Cerpen: Aku Dan Dia

Telefon interkom berdengung-dengung sejak tadi, walaupun ramai penghuni asrama pada pagi Sabtu ini, tiada seorang pun yang peduli atau sudi mengangkatnya. Demam peperiksaan telah menular di tiap ruang hati mereka, lantas masa itu terlalu berharga dan meluangkan masa untuk menjawab panggilan intercom hanya merugikan saja. Aku dengan bersusah-payah cuba menelaah pelajaran Sejarah, tetapi otakku seolah-olah sudah terlau penat dan enggan terus menerima fakta-fakta. Mengapalah manusia begitu gemar menempah sejarah, sehingga memeningkan kepala kami cuba mengingati dan memahami tiap terjadinya sesuatu peristiwa?

“Telefon untuk kau, Ellie.” Swee Lian menjenguk ke bilik dan menghadiahkanku sekuntum senyuman yang nakal. Aku menoleh ke arahnya, seolah-olah kurang percaya.

“Betullah, daripada kekasihmu,” lagi senyuman yang nakal mengiringi ucapannya. Perkataan ‘kekasihmu’ ditekankannya dan ini diikuti dengan hilai-tawa. Aku mendengus kerana penelaanku terpaksa dihentikan buat seketika.

“Mana aku ada kekasih,” hemburku kepada Swee Lian. “Kalau adapun buat masa ini kekasihku hanya nota-nota dan buku-buku, tidak kurang atau lebih daripada itu. Bukan macam kau…” Swee Lian semakin kuat ketawanya melihat aku berpura-pura garang terhadapnya. Lesung pipitnya yang manis itu menambahkan lagi kecomelan wajahnya. Kemudian bersama hilai-tawanya, dia menghilang entah ke mana. Aku dengan langkah yang berat beredar ke Lounge, di mana terletaknya tempat telefon. Perbualanku dengan si pemanggil agak singkat juga, dan aku semakin lemah kembali ke bilik asrama.

Ketenteramanku sesungguhnya telah terganggu. Aku masih terdengar-dengar suaranya yang tegang dan sekali gus mendesak dan merayu. Apa agaknya yang membebani perasaannya sehingga dia bertutur seperti itu? Nota-nota kuliah berselerak di atas meja, kubiarkan saja. Minat untuk terus menelaah tiba-tiba musnah bila teringatkan panggilan telefon tadi.

Menunggu berlalunya sang waktu adalah seperti menjalani suatu hukuman. Waktu bergerak begitu perlahan , bagaikan seekor siput yang merayap di dahan. Kenangan-kenangan berulang-ulang tertayang di depan mata. Semakin diingat, semakin hatiku bertambah resah. Mengapa suaranya seolah-olah mengandungi kesedihan dan rahsia? Apa yang terjadi kepadanya? Kebimbangan dan kegelisahanku mengaum-ngaum di dada. Kurang suku pukul lima, aku melangkahkan kaki dari Asrama Dunearn Road menuju ke Perpustakaan Universiti Singapura yang berdekatan.

Menanti di salah sebuah bangku di luar perpustakaan dan keseorangan, adalah suatu perbuatan yang sungguh menyeksa. Persoalan-persoalan bagaikan menemaniku di daerah yang sepi ini dan keresahan begitu mencengkam jiwa. Bilakah dia akan tiba?

“Aku mungkin akan meninggalkan Singapura, Alida,” suaranya memecahkan kesunyian petang itu. Aku tidak tahu apa yang harus kuluahkan bagi menyambut pernyataannya itu. Aku bagaikan tidak percaya, insan yang menimbulkan kegelisahanku sejak tadi, telah ada di depan mata. Dan aku lebih tidak percaya pada kata-kata yang baru dituturkannya, seolah-olah ia begitu asing dan terapung-apung di udara.

“Kau tak percaya, Ellie?” dia menyoal pula. Ketegangan mula menampakkan kesan di wajahnya. Matanya yang selalu redup, kini begitu tajam merenungku, seolah-olah dengan berbuat begitu dia dapat meyakinkan aku. Tapi aku tidak dapat bersuara. Kata-kata yang sejak tadi terhimpun di mulutku kini bagai dipagari kedua bibir dan enggan keluar dan menuturkan sesuatu.

“Alida, kau tak percaya atau tak mahu percaya?” dia mengulangi soalannya. Aku hanya mampu merenung wajah insan yang kusayang ini. Betapa berubah wajahnya kini. Tiada sinar keriangan dan ketenangan, hanya kepedihan yang meninggalkan bekas di sana sini.

