, Pak Liaw tumpang gembira. Dan bila saya selesaikan kontrak saya di Brunei dan meneruskan kerjaya saya di Universiti Nasional Singapura, beliau ternyata gembira kerana akhirnya salah seorang anak muridnya menjadi tenaga pengajar di NUS. Tetapi kegembiraan Pak Liaw tidak berpanjangan dan beliau sedikit terkejut kerana saya tidak mengajar sastera sebagaimana saya dilatih dan mengajar di Universiti Brunei tetapi disuruh mengajar ‘Sejarah dan perkembangan bahasa Melayu’. Dan Pak Liaw juga sedikit terkejut jawatan saya bukan sebagai pensyarah tetapi sebagai ‘Teaching Assistant’, padahal saya memberi kuliah, mengendalikan tutorial, menetapkan dan memeriksa tugasan dan kertas peperiksaan mahasiswa. Sering juga ketika di NUS itu, pada 1990, Pak Liaw berbual-bual dengan saya, kadang makan di kantin bersama saya dan sesekali, menasihatkan saya agar banyak bersabar.

Hampir setahun mengajar di NUS dan maklum balas pelajar menunjukkan saya dapat maklum balas yang baik dan saya mula selesa untuk mencabangkan kajian saya lebih kepada bidang bahasa, kerjaya saya dihancurkan. Kecuali keluarga dan kawan-kawan rapat saya, yang mengambil berat mengenai saya kerana hal ini di NUS hanya Pak Liaw dan sedikitnya oleh seorang pensyarah Jabatan Inggeris, Profesor Koh Tai Ann. Seorang pensyarah luar negara, bila mendengar perihal saya, juga ingin membantu tetapi saya terhalang untuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagaimana cadangan Profesor Muhammad Hj Salleh, kerana saya ada beberapa tanggungjawab di Singapura dan tidak mampu ke UKM. Pak Liaw agak terkejut ini berlaku kepada saya padahal tiada apa-apa kesalahan akademik atau peribadi yang saya lakukan. Pak Liaw sendiri bertanya kepada Ketua Jabatan Pengajian Melayu ketika itu (ketika itu Profesor Syed Hussein Alatas telah bersara) mengapa hal ini boleh berlaku tetapi orang tersebut hanya berdiam. Demikian juga perlakuannya apabila saya sendiri pertanyakan hal yang sama.

Yang saya kenang, Pak Liaw tidak perlu bersusah payah fasal saya, tetapi beliau cuba juga. Dan mengetahui saya terpaksa ‘mencipta semula’ kerjaya saya, beliau menyarankan saya memohon untuk mengajar sambilan (waktu malam) di NUS Extension dan beliau sendiri menghubungi pihak NUS Extension agar mereka tahu mengenai saya. Saya dapat mengajar bahasa Melayu kepada orang dewasa yang bukan penutur bahasa Melayu, menggunakan bahasa Inggeris dan walaupun kerja sambilan ini tidak kerap, ia tetap membantu menyara hidup saya.

Pak Liaw Pada 1990-an.

Pak Liaw sesekali menghubungi beberapa orang bekas pelajarnya untuk makan bersamanya pada sejak tahun-tahun 1990-an dahulu dan beliau suka bercakap-cakap dengan kami. Sebilangan kami juga bertemunya dalam beberapa acara sastera setempat.

Pada September 1993, saya diundang untuk menyampaikan kertas kerja di ‘Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu lll’, anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia. Pak Liaw juga diundang sama untuk menyampaikan kertas kerjanya. Di sanalah saya rasa Pak Liaw mengetahui lebih sedikit mengenai kehidupan saya. Pak Liaw ada juga melefon beberapa bekas pelajarnya, termasuk saya, dari masa ke semasa dan walaupun kami semua ramah dengannya, dan boleh berbincang beberapa hal dengan mendalam tetapi hal-hal yang agak peribadi, sukar pula kami kongsikan.

