Archive | June 2016

Kata Mutiara: Mengenai ‘Hati’

Hati merupakan sumber ketaatan dan kejahatan. Ia adalah raja dan anggota tubuh adalah rakyatnya. Imam Ghazali r.a. berkata, “Hati adalah raja yang ditaati dan pimpinan yang dipatuhi. Seluruh anggota tubuh merupakan pengikut hati. Jika sang pemimpim baik, maka pengikutnya pun akan baik. Jika lurus, maka rakyatnya akan lurus.”

Imam Ghazali r.a. berkata lagi, “Hati merupakan tempat pandangan Allah, Tuhan alam semesta. Sungguh menghairankan orang yang memperhatikan tempat pandangan makhluk, menyucikan, membersihkannya dan menghiasinya hingga tidak ada seorang makhluk pun yang melihat aibnya, tetapi dia tidak memperhatikan hatinya yang merupakan tempat pandangan Allah. Dia tidak menyucikan, menghias dan memperbaiki hatinya agar Allah Jalla Jalalah tidak melihat kotoran, cacat, keburukan dan aibnya. Tetapi dia justeru mengotori hatinya dengan berbagai perbuatan tercela dan buruk.”

Beliau r.a. selanjutnya berkata, “Sifat-sifat tercela adalah pintu masuk syaitan menuju hati. Semakin jauh seseorang daripada sifat-sifat tercela tersebut, maka semakin sempit dan tertutup jalan syaitan untuk memasuki hatinya. Semakin seseorang mengabaikan sifat-sifat tercela itu, maka semakin luaslah pintu dan jendela syaitan menuju hatinya.”

Dalam sebuah nasihatnya, Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi r.a. berkata: “Duhai saudaraku, jangan sampai dirimu melakukan hal-hal yang tidak bermanfaat, dalam segala ucapan mahupun tindakanmu, apa pun itu. Sebab, melakukan hal yang tidak bermanfaat hanyalah akan menimbulkan penyesalan, dan meninggalkannya akan menimbulkan keselamatan …..Sebab, perbezaan darjat seseorang di sisi Allah ditentukan oleh perbezaan tingkat kebaikan hatinya.”

Sayid Muhammad bin Abdullah al-Aidarus r.a. berkata: “Seorang hamba yang hatinya hidup akan kamu lihat dia dicintai masyarakat, berada dalam kesenangan, tenang, perilakunya positif dan penampilan penuh wibawa, sebab cahaya Allah memancar dari tubuhnya. Dengan hanya melihat hamba tersebut, jiwa berasakan kenikmatan.

Adapun manusia yang hatinya mati, kamu akan melihatnya murung, melakukan perbuatan yang buruk, tidak pernah berasakan ketenangan, penuh kesedihan dan kebencian serta tunduk kepada hawa nafsu. Dia pun menjadi buta dan tidak dapat melihat berbagai aibnya. Keadaan ini membuat hati menjadi bingung dan tidak tenang, ia seperti seorang yang rumahnya roboh. Dan hati adalah rumah akal, sehingga akal pun berasa sedih ketika rumahnya roboh.”

Ketahui, sesungguhnya jika Allah Azza wa Jalla menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya, maka Allah akan membuat hamba itu mengenal berbagai aibnya. Manusia yang memiliki mata hati jernih akan melihat aib-aibnya. Dan ketika dia mengetahui bahawa dirinya memiliki berbagai aib, maka dia akan segera mengubatinya.

Jika seseorang tidak mengetahui secara pasti jenis penyakit hatinya, maka dia dapat mengambil ubat-ubat umum untuk menyembuhkan dirinya. Ubat umum penyakit hati sangat banyak, tetapi yang paling mujarab ada 9 iaitu:

1. Membaca al-Quran dengan menghayati maknanya.
2. Mengosongkan perut dengan sedikit makan.
3. Menghidupkan waktu malam dengan ibadah.
4. Berdoa dengan merendahkan diri pada waktu sahur.
5. Bergaul dengan orang-orang soleh.
6. Tidak membicarakan hal-hal yang tidak bermanfaat.
7. Menjauhi orang bodoh.
8. Tidak mencampuri urusan orang.
9. Memakan makanan halal.

Makanan halal adalah inti kesembilan ubat di atas. Sebab, makanan halal akan mencerahkan dan memperbaiki hati. Jika hati baik, maka anggota tubuh akan bersih daripada kemaksiatan, menjauhi keburukan dan banyak berbuat baik. Sedangkan makanan haram dan subahat (syubhat) akan membuat hati menjadi gelap, keras dan berkarat.

Penyakit hati sangat banyak, di antaranya adalah sombong, berbangga siri (ujub), suka menunjuk-nunjuk ketaatan (riyak), iri hati atau dengki (hasad) dan lain sebagainya.

Beberapa petikan bahagian ‘Mengubati Hati’, halaman 111 – 119, daripada buku tulisan Habib Noval bin Muhammad Alaydrus, Secangkir Kopi Hikmah, Indonesia: Penerbit Taman Ilmu, 2013.

19 Ramadan 1437 Hijriah/24 Jun 2016.

3 Kuntum Sajak: ‘Daun-Daun’, ‘Di Pinggir Hari’ dan ‘Tiang Seri’

Daun-daun
Kitakah bagai daun keladi
enggan meresapi air
kerana kelainan daun
atau sedia mengongsi
bagai daun nyiur
menerima curahan alam
melorongkan titisan
pada akar.

Mungkin kita bagai pucuk semalu
menutup diri kerana tersentuh
& terlalu lama membiarkan
bunga-bunga terlindung
daun-daun membungkus
& kanak-kanak menangis.

Atau kitakah daun-daun rimbun
menghijau, ketika musim luruh
sanggup menyedut udara kotor
kerana kota semakin sesak
& manusia perlu hidup.

