Sesekali Perlu ‘Hidupkan’ Watak Kanak-Kanak

Anak-anak anda pasti sukar melupakan sambutan hari kanak-kanak mereka sama ada di sekolah mahupun di tempat-tempat keramaian. Mungkin anda pula terkenangkan lagu Semoga Bahagia yang pernah dinyanyikan pada zaman-zaman silam dan kini dijadikan salah sebuah lagu untuk hari kanak-kanak. Betapa indah lagu yang dicipta oleh Pak Zubir Said ini dan setelah berpuluh tahun, ia tetap menyentuh jiwa kita.

Bolehkah anda bayangkan hidup tanpa kanak-kanak ? Mungkin terlalu sunyi dunia ini dan mungkin juga sebahagian daripada harapan masa depan kita hilang bersamanya. Sri teringatkan cerita The Pipe Piper of Hamelin – kerana mungkir janji oleh orang-orang kampung Hamelin terhadap seorang peniup seruling yang berjaya menghapuskan wabak tikus yang melanda kampung itu, akhirnya semua kanak-kanak ‘mengikut’ peniup seruling itu masuk ke dalam gua kecuali seorang kanak-kanak cacat yang terlambat masuk sebelum pintu gua tertutup. Akankah indah hidup ini tanpa suara kanak-kanak yang sesekali memekik, menjerit, ketawa dan berkelahi di kolong-kolong flat, padang, pusat membeli-belah atau rumah kita ? Walaupun sesekali rasanya betul-betul kita nak ‘cekik’ mereka, tapi macam manalah nak marah lama-lama terhadap mereka, ya?

Sri teringat telatah seorang anak saudara Sri semasa kecil. Dia ini nakal sedikit tapi keistimewaannya – bila sesiapa sakit di rumah, dialah orang pertama yang mendampingi orang tersebut dan memberi epal. Dalam usia muda begitu dia percaya epal dapat menjauhkan penyakit. Dan akan dipaksa kita memakan epal itu – sehingga ini menjadi bahan ketawa kita walaupun kini dia tidak pula menjadi doktor tetapi dia tetap dengan ‘kerenah’ lamanya iaitu membuat kerja-kerja sukarela untuk para pesakit di hospital.

Kadangkala kejujuran kanak-kanak menyentuh hati kita. Orang dewasa mudah berselindung, tapi mereka dengan berterus terang akan memberitahu anda sesuatu perkara. Bila anda terpakai gincu yang ‘merah sangat mak ngah’*, dengan muka bersahaja mereka akan berkata: ‘Auntie pakai darah?’ Bila baju anda tak sesuai, senang saja mereka mencelah: ‘Auntie tak ada baju lain?’ Bila duit anda tertinggal dan anda tak mampu membelanja mereka sebagaimana yang anda mahu, mudah seorang menyampuk: ‘Tak apa Auntie, Jaja ada 10 sen, kita boleh beli burger’ tanpa mengetahui perbezaan di antara 10 sen dengan 10 dolar.
[*Sebahagian kata-kata daripada iklan Malaysia yang masyhur pada tahun-tahun 80-an]

Atau bila anda bawa mereka tengok wayang, terutama cerita seram misalnya The Mummy, sekejap-sekejap dia akan bertanya: ‘Hantu dah pergi ke belum?’ sambil berkerikut di sebelah anda dan menutup mukanya. Atau bila tengok filem sedih, walaupun cerita Tarzan, misalnya part Mak Beruk nak berpisah dengan Tarzan, dia kerap menoleh ke arah anda, nak tengok anda menangis atau tidak, sebab seperti kata pantun kita, ‘air matanya dah sepanjang sungai.’

Benar seperti kata Nabi s.a.w., kanak-kanak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkan mereka. Sebab itu psikologis kanak-kanak menganggap ‘pelaziman’ (conditioning) itu penting dalam membentuk peribadi kanak-kanak. Kalau dia dibesarkan dengan ketakutan itulah yang akan dihayatinya. Sebaliknya jika dia dibesarkan dengan kasih sayang dan harapan, demikian juga tanggapannya terhadap manusia lain.

Satu lagi pelaziman ialah cara kita menyampaikan sesuatu kepada anak-anak kita. Kalau kita selalu memaki hamun atau menggunakan kata-kata seperti ‘bodoh’, ‘tak boleh diharap’ dan kata-kata negatif yang lain, besar kemungkinan anak tersebut akan mempercayai dan menjadikannya satu kenyataan, yang disebut ‘self-fulfilling prophecy’. Sebab itu ramai psikologis tidak yakin seseorang anak atau kelompok yang secara semula jadi dilahirkan ‘bodoh’, melainkan memang terdapat kekurangan fizikal, misalnya terencat akal.

Kadangkala pertimbangan yang kita gunakan berlainan – kita gunakan pertimbangan orang dewasa pada kanak-kanak yang belum tahu apa-apa, sudah tentu mereka kelihatan ‘bodoh’ padahal kita tidak melihat kelebihan-kelebihan yang mereka ada dan yang kita hamburkan hanya yang negatif saja. Sri rasa, nak menghancurkan harapan atau semangat anak-anak kita itu mudah, tapi yang nak membina semangat hidup mereka itulah yang susah. Dan bila ini terbina, anda tahu anak anda dapat mengharungi apa pun cabaran dunia yang bakal dihadapinya.

Sri yakin anda banyak kenangan zaman kanak-kanak. Masa kita main batu seremban, tingting, buat anak patung, main guli, gasing, bola hentam, rounders, keleret, tangkap ikan perut buncit, beradu labah-labah, ikan keli, atau membuat layang-layang, lawan dan mengejar layang-layang yang hanyut – saat-saat inilah yang membahagiakan kita walau telah lama larut daripada kehidupan dewasa kita.

Kata psikologis ‘Transactional Analysis’ ada 3 watak dalam diri kita: watak seorang ibu/bapa (parent), dewasa (adult) dan kanak-kanak (child). Sesekali perlu juga kita menghidupkan watak ‘kanak-kanak’ ini – seperti kata Inggeris ‘child-like’ dan bukan ‘childish’ dalam melihat kehidupan yang sering berubah ini – dan inilah yang akan mengimbangi dan memperkayakan kehidupan dewasa kita dan juga anak-anak kita.

Ditulis: 30 September 1999
Tajuk Asal: Dunia Kanak-Kanak
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 3 Oktober 1999
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s