Sekitar akhir tahun 1993 atau awal 1994, Pak Liaw menghubungi saya dan mengajak saya makan bersamanya di Kampung Gelam/Arab Street atau di kampus NUS. Makannya tidak seberapa dan kemudian Pak Liaw menyarankan sesuatu kepada saya – beliau ingin meminjamkan saya $10 ribu agar saya dapat melanjutkan pelajaran saya dan bila-bila saya mampu, saya boleh membayar balik pinjaman itu. Saya terharu mendengar cadangannya dan menolaknya dengan baik. Kemudian Pak Liaw mencadangkan agar saya meminjam dari bank, seorang anaknya bekerja di bank dan boleh mendapatkan pinjaman untuk saya dengan kadar faedah yang rendah. Cadangan ini pun terpaksa saya tolak walaupun saya amat terharu. Keadaan pekerjaan saya – melakukan beberapa kerja sambilan dan beberapa hambatan menyukarkan saya menerima cadangan Pak Liaw. Tetapi saya amat berterima kasih bahawa mantan pansyarah saya mengambil berat terhadap saya. Lama setelah hal ini, sedikit demi sedikit, saya memahami mengapa Pak Liaw menyarankan demikian. Beliau mahu saya menjadi pensyarah sastera dan beliau juga memaklumi bahawa dahulu, orang-orang yang terdekat dengannya juga pernah melalui pusaran kehidupan seperti saya – tidak tahu mengapa pelbagai pintu tiba-tiba tertutup. Kerana lebih memahami, Pak Liaw ingin membantu.

Tetapi hajat Pak Liaw untuk melihat saya mengajar sastera di universiti tidak kesampaian. Berkali semasa menelefon saya dahulu, beliau akan menyebut kehairanannya mengapa saya tidak mendapat peluang sebagaimana sepatutnya. Tetapi lama kelamaan, saya yang seakan ‘memujuk’ Pak Liaw – tak mengapalah, kata saya, asal saya tidak menggadaikan integriti dan harga diri saya dan saya masih boleh menulis.

Pada 1993, hadiah untuk karya-karya Melayu yang terbaik di Singapura, dihidupkan, setelah menyepi beberapa tahun. Daripada hadiah yang disebut ‘Hadiah Sastera’ dan disokong badan-badan sastera dan budaya Melayu sejak 1975, ia bertukar menjadi ‘Anugerah Persuratan’ pada 1993 dan disokong pemerintah Singapura. Saya terlibat sebagai penilai dalam kategori hadiah yang dipanggil ‘Anugerah Tun Seri Lanang’ sebanyak dua kali, pada tahun 1993 dan 1995. Saya menarik diri selepas itu, sebagaimana saya pernah jelaskan dalam entri yang lain.

Anugerah Tun Seri Lanang seharusnya terbuka kepada penyumbang sastera Melayu-Islam Singapura, yang sumbangannya dalam bidang persuratan, dianggap bertaraf tinggi. Sumbangannya semesti dalam bidang kesusasteraan dan bahasa dan bukannya bidang sosiologi atau kesarjanaan. Tun Seri Lanang merupakan seorang sasterawan, lantas bidang kesarjanaan dan sebagainya tidak dimasukkan dalam kategori ini kerana bidang-bidang tersebut boleh sahaja diberi anugerah-anugerah antarabangsa lainnya.

Pada Liaw pernah beberapa kali berbincang dengan saya mengapa seorang sepertinya tidak boleh diberi Anugerah Tun Seri Lanang. Saya jelaskan apa yang saya tahu. Saya tidak fikir Pak Liaw mengendahkan habuan kewangan yang diterima penerima anugerah ini tetapi mungkin Pak Liaw mahukan semacam penghargaan daripada masyarakat Melayu-Islam yang telah lama dilibati melalui badan-badan bahasa dan sastera, kajian dan tulisannya. Dan saya juga pernah menulis bahawa Majlis Bahasa Melayu Singapura seharusnya mengadakan satu kategori khas bagi penyumbang seperti Pak Liaw dan lain-lain.

