Archive | May 2016

Tiga Kuntum Sajak: ‘Kabus’, ‘Lagu Dinihari’ Dan ‘Zarah’

Kabus

Kabus inikah selendangmu
melambai pergi, pagi ini,
menutup rahsia
menghadiahkan seperca
busana alam
penuh misteri, mistik,
bagi pengembara yang hilang
Sejarah Melayunya & tuan puteri.

Ditulis: 22 Mei 1999
Gunung Ledang, Johor, Malaysia
Tulisan: Rasiah Halil.

Lagu Dinihari

Siapa yang terdengar keroncong sepi ini
tika malam menebar sunyi
kecapi apa yang mula berbunyi
gambus apa yang digemeresik dinihari
kecuali mereka yang sedia maklumi
irama alam nan tersendiri.

Ada keheningan tak terucap
ada kesepian tak tertangkap
ada kesaksian tak terlihat
menyelubungi alunan alam
tabir yang sesekali tersingkap.

Tali-temalinya yang dipetik sayu
dibuai, dilantun, sang bayu
mengilhamkan indahnya penciptaan:
pada menjelmanya fajar kazab
bertatah cerah si fajar sadik
bintang-bintang pada mengerdip
ufuk mula disapa terang
alam mengulum sempadan
& subuh pun terbit, menghidupi,
kematian yang saban berulang pergi.

Ditulis: 21 – 23 Februari 2006
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Zarah

Apa pun ujian-Mu
hanyalah penyaring
yang baik, yang batil
bagai mengumpul kerikil
menyusun batu-bata
pada bangunan yang ada
agar lebih kukuh, terserlah
walau sesekali dikusam ketika.

Tidak pernah Kausia-siakan
setiap makhluk di alam semesta
berperanan, bertautan
dalam hamparan bernama kehidupan
hatta sekecil kuman, segagah gunung
di darat, angkasa, laut
kerana rahmat-Mu meliputi segala
melebihi murka.

Ujian-ujian yang Kauberi
hanyalah sebentar
pada perjalanan nan terbentang luas
yang sering Kaulitupi
dengan ihsan
kasih sayang
penglibatan
indahnya alam & kepelbagaian.

Tuhanku
alam & rahmat-Mu tak terhingga
aku hanyalah sebutir zarah
permudahkanlah segala hingga ke akhirnya.

*Zarah – bahagian kecil sesuatu jirim, seperti atom, molekul, proton, elektron dan lain-lain (daripada Kamus Dewan).

Ditulis: 25 – 26 Mei 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Yang Cantik Tak Terletak Di Luar Saja

Satu berita baru-baru ini menceritakan kisah seorang peragawati sambilan, Cik Yang Yuan, yang tidak dibenarkan meneruskan penyertaan ratu cantik di China kerana terlibat dalam ‘kecantikan buatan manusia’. Cik Yang, 19 tahun, sebenarnya telah menjalani 11 pembedahan kosmetik untuk mencantikkan diri, dengan harapan dia akan dimahkotakan sebag’i ratu cantik. Menurut laporan akhbar itu lagi, gejala mendapatkan ‘kecantikan buatan manusia’ semakin berkembang dan menimbulkan pelbagai masalah sisipan, termasuk masalah undang-undang di China.

Siapalah yang tidak mahu kelihatan lawa dan menawan, terutama di hadapan orang-orang yang penting dalam kehidupan kita. Tetapi apakah kecantikan itu benar-benar asli, atau kita sanggup melakukan apa saja, demi mencapai tahap kecantikan yang diidamkan itu? Apakah peribadi kita bertukar apabila pembedahan kosmetik itu dilakukan, kerana secara lahiriah kita kini sudah kelihatan cantik? Dan bagaimana pula dengan orang-orang yang mempunyai perasaan kurang keyakinan diri yang keterlaluan, mungkinkah tiap ketika akan ditukar gambaran lahiriahnya, bila keyakinan dirinya semakin menjunam? Inilah beberapa perkara yang berlegar dalam benak Sri ketika membaca kisah Cik Yang Yuan tadi.

Sanggupkah anda melakukan apa saja untuk kelihatan lawa? Sri rasa tidak, terutama jika sesuatu itu melanggar hukum agama, membahayakan diri atau secara tidak langsung, memperdaya orang. Sekadar menggunakan alat kecantikan seperti make-up, gincu dan lain-lain, tentulah berbeza daripada menjalani pembedahan kosmetik dan seumpamanya. Yang pertama, sekadar mencantikkan penampilan seorang wanita secara luaran, tetapi yang kedua, sesuatu dilakukan kepada tubuh/wajah wanita tadi secara dalaman. Sama seperti memakai alat solek yang tidak sesuai atau menyebabkan alahan boleh menjejas usaha kecantikan si pemakai, pembedahan kosmetik dan sebagainya juga boleh menimbulkan hal sedemikian, malah lebih berbahaya. Bukan kita tidak pernah mendengar usaha-usaha pembedahan kosmetik yang gagal dan akibat buruknya ditanggung oleh orang yang dibedah tadi, kadangkala sepanjang hayat. Dan mereka yang telah menjalani pembedahan kosmetik, disuntik dengan botoks dan lain-lain tentu terpaksa melakukan ini pada tempoh tertentu, kalau tidak, wajah asal mereka pasti akan menjelma.

