Ambil Kesempatan Ramadan Hargai Ibu Bapa

Dah seminggu kita berpuasa. Rasa letih dan lesu ketika mula-mula berpuasa dah pun berkurang. Dan anak-anak kita, walaupun kerenahnya masa bersahur dan berbuka masih belum reda, dah tak seteruk pada mula-mula puasa sebab mereka dah makin biasa.

Ramadan selalu memusarkan berbagai kenangan terutama bagi kita yang telah meningkat usia. Kita teringat zaman tinggal di kampung – betapa meriahnya ketika berbuka dan menyambut satu likur, seolah-olah seluruh kampung turut bergembira bersama kita. Dan semasa sahur, senang pula kita kejut mengejut antara satu sama lain, maklumlah kalau tinggal rumah kampung, mudah kita lakukan sedemikian. Dan yang indah, jika anda tinggal tidak jauh dari masjid, seperti Sri suatu masa dahulu, anda akan dengar orang bertarhim semasa bersahur dan pada sebelah malam pula, bertadarus. Suasananya amat berbeza dan Ramadan menjadi bulan yang istimewa dan dinanti-nantikan, walaupun sebagai kanak-kanak kita mungkin rasa ‘terseksa’ ketika mula belajar berpuasa.

Kenangan kita pada bulan ini selalu juga berkisar kepada mereka yang telah tiada atau mereka yang jauh dari mata. Yang telah pergi itu, pada bulan inilah kita selalu lebihkan apa-apa sedekah kita untuk mereka kerana Ramadan seolah-olah lebih mendekatkan kita kepada mereka, walaupun mereka kini di alam barzakh.

Sri teringatkan nenek Sri. Tiap munculnya Ramadaan dan ketika berakhirnya Ramadan beliau selalu mengucapkan: entah jumpa lagi Ramadan ke tidak? Bukan Hari Raya yang membuatnya terkenang, tetapi Ramadan. Orang-orang yang dikenali satu-satu pergi buat selama-lamanya, lantas Ramadan membuat nenek Sri lebih menghargai akan hidup yang dilaluinya. Kini sudah 9 tahun Sri tak dengar lagi ucapannya itu. Seakan-akan hanya baru semalam dia bersama: menyediakan makanan-makanan istimewa semasa Ramadan, mengajar menganyam ketupat, sepit kuih tart dan makmur, berseloroh dengan cerita jenaka, hantu, atau kisah-kisah sejarah, agama dan sastera dan lebih daripada ini semua – menunjukkan dengan tindak tanduk dan pergaulannya erti ihsan, ikhlas, ramah dan tabah.

Seperti manusia lain, nenek Sri ini ada juga kekurangannya tetapi kekurangannya adalah sedikit berbanding dengan kebaikannya. Sebagai orang yang rapat dengannya, Sri sewaktu-waktu ada juga mengecilkan hatinya dan merajuk atau marah dengannya. Tapi merajuk/ marah Sri tidaklah lama kerana Sri tahu nenek Sri benar-benar sayangkan Sri dan kalaupun dia marahkan Sri, dia lakukan itu untuk kebaikan Sri. Salah satu penyesalan Sri setelah beliau meninggal dunia ialah keinsafan Sri betapa sedikit jasanya dapat Sri balas. Dan betapa pun Sri balas, Sri tak akan dapat membalas segala jasa baiknya yang diberi dengan ikhlas. Nenek Sri menyayangi Sri tanpa syarat (unconditional) dan percaya akan kebaikan dan kebolehan Sri – sesuatu yang amat menyentuh hati Sri. Dalam serba kekurangan Sri, dia terlihat kebaikan, di tengah-tengah manusia mencemuh, dia meyakinkan – bagaimanakah dapat Sri lupakan seorang insan seperti beliau, terutama ketika Ramadan ?

Seorang lagi yang sering Sri terkenang ialah bapa Sri. Orangnya pendiam tapi kena dengan orangnya, dia petah berbual. Dia suka membaca dan bila bercakap menggunakan sebutan baku dan pandai pula membuat pepatah-pepatah sendiri yang agak lucu. Bapa Sri, sebagaimana nenek Sri, banyak mengharungi ujian hidup. Tapi dia sabar dan tabah. Dan dia tidak garang tapi mudah didekati. Sri bukanlah anak yang paling disayanginya tapi Sri bahagia mendapat sebahagian kasih sayangnya.

Yang Sri terkenang ialah menemaninya makan setelah ibu Sri tiada, menyuntik lengannya dengan insulin untuk penyakit kencing manisnya, bercuti hampir sekeluarga ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta Holden jenis stationwagon, pergi ke pejabatnya di Telok Ayer Basin dan melihat bot tunda (bumboats), berbincang-bincang terutama pasal sejarah setelah beliau membaca sesuatu, melihatnya berehat di kerusi malas (rocking chair) di beranda rumah kami dan pelbagai kenangan Ramadan dan Hari Raya bersamanya.

Bapa Sri meninggal dunia di negara asalnya ketika Sri menduduki peperiksaan tahun pertama di universiti. Sri terlalu terperanjat dan tak boleh pun menangis kerana peperiksaan yang Sri hadapi. Sri menangis selepas itu dan ketika Sri mendapat ijazah, beliaulah orang yang paling Sri terkenang. Sri terkilan kerana tidak dapat membalas segala jasa baik bapa Sri kerana tidak berkesempatan. Dan kalaulah masa boleh ditukar, betapa Sri ingin membalas jasanya, jasa nenek Sri dan orang-orang yang Sri sayang.

Mengapa Sri berpanjang lebar mengenai kenangan silam pada bulan mulia ini ? Kerana orang silam terutama ibu bapa/datuk nenek banyak membentuk kita. Ramadan seharusnya menjadi bulan yang merapatkan hubungan kita dengan ibu bapa, keluarga dan sahabat handai. Benar seperti kata pepatah: kebajikan itu harus bermula dari rumah. Sementara kita ada masa dan upaya, rapatilah orang-orang yang terdekat dengan hidup kita iaitu ibu bapa kita. Anda tidak akan tahu nilai kasih sayang mereka melainkan anda telah kehilangannya. Dan apa pun kebaikan yang dapat anda berikan tidak akan dapat membalas jasa baik mereka membesarkan dan menyayangi anda. Ambillah kesempatan bulan mulia ini untuk lebih menghargai dan membahagiakan ibu bapa anda.

Ditulis: 30 November 2000
Tajuk Asal: Bulan Puasa Dan Kenangan Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 3 Disember 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s