Bagi saya sumbangan Pak Liaw besar dan buku-bukunya, terutama Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik, digunakan bukan hanya di Singapura, malah di institusi-institusi pengajian tinggi di Nusantara – Malaysia, Indonesia, Brunei, malah di beberapa universiti di luar Nusantara. Dalam acara-acara kesarjanaan dan kesusasteraan beliau diundang, menyampaikan kertas kerja dan sebagainya. Apakah sumbangannya tidak boleh diberi semacam penghargaan dalam Anugerah Persuratan?

Pak Liaw tidak pernah menyebutnya, tetapi saya yang amat terkilan apabila sebuah kategori khas bagi penyumbang bukan Melayu-Islam (bagi kategori seumpama Anugerah Tun Seri Lanang) tiba-tiba diadakan pada 1999. Dan orang yang menerima hadiah tersebut merupakan Madam Chan; beliau seorang penterjemah dan menulis kamus Melayu-Cina bersama suaminya, Yang Quee Yee. Kononnya ada ahli jawatankuasa Anugerah Persuratan ketika itu begitu teruja satu atau dua cerpennya diterjemahkan ke bahasa Mandarin oleh Madam Chan, lantas beliau diberi hadiah. Benar, Madam Chan tentunya boleh diberi semacam hadiah khas dalam majlis Anugerah Persuratan pada suatu masa tetapi betapa anehnya, sumbangan yang demikian besar oleh Pak Liaw, langsung tidak dihargai pada tahun tersebut. Pak Liaw hanya diberi Anugerah Khas ini pada 2011, yang bagi saya, tanpa gahnya dan dibuat bagaikan melepaskan batuk di tangga.

Pak Liaw Pada Tahun-Tahun 2000 Dan Selanjutnya

Pak Liaw tetap menghubungi berapa orang pelajarnya dan kami makan bersamanya, selalunya di Kampung Gelam/Arab Street, selain sesekali di kampus. Kawan-kawan saya, Pairah Satariman, Haslindah Mispan dan Hashimah Johari yang selalu mengadakan masa untuk Pak Liaw. Selain ini, Pak Liaw juga ada memberi buku-bukunya kepada saya – lama dulu, pada awal 1980-an, Pak Liaw memberi saya buku terjemahannya, The Complete Poems of Chairil Anwar . Kemudian beliau memberi saya buku-buku Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasiknya, yang diterbitkan oleh oleh penerbitan berlainan di Indonesia. Beliau juga memberi saya kamus Indonesia-Inggeris, Inggeris- Indonesia yang agak tebal, selain beberapa buku bahasanya dan buku sastera, potongan akhbar mengenai sastera dan bahasa yang disimpannya.

Beliau pernah bertemu saya dan membawa nota-nota buku bahasanya dan meminta saya mengeditnya. Saya memberitahu Pak Liaw bahawa nota-notanya tidak perlu diedit kerana pihak penerbitnya, Times Books International/Marshall Cavendish, akan mengeditnya. Tetapi Pak Liaw berdegil meminta saya mengeditnya. Saya tidak berbincang mengenai pembayaran dan setelah siap diedit, saya pulangkan nota-nota tersebut kepada Pak Liaw. Pak Liaw memberi saya buku Vladimir Braginsky, The Heritage of Tradisional Malay Literature dan sedikit wang sagu hati sebagai bayaran. Hanya setelah itu, baru saya beritahu Pak Liaw bahawa saya pernah mengedit dua buah bukunya bagi pihak Times Books International/Marshall Cavendish, walaupun ketika bertemunya, saya tidak lagi mengedit buku di sana.

Pada 2004, Pak Liaw menghubungi saya untuk memberitahu bahawa kajiannya berjudul Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut akan diterbitkan oleh Yayasan Karyawan Malaysia dengan Hassan Ahmad sebagai ketua editornya, dan dimasukkan dalam kategori ‘Karya Agung’. Karya-karya lain yang dimasukkan dalam kategori ini termasuklah Sulalat Al-Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Pantun Melayu dan Syair Ken Tambuhan dengan sarjana-sarjana khusus mengendalikan setiap buku. Buku-buku ini semua berkulit tebal, kandungannya juga rata-rata tebal, dan perada emas menghias setiap helai hujung kertasnya. Ia cantik dan membanggakan. Beliau juga memberitahu saya dan kawan-kawan saya boleh membeli buku-buku tersebut melaluinya kerana Pak Liaw sebagai salah seorang pengkaji siri ‘Karya Agung’ ini mendapat potongan harga yang agak lumayan. Dua orang kawan saya, Pairah dan Haslindah, selain saya, memesan buku-buku tersebut melalui Pak Liaw.