“Aku bukan tak mahu percaya,” jawabku gugup, “ tapi mengapa mesti tergesa-gesa begini dan sesuntuk ini kau beritahu aku?”

“Sebab aku tak mahu fikiranmu terganggu.”

“Jadi bertindak di saat ini kau ingat tidak akan mengganggu fikiranku?” semakin berani aku menyoalnya. Dua minggu lagi peperiksaan tahun akhirku akan bermula dan rancangan pemergiannya pasti menjejas jiwa. Lebih-lebih lagi dia yang begitu rapat denganku sejak akhir-akhir ini, walaupun tindakan-tindakannya kadangkala sukar kufahami.

“Rancanganku tidak akan mengganggumu kalau kau tetapkan begitu, Ellie. Nah, kita ingin berterusan begini atau kau akan bagi aku peluang meluahkan segala rahsia hati? Nanti kau menyesal, Kali Terakhir Kulihat Wajahmu* hanya bercakap pasal ganggu-mengganggu,” dia cuba berjenaka dan aku tersenyum sama. Aneh dia. Selalu suka berjenaka pada saat-saat genting, walaupun ini tidak mungkin dapat menutup rahsia hatinya. Dan wajahnya yang sebentar tadi girang, kembali muram.
[*Lagu tahun 1970-an yang dinyanyikan Uji Rashid]

“Aku terpaksa pergi Alida…” ujarnya sayu.

“Tiada siapa memaksa kau. Mungkin kau yang kurang percaya,” aku membantah ucapannya.

“Kerana terlalu percayalah aku tahu aku harus pergi meninggalkan tempat ini. mereka selamanya tidak mengerti atau tidak mahu mengerti. Ellie, kadangkala ketabahan kita boleh rapuh setelah selalu sangat diuji berbagai cara. Kita perlu keluar sebentar untuk mencari perspektif kita. Dan memperbaharui keazaman hidup kita.”

“Bukankah itu suatu pelarian juga?” Sengaja kusoalnya begini, biar kedukaannya mencair ditemukan pancaran-pancaran kenyataan.

“Bukan pelarian, tapi pencarian,” tegasnya pula.

“Apa kau pasti kau akan bertemu apa yang kaucari di sana?” Nadaku kurang percaya.

“Tidak seratus peratus pasti, tapi apa ada lagi di sini? Segala-gala yang penting bagiku sudah tiada atau berubah…”

“Mungkin kau yang terlalu perasa.”

“Manusia tidak boleh bertindak mengikut otaknya saja, Alida. Sesekali dia harus menurut tunjuk ajar hatinya,” katanya seolah-olah berfalsafah. Kami diam sebentar, seolah-olah mengumpul-ngumpulkan bahan untuk terus berbicara.

Di hadapanku terduduk seorang insan yang dulu mengenalkan aku akan erti ketegasan dan ketabahan dalam hidup dan perjuangan. Tetapi setelah tiga tahun, kukenali bukan hanya ketegasannya, bahkan kedukaan yang cuba disembunyikan di sebalik ketegasannya.

“Kau hanya ingin lari dari masalah masyarakatmu. Baru diuji, dah menyerah diri. Ke mana perginya idealismemu selama ini?”

“Aku bukan lari dari masalah, Alida. Orang yang lari dari masalah masyarakatnya adalah orang yang tidak mahu memikirkan wujudnya masalah tersebut. Aku akui adanya masalah, tapi bagiku, jalan penyelesaiannya bercambah. Dan usaha-usaha jangka pendek tidak mungkin dapat menyelesaikannya. Idealismeku masih bersamaku, Ellie, ia bukan idealisme melulu yang bakal hancur ditentang kenyataan hodoh…”

“Habis kalau gitu, kenapa kau mesti pergi, kalau ilmu yang ingin kau tuntut ada di sini. Bukankah itu ingin lari dari masalah?” soalku lagi. Dia diam sejenak, seolah-olah menahan kepedihan yang amat sangat.

