Teringin Kembali Ke Alam Kanak-Kanak

SatuPic 2IMG-20160515-WA0014Scan_20160515_215807Scan_20160515_215910Scan_20160515_221600IMG-20160515-WA0006Scan_20160515_221003

[Sebilangan anak saudara saya, semasa mereka kecil/lebih muda – yang jumlahnya lebih ramai daripada yang tertera dalam gambar-gambar di atas.]

Sesekali ingin juga Sri kembali ke dunia kanak-kanak. Mengapa? Sebab dunia mereka indah; ada unsur ‘sakti’, penerokaan dan kesucian yang jarang kita temui dalam alam dewasa. Kanak-kanak selalu membuat Sri percaya, walaupun mereka betapa nakal, bahawa dunia ini tidak pernah lekang daripada unsur harapan yang wujud bersama adanya mereka.

Anda mungkin pernah menyaksikan kanak-kanak sekolah dalam berbagai ragam mereka, terutama ketika dalam bas atau di padang sekolah. Gelagat mereka membuat kita tersenyum dan teringat zaman kanak-kanak kita yang mungkin sama nakalnya. Anda mungkin terkenang semasa zaman main masak-masak, guli, layang-layang, keleret, tangkap ikan perut buncit dan sebagainya. Kini anak-anak kita berdepan dengan komputer dan bersaing mendapatkan perisian permainan yang menawan, sama seperti kita cuba dapatkan kuti-kuti atau guli gundu, di suatu zaman. Yang berubah hanyalah bahannya, sebab kanak-kanak tetap nakal, bijak dan jujur dalam dunia mereka, dalam apa pun zaman.

Sri selalu terharu dengan tingkah laku kanak-kanak. Mereka jujur, kadangkala terlalu jujur bila anda meminta pendapat mereka mengenai sesuatu perkara. Seorang anak saudara Sri ketika berusia 6 tahun, tidak membenarkan Sri memakai seluar jeans tertentu. Kenapa, tanya Sri. Jawabnya: ‘Sebab Auntie macam pakai pampers!’ Tak jadi Sri nak pakai jeans tersebut … Seorang anak sahabat Sri, cuba membuat kejutan semasa Sri di luar negara, tapi rahsianya terbongkar, walaupun suaranya dilainkan, kerana dia tetap memanggil Sri: “Helo, Auntie Zirafah …” (tak ada orang memanggil Sri ini kecuali dia dan adiknya) … dan tak pandai berbohong.

Dan kanak-kanak selalu ada perasaan ingin tahu dan sedikit aneh. Seorang anak saudara Sri ketika berusia 3 ke 4 tahun begitu sedih kerana arnabnya mati. Kawan Sri memujuknya dan berkata, arnab itu kini berada di syurga, lalu menuding ke langit. Anak saudara Sri bertanya: ‘Kenapa syurga kat langit, tidak kat sini?’ Dan ada seorang lagi anak saudara Sri, bila dia tak faham sesuatu dia sebut ‘hitam’ (maknanya hitam dalam pengetahuannya: macam blind spot dalam mata kita agaknya). Jadi apa-apa yang kita tanya dia tak faham, dia sebut ‘hitam’. Kebetulan satu hari sepupunya datang dari luar negeri. Sepupunya ini tidaklah putih melepak, walaupun tidak gelap. Semasa dia membuka pintu dan ditanya siapa kakak sepupunya, dia menyebut: ‘Kakak hitam …’ Habislah kakak sepupunya pula bersedih. Dan ada yang tak faham sesuatu, mereka istilah sendiri, misalnya, seorang anak sepupu Sri, kerana tak faham istilah ‘fish finger’ menyebutnya sebagai ‘ikan tak ada kepala’.

Atau ada kanak-kanak yang ‘gilakan’ sesuatu: berkobar-kobar cakap pasal dinosaur, serangga dan kapal terbang buatannya. Atau memberitahu anda binatang yang ingin benar dipelihara satu hari nanti; bukan kucing ataupun arnab, tapi anak ular. Sebabnya : ‘Ular comel, Auntie !’ (Urgh!!! mana ada istilah comel untuk ular, bagi Sri). Tidak kurang pula yang agak petes mulutnya.

Sri percaya anda tentu mempunyai banyak cerita mengenai kepetesan kanak-kanak. Seorang anak saudara Sri, ketika berumur 5 tahun, dan diberitahu abangnya yang menjalani perkhidmatan negara mungkin dihantar ke Taiwan ataupun Brunei. Mendengar nama Taiwan dia terus menyampuk: “Taione, Taitwo, Taithree … Dan ketika di madrasah dan belajar mengucap dua kalimah syahadat: ‘Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah … ‘dia tertukar kepada : ‘Aku naik teksi …’ Dia juga berkobar-kobar memberitahu Sri dalam bahasa Arab ‘baitun’ itu ‘singa’ (bukan ‘rumah’ sebagaimana yang Sri tahu), ya, katanya, itulah ustazahnya beritahu. Setelah beberapa lama, dia memberitahu Sri pula,
sebenarnya ‘baitun’ bukan ‘singa’ tapi ‘telur’ … dan tersenyum dalam kenakalannya.

Tapi kanak-kanak yang sama juga mengajak Sri tengok anak katak (berudu) tak jauh dari rumahnya, main air pancuran di Bedok dan bersungguh-sungguh mandi laut di Pantai East Coast dan bertanya berapa besarkah laut dan adakah ‘Free Whilly’ (ikan paus) dekat Jeti Bedok? Atau ketika dia kumpulkan kekerang, remis dan siput atau mengutip biji pohon cemara yang macam durian kecil, dan bertanya anda seribu satu soalan, walaupun anda tak punya semua jawapan, anda, seperti Sri, akan berasa bahagia kerana turut mengembangkan sempadan pengalaman zaman kanak-kanaknya.

Kanak-kanak akan selalu membuat kita sedikit terharu, kerana seperti mereka, Sri percaya, kita juga mahu melihat kehidupan dengan harapan dan keindahan, sebagaimana dunia yang mereka gambarkan dan harapkan …

Ditulis : 1 Mei 1998.
Tersiar : Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 2 Ogos 1998.
Tajuk Asal : Dunia Kanak-kanak.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

2 thoughts on “Teringin Kembali Ke Alam Kanak-Kanak

  1. Lucu lucu…Idah ini pun harus kasi tau “kanak” -kanak. “Iyaa KANAK budu wa iyaa kanastaiin ” …. hehehe teringat KANAK-KANAK.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s