Ditulis: 1 Januari 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Di Pinggir Hari
Yang mengalir adalah waktu
berbutir, bagai embun,
menghalus rasa, resa,
menjurus ke ufuk
& senja berengsot tiba
mentafsiri
bayu & laut
tebing & aur
gerimis & mendung
kemarau & tengkujuh
& petang meremang
mengalur makna.

Di pinggir hari
antara gelora & tenang
air perbani & kerdip bintang
jauh belayarnya perahu
menuju pulau.

Ditulis: 25 – 26 Februari 1996
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Tiang Seri
Antara dua tiang seri
kita kadangkala tersungkur
bermain dengan harapan
berdoa dengan ketakutan
menggalas beban
mencuba-cuba
mencari-cari
terpanar
gusar
terlari-lari
bagai bersai
tanpa henti.

Luluh diakrabi tanda tanya
kita mencabar, menyerah,
dihebati akal, melepaskan segala hal,
hingga semberani itu pun menarik
bak graviti
kembali ke pusar
antara harap yang berkekalan
& takut yang tiada bersempadan
tiang-tiang seri itu pun mula menegak
menanjap
memayungi
kesementaraan perjalanan ini.

Ditulis: 29 Januari 2008
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Ramadan Beri Kita Peluang ‘Tukar Gear’

Di sana sini kesibukannya terasa kerana menjelmanya Ramadan. Tak percaya, jenguklah ke Geylang Serai atau pasar-pasar di estet perumahan. Perbelanjaan kita, masya-Allah, seolah-olah tiada esok lagi untuk berbelanja. Dan ini diriuhi lagi oleh kesibukan orang membeli-belah untuk berhari raya.

Ada yang sibuk bertanya: dah buat persiapan Hari Raya? Demikian juga iklan-iklan yang tertera di dada akhbar, majalah, radio dan TV. Hari Raya lama lagi, tapi sibuknya kita bukan main. Jarang pula kita bertanya: dah buat persiapan untuk menyambut Ramadan? Walhal, bulan ini begitu mulia dan seharusnya kita isikan dengan sebaiknya.

Di mana-mana pun terdapat orang Islam, Ramadan tetap membawa erti yang mendalam tentang makna kehidupan, amalan dan hubungan kita sesama insan. Bagai kitaran alam dan makhluk yang lain, kita seolah-olah ‘berehat’ sejenak, sepertimana beruang dan haiwan-haiwan lainnya perlu ‘hibernate’; perut kita pun perlu rehat dan seluruh anggota dan kebiasaan hidup kita perlukan semacam kerehatan, agar ia lebih tertumpu kepada hal-hal yang lebih bererti. Tanpa pemberhentian sejenak ini, kita seolah-olah menderu dalam kehidupan menggunakan gear tinggi saja, yang mungkin tidak baik untuk kita. Sesekali adalah baik tukar gear, sama seperti sesekali memilih jalan yang lain ke pejabat, agar pemandangan kita tidak terlalu terbiasa sehingga tidak terlihat keindahan di sekitar kita.

Banyak kenangan kita mengenai Ramadan: dari berlatih ‘puasa yok-yok’, memilih juadah berbuka, menjadikan satu-satu masjid sasaran kita kerana buburnya sedap atau bertarawih dengan pelbagai kerenahnya, terutama bila ia bersangkut-paut dengan kanak-kanak mahupun mengenai pelbagai tingkah laku anggota keluarga semasa bersahur atau baru menjalani puasa. Kita banyak terkenang pada bulan ini, kerana memang tiada bulan yang seistimewa Ramadan.

Namun, menjelmanya Ramadan kadangkala membawa gambaran-gambaran yang tidak seindah bulan yang mulia ini. Kita yang seharusnya kurang berbelanja kerana makan dua kali sahaja iaitu waktu berbuka dan bersahur, selalunya berbelanja lebih besar daripada biasa. Dan makanan kita kadangkala penuh semeja – macam manalah nak isi perut yang satu itu? Kata ahli psikologi, kalau perut kita tengah betul-betul lapar, janganlah pergi membeli-belah, nanti kita borong satu kedai. Demikian juga bila saat-saat terakhir nak berbuka, kalau boleh semua juadah nak kita membelinya. Kerehatan untuk perut semasa Ramadan menjadi beban pula kerana disalahgunakan.

Yang memalukan pula ialah perilaku sesetengah kita semasa bulan puasa. Ada makan terang-terangan, seolah-olah berpuasa itu perkara enteng saja, dan tidak sedikit pun rasa malu di hadapan orang-orang yang berpuasa atau terasa perbuatannya sebenarnya mencemari nama baik Islam. Yang ligat berbelanja dan berdedai dari satu gerai ke satu gerai ramai pula, sehingga Maghribnya hanyut dan tarawih tidak pula dapat disambut. Bukan tak boleh berbelanja, tapi seperti diingatkan oleh agama dan orang tua-tua, biarlah kita berpada-pada, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang masih muram ini. Kita kejarkan berbelanja dan tertinggal perkara-perkara yang lebih hakiki dalam bulan yang mulia ini, betapalah ruginya kita.

Ada kerabat Sri terkenang-kenang semasa lama bermastautin di Arab Saudi. Siang Ramadan agak sunyi tetapi menjelang Maghrib, begitu sibuk terasa, tetapi bukan kerana berbelanja di kedai-kedai. Mereka sibuk menderma makanan kepada jiran tetangga dan sibuk di masjid, terutama Masjidilharam. Malam menjadi siang dan dipenuhi dengan pelbagai kegiatan keagamaan, baik bertarawih, bertadarus dan lain-lain. Ramadan benar-benar terasa nikmatnya bukan kerana berbelanja atau juadahnya tetapi kerana mengamali makna sebenar bulan mulia ini.