“Bersalahkah aku melengkapkan diri untuk lebih memahami masalah yang masyarakatku hadapi? Berdosakah aku mengembangkan jaring-jaring pemikiranku dan menguji setakat mana ketahanan keyakinanku di rantau orang? Apakah menjauhkan diri dari sesuatu itu bermakna kita melupakannya?” bertubi-tubi soalannya terluah. Aku teringat waktu-waktu dia memberiku semacam semangat untuk aku terus maju. Kata-katanya yang selalu memberangsangkan aku untuk terus menimba lautan ilmu dan cuba berbuat sesuatu untuk masyarakatku. Tapi kenapa dia seolah-olah sudah berubah? Apakah baru setahun meninggalkan universiti, dunia pekerjaan boleh meruntun seseorang itu berubah hati terhadap segala-gala yang pernah dianggap penting dan murni?

“Tapi kau yang selalu berkata ingin cuba mengurangkan atau menyelesaikan masalah ini bersama. Kau seolah-olah berpaling tadah.”

“Kau masih belum memahamiku, Alida…” suaranya menurun ke peringkat yang terendah dan aku terlihat kepedihan semakin menghiasi wajahnya.

“Tidak semua orang boleh menjadi penyelesai masalah dan tidak semua orang jujur dalam usaha menyelesaikan masalah masyarakatnya, Ellie. Ramai yang terkejar-kejarkan nama saja, dan aku tak mahu jadi seperti mereka. Mungkin bagiku, sikapku seolah-olah sikap orang yang sudah ‘tidak pedulu’, tapi bukan begitu sebenarnya maksudku. Aku tahu setakat mana kemampuanku, dan aku tahu juga sebanyak mana kelemahanku. Kau tahu, dulu mahaguruku pernah berpesan, seorang doktor yang ingin merawat seorang pesakit, tidak harus berkelakuan seperti pesakitnya…” Aku tidak dapat meluahkan kata-kata buat seketika setelah mendengar penerangannya.

“Tapi mengapa mesti tergesa-gesa ingin berangkat pergi?” cungkilku lagi. Dia pernah memberitahuku, suatu hari nanti dia ingin melanjutkan pelajarannya di luar negara, tapi tak kusangka angan-angannya mungkin menjadi kenyataan dalam masa sesingkat ini.

“Atas beberapa sebab. Lagipun Ellie, ‘the heart is a lonely hunter’,” kata-kata terakhir ini dituturkan begitu perlahan, seolah-olah dia takut sang bayu akan menyampaikannya kepada orang yang ditujukan frasa itu.

“Jadi kau akan pergi atas dorongan perasaanmu?”

“Dorongan perasaan, campur fikiran dan kenyataan,” ujar dia.

“Kau memang sensitive dan lekas merajuk,” tuduhku lagi.

“Kita hanya boleh merajuk pada yang kasih, Alida,” bantahnya pula. Aku semakin resah. Bagaimana harus kutenangkan arus duka yang seolah-olah bergelora di hatinya?

“Kadangkala aku susah memahami kau. Kau ingin jadi seorang intelektual, tapi selalu juga kau sentimental dan tidak begitu mahir mengendalikan perasaanmu sendiri,” lagi kuajukan sindiran-sindiran halus untuk melenyapkan kesedihannya. Dia tersenyum mendengar ketegasanku.

“Ellie, seseorang mungkin begitu bijak dalam soal-soal yang memerlukan fikiran atau kelulusan tinggi, tapi hatinya tak mungkin diisi dengan soal-soal intelektual saja. Ketinggian ilmu hanya sebahagian daripada hidup bukan seluruh hidup. Sekeping hati memerlukan kasih sayang, cinta dan persefahaman, bukan hanya fakta-fakta yang hambar…” Dan aku teringat waktu-waktu dia mengunjungi rumahku, kemesraan yang ditunjukkan kepada keluargaku, terutama ibuku. Dia betapa dia selalu berkata aku ‘beruntung’ dan ‘kaya’ kerana punya keluarga dan tempat bermanja.

“Kau seolah-olah putus asa,” tuduhku lagi.

“Tidak, aku tak pernah berputus asa, Cuma aku berasakan sesuatu kekosongan dalam hidupku saja. Kerana aku menggantungkan harapan kepada orang-orang yang tidak sudi,” sedih nadanya.

“Tapi sekurang-kurangnya kau memiliki sebuah impian dalam hidupmu. Kau ada arah tumpuan dalam bidang yang kau minati. Mungkin juga sumbangan kau dihargai…”

“Apa gunanya sebuah impian,” dia mencelah, “yang tak mungkin kukongsikan dengan orang-orang yang kusayang?”

“Kau terlalu mementingkan orang-orang yang sememangnya tidak peduli.”