Sekitar tahun 2000 lebih (saya sudah lupa tarikhnya), saya menghubungi Ismail Pantek, yang menjadi editor hujung minggu di Berita Harian Singapura. Ismail dan juga editor Berita Harian, Guntor Sadali, memberi saya ruangan khas untuk menulis iaitu ‘Ruangan Sri Anggerik’ (dari Julai 1998 – Jun 2006) dan Ruangan ‘Tun Fatimah’ (dari 2004 – Jan 2009 ). Kedua-duanya agak terbuka menerima idea-idea orang lain, sebagaimana beberapa orang editor dan pengelola Berita Harian sebelum ini. Saya mencadangkan kepada Ismail Pantek agar mengundang Pak Liaw menulis dalam ruangan khas di Berita Harian. Pak Liaw berilmu dan tulisan-tulisannya pasti dapat memanfaatkan khalayak pembaca Berita Harian. Cadangan itu diterima. Pak Liaw menghubungi saya apabila tulisan-tulisannya mula tersiar dalam ruangan khas itu dan bertanya sama ada saya ada membacanya. Saya memberitahunya saya ada membaca tulisan-tulisannya dan Pak Liaw gembira kerana tulisan-tulisannya kini dapat dibaca oleh lebih ramai orang. Saya tumpang gembira kerana kegembiraan guru saya ini dan sampai ke akhir hayatnya beliau tidak tahu saya pernah mencadangkan beliau diberi ruangan tersebut.

Tahun 2007, Ke Seminar Dan Pelancaran Buku-Buku Saya

Pada 2007, saya diundang oleh Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah/Kemala untuk menyampaikan kertas kerja dalam ‘Seminar Kesusasteraan Bandingan Antarabangsa’ anjuran Dewan bahasa dan Pustaka dan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia serta Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Dato’ Dr. Ahmad Kamal memang terbuka orangnya dan saya mudah bercakap-cakap dengannya. Dalam percakapan kami, saya menyarankan Pak Liaw juga turut diundang kerana tentu Pak Liaw ada bahan yang boleh diketengahkan. Cadangan itu disetujui.

Saya bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas mewah bersama Pak Liaw dan Mrs Liaw. Sebelum bertolak, kami bersarapan bersama. Saya bahagia dapat ke Kuala Lumpur bersama guru saya dan isterinya. Dan saya lebih bahagia melihat Pak Liaw dipandang tinggi di sana oleh sebilangan sarjana dan penggiat sastera yang hadir dalam seminar itu. Sama bahagianya saya dapat menyampaikan kertas kerja dan bertemu sarjana dan penggiat seni di sana.

Dua buah buku saya, Hikayat Seri Anggerik dan Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi, ingin dilancarkan oleh penerbit saya, Pustaka Nasional, sempena ‘Pesta Penulis Singapura 2007’. Pustaka Nasional mendapat lowongan pelancaran itu di Earshot Café, The Art House Singapura, pada 1 Disember 2007. Sejauh ini saya belum pernah melancarkan buku-buku persendirian saya. Selain mendapatkan bantuan keluarga dan sahabat untuk membaca beberapa petikan dalam acara pelancaran itu, saya juga mahu mengundang seseorang sebagai tetamu terhormat saya. Saya mengundang Pak Liaw dan Mrs Liaw. Pada mulanya Pak Liaw menolak kerana dirasakan ada orang lain yang lebih layak sebagai tetamu terhormat saya. Tetapi setelah diyakinkan, Pak Liaw menerimanya. Sebenarnya saya ada tujuan lain mengundang Pak Liaw sebagai tetamu terhormat saya.