Hadirnya bulan mulia ini sebenarnya banyak mengajar kita mengenai kesabaran, keihsanan, keikhlasan, beramanah dan sebagainya. Masa kecil-kecil dulu ada sesetengah kita pandai kelentung; buat-buat cuci muka atau masuk bilik air, tetapi yang dilakukan sebenarnya kita minum air! Asal keluarga kita tak nampak, tak apalah. Semakin dewasa kita sedar, betapa pun kita bersembunyi, kalau kita berbohong atau tidak amanah, Allah tetap tahu. Dan sikap amanah kita tidak terbatas semasa Ramadan saja. Dalam apa pun pekerjaan, kalau tidak kita lakukan berpegang pada amanah dan keikhlasan, walau betapa pun kita tutup, suatu hari akan terbongkar juga. Sebenarnya, mudah bagi kita menipu manusia dengan berkata kita berpuasa dan lain-lain, tetapi bagaimana mungkin kita dapat menipu Allah Yang Maha Mengetahui?

Pada bulan Ramadan, secara berkias, dikatakan syaitan-syaitan dibelenggu. Tetapi menurut sepupu Sri dan ramai yang lain, ada juga yang terlepas. Tak percaya, pergilah ke tempat-tempat tertentu: mereka cipta dunia sendiri dengan pakaian dan tingkah laku yang menjolok mata seolah-olah Ramadan itu tak ada apa-apa, kecuali untuk menyambut Hari Raya. Kita malu melihat tingkah laku mereka tetapi rasa malu ini seharusnya menjadikan kita lebih proaktif menghadapi masalah sebegini tahun demi tahun, sebelum segala-galanya terlambat. Sebab nila setitik dua takkanlah kita akan, seperti si Luncai, ‘biarkan, biarkan’, kerana ia nanti bakal merosakkan susu sebelanga kita. Biarlah Ramadan ini membuhulkan keyakinan, amalan, dan keterlibatan kita yang ikhlas, ihsan, dan beramanah untuk agama dan masyarakat, insya-Allah.

Ditulis: 22 Oktober 2003
Tajuk Asal: Bila Ramadan Menjelma
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 26 Oktober 2003
Tulisan: Rasiah Halil.

Seksanya Nak Dapat Lesen Pandu Kereta

B 2 Lukisan Berita Minggu, 1998 yang mengiringi rencana 'Sri Anggerik'
[Grafik daripada Berita Minggu yang mengiringi rencana ‘Sri Anggerik’ ini dahulu.]

Masihkah anda teringat bagaimana anda mendapat lesen memandu? Atau seperti Sri, peristiwa itu terlalu ‘menghiris’ hati lantas lesen itu tiap tahun anda tak lupa memperbarui? Sri percaya, ramai yang masih terkenang-kenang. Bukan mudah mendapatkan kad yang besarnya tak seberapa ini, tetapi ertinya bagi kita, tak terkata nilainya.

Ada orang yakin, untuk mendapatkan lesen di Singapura, bukan main sukar, tak bolehlah main senyum-senyum saja dengan sang instruktor, pakai nampak habis kita. Nak bawa kereta di Singapura pula satu hal; selain cukai-cukai masuk ke tempat-tempat tertentu yang perlu anda bayar, untuk memandu juga memerlukan kemahiran yang bukan calang-calang. Almaklum, kota kita ini sibuk benar, salah-salah hemat, termasuk longkang, atau lebih hebat lagi, terjuntai-juntai di jejambat Benjamin Sheares…

Bagaimana anda belajar memandu kereta? Luluskah anda semasa percubaan pertama? Ada seorang kawan Sri lulus dalam ujian pertama; kami rata-rata tak percaya, ingatkan dia sekadar pandai melirik dan menyerikan wajahnya saja sehingga dia cabar dengan membawa kami sebagai penumpang. – betullah lesennya bukan lesen ‘kopi-O’ kata orang. Ada orang pula berkali-kali mengambil ujian, sampai sanggup minum air penawar tapi tak juga si lesen tercapai tangan. Tidak kurang pula yang tiba-tiba menggigil dibasahi peluh malah diserang angin ‘pus-pus’ seperti kata P.Ramlee, semasa menjalani ujian memandu. Hebatnya tak macam peperiksaan peringkat ‘O’, ‘A’ atau universiti kerana anda tak boleh menilainya seperti di dewan periksa dan anda harus berdepan dengan instruktor serta pengguna jalan raya yang seringkali cepat marah dan tergesa.

Belajar memandu juga satu halnya. Pada tahun-tahun 60-an dulu, nak belajar memandu baru berapa saja harganya. Dan kereta pun tak semahal sebuah rumah. Ada kawan Sri sanggup makan mi segera ‘maggi’ setiap hari sebab nak kumpul duit beli kereta pada zaman itu. Bayangkan kita makan mi ‘maggi’ setiap hari kerana nak beli kereta – nak bayar yuran memandu saja, entah berapa banyak mi ‘maggi’ terpaksa jadi sasaran kita dan akhirnya mungkin yuran kita masih tetap tak terbayar, tapi tubuh badan kita masya-Allah…

Baikkah pengalaman anda semasa belajar memandu kereta? Masa Sri belajar memandu dahulu, pak cik yang mengajar bukan hanya menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa isyarat, malah, kerana ‘benak’ betul Sri memahaminya, akhirnya dia menggunakan bahasa Arab – seolah-olah Sri faham dan dia benar-benar ‘give up’. ‘Give up’ punya ‘give up’, ditambahi rasa ‘terseksa’ dan ‘menyeksa’ semasa Sri belajar dengannya, namun dialah orang yang paling gembira bila Sri beritahu Sri lulus ujian memandu kereta. Rasa-rasanya macam dia nak menterakan – ‘Aku dah kata, benak-benak kau pun ada bakat juga’. Dan Sri tahu Sri lulus bukan hanya kerana Sri boleh memandu, walaupun takut-takut (dan sedikit benak), tapi agaknya mereka fikir Sri ini tak boleh ‘bunuh’ sesiapa di jalan raya …

Bukan senang pula belajar memandu, ya? Dua orang yang Sri kenal, mempunyai pangkat kapten dan telah memandu kapal besar di tengah lautan mendapati demikian sukar lulus ujian memandu kereta. Tiap seorang mencuba lebih daripada 5 kali; kata mereka lebih mudah memandu kapal dan di lautan taklah sesibuk seperti di jalan raya yang membuat mereka gementar. Tidak kurang pula ada wanita dan suri rumah semasa belajar dan lulus ujian membuat anda demikian takut kerana mereka memandu seakan berada di litar lumba kereta.

