3 Kuntum Sajak: ‘Transit’, ‘Penawar’ Dan ‘Kunta Kinte: Pertemuan Kedua’

Transit

Kita pun bagai dalam transit
menanti masa
menukar penerbangan
& saat-saat singkat
terasa hangat
oleh resah
& ketidaktentuan.

Kitakah sedia maklum
seksaan seketika
penantian berkala
perubahan suasana
dari satu ke lain lapangan terbang
atau nanti detik-detik indah terhakis
ruang transit sesak
penumpang bingit
kerana jenuh
menanti & bergilir.

Kitakah berlenggang
kerana beg-beg besar tersimpan
atau sekadar alpa
di ruang transit kehidupan ?

Ditulis: 3 Jun 1992
Concord, California, Amerika Syarikat
Tulisan: Rasiah Halil.

Penawar

Bukan sekadar barisan kata
menyingkap sejarah
menalikan janji
berkias & bercerita
ketakterhinggaan pesanan
di tubir masa.

Kata-katanya adalah penawar
perawat kekusutan
pengubat keresahan
penyembuh kelumpuhan hati
embun segar
jejak-jejak kembara ini.

Ayat-ayat yang gemersik
surah-surah nan beralun
adalah muzik hati
meresap ke nurani
menanjapkan peribadi
mencairkan kecelaruan
dalam kejernihan
nada-nada hakiki.

Ditulis: 13 – 14 Disember 2005
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kunta Kinte: Pertemuan Kedua
(Your name is your spirit. Your name is your shield.
-Petikan dialog drama sejarah ‘Rootstayangan 2016)

Kau boleh keluarkanku dari Afrika
kau boleh memperhamba
menukar namaku
memotong sebahagian kakiku
menjadikankan aku barangan
diseksa, dihina, diperlekeh
demi ladang tani, nafsu
& keangkuhan yang tidak bertepu.

Tapi kau lupa
aku Kunta Kinte, bukan Toby
pendekar Mandika
yang tidak lupa asal-usulnya
betapa kau menyulap sejarah, masa
darah perjuanganku tetap menggelegak
ditindan ketidakadilan, kezaliman
& gagal melucutkan secarik maruah
serta jati diri nan membara.

Namaku Kunta Kinte
jiwaku merdeka
walau dipasung pelbagai cara
biar kebodohan merajalela
biar kami buta huruf, bertaraf haiwan
semangatku tak mungkin pudar
atau mudah kaupatahkan
kerana kami berperadaban
merdeka, kaya harta
sebelum kauculik & larikan ke Amerika.

Aku Kunta Kinte
daripada keturunan pendekar
dikelar menyaksi segala
dibelenggu peladang & konco-konconya
yang zalim, kejam, serakah
namun semakin kau menindas kami
semakin menyala api penakatan ini
meluap bagai gunung berapi
memuntahkan lahar
menghancurkan sekitar
orang-orang seperti kau
& selamanya membajai
semangat & maruah kami.

Ditulis: 31 Mei – 9 Jun 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s