Kecemerlangan Akademik Bukan Mustahil Bagi Pelajar Melayu

Hiasan Filem Finding ForresterProf Ahmad Ibrahim 2Ahmad Ibrahimimg0008Dr Sharom Ahmat

Lebih dua bulan yang lalu saya menonton sebuah filem berjudul ‘Finding Forrester’. Filem ini dibintangi oleh Sean Connery sebagai penulis berusia 60-an yang reklusif, Willam Forrester, dan Rob Brown, sebagai Jamal Wallace, pelajar kulit hitam yang berusia 16 tahun, pemain bola sepak dan bola keranjang serta bijak dalam bidang akademik dan penulisan. Setelah menonton filem ini, saya berasa ceria; ia bagaikan menjawab beberapa persoalan yang saya fikirkan selain memecahkan beberapa stereotaip yang kita terbiasa.

Stereotaip adalah semacam gambaran yang dibina berabad mengenai seseorang atau sekumpulan manusia serta amalan hidup mereka. Seringkali apa yang dianggap stereotaip itu bermula daripada sesuatu yang mungkin kecil, kemudian dengan kesan kumulatif dari masa ke semasa, ia bagaikan batu-batu besar yang sukar dipecahkan. Filem ‘