Orang dulu-dulu ada pelbagai cara untuk mencantikkan diri. Selain makan jamu, makjun, ulam-ulaman, memakai bedak-bedak tertentu, dari buatan sendiri atau dibeli, sehinggalah memakai minyak rambut dan badan, rata-ratanya dari alam semula jadi dan buatan sendiri. Mungkin juga kerana banyak menggunakan tulang empat kerat dan bukannya mesin, wanita-wanita dahulu lebih kelihatan langsing, dan cantiknya semula jadi. Walaupun demikian, ada juga orang mengamalkan cara mencantikkan diri yang melanggar agama misalnya dengan menggunakan ilmu hitam atau memakai susuk. Berkesan atau tidak, wallahuaklam. Tetapi kepercayaan sebegini, sebagaimana pembedahan kosmetik, ada ‘harga’ yang perlu anda bayar. Dan Sri yakin, ‘harga’nya terlalu mahal, terutama mereka yang tahu nilai halal, haram dan kesihatan.

Seandainya seseorang itu mengalami kecederaan teruk, kulitnya terbakar atau dilahirkan dengan keadaan-keadaan yang bukan lumrah, misalnya bibir sumbing, tentunya menjalani pembedahan dan pembedahan kosmetik diperlukan. Tetapi jika seseorang sekadar ingin kelihatan lawa seperti bintang ternama, tentulah itu dah lain cerita. Dan bila dah bedah sana, dah bedah sini, di mana pula diri kita yang sebenar? Sebagaimana dikatakan di Hollywood, yang ada pada seseorang bintang itu semuanya plastik, termasuk cintanya, bagai plastik dan getah yang mudah menganjal.

Kita memang mudah tertawan bila terpandang orang yang lawa, kalau kecantikannya semula jadi, alhamdulillah, kalau tidak, pandang punya pandang, akan kita temui wajah asal mereka. Dan adakalanya wajah asalnya itu dah lawa, tapi mungkin kerana beberapa masalah psiklologi, wajahnya bagai dikelar-kelar untuk mendapatkan wajah yang unggul, walaupun tidak semestinya lawa. Dan terdapat juga bintang-bintang ternama seperti Robert Redford, yang tak percaya pada apapun pembedahan kosmetik atau suntikan botoks, kerana yakin pada wajahnya yang asli.

Kecantikan itu terletak pada mata yang memandang, demikian kata penyair John Keats. Dan mata yang memandang itu berbeza-beza. Kalau kecantikan itu hanya milik sesuatu kaum atau negara, akan kita terasa betapa tidak adilnya kehidupan ini. Tetapi tanyalah seorang suami, di mana terletaknya kecantikan isterinya, jawapan yang anda terima pasti berbeza. Yang cantik itu, bukan seperti gambaran daripada sastera tradisional kita iaitu: rambutnya ikal mayang dan panjang mengurai, pipinya bak pauh dilayang, bibirnya bagai delima merekah, matanya bersinar seperti bintang timur dan sebagainya tetapi cantiknya mungkin daripada senyuman yang mengulas bila anda berkelakar, mata yang redup dan sayang melihat anda atau wajah yang jernih dan ikhlas bila duduk semeja dengan anak-anak dan keluarga anda. Wajah gadis yang anda kenali telah sedikit berubah setelah menjadi isteri dan ibu anak-anak anda, tetapi di hati anda, beliau tetap wanita yang cantik, bukan setakat wajah lahiriahnya saja. Demikian juga pandangan seorang isteri kepada suaminya atau anak-anak kepada orang tuanya yang semakin lanjut usia, mahupun sahabat dan kerabat kepada sesamanya. Yang cantik itu bukan di luar saja; kecantikan dalaman itu akan terserlah setelah anda mengenali seseorang, lebih-lebih lagi yang hidup sebumbung dengan anda, dan pembedahan kosmetik apa pun tidak akan menukarkannya.

Biarlah kita jadi sebenar-benar cantik: di hati, pada akhlak dan tindak-tanduk kita. Dan walaupun tidak begitu lawa secara lahiriah, biarlah kita, seperti dinyanyikan P.Ramlee, ‘lawa tiada, manis ada’.

Ditulis: 27 Mei 2004
Tajuk Asal: Benarkah Anda Lawa?
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 30 Mei 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Ramadan Mubarak!

Menjelma lagi Ramadan dalam kehidupan kita. Rasa-rasanya baru semalam kita menyambut Ramadan 1424 Hijrah, dah menjelma Ramadan yang baharu. Betapa cepatnya masa berputar.