Pak Liaw memerlukan naskhah kedua-dua buku itu diberi kepadanya agar beliau dapat memberi ucapan pelancaran buku dengan saksama. Saya mengirimkan manuskrip kedua-dua buku kerana buku-bukunya masih dalam proses penerbitan. Pak Liaw membaca kedua-dua manuskrip dan kemudian menelefon saya. Rupa-rupanya barulah ketika itu Pak Liaw tahu, orang yang menulis dengan menggunakan nama pena ‘Sri Anggerik’ itu saya! Beliau tidak menyangka, anak muridnya boleh menulis yang serius-serius dan boleh juga menulis yang ‘gila-gila’. Dan saya memberitahu Pak Liaw, saya juga menulis dengan menggunakan nama ‘Tun Fatimah’ – saya takut tanpa memberitahunya, akan terkejut lagi guru saya ini.

Acara pelancaran buku-buku saya berjalan dengan baik. Setelah selesai di Earshot Café, saya menjamu keluarga terdekat saya dan sahabat-sahabat karibnya ke Restaurant Hajah Maimunah yang terletak di Joo Chiat Road, Singapura, untuk makan tengah hari. Di sana, sambil makan, ada seorang membacakan sajak ‘Guru O Guru’ oleh Usman Awang, yang ditujukan kepada Pak Liaw. Kemudian Pak Liaw dijemput ke hadapan tetamu dan diberi hadiah sebagai penghargaan kami kepada beliau yanh menjadi pensyarah kami. Kami kemudian menyanyi lagu zaman mahasiswa, berpantun dan lain-lain. Ramai yang berasa gembira dinostalgiakan kenangan lama dan dapat memberi sedikit penghargaan kepada guru kami – Pak Liaw Yock Fang.

Tahun-Tahun Terakhir Pak Liaw

Pak Liaw ada meminta bantuan saya untuk menaip nota-notanya tetapi kerana saya bukanlah jurutaip yang baik, saya mencadangkan seorang kawan yang mahir hal demikian. Nota-nota inilah kemudian dijadikan buku dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Pak Liaw juga ada meminta saya menterjemahkan Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasiknya ke bahasa Inggeris. Saya benar-benar berasa tidak mampu melakukannya dan menyarankan orang-orang yang lebih berpengalaman dan kalau boleh, mengetahui kesusasteraan Melayu dan ada akses kepada perpustakaan di universiti. Pak Liaw akhirnya mendapatkan khidmat Dr Harry Aveling dan Razif Bahari untuk menterjemahkan buku tebalnya.

Pada tahun-tahun terakhirnya, Pak Liaw sering kurang sihat, tetapi masih bertemu seorang dua anak muridnya untuk makan bersama dan bercakap-cakap. Beliau pernah mengadu, beliau seolah-olah tidak begitu penting, tidak dipanggil untuk memberi ceramah semasa acara-acara bahasa dan kesusasteraan di Singapura dan kehadirannya bagai melengkapkan korum sahaja. Dan Pak Liaw juga ada terguris dengan tingkah beberapa orang, termasuk bekas muridnya, yang adab mereka begitu kurang terhadapnya. Kami anak-anak muridnya yang menyayanginya selalu memujuknya agar jangan berfikiran begitu.

Malah ada satu ketika, beliau agak muram mengenai beberapa hal. Saya memang kerap menghantarnya kad Ucap Selamat Tahun Baharu Cina, lantas saya memasukkan kata-kata yang saya fikir dapat meluputkan rasa muramnya. Saya juga secara berlapis cuba mengingatkan Pak Liaw bahawa ramai anak muridnya menghargainya, sebagai guru yang kebapaan dan sebagai sarjana. Setelah mendapat kad itu beliau menelefon saya. Suara Pak Liaw tersekat-sekat semasa bercakap dengan saya kerana beliau turut terharu ada juga anak-anak muridnya yang menghargainya.

Pak Liaw tidak gemar meninggalkan pesanan di telefon rumah saya dan bila beliau dapat bercakap dengan saya, beliau selalu berkata: ‘Rasiah tak angkat telefon’. Sayalah terpaksa berulang menerangkan saya tidak semesti berada berdekatan telefon rumah saya dan beliau boleh meninggalkan pesanan di telefon saya. Jawapan standard Pak Liaw: ‘Rasiah, saya tak suka bercakap dengan mesin’. Dan walaupun Pak Liaw tahu saya mempunyai telefon bimbit, teramat jarang sekali beliau menelefon saya menggunakan telefon bimbit saya.