Nenek saudara Sri pula semasa tinggal di Ipoh, Perak, dulu memandu keretanya. Tapi bila menaiki
keretanya anda harus banyak beristighfar – matanya dahlah kurang awas dan caranya memandu pula sedikit serong…nasib baik dia sekadar berputar-putar dekat dengan rumahnya saja dan anda pula tak tahu bila dia dapat lesennya, entah-entah zaman Jepun agaknya….

Bila di luar negara, bila anda belum biasa, memandu amat menakutkan. Negara Komanwel mungkin tak ada masalah besar sebab pemandu duduk di kanan dan cara membelok kita juga demikian. Cuba bayangkan jika anda di Amerika; boleh gamat anda dibuatnya. Seorang kawan Sri berkali-kali termasuklah lorong salah sebab memang tak mahir memandu di sebelah kiri dan aturan jalannya juga sebegini. Tapi itu semasa baru-baru menginap disana – sekarang beratus-ratus batu dia merentas Amerika kerana kerjaya dan keluarganya dan hairan melihat kita mengeluh bila terpaksa memandu ‘jauh’ dari Bedok ke Woodlands.

Memandu kereta memberi kita semacam kebebasan – dapat menyusur jalan raya bak angin atau terbang bersama petang dan kepulan awan walaupun kita tahu kebebasan kita, berbanding dengan memandu kapal terbang misalnya, memang terbatas. Dan kita sanggup membayar berapa sahaja untuk belajar memandu kereta dan sedia mengumpul duit untuk membeli kereta idaman kita walaupun kita tahu jalan raya kita semakin sibuk dan sesak kerana memandu kereta bagi kita adalah lambang kebebasan dan impian.

Sesekali kita mahu terbang walau tanpa sayap dan mahu berangan kita boleh membelah dunia
dan daerah-daerah yang saujana mata memandang – dan keretalah laksana kenderaan dan keinderaannya…

Ditulis: 3 November 1998
Tajuk Asal: Bila Anda Belajar Memandu…
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 8 November 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Pintu Apa Yang Perlu Dibuka, Pintu Apa Perlu Ditutup

Masihkah anda ingat lagu ‘Buka Pintu’ nyanyian Anneke Gronloh yang berbunyi: ‘Buka pintu, buka pintu, ada anjing gonggong beta eh/buka pintu, buka pintu ada hujan beta basah eh’? Lagu ini begitu popular pada awal tahun-tahun 60-an, sama popularnya seperti lagu-lagu Anneke Gronloh yang lain iaitu ‘Asmara’, ‘Burung Kakak Tua’, ‘Bengawan Solo’, ‘Oh Papa Ja’, ‘Nina Bobo’, ‘Dari Kecil’ dan lain-lain

Hari itu lama Sri termenung bila memainkan lagu ‘Buka Pintu’ ini ketika berehat-rehat di waktu malam. Memang lagu boleh menyentuh perasaan kita, tapi lagu ini ketika itu membuat Sri terfikirkan konsep ‘buka’ dan ‘tutup’ pintu (dan juga buku) dalam kehidupan kita.

Kata seorang kawan yang mahir dalam bidang pengurusan dan perniagaan, kita tak boleh ‘tutup pintu’ begitu rapat bila terdapat peluang perniagaan yang sememangnya tak boleh kita penuhi. Kita mesti beritahu ‘tak boleh’ tapi harus juga kita tunjukkan mungkin di lain kesempatan, peluang itu dan lain-lain dapat kita penuhi. Dengan ini, orang yang berurusan dengan kita tahu kita berminat, tapi tak boleh lakukannya sekarang. Begitu juga jika anda mahu berhenti kerja kerana ingin mencuba nasib di tempat lain – jangan tutup semua pintu; seharusnya hubungan anda dengan mereka yang anda tinggalkan tetap baik walaupun mereka bukan lagi rakan sekerja anda. Lainlah kalau bos anda ‘tutup pintu’ di depan muka anda!

Dalam Islam kita ada amalan membaca surah/ayat tertentu pada awal Muharam dan juga ketika Nisfu Syaaban kerana ketika itulah ‘buku catatan’ harian kita ‘disemak’ agar kita memulakan Ramadan dan awal tahun Islam dengan membuka ‘buku baharu’. Amalan ini – muhasabah diri dan memohon keampunan atas segala kekurangan kita dan ketabahan untuk melorongkan hidup kita pada jalan yang baik adalah rangkaian sikap dan tindakan yang positif dari segi psikologi. Kerana sama seperti kata Nabi s.a.w., dari segi psikologi juga positif atau negatifnya sikap atau tindakan kita berpunca daripada ‘niat’ kita sebenarnya.

Ada orang tak pandai atau sengaja tidak mahu belajar ‘tutup pintu’ dalam kehidupannya. Lantas dia akan mengulang kesilapan-kesilapannya bagaikan perkara itu tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dan ini bukan hanya menjejas kehidupannya malah mereka yang terdekat dengannya. Kata psikologis lagi, ada beberapa kesilapan yang kita lakukan kita mesti berusaha untuk ‘tutup pintu’. Kalau kita tak ‘tutup pintu’ dan belajar daripada kesilapan-kesilapan itu, ia akan berulang lagi, walaupun penjelmaannya mungkin dalam bentuk yang sedikit berbeza. Cakap senangnya, kalau kita tak belajar ‘tutup pintu’, kita sukar membuka pintu lain yang mungkin boleh membahagiakan hidup kita.