Tiap Ramadan, anak-anak kecil kita dilatih berpuasa, dan berniat untuk berpuasa menjadi sebahagian daripada latihan ini. Selalunya mereka dilatih melafazkan niat tersebut dan kemudian berniat dalam hati masing-masing untuk menunaikan puasa pada hari berikutnya. Kalau masa tinggal di kampung dulu, anda boleh dengar berulang-ulang niat puasa ini dibaca oleh anak-anak jiran anda, sehingga anda boleh ‘hafal’ kesilapan sebutan mereka. Bermacam-macam pula gaya-nya, tetapi tujuannya tetap satu: untuk membuhulkan tujuan kita berpuasa pada hari berikutnya.

Kadangkala Sri terfikir, kenapa dalam mengerjakan rukun-rukun Islam dan segala tindak tanduk kita, niat itu penting. Tanpa berniat untuk berpuasa, puasa kita tak sah. Bila Sri membaca perkara-perkara lain yang tiada bersangkut paut dengan amalan berpuasa, timbul pula beberapa pandangan mengenai soal niat ini. Dalam melakar program untuk sesebuah badan atau syarikat atau dalam menguruskan hal-hal peribadi, niat itu amat penting. Ia menjadi semacam asas atau tapak bagi terdirinya ‘bangunan’ tindakan yang kita lakarkan lebih awal. Kalau niatnya tersalah, bangunan yang betapa indah pun boleh mudah runtuh. Jadi, terpaksalah kita pasang niat yang betul bagi satu-satu rancangan, apa lagi bagi amalan-amalan kehidupan kita.

Satu lagi Sri terfikir, agaknya masa kita berniat, misalnya untuk berpuasa, kita bukan sahaja meneguhkan pendirian kita untuk melakukan ibadat berpuasa, tetapi mungkin juga kita mencetuskan beberapa tindakan dalaman dalam jiwa dan tubuh kita. Bila hati dan fikiran kita telah dibuhulkan oleh niat untuk berpuasa, seluruh anggota kita agaknya diberi semacam isyarat oleh akal kita agar ‘berjaga-jaga’ untuk mengerjakan amalan tersebut. Siapalah tahu sel-sel dan aliran darah kita selain organ-organ dalam badan kita bertindak sewajarnya setelah menerima ‘arahan’ daripada otak kita. Lantas niat inilah yang membezakan orang berpuasa yang lapar dengan orang yang lapar biasa bukan kerana berpuasa. Niat yang dikejapkan oleh akal dan didenyutkan oleh hati (jantung) kita kerana pada segumpal hati inilah taufik dan hidayah Allah dilimpahkan kepada kita, bukan sekadar otak kita dengan adanya ‘grey matter’nya.

Dan mungkin juga kerana besar peranan niat ini, kita seringkali diingatkan untuk membetulkan niat kita terhadap apa pun amal ibadat dan tindakan kita terhadap sesama manusia. Kita mungkin boleh mengabui mata orang dengan melaungkan bahawa niat kita melakukan sesuatu itu sebenar-nya baik tetapi jika penerusan dari niat itu, iaitu tindakan kita tidak selaras dengan niat baik kita, tidak mudah pula orang menerima tindakan tadi. Jadi, bak kata anak-anak muda dulu dan sekarang: ‘Hati (dan juga niat) mesti baik, Bib’.

Seperti kebanyakan orang, Sri suka pada bulan puasa, dan bukan hanya kerana adanya pelbagai juadah yang boleh kita nikmati. Banyak perkara dan amalan semasa bulan puasa ini mengingatkan kita betapa indah dan menyeluruhnya ajaran agama Islam kita. Kita dapat berasakan persamaan kita dengan sesama Muslim di seluruh dunia, kerana di mana pun anda berada, berbuka puasa itu, walau sekadar meminum air dan memakan kurma saja, tetap memberi nikmat kepada orang berpuasa. Di Singapura, Makkah, Madinah, Afrika atau Eropah, rasa ihsan dan kasih sesamanya semakin bercendawan semasa bulan puasa. Sesetengah kita berlumba-lumba membuat kebajikan, terutamanya untuk menyenangkan hati orang lain, lebih ramah dan belas sesamanya dan tidak mahu bulan yang mulia ini berlalu begitu sahaja. Semangat gotong royong dan dermawan kita jarang kendur, walaupun yang kita miliki setakat ala kadar sahaja. Dan yang indah, bila anda dapat berkongsi juadah dengan jiran dan taulan, bersama-sama bersembahyang tarawih dan bertadarus – amalan-amalan yang sama berlaku di seluruh pelosok dunia.

