Dua Pertemuan Yang Meninggalkan Kesan

Pernahkah anda bertemu dengan orang-orang yang memusarkan fikiran anda dengan cara yang tidak disangka-sangka? Sri pasti pernah. Kadangkala orang-orang begini tiba-tiba muncul dalam hidup anda dan membuat anda menyorot semula nilai-nilai hidup anda yang selama ini anda terima seadanya. Bukan, bukan maksud Sri anda jatuh hati atau terpikat dengan orang tersebut. Ia lebih merupakan kesan, baik negatif mahupun positif kemunculan seseorang itu dalam simpang-siur kehidupan yang anda lalui.

Beberapa minggu lalu Sri ‘ditemukan’ melalui telefon dengan seseorang yang Sri tiada hubungan langsung selama lebih 22 tahun. Orang ini bukanlah sahabat Sri tetapi sekadar kenalan yang sama-sama pernah bergiat dalam persatuan mahasiswa. Ada juga sahabat Sri yang sama bergiat dalam persatuan dan walaupun terputus hubungan kerana kerjaya atau penghijrahan, hubungan kami masih tetap baik. Bezanya orang yang menghubungi Sri ini tak pernah memanjangkan silaturrahim dengan rakan-rakan sepersatuan, kecuali mungkin satu dua orang. Kadangkala bila kita giat berpersatuan dan menyandang jawatan-jawatan penting, banyak yang dapat kita ketahui mengenai seseorang. Demikian juga halnya kenalan Sri ini. Banyak tanggapan Sri mengenainya ternyata benar beberapa tahun kemudian. Bagi Sri nilai dan laluan hidup kami amat jauh berbeza dan tak ada sebab untuk Sri tiba-tiba termasuk dalam lingkungan hidupnya.

Alangkah terperanjatnya bila orang ini tiba-tiba menghubungi Sri setelah dibantu oleh beberapa orang kawan yang tahu nombor telefon Sri. Yang lebih memeranjatkan Sri ialah cara dia bercakap dengan Sri. Setelah sekian lama meninggalkan kampus dan tanpa ada apa-apa pertemuan selepas itu, adab bertanya khabarnya langsung tak ada, malah dia bercakap bagaikan kita masih berpersatuan dulu. Dia hanya ‘memerintah’ atau lebih tepat ‘mengerah’ apa yang dia mahu Sri lakukan bagi pelaksanaan ideanya mengenai kebajikan tanpa ambil kira apakah Sri boleh atau mahu melakukannya. Akhirnya Sri menolak cadangannya kerana Sri tahu selain beberapa kendala berhubung dengan ideanya, Sri memang sukar bekerjasama dengan orang jenis begini. Dan ‘pertemuan’ dengan kenalan ini semakin meyakinkan Sri akan nilai-nilai hidup yang Sri hargai.

Satu lagi ‘pertemuan’ tak disangka-sangka dan banyak membuat Sri berfikir berlaku beberapa bulan yang lalu dengan seorang pencinta alam. Orang ini menemui Sri dalam sebuah kursus. Pada mulanya dia agak tak ambil kisah tetapi dengan rancaknya kursus ini, penglibatannya semakin terserlah. Kalau anda bertemu dengannya dia kelihatan begitu sederhana. Tapi bila Sri sentuh sekilas mengenai lingkungan alam dan budaya Melayu serta nostalgia Sri mengenai zaman Sri membesar, rupa-rupanya ini menyentuh hatinya. Lantas banyaklah yang dikongsikan dengan kawan-kawan. Pengetahuannya agak mendalam mengenai alam sama ada tumbuh-tumbuhan, haiwan atau bumi ini. Satu projek yang banyak melibatkan nuraninya ialah keinginannya untuk mengekalkan daerah unik di Pulau Ubin iaitu Tanjong Chek Jawa. Bukan sahaja dia menunjukkan Sri gambar-gambar yang diambilnya malahan sebuah catatan dan puisi yang ditulis untuk anaknya mengenai Tanjong tersebut; demikian jujur dan indah dalam bahasa Inggerisnya yang jitu dan sederhana.

Menyaksikan kecenderungannya mengenai alam dan dalamnya pengetahuannya mengenai ini, anda pasti jangkakan dia mempunyai ijazah dalam bidang tersebut. Tapi kawan Sri ini hanya berkelulusan GCE peringkat ‘O’ dan dari aliran teknikal* pula. (*Tahun-tahun 60-an sehingga akhir 70-an, ada tiga aliran pelajaran menengah di Singapura – aliran sains, aliran teknikal [bukan aliran normal teknikal seperti yang terdapat sekarang] dan aliran sastera dan ketiga-tiga aliran ini mempelajari ilmu sains iaitu Fizik, Kimia dan Biologi, dengan penekanan atau pengecualian yang berbeza bagi setiap aliran – tambahan penulis). Setelah menceburi beberapa bidang kerja, akhirnya dia menemui tukikannya dalam bidang yang sentiasa menimbulkan minat dan penglibatannya iaitu alam. Kerana minat, dia ikuti beberapa kursus tambahan dan tidak jenuh mendalami bidangnya.

Bila Sri memberi ‘tafsiran’ baru mengenai teori relativiti Einstein: E=mc2 iaitu Education = mong ca-ca (dialek Tionghoa yang bererti ‘bodoh’), dia pula memberikan erti yang menyentuh hati: Earth = must connect and care. Tanpa mahu berhubung dengan alam, sebagai insan kita akan menjadi kurang alamiah dan tanpa menjaga dan mengambil berat mengenai alam, keinsanan kita juga akan pupus bersamanya. Tanpa gembar-gembur, kawan Sri ini cuba melakukan sesuatu dalam segala kesederhanaannya. Dan kerana cintanya pada alam, perilakunya semakin terbentur olehnya. Sri rasa dia dah sampai ke had ‘mendak’; bukan nama, publisiti, wang, yang dikejarnya tapi ketenangan dan keinginannya mahu memaknakan kehidupan dan alam yang dihuninya yang meruntun jiwanya. Dengan langkah-langkah kecil dia tahu usahanya tidak akan sia-sia.

Banyak orang yang akan mengesankan hidup kita, secara positif mahupun negatif. Kadangkala pertemuan-pertemuan yang tak sengaja ini berlaku kerana kita harus diingatkan akan nilai-nilai yang mengejapkan kehidupan kita atau pun melorongkan jalan hidup kita selanjutnya. Seperti pekebun kita harus pandai membezakan benih-benih kelapa dan rumpai agar ladang kita disegari pohon-pohon hijau yang memberi buah serta perlindungan pada kehidupan. Memang mudah menjadi lalang, tetapi menjadikan resmi padi sebagai resmi kita, tentunya memerlukan kejujuran dan masa yang panjang.

Ditulis: 7 November 2001.
Tajuk Asal: Kesan-Kesan ‘Pertemuan’.
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 18 November 2001.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s