Mungkin kita boleh ambil contoh. Orang yang biasa berbohong mulanya mungkin dia berbohong kepada ibu bapanya mengenai perkara-perkara kecil, tapi seperti kata peribahasa kita: Siakap sinohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Daripada bohong yang kecil dia akan berlegar pada bohong yang lebih besar dan akhirnya menipu orang. Selagi dia tak rasa perbuatannya salah dan mewajarkan pula perbuatan itu, misalnya dia kata dia ‘perlu’ berbohong untuk cari makan atau berbohong itu memenuhi keperluan lainnya, perbuatan ini akan diteruskan tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Lebih buruk lagi jika dia mewajarkan perbuatan yang tidak manis dengan selubung ‘kebaikan’ dan sebagainya. Dan perbuatan begini telah dia ulangi berkali-kali dalam kehidupan. Tiap kali ada saja alasan dia melakukannya dan kerana ‘bijak’nya dia mewajarkannya dan pada mata kasar manusia, tiada apa-apa kesalahan telah dia lakukan. Tapi psikologi orang begini tetap sama: selagi apa yang mendorong dia melakukan perbuatan yang awal itu tidak dihuraikan dan dicari penyelesaiannya dengan rasional, dia akan mengulangnya jika ada kesempatan dan selagi dia dapat menutup ‘jejak’nya. Sebab itu agaknya kita disuruh muhasabah diri, bertaubat dan lain-lain, agar pintu-pintu yang tak perlu dibuka lagi, ditutup selamanya dalam kehidupan kita.

Memanglah seperti dinyanyikan Ahmad Daud dan Saloma dalam lagu ‘Nilai Cinta’: ‘Bumi yang mana tak timpa hujan/lautan mana tak bergelombang’, tentunya sebagai manusia kita akan melakukan pelbagai kesilapan. Tapi ada kesilapan itu begitu besar akibatnya dan ada pula akibatnya kecil. Sri rasa, kejujuran kitalah yang akan membantu membezakan keduanya dan akibat sebenar daripada apa pun tindakan kita. Sesekali kita mesti belajar ‘tutup pintu’ pada perkara-perkara yang mungkin menyenangkan tapi menimbulkan akibat yang buruk pada diri kita dan orang-orang yang terdekat dengan kita.

Dan kita harus yakin, pintu yang kita tutup itu, akan Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik kerana walaupun pedih, kita telah cuba ‘buka pintu’ baharu dalam kehidupan kita. Seperti dinyatakan dalam filem The Sound of Music:

‘Bila Tuhan menutup pintu di belakangmu, Dia akan bukakan tingkap untukmu’.

Ditulis: 6 Julai 2000
Tajuk Asal: Kisah Buka Dan Tutup Pintu
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 9 Julai 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Kebangkitan ‘Diri’: Ulasan Terhadap Sebuah Lagi Sajak Muhammad Iqbal

iqbal 1
Prolog
Faktor terpenting bagi memungkinkan perubahan dalam sesuatu masyarakat ialah perubahan sikapnya, demikian dijelaskan oleh Muhammad Iqbal dalam sajak beliau ‘Kisah Biri-Biri Dan Harimau’. Sajak ini, tanpa tajuk kecuali keterangan: ‘A tale of which the moral is that negation of the Self is a doctrine invented by the subject races of mankind in order that by this means they may sap and weaken the character of their rulers’ (Iqbal, Secrets of the Self, hal. 28) pertama kali dimuatkan dalam antologi Asrar-i-Khudi, dalam bahasa Parsi, pada 1915. Saya telah memberikan ia tajuk berdasarkan inti cerita berkias ini dan menterjemahkannya daripada terjemahan bahasa Inggeris oleh R.A.Nicholson. Berikut diperturunkan keseluruhan sajak Iqbal:

Kisah Biri-Biri Dan Harimau

Pernahkah kau dengar waktu dahulukala
Sang biri menginap di suatu daerah
Begitu banyak dan membiak
Hingga tiada apa pun menakutkan mereka?

Tapi akhirnya daripada dengkinya takdir,
Jiwa mereka dihinggapi secebis bencana
Sang rimau keluar dari rimba
Dan menyerang ke ladang mereka.

Menakluk dan menjajah adalah tanda kekuatan,
Kemenangan adalah penjelmaan kegigihan
Rimau-rimau itu memalu gendang pemerintahan,
Dan kaum biri-biri hilang kemerdekaan.

Lalu kerana sang rimau perlukan makanan,
Darah biri-biri bersimbah di ladang.
Seekor biri-biri yang cerdik dan pintar,
Begitu tua tapi licik bagai serigala,
Terlalu duka mengenang nasib bangsa
Dan kesal akan keganasan raja rimba,
Mengutuki takdir yang menimpa mereka
Lalu mencari akal demi kegemilangan kaumnya.

Si lemah, jika mahu menjaga diri,
Mencari kekuatan daripada kemahiran akli.
Demi pertahanan diri dalam perhambaan,
Kekuatan menipu dilipat-gandakan,
Dan tika api dendam mula mencengkam,
Si hamba hanya fikirkan pemberontakan.

‘Betapa malang nasib kita,’ kata si biri-biri,
‘Lautan duka kita tiada bertepi.
Dengan paksaan pun tiada dapat kita lari daripada si rimau:
Kaki kita perak, sedang mereka berkaki besi-waja.

Tidak mungkin, walau dipujuk dan dinasihati,
Mencipta peribadi serigala dalam jiwa biri-biri.
Tapi menukar tabiat rimau menjadi biri-biri—itu mungkin sekali;
Untuk membuat rimau alpa akan peribadinya—itu mungkin belaka.’

Si biri-biri itu pun menjadikan dirinya utusan,
Dan mula berkhutbah kepada rimau-rimau lapar.
Serunya, ‘Duhai engkau pendusta tak bersopan,
Yang tiada tahu hari bencana tidak berkesudahan.
Akulah pemilik kuasa ghaib,
Akulah utusan untuk sang rimau.
Aku datang bagai cahaya bagi mata si buta,
Aku datang menetapkan hukum dan peraturan.
Taubatlah daripada berbuat maksiat!
Jangan fikir dirimu baik!
Sesiapa yang ganas dan kuat kan celaka:
Keutuhan hidup bergantung kepada penafian diri.