Kadangkala hidup kita berputar begitu cepat dan tergesa-gesa, setiap akhir tahun, kita diterjah soalan: ‘Eh, dah nak habis tahun ini?’. Dalam kesibukan dan kerisauan kehidupan kita, hanya 29 atau 30 hari daripada 365 hari ini sahaja sesetengah kita dapat ‘berngap’ atau jeda sebentar. Mungkin ada baiknya juga kita dapat ‘tukar gear’ sedikit pada bulan mulia ini. Dah selalu memecut dalam menjalani kehidupan dan disesakkan oleh lalu lintas pelbagai masalah dan kerisauan, bila kita ‘tukar gear’, kehidupan kita pun dapat dilihat sedikit berbeza. Walaupun semasa Ramadan ini sebenarnya kita lebih banyak bekerja, namun proses ‘tukar gear’ ini membolehkan kita lebih menghidupkan jiwa kita, bukan sekadar jasad kita sahaja.

Kalau orang sanggup membayar ratusan atau ribuan dolar untuk menjalani pembersihan dalam badannya, yang disebut detoxify, berpuasa sebenarnya kita juga melakukan detoksifikasi, bukan hanya untuk jasad kita, malah jiwa atau rohani kita. Demikian juga bersembahyang tarawih dengan penekanan terhadap pergerakan fizikalnya, tetapi juga intipati kerohaniannya yang sedia ada selain perutusan sosialnya iaitu untuk menyatukan sesama umat Islam. Pendek kata banyak amalan semasa bulan ini bukan hanya memberi manfaat kesihatan jasmani kita, malah membaik pulih kesihatan rohani kita. Daripada amalan-amalan yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang besar-besar, semua kebaikan itu sebenarnya kita yang raih, walaupun pada mata kasar, berpuasa itu sukar, demikian juga membuat beberapa amal kebajikan.

Sri harap puasa kali ini dapat kita hayati dengan seluruh jiwa dan raga kita, insya-Allah.

Ditulis: 14 Oktober 2004
Tajuk Asal: Menjelmanya Ramadan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 17 Oktober 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku: Antologi Puisi Simfoni Anis Sabirin

Anis Sabirin Book

Prakata

Sajak ini ialah suratku
kepada dunia
kepada kawan dan kasihku
meraikan hasrat mulia
ikatan kasih
ikatan mesra.

Demikian Anis Sabirin melambangkan penglahiran sajak-sajaknya di persada dunia dalam antologinya, Simfoni, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1996. Antologi puisi ini mengandungi 110 sajak; 77 dalam bahasa Melayu dan 33 dalam bahasa Inggeris. Sajak-sajak ini dicipta semenjak tahun 1961 sehingga 1995; ternyata ini merupakan sajak-sajak pilihannya setelah lebih 34 tahun berpuisi.

Mengenali Anis Sabirin Dan Secercah Sajak-sajaknya

Siapakah Anis Sabirin? Dilahirkan pada 1 Mac 1936 di Johor, Anis terdidik di Universiti Singapura (Universiti Malaya di Singapura) dan mendapat ijazah pertamanya dalam Pengajian Melayu pada 1959. Pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Anis melanjutkan pelajaran ijazah sarjana (M.A.) dan doktoratnya (Phd) dalam bidang Ekonomi di Amerika Syarikat dan menetap di California semenjak 1968 dan pulang ke tanah airnya, Malaysia, sekitar 1993/4. Dan kemudian menetap terus di California. Anis pernah bertugas dalam bidang ekonomi di Bangsa-Bangsa Bersatu dan lain-lain di Amerika Syarikat. Beliau begitu aktif pada tahun-tahun 60-an dan karya-karyanya dalam antologi persendirian termasuklah: Dari Bayang Ke Bayang (antologi cerpen, 1966), Peranan Wanita Baru (antologi esei, 1969), Mengenal Puisi (kajian, 1972) dan Pesona (antologi cerpen, 1994). [*Terdapat beberapa lagi antologi persesorangannya selepas 1996 dan karya-karyanya dalam antologi-antologi bersama ditemui sejak tahun-tahun 60-an lagi.]

Antologi Simfoni ini banyak menggambarkan liku-liku hidupnya dan masyarakatnya, kebanyakannya direnung daripada perspektif ‘anak dagang’. Sesuatu yang amat ketara, pada tahun-tahun 70-an, tiada satu pun puisinya dimuatkan, baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Besar kemungkinan tahun-tahun tersebut adalah masa-masa yang agak mencabar dan amat peribadi, lantas tidak dimuatkan dalam Simfoni.

Dari tahun-tahun 60-an kita temui sajak-sajaknya yang banyak menyoal sekitarnya, menganalisis diri dan masyarakatnya serta menampilkan imejan kekotaan. Sajak-sajak awal ini, misalnya ‘Balada Anak Kota’, ‘Segelas Susu Dan Roti Segenggam’, ‘Duka’, ‘Quo Vadis, Dunia’, ‘Hidup’ dan lain-lain memantulkan keresahan peribadi muda menghadapi dunia yang diputari pelbagai peristiwa. Ada nada sinis dan sekali gus mahu berharapan melihat sekitar dalam larikan sajak-sajak zaman awalnya itu. Namun, perjalanan hidupnya, terutamanya di rantauan, menjadikan pencernaan puisi-puisinya lebih ‘longgar’, merdu dan matang.