“Tapi merekalah orang-orang yang terdekat denganku, Ellie…”

“Mungkin terdekat pada pendapat kau, tapi terlalu jauh pada pendapat mereka. Tidak terfikirkah kau ada orang-orang yang menyayangi kau, walaupun mereka mungkin kurang faham segala apa yang kau cuba usahakan?” Dia diam sejurus dan memandangku dengan penuh tanda Tanya.

“Tapi kenapa begitu, Ellie…kadangkala kebahagian kita hanya dapat direguk daripada kenangan-kenangan saja…” katanya bagai seorang pengimpi.

“Mengapa kau pedulikan sangat pasal mereka, sedangkan mereka kurang pedulikan kau? Kenapa kau begitu pesimistik menghadapi hari muka? Apa kau tak percaya akan ketentuan Tuhan?” Dia termenung mendengar tunjalan-tunjalan soalanku.

“Masihkah kau ingat lagi antara seni kata lagu nyanyian penyanyi pujaanmu: ‘a fool will lose tomorrow, looking back for yesterday’? Kau seharusnya harungi cabaran hidup mendatang, bukan dikhayalkan dengan kenangan semalam, walau ia begitu indah. Seharusnya kau jangan meninggalkan tempat ini, terlalu banyak yang perlu dikerja dan …”

“Dan ramai lagi yang akan tampil ke muka, bukan aku seorang saja…”

“Hah, lagi nada sedihmu,” aku menyergahnya, “sampai bila kau ingin hidup dalam kesedihanmu? Sekadar impianmu dimusnahkan oleh orang-orang yang kau sayang, apa duniamu juga turut hilang?” Dia diam mendengar kata-kata ini. Dan aku semakin didorong untuk terus berbicara.

“Kau tahu, tiap Tuhan tetapkan sesuatu pasti ada hikmahnya. Kita mungkin dianugerahi sesuatu, tapi dinafikan sesuatu pula, semacam opportunity cost, supaya kita lebih menghargai apa yang kita ada. Mungkin kau dilebihkan timbangan-timbangan derita dalam hidupmu, tapi mestikah kau menerima saja dan terus berduka? Kau tahu, Merlin pernah berkata, satu-satu cara untuk melupakan kedukaan kita ialah dengan selalu bertanya: ‘Apa yang membuat dunia kita berputar’? Bukan hanya ditenggelami kenangan dan kesedihan kita. Ya, mungkin kau rasa tembok-tembok semakin kukuh didirikan di depan mata, lantas sikap mereka yang langsung tidank pedulikan kau. Tapi, mestikah kaupecahkan kepala utnuk merunuhkan tembok-tembok itu, tanpa mencari jalan lain yang lebih bijak dan terbaik untuk keluar…?” Dia semain termenung jauh, seolah-olah kata-kataku tidak meninggalkan kesan di hatinya yang resah gelisah. Lama dia termenung, seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Kau seorang kawan yang baik, Alida. Terlalu jujur dan penuh percaya. Mudah-mudahan ciri-ciri istimewamu ini tidak akan berubah,” ujarnya, tanpa mempedulikan apa yang kututurkan sebentar tadi.

“Jadi kau tidak akan pergi?” sesak nafasku meluahkan ini. Dia semakin termenung panjang, mungkin mencari bahan atau ilham.

“Entahlah, kita tengoklah nanti,” ujarnya sayu. Ada sesuatu yang begitu memberatkan perasaannya, fikirku. Empangan-empangan keresahan dan kedukaannya masih belum pecah. Dia kemudian merenungku sepuas-puasnya, seolah-olah itulah satu-satu caranya untuk menyampaikan terima kasihnya kerana menjadi pendengar yang setia. Dia bangun dari bangku yang kami duduki sejak tadi, dan memegang bahuku. Dan mataku tiba-tiba hangat, walau semasa berbicara dengannya aku dapat menahankan, ketika ini seluruh perasaanku seolah-olah tidak sanggup lagi berdiam.

“Belajar betul-betul, Ellie. Lupakan apa yang kita bualkan tadi, jangan fikirkan sangat pasalku. Aku mahu kau buat ‘honours’ tahun ini. Dan maaf, kerana mengganggu masa belajarmu…” dan dia pergi. Hanya air mata yang mewakili perasaanku ketika itu. Semasa dia merentasi padang dan melalui Makmal Bahasa, aku terasa seolah-olah pemergiannya membawa bersama kenangan-kenangan manis yang sama-sama pernah kita alami.