Jiwa kebenaran telah dihidupkan:
Oleh makanan sayuran yang menyenangkan Tuhan.
Gigi tajammu hanya membawa padah
Dan menjadikan mata batinmu buta
Syurga hanyalah untuk si lemah,
Kekuatan hanya menempah neraka.
Adalah dangkal mencari kemegahan dan keagungan,
Kemiskinan itu lebih baik daripada kekuasaan
Guruh kilat tiada menakutkan sebutir jagung:
Bencana tiba, bila biji-biji jagung berkumpul
Jika kau bijak, jadilah sebutir pasir, bukan padang sahara,
Agar daripadanya kau nikmati sinar suria.

Duhai kau yang gemar menyembelih biri-biri,
Sembelihlah dirimu agar kau kecapi kemuliaan!
Hidup ini menjadi tidak tenteram
Oleh keganasan, penindasan, dendam dan kekuasaan
Namun walau sering dipijak, rumput tumbuh melata
Dan menghilangkan sentuhan maut daripada dirinya
Lupakan dirimu, jika benar kau bijaksana!
Jika tidak, kau tentu kan gila
Tutuplah mata, bibir dan telinga
Biar fikiranmu menerawang ke angkasa raya!
Padang dunia ini tiada erti atau berkekalan:
Duhai si jahil, usah seksa dirimu dengan khayalan!’

Kaum rimau yang dilelahkan pergelutan,
Ingin pula menikmati keselesaan
Nasihat bercandu biri-biri itu menyenangkan mereka,
Dalam kejahilan termakan mereka kata manisnya.

Dan kaum rimau yang pernah memakan biri-biri
Kini menganut agama biri-biri.

Sang rimau mula memakan sayur-mayur:
Akhirnya tabiat kerimauan mereka hilang
Sayur-sayuran menumpulkan gigi-gigi tajam
Melenyapkan sinaran mata nan menggerunkan
Berdikit-dikit keberanian mereka pun surut,
Bagai hilangnya sinar pada cermin buruk.

Usaha gigih pun tiada lagi kedapatan,
Dan keinginan bertindak pun tiada kelihatan
Sang rimau hilang kuasa dan dijajah,
Hilanglah kehormatan, kemuliaan dan harta
Kaki besi mereka menjadi tiada daya;
Mati jiwa mereka dan jasad merekalah kuburnya.
Kekuatan jasmani mereka menurun, ketakutan ghaib meninggi:
Ketakutan ghaib melenyapkan daya berani.
Hilangnya keberanian menimbulkan berbagai penyakit:
Kemiskinan, kebaculan, jahil.

Si rimau perkasa dicandui biri-biri:
Kejatuhannya digelar ‘Berbudaya Tinggi’.

Sedikit Huraian Sajak Ini
Dua jenis binatang telah dikemukakan oleh Iqbal iaitu biri-biri dan harimau, bagi melambangkan kaum dijajah dan penjajah dalam sajak ini. Biri-biri yang pernah bermarahjalela dan berkuasa akhirnya dikalahkan oleh kaum Harimau yang tiba-tiba ‘keluar dari rimba’. Adalah lebih mudah bagi kaum biri-biri menyerah kalah tetapi ternyata mereka bukan bangsa yang hanya ingin menyerah kepada nasib yang menimpa. Walaupun secara fizikal dan alamiah adalah sukar untuk mengalahkan kaum Harimau, tetapi mereka telah menggunakan cara halus iaitu cara psikologi bagi mengubahkan sikap Harimau agar mudah dilentur.

Perubahan sikap inilah yang dianjurkan oleh ‘seekor biri-biri yang pintar dan cerdik’ dan dengan demikian daya ketahanan kaumnya dapat dipertahankan sedangkan ketahanan kaum Harimau dapat dimusnahkan dari dalam.

Iqbal yang mengarang sajak ini pada awal kurun ke-20, ketika hampir semua negara Islam dicengkam penjajahan, sebenarnya ingin menyedarkan pembaca zamannya akan bahaya penjajahan dan juga sikap yang diperlukan demi mengelakkan diri daripada nasib sedemikian. Negara-negara Islam, menurut Iqbal, pernah segagah kaum Harimau iaitu pada zaman Nabi s.a.w., khulafar ar-Rasyidin, kerajaan-kerajaan Umayyah, Abbasiyah dan lain-lain. Islam pernah menampilkan bukan sahaja ahli agama bahkan cendekia dalam bidang sains, perubatan, ilmu hisab, falsafah dan sebagainya.

Kekuatan Islam ketika itu, terutama dari segi mentifaknya, adalah jauh ke hadapan jika dibandingkan dengan negara-negara Barat yang masih dilanda Zaman Kegelapan. Cendekia Islam telah juga mempelajari falsafah Yunani, mengambil buah falsafahnya yang ranum dan memperkuatkan daya intelek umat Islam yang akhirnya sampai juga ke Barat. Namun, kekuatan intelek yang serupa dengan ketangkasan sang Harimau ini menerima kegenjotan apabila berlaku terlalu banyak perbalahan, tertutupnya pintu ijtihad serta serangan kaum Mongol ke kota Baghdad pada 1258 Masihi. Walaupun setelah ini ada secarik sinar Harimau di sana sini, sinar-sinar itu tidak lagi gemilang. Keadaan ini, menurut Iqbal, diburukkan lagi oleh kedatangan penjajah Barat pada abad ke-19. Natijahnya, peribadi gagah Harimau bertukar rupa.

Kaum Biri-biri sedar bahawa adalah mustahil ‘mencipta peribadi serigala dalam jiwa biri-biri’, lantas mereka menggunakan tipu muslihat untuk ‘menukar tabiat rimau menjadi biri-biri/membuat rimau alpa akan peribadi’. Inilah bius terbaik bagi menghilangkan kesedaran kaum Harimau dan meniadakan kebangkitan ‘diri’ kaum Harimau.