Beliau masih menyoal diri, berkisah tentang rindu dan cinta, kegagalan dan kehibaan manusia, tetapi juga, melihat dunia daripada kaca mata yang lebih menerima dan reda, walaupun tetap menjentik bila ditemui kehaiwanan manusia. Dan yang ketara juga, terdapat banyak sajak, misalnya: ‘Bumi Hijau’, ‘Tanah Air’, ‘Lagu Cinta Tanah Air’, ‘Malaysia Tanah Airku’, ‘Surat Dari San Francisco’ dan lain-lain yang ditulis semasa di California, menggambarkan kerinduannya yang mendalam terhadap kampung halamannya. Dan mungkin kerana kerinduan ini, beberapa buah sajaknya menggunakan gaya pantun, misalnya sajak-sajak ‘Dari Mana’, ‘Requiem’, ‘Pantun Sehari’, ‘Timang-timang Anak’ dan ‘Jambatan Emas’.

Beberapa buah sajaknya menyentuh hati kita misalnya:

Kupegang bahunya dengan jari gementar
terlalu rindu menentang mukanya
dia senyum, bibirnya begitu pahit
kututup mata dan undur
kata Maut, belum masanya untuk kita berjumpa
tunggu daku pada musimnya.

(‘Tunggu Daku’, halaman 35)

Kasihku padamu
selebar lautan tujuh, sedalam ruang angkasa
mengatasi itu, kasihilah dirimu
mengerti bahawa kau manusia berharga
usah aniaya dirimu

(‘Harga Diri – Untuk Anakku Alida’, halaman 68)

Dirikan dunia yang damai dan aman
biar bayi yang comel tumbuh seperti pohon subur
anak-anak kecil boleh pergi ke sekolah
anak-anak ada masa depan.

(‘Sajak Bukanlah Susu’, halaman 47)

It is a pilgrimage without end, a journey to
nowhere. My soul is drunk with beauty, disoriented
with images, impressions, colours, movement
God, will I, like Ulysses, ever see home again?

(‘The Wanderings’, halaman 106)

Anak yang hilang di rantau belantara liar
dia mengenal nama Tuhannya
memimpin ke jalan benar.

(‘Erti Cinta’, halaman 64)

Kesimpulan

Antologi Simfoni ini menyerlahkan keteguhan peribadi dan pemikiran seorang penyair wanita yang boleh kita banggakan. Puisi-puisi Dr Anis Sabirin bagaikan mata air yang memancurkan air galian yang berbeza-beza kerana telah dihimpun daripada sumber yang berlainan kekayaannya. Namun ia menyegarkan kita kerana air yang kita minum mengandungi khasiat dan turut mendenyutkan aliran sastera kita.

Disiapkan: 10 Jun 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Kesenian Ghazal

Mukadimah

Apakah itu muzik ghazal dan bagaimanakah muzik ghazal bermula? Apakah benar, seperti
kata sesetengah orang, ghazal bagai muzik ‘jaz’ Melayu; melodi yang indah gemersik dan mengalun kalbu?

Mengenali Ghazal

Dalam kesusasteraan Melayu tradisional, ghazal disenaraikan sebagai salah sebuah puisi lama kita. Ia berasal dari Parsi, berpindah ke benua kecil India dan kemudian bersemarak di beberapa daerah di Nusantara. Ghazal terdiri daripada 7 sehingga 8 baris serangkap dan suku katanya di antara 1-30 bagi setiap rangkap. Tidak seperti pantun dan syair, ghazal sebagai jenis puisi tidak begitu terkenal dan digemari oleh khalayak ramai walaupun di Parsi dan beberapa daerah Islam di India, ia begiu terkenal. Kita mungkin terikirkan penyai-penyair ghazal dari Parsi seperti Hafiz, Sa’di dan lain-lain serta dari benua kecil India seperti Kabir, Iqbal dan lain-lain.

Namun, ghazal sebagai sejenis muzik agak lama sebati dan digemari di alam kita. Muzik ini, seperti puisinya berasal dari Parsi dan akhirnya sampai ke daerah kita. Ia merupakan muzik untuk meluahkan perasaan kasih sayang dan cinta. Muzik ini hidup dalam beberapa kerajaan Islam di India, terutamanya kerajaan Mughal (1526-1761). Kerajaan ini, yang menggunakan bahasa Parsi sebagai bahasa pengantar, banyak pula mempengaruhi kerajaan Aceh (mulai abad ke-16) dari segi kesenian, cara berkerajaan dan lain-lain. Besar kemungkinan dari detik inilah kesenian ghazal meresap ke alam muzik kita.