Dua minggu selepas peristiwa itu peperiksaan tahun akhirku bermula. Aku tidak menerima daripadanya sebarang berita, mungkin kerana dia enggan mengganggu aku atau rancangannya terus ditundakan atau dikuburkan saja. Dan antara debar, resah dan rasa gerun menghadapi peperiksaan, kenangan kunjungannya sedikit demi sedikit luput dari ingatan. Kertas pertamaku amat menggerunkan, aku seolah-olah tewas walau baru masuk gelanggang. Bukan sahaja soalan-soalannya panjang lebar dan memeningkan kepala, bahtera terasa begitu susah untuk menjawabnya. Inilah akibatnya apabila pensyarah cuba-cuba menjadi ‘pembedah’, dan mencincang lumat harapan dan impian mahasiswa! Tetapi kertas keduaku membuat aku terlalu gembira. Pensyarahnya pula berlagak seperti ‘malaikat’ dan memberi kami soalan-soalan ‘hadiah’. Tidak terbendung rasanya perasaan gembiraku, segera ingin kusampaikan kepada Swee Lian yang menanti di asrama. Swee Lian menyambutku dengan girang ditambah dengan lirik senyumannya yang panjang-panjang.

“Patutlah,” katanya sepatah.

“Patutlah?” ujarku sambil menghempaskan diri di kerusi.

“Gembira,” lagi tambahnya.

“Gembira?” semakin aku tidak mengerti.

“Surat,” tingkahnya sepatah lagi.

“Surat? Hei, kau ni dah kenapa tiba-tiba jawab sepatah-sepatah? Tak boleh buat ayat yang sempurna?” sengaja aku berlagak marah terhadapnya.

“Nasib baik aku boleh bersuara, kalau tiba-tiba kelu untuk berkata bahana periksa, bagaimana?” diakhiri ucapannya dengan ketawa. Lucu dan aneh rakan sebilikku ini. Kadangkala dia bercakap seolah-olah sebuah pita yang dicampur-adukkan berbagai ragam rakaman. Sering juga dia tiba-tiba menjadi radio tanpa bateri dan ahli falsafah tanpa falsafah sendiri dalam keheningan malam ketika kami sama-sama mengulangkaji pelajaran. Keanehan dan kelucuannya sama seperti kartun ‘Peanuts’ dan ‘Lat’ yang digemarinya.

“Ini,” katanya, sambil menghulurkan sesuatu kepadaku. “Surat daripada kekasihmu,” dia tersenyum bermakna kepadaku. Swee Lian kemudian menghempaskan badannya di katilku, begitu percaya aku akan membaca surat itu di depannya.

“Bacalah, aku nak dengar. Siapalah tahu, kekasihmu dapat mententeramkan fikiranku yang semakin kacau…” dia tersenyum nakal kepadaku, dan kedua lesung pipitnya semakin menambahkan kecomelan dan ‘kenakalan’ wajahnya. Aku pura-pura menjeling marah kepadanya.

“Kalau aku tak mahu?”

“Kalau kau tak mahu, aku pun tak mahu temankan kau pergi ke Adam Road bila kau kebulur malam nanti. Rasakan…” lagi ketawanya. “Lagipun ini bukan surat kekasihmu, macam aku tak tahu…”

Surat itu bertarikh semalam, dan walaupun tanpa nama, aku kenal betul siapa pengirimnya. Kami sama-sama tergelak kerana kelucuan kandungan surat itu dan ditambah dengan petikan-petikan madah dan Shakespeare yang dicampur-adukkan. Swee Lian usah dikata lagi, semakin mendalam lesung pipitnya dan merah wajahnya menahan ketawa.

“Ellie, kenapa?” tiba-tiba Swee Lian bertanya apabila aku terhenti membaca dan terasa begitu sesak nafasku. Terasa pipiku begitu hangatdan air mata seolah-olah meronta-ronta ingin keluar daripada kedua belah mata. Aku tidak dapat bersuara. Swee Lian mengambil surat itu daripada tanganku dan membaca:

“Maafkan aku, Alida. Mungkin aku akan temui apa yang aku cari selama ini. Semasa kau menatapi warkahku ini, kapal terbang yang membawa aku, barangkali sudah mendarat dan aku akan daftarkan diri sebagai penghuni baharu ‘University of California’ di Berkeley.”

Swee Lian tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Kegembiraanku musnah oleh kata-kata terakhir warkah daripada dia.

Ditulis: 7 Februari 1980
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s