Apabila Pak Liaw semakin kurang sihat, masa yang diluangkan untuk makan bersama saya dan kawan-kawan saya semakin terbatas tetapi sesekali dapat juga kami bertemu guru kami di Kampung Gelam/Arab Street. Pak Liaw suka makan makanan Melayu/Indonesia, dan walaupun beliau selalu ingin membelanja anak-anak muridnya, tiada seorang pun daripada kami mahu beliau berbuat begitu. Apalah harga makanan sedikit yang dapat kami kongsikan dengan beliau, guru kami sejak tahun-tahun 70-an?

Kali terakhir saya berjumpa Pak Liaw pada 2012. Kakinya tidak sekuatnya dan beliau sering kurang sihat. Pak Liaw menelefon saya dan memberitahu saya beliau hendak makan beberapa jenis makanan dari Kampung Gelam/Arab Street. Saya memberitahunya saya akan membawakan makanan itu untuknya dan memanggil seorang kawan, Hashimah, agar ke rumah Pak Liaw di Watten Close, dan kami berdua makan bersama Pak Liaw di rumahnya. Pak Liaw gembira dapat berjumpa kami dan makan bersama kami.

Dalam beberapa perbualan pada akhir-akhir tahunnya, Pak Liaw lebih terbuka lagi, berkongsi cerita-cerita lama dan keluarga. Dan beliau juga memberitahu saya beliau suka mendengar al-Quran, malah telah menghafal beberapa surah pendek. Beliau juga pernah cuba berpuasa. Kerana usaha-usahanya ini, ada kawan-kawan saya mengusik Pak Liaw: ‘Bila Pak Liaw nak masuk Islam?’ dan Pak Liaw tersenyum sahaja. Saya kira pada akhir-akhir hayatnya, beliau menemui semacam ketenangan dengan membaca buku-buku yang lebih menyentuh kalbunya, termasuk al-Quran.

Pada 2013, saya diserang barah dan kesihatan saya semakin mudah terganggu. Saya tidak lagi bertemu Pak Liaw, dan Pak Liaw pun selalu kurang sihat. Saya hanya mengirimnya kad Ucap Selamat Tahun Baharu Cina dan hanya sesekali mendengar beritanya.

Selamat Berpisah Guruku

Pada 25 April lalu saya bersama dua orang kawan, Khir Johari dan Julina Khusaini pergi melawat ke kediaman Pak Liaw di Watten Close. Kami bertemu keluarganya dan bercakap-cakap dengan mereka, yang sebilangannya tidak tahu besarnya sumbangan Pak Liaw kepada dunia kesarjanaan dan kesusasteraan Melayu klasik. Dan juga sumbangan Pak Liaw dalam bidang bahasa.

Pak Liaw disayangi oleh ramai pelajar, guru dan mereka yang bergiat dalam persatuan-persatuan bahasa dan sastera di dalam dan luar Singapura. Buku-bukunya masih lagi menjadi rujukan di institusi-institusi pengajian tinggi di Nusantara dan di luar Nusantara.

Hari ini, 27 April 2016, guru saya akan disemadikan di Tempat Persemadian Mandai. Jasanya akan selalu dikenang dan mereka yang pernah menjadi anak muridnya tahu bahawa mereka bertuah kerana mempunyai seorang guru yang baik hati dan bersungguh-sungguh seperti Pak Liaw. Semoga segala usahanya dalam meningkatkan pemahaman bahasa dan kesarjanaan dalam bidang kesusasteraan Melayu klasik tidak akan berakhir dengan persemadiannya. Dan semoga keluarganya akan sentiasa tabah dan tenang menghadapi dugaan kehilangan ini.

Selamat berpisah guruku – Pak Liaw Yock Fang yang kami kasihi.

Ditulis: 26 -27 April 2016
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s