Muzik ghazal di benua kecil India, yang bercorak cinta, sering dipertunjukkan di majlis-majlis kebesaran, dengan penyanyi utamanya seorang wanita dan muzik ini dipanggil ‘Gamat’. Alat-alat muzik yang digunakan pula ialah syaringgi: alat berupa seperti tongkang kayu, bertali tiga dan digesek oleh penggesek, sitar yang bertali tujuh dan dipetik, tabla dan harmonium. Namun seni ghazal ini berkembang bukan sekadar seni hiburan sahaja di sana. Salah satu cabangnya ialah muzik ‘Qawwali’, iaitu sejenis muzik ghazal berunsur tasawuf. Penyanyi-penyanyinya merupakan penyanyi lelaki yang selalunya mewarisi tradisi ini secara turun temurun dan harus menjalani latihan bertahun-tahun sebelum boleh dimajukan ke khalayak ramai. Di antara penyanyi ghazal jenis tasawuf yang termasyhur ialah Allahyarham Ustad Fateh Ali Khan.

Ghazal Di Daerah Kita

Di daerah kita, muzik ghazal menjadi muzik hiburan beberapa istana kerajaan Johor-Riau-Lingga. Muzik ghazal juga digunakan sebagai selingan dalam pementasan bangsawan. Ghazal pula mula dijadikan kesenian rakyat pada tahun-tahun 1920-an.

Terdapat dua jenis ghazal di daerah kita; ghazal asli dan ghazal parti. Ghazal asli membawakan lagu-lagu tradisional Melayu dalam rentak ghazal sementara ghazal parti pula, yang terdapat di pantai barat Semenanjung Malaysia, misalnya Pulau Pinang, Kepala Batas dan Kedah, membawakan lagu-lagu Padang Pasir.

Ghazal Melayu yang kita kenali kini adalah pembauran unsur-unsru muzik Parsi, Timur Tengah, Hindi dan Melayu. Salah sebuah negeri yang menjadi empat bermastautin dan memajukan ghazal ialah di negeri Johor Darul Takzim. Orang yang banyak memasyhurkan ghazal di sana pula ialah Tuan Hj Musa alias Pak Lomak, yang dianggap sebagai bapa ghazal di Johor. Juga di Johor beberapa kumpulan ghazal telah ditubuhkan, di antara yang paling terkenal ialah Seri Maharani Ghazal dengan Ahmad Jusoh sebagai penyanyi utamanya. Kumpulan ghazal Melayu tidak pula membataskan diri kepada empat jenis alat muzik sahaja tetapi mengganti dan menambahkan alat-alat muzik ghazalnya. Alat-alat muzik yang digunakan termasuklah harmonium, biola, tabla, gambus, gitar, tamborin, maruas dan satu dua jenis alat muzik yang lain.

Bagaimana pula lagu ghazal didendangkan? Mendengar nyanyian lagu ghazal, kita akan sedar betapa sukar untuk menyanyikannya. Suara dan tarikan penyanyinya amat penting dan tidak semua penyanyi dapat melakukan ini dengan baik. Terdapat peringkat-peringkat penyampaian lagu ghazal iaitu ‘masuk lagu’ dan ‘patah lagu’. ‘Patah lagu’ pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu ‘merenek lagu’ dan sebagai penutup, ‘mengalun lagu’.

Di antara lagu-lagu asli yang seringkali dimainkan oleh pancaragam ghazal termasuklah lagu Seri Mersing, Gunung Banang, Seri Sarawak, Seri Siantan, Gunung Panti, Bacang Manis, Nasib Panjang, Embun Berderai, Pak Ngah Balik, Puteri Ledang, Siti Payung dan lain-lain. Selain Pak Lomak dan Ahmad Jusoh, orang yang turut memasyhurkan muzik ghazal ialah Fadzil Ahmad. Beliau telah melahirkan beberapa buah album, termasuklah dua cakera padat baharu iaitu Irama Ghazal Malaysia dan Raja Gambus Malaysia. Dalam album-album tersebut, Fadzil Ahmad telah memuatkan lagu-lagu nyanyiannya dan juga Rosiah Chik, Orkid Abdullah, Aspalela Abdullah dan Jamie Chik serta gesekan biola Syed Ahmad Baagil. Di antara lagu-lagu yang dimuatkan termasuklah lagu: Dia Datang, Kenangan Kuala Lumpur, Pasir Roboh, Belahan Dua Jiwa, Bunga Melati, Jalak Lenteng, Ramadan Bulan Mulia, Di Lembah Sungai Nil dan lain-lain.