Dalam kebanyakan tulisannya Iqbal sering menegaskan bahawa adalah penting menegakkan ‘diri-diri’ yang utuh bagi pembangunan masyarakat. Konsep yang sering beliau gunakan ialah ‘khudi’ yang bererti ‘diri’, ‘peribadi’ ataupun ‘ego’. Nicholson dalam pengantar kepada antologi Secrets of the Self, telah mentakrifkannya sebagai ‘selfhood, individuality, personality’ (hal. X).
Konsep ‘ego’ yang digunakan Iqbal tidak sama dengan takrif ‘ego’ yang sering kita gunakan iaitu yang berkonotasi negatif. Melalui konsep ini, manusia digesa untuk membangkitkan ‘diri’ ataupun ‘peribadi’nya sebaik mungkin, menggilapnya dengan ‘cinta’ (‘isyq’; bukan cinta biasa), ilmu dan hikmah agar ia mencapai taraf ‘Insan Sempurna/Insanul Kamil’.

Konsep ‘Insan Sempurna’ ini, walaupun telah sedia ada dalam khazanah ilmiah Islam, banyak persamaan dengan konsep ‘Super-man’ gagasan Nietzsche, yang falsafahnya, selain falsafah Bergson, banyak mempengaruhi cakerawala mental Iqbal. Bagi Iqbal, hanya apabila ‘diri’ ataupun ‘peribadi’ seseorang itu telah diteguhkan sebaik mungkin dengan adanya unsur perjuangan, barulah akan tumbuh ‘millat’ ataupun masyarakat yang utuh yang dapat memberi saham kepada kehidupan. Kegagalan membangkitkan ‘diri’ atau ‘ego’ akan hanya melemahkan peribadi sesebuah masyarakat, sebagaimana terjadi kepada kaum Harimau.

Kehadiran ‘utusan-utusan palsu’ kaum Biri-biri, yang mendendangkan kealpaan masa kini, penafian ‘diri’ dan mendodoikan keseronokan alam ghaib sahaja telah menjadi belati yang paling berkesan bagi membunuh kebangkitan peribadi sang Harimau. Seperti hujah utusan mereka: ‘sesiapa yang ganas dan kuat kan celaka/keutuhan hidup bergantung kepada penafian diri’. Segala-segala yang pernah menjadikan golongan Harimau perkasa, sama ada ketajaman gigi mereka kerana memakan biri-biri, perjuangan mereka untuk mencapai kemegahan dan keagungan, ilmu yang mereka miliki mahupun perpaduan mereka yang teguh, adalah perkara-perkara yang sebenarnya akan menjahanamkan mereka, menurut utusan Biri-biri. Lantas, mereka harus menganut falsafah hidup Biri-biri kerana ‘syurga hanya untuk si lemah’ dan ‘padang dunia ini tiada erti atau berkekalan’.

Sebagai manusia, kita sering mempercayai sesuatu jika ia sering dipaparkan; demikianlah sentuhan psikologi yang telah dilakukan oleh sang Biri-biri terhadap golongan Harimau. Utusan-utusan mereka telah mencanangkan falsafah hampas, bukan saripati falsafah kebangkitan kerana hanya dengan berbuat demikian mereka dapat menghancurkan saraf ketahanan kaum Harimau. Kemerosotan peribadi Harimau, bagai suatu ‘zero-sum-game’, akan mengukuhkan peribadi kaum Biri-biri dan kemerosotan ini akan terus menjunam kerana kaum Harimau terlalu leka dinina-bobokkan oleh segala yang muluk di hari kemudian. Kematian ‘diri’ inilah yang menjadikan kaum Harimau tidak lagi berani menghadapi kenyataan, tidak lagi pandai berjuang, mudah diselesakan dan terlalu leka dicandui kata-kata manis sang Biri-Biri. Dan seperti watak utama novel 1984 karya George Orwell, yang akhirnya menganuti fahaman ‘Big Brother’, begitu jugalah dengan kaum Harimau; inilah menjadi titik-tolak bagi kejatuhan Harimau dengan begitu teruk, bagai terlaksananya teori domino.

Dengan keberanian mental dan fizikal kaum Harimau menurun dan dengan bertunjangnya ‘ketakutan ghaib melenyapkan daya berani’, maka timbullah berbagai wabak di kalangan Harimau iaitu ‘kemiskinan, kebaculan, jahil’. Dan inilah kejayaan mutlak sang Biri-biri apabila sang Harimau yang gagah dapat ditundukkan dan semua ciri positif Harimau dinegatifkan dan ciri negatif itu pula dianggap sebagai ‘berbudaya tinggi’. Ternyata kekuatan akliah yang tinggi daripada sang Biri-biri dan tiada berkembangnya ‘diri’ sang Harimau telah menyebabkan kejayaan puak pertama dan kemusnahan puak kedua.

Epilog
Dalam sajak ‘Kisah Biri-Biri Dan Harimau’ ini ternyata suatu sindiran yang tajam Iqbal terhadap masyarakat Islam di zamannya yang telah menjadi ‘harimau tak bergigi’ apabila bertembung dengan ‘biri-biri penjajahan’. Walaupun zaman penjajahan telah hampir tiada di dunia hari ini, namun analisis beliau dapat kita jadikan iktibar di masa kini mahupun di masa-masa menjelang. Bagi Iqbal, kejatuhan sesuatu bangsa atau negara berpunca daripada sikap mereka yang kurang tegas menghadapi bencana dan juga ketiadaan usaha terus menerus untuk membangkitkan ‘diri’ ataupun ‘peribadi’ Selagi ‘diri’ tidak diperkembangkan akan terbantutlah segala usaha untuk mengukuhkan masyarakat. Dan tidak akan muncul kaum Biri-Biri yang kuat dan dapat mengalahkan kaum Harimau, seandainya mereka tidak bersenjatakan akal yang sihat, sikap yang betul dan keberanian yang mutlak serta berperisaikan ‘diri’ atau ‘peribadi’ yang bangkit serta sering diperkukuhkan dan digilap.