Menghadiri Konsert Gambus Fusion 11

Saya sempat menyaksikan ‘Konsert Gambus Fusion 11’ yang diiringi oleh kumpulan pemuzik ghazal dan juga Orkes Simfoni Kebangsaan Malaysia pada 6 Mei tahun lalu (1997), di Panggung Eksperimen, Kuala Lumpur. Persembahan lagu-lagu nyanyian Fadzil Ahmad, Rosiah Chik, Orkid Abdullah, S.A.Aishah dan lain-lain dan juga persembahan instrumental ghazal membawa semacam kenangan dan kegirangan kepada ramai penonton. Keunikan dan keindahan seni muzik tradisional Melayu jelas tergambar dalam konsert itu; ia bukan sesuatu yang mati tetapi sesuatu yang amat hidup dan segar dalam kerencaman muzik moden kita. Saya terharu mendengar suara Rosiah Chik secara langsung (‘live’); sebutan, patah lagu dan tarikan lagunya membuat kita turut berasa gelombang perasaan yang seolah-olah melanda jiwanya semasa penyampaian lagu. Suaranya tetap lunak dan segar walaupun usianya semakin lanjut. Demikian juga ketika melihat S.A.Aishah, yang mungkin sebaya dengan Rosiah Chik, bukan hanya boleh menyanyi malah bermain harmonium dan tabla dan turut diiringi oleh anak dan cucu lelakinya.

Kesimpulan

Benarkah lagu ghazal bagaikan lagu jaz orang-orang Melayu? Dalam lagu jaz, banyak ‘pembaikan’ (improvisation) dilakukan semasa menyampaikan sesebuah lagu, lantas jarang ada persembahan lagu jaz yang serupa daripada penyanyi yang sama. Mendengar nyanyian Louis Amstrong, Ella Fitzgerald dan lain-lain menunjukkan sedemikian. Lagu-lagu ghazal tidak ada ‘pembaikan’ sebegitu. Namun kedua-duanya ada semacam persamaan: menggambarkan perasaan yang mendalam dengan bersahaja, seolah-olah sambil lewa dan iringan muziknya, sama ada harmonium atau biola (bagi ghazal) dan saksofon dan lain-lain (bagi jaz) seringkali juga menggantikan kedalaman perasaan penyanyinya. Dan mungkin unsur bersahaja inilah yang membuat perasaan kita terbuai dan akrab dengan seni muzik ghazal kita.

Ditulis: 7 – 8 Mei 1998
Tersiar: Berita Harian (Singapura), 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Kata Mutiara: I Have Learned

I’ve learned …. That the best classroom in the world is at the feet of an elderly person.

I’ve learned …. That when you’re in love, it shows.

I’ve learned …. That just one person saying to me, ‘You’ve made my day!’, makes my day.

I’ve learned …. That having a child fall asleep in your arms is one of the most peaceful feelings in the world.

I’ve learned …. That being kind is more important than being right.

I’ve learned …. That you should never say no to a gift from a child.

I’ve learned …. That I can always pray for someone when I don’t have the strength to help him in some other way.

I’ve learned …. That no matter how serious your life requires you to be, everyone needs a friend to act goofy with.

I’ve learned …. That sometimes all a person needs is a hand to hold and a heart to understand.

I’ve learned …. That simple walks with my father around the block on summer nights when I was a child did wonders for me as an adult.

I’ve learned …. That life is like a roll of toilet paper. The closer it gets to the end, the faster it goes.

I’ve learned …. That we should be glad God doesn’t give us everything we ask for.

I’ve learned …. That money doesn’t buy class.

I’ve learned …. That it’s those small daily happenings that make life so spectacular.

I’ve learned …. That under everyone’s hard shell is someone who wants to be appreciated and loved.

I’ve learned …. That to ignore the facts does not change the facts.

I’ve learned …. That when you plan to get even with someone, you are only letting that person continue to hurt you.

I’ve learned …. That love, not time, heals all wounds.

I’ve learned …. That the easiest way for me to grow as a person is to surround myself with people smarter than I am.

I’ve learned …. That everyone you meet deserves to be greeted with a smile.

I’ve learned …. That no one is perfect until you fall in love with them.

I’ve learned …. That life is tough, but I’m tougher.

I’ve learned …. That opportunities are never lost; someone will take the ones you miss.

I’ve learned …. That when you harbor bitterness, happiness will dock elsewhere.

I’ve learned …. That I wish I could have told my Mom that I love her one more time before she passed away.

I’ve learned …. That one should keep his words both soft and tender, because tomorrow he may have to eat them.

I’ve learned ….. That a smile is an inexpensive way to improve your looks.

I’ve learned ….. That when your newly born grandchild holds your little finger in his little fist, that you’re hooked for life.

I’ve learned …. That everyone wants to live on top of the mountain, but all the happiness and growth occurs while you’re climbing it.

I’ve learned …. That the less time I have to work with, the more things I get done.

Ditulis oleh Andy Rooney.

Catatan Kecil 13 Mei 2016

!. Ada beberapa perkara yang berpusar dalam fikiran saya tetapi tidak dapat saya luahkan kerana berhalangan, termasuk masa yang terbatas.

2. Beberapa orang menjadi nostalgik membaca tulisan saya mengenai mendiang mahaguru saya, Pak Liaw Yock Fang dalam entri terdahulu. Untuk mereka yang terkenang-kenang zaman persekolahan/mahasiswa mereka, saya lampirkan cerpen ‘Aku Dan Dia’ dan sajak-sajak saya yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan ditulis semasa zaman kampus dahulu. Sajak-sajak tersebut berjudul ‘Was That You?/Engkaukah Itu?’ dan ‘To A Nameless Tree/Kepada Pohon Tak Bernama’. Saya juga sertakan sajak-sajak ‘Cinta Farhad Kepada Shirin’ dan ‘Penyanyi Berkeley’ sebagai semacam kesinambungan bagi cerpen ‘Aku Dan Dia’.

3. Pemilihan Sadiq Khan sebagai Datuk Bandar/Mayor di London menimbulkan pelbagai reaksi – ada yang begitu teruja dan ada pula sebaliknya. Kita mengharapkan yang terbaik buat beliau dan semoga kota London yang terkenal kerana unsur-unsur kepelbagaian dan keterbukaannya akan memberi Encik Sadiq Khan peluang menunjukkan yang terbaik daripada masyarakat Islam dan London juga. Dan betapa berbezanya penerimaan beliau di London dan munculnya seorang seperti Donald Trump di Amerika Syarikat. Saya sertakan sekuntum sajak berjudul ‘London’, yang saya tulis ketika berada di sana pada 1990 dahulu.

4. Beberapa isu mengenai kesihatan agak memeranjatkan saya baru-baru ini. Ada berita dua orang rakan sekampung keluarga berangkai saya, yang dulu menginap di Jalan Kobis, berdekatan Perkampungan Kaki Bukit, yang kami terima yang kurang baik. Seorang meninggal dunia, dalam usia 57 tahun, kerana tiba-tiba diserang penyakit jantung, semasa pulang bercuti. Tidak lama sebelum ini, abangnya juga meninggal dunia. Dan seorang lagi, rakan baik dan jiran terdekat ibu saudara saya, juga tiba-tiba jatuh sakit dan menjalani lencongan jantung (bypass). Orang kedua ini berusia 60-an tahun. Dan juga saya menerima berita dua orang jiran saya, seorang tinggal satu blok dengan saya, juga kurang sihat kerana dijengah penyakit yang bukan iseng-iseng. Begitu juga sejak beberapa bulan ini, saya menerima berita-berita mengenai sahabat dan keluarga sahabat serta kerabat saya yang semakin diterjah pelbagai penyakit serius.

Satu lagi berita yang mengejutkan, seorang menteri kabinet Singapura, Menteri Kewangan, Heng Swee Keat, rebah semasa mesyuarat kabinet petang semalam. Beliau terkena angin ahmar dan nasib baik ada tiga orang doktor dalam mesyuarat kabinet tersebut dan dapat bertindak pantas.  Dan mereka kemudian  dibantu  anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).  Pembuluh darah dalam otak Encik Heng membengkak, yang dipanggil aneurysm. Beliau merupakan salah seorang menteri/anggota parlimen yang mudah didekati dan ternyata kesungguhannya dalam menjalankan tugasnya. Saya terkejut kerana inilah kali pertama seorang menteri kabinet/anggota parlimen rebah dan beliau masih agak muda dan kelihatan sihat, hanya berusia 54 tahun. Dan saya terkejut juga kerana sebab yang agak peribadi – ibu kandung saya meninggal dunia kerana aneurysm; pembuluh-pembuluh darah ke otak ibu saya terputus dan selang beberapa jam, ibu saya meninggal dunia pada usia hampir 48 tahun dan pada Hari Kebangsaan Singapura yang ke-10 iaitu 9 Ogos 1975. Semoga Encik Heng Swee Keat akan pulih seperti biasa dan semoga beliau dan keluarganya tabah menghadapi dugaan ini.

4. Kadangkala banyak hal yang menyerabuti hidup kita tetapi betapa dirasa pelbagai dugaan yang kita hadapi – kerjaya, kewangan, perhubungan, kesihatan dan sebagainya, saya yakin Allah tidak akan menafikan kita pelbagai titik-titik kebahagiaan dalam kehidupan kita, jika kita sedia melihatnya. Salah satu kebahagiaan itu mungkin anak cucu atau anak buah kita. Saya sertakan dua buah tulisan mengenai kanak-kanak, mudah-mudahan ini dapat juga membahagiakan kita.

5. Saya sertakan sebuah lagi rencana ‘Sri Anggerik’ mengenai kesan dua ‘pertemuan’ – bagaimana pertemuan-pertemuan kita dengan orang-orang tertentu boleh membuat kita lebih mengetahui nilai-nilai hidup kita.

6. Untuk ruangan ‘Kata Mutiara’, saya sertakan teks yang dikirimkan kerabat saya. Kata-katanya indah dan boleh membuat kita merenung mengenainya.

Selamat membaca dan semoga Allah memberi kita, keluarga kita , mereka yang kita akrab dan juga  mereka yang kita kenal, kesejahteraan, kesihatan dan ketenangan dalam menjalani kehidupan ini dan menghadapi apa pun yang dihamparkan kepada kehidupan kita sebagai tali-temali dugaan dan ujian-Nya, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
13 Mei 2016.