Disiapkan: 17 Ogos 1989
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 1989
Tulisan: Rasiah Halil.

Kata Mutiara Daripada Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad

Jangan Remehkan Amal Sekecil Apa Pun: halaman 59

Beramallah sebanyak mungkin, dan pilihlah amal yang dapat kamu kerjakan secara berkesinambungan (mudawamah). Jangan remehkan satu amal pun yang pernah kau kerjakan, meskipun ia hanya kalimat tahlil (la illaha illah) atau tasbih ( subhanallah ), kerana bisa jadi justeru amal yang kau remehkan itu yang menyebabkanmu memperoleh reda Allah. Berilah makan kepada mereka yang kelaparan, dan jangan meremhkan hal ini. Sebab, setelah Imam Ghazali meninggal dunia, seseorang bermimpi bertemu dengannya dan bertanya, “Bagaimana Allah memperlakukanmu?”

“Dia mengampuniku,” jawab Imam Ghazali.

“Amal apa yang menyebabkan Allah mengampunimu?”

“Suatu hari, ketika aku sedang menulis, tiba-tiba seekor lalat hinggap di penaku. Kubiarkan ia minum tinta itu hingga puas.”

Ketahuilah, amal yang bernilai tinggi adalah amal yang dianggap kecil dan dipandang remeh oleh nafsu. Adapun amal yang dipandang mulia dan bernilai oleh anfsu, pahalanya dapat sirna, baik kerana pelakunya, amalnya itu sendiri ataupun kerana orang lain yang berada di sekitarnya.

Lentera Hati: halaman 102-103

Jika seorang hamba berasakan dalam dirinya terdapat ajakan untuk melakukan ketaatan dan seruan untuk membenci kemaksiatan, maka hatinya memiliki cahaya. Cahaya ini akan membimbingnya. Ia bagaikan lampu yang menyala dalam rumah yang gelap. Seandainya tidak ada lampu itu, maka ia tidak mampu melihat apa pun, bahkan benda yang berada paling dekat dengannya ia tidak mampu melihatnya. Jika cahaya tersebut telah bersinar kuat di hati, maka sinarnya akan menjalar hingga ke anggota tubuh.

Dikisahkan bahawa suatu hari seorang ahli bekam mengundang sejumlah orang soleh untuk menyantap hidangan. Dan tanpa sepengetahuan mereka, hidangan yang disajikan ternyata haram (diperoleh dengan cara yang haram). Kendati telah berulang kali berusaha, ternyata mereka tidak dapat menghulurkan tangannya untuk menikmati hidangan tersebut. Akhirnya mereka meninggalkan rumah ahli bekam itu tanpa memakan apa pun.

Salah seorang di antara mereka berkata, “Aku melihat makanan itu berubah menjadi darah busuk.”

“Aku melihatnya sebagai api yang menyala-nyala.”

Orang yang kedua ini lebih sempurna daripada orang yang pertama kerana dia melihat makanan haram tersebut sesuai hakikatnya iaitu api. [Artinya cahaya hati tersebut membuat mata mampu melihat segala sesuatu sesuai hakikatnya, makanan haram sebagai api yang menyala atau darah busuk.]

Pertolongan Orang Yang Telah Meninggal Dunia: halaman 125-126

Ketika seseorang bertanya kepada Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad (r.a.), apakah orang-orang yang telah meninggal dunia dapat memberikan manfaat kepada yang masih hidup, maka beliau berkata:

Benar, mereka yang telah meninggal dunia dapat memintakan syafaat bagi yang masih hidup dan mendoakan mereka. Sesungguhnya amal orang-orang yang masih hidup oleh Allah dipertontonkan kepada mereka. jika melihat amal baik, maka mereka mendoakan pelakunya agar dapat terus melakukan dan meningkatkan kebaikan tersebut. Dan jika melihat perbuatan buruk, mereka mendoakan agar pelakunya bertaubat dan mendapat ampunan daripada Allah, sebagaimana tersebut dalam sebuah riwayat.

Sesungguhnya orang-orang yang telah meninggal dunia dapat memberikat manfaat kepada yang masih hidup jauh lebih banyak daripada manfaat yang mereka terima daripada yang hidup. Sebab, manusia yang masih hidup sibuk mencari rezeki, sedangkan yang telah meninggal dunia tidak bekerja lagi. Mereka hanya berzikir dan menikmati hasil amal soleh yang mereka kerjakan dahulu di dunia. Hanya inilah kegiatan mereka seperti para malaikat.

Jika seseorang bermimpi melihat orang yang telah meninggal dunia membaca al-Quran di kuburnya dan kisah-kisah seumpama itu yang menunjukkan bahawa orang-orang yang telah meninngal dunia melakukan amalan tertentu, maka ketahuilah bahawa tampaknya mereka tidak mendapat pahala atas amal soleh yang mereka kerjakan di alam barzakh tersebut. Sebab, mereka telah meninggalkan dunia. Mereka melakukan amal soleh itu sekadar untuk mencari kenikmatan, sebagaimana para malaikat, sebab makanan mereka adalah zikir. Adapun hadis yang menyebutkan bahawa jika anak cucu Adam meninggal dunia maka amalnya terputus, hingga akhir hadis, maka yang dimaksud dengan terputus adalah amal mereka untuk diri mereka sendiri.

Petikan-Petikan Daripada Buku Setetes Hikmah. Kumpulan Nasihat Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad, disusun oleh Naufal (Novel) bin Muhammad Alaydrus, Indonesia: Taman Ilmu, 2008. Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad (1634 – 1720 Masihi) seorang ulama yang tersohor dari Tarim, Yaman. Buku-bukunya banyak digunakan di Nusantara sehingga kini.

4 Ramadan 1437 Hijriah/9 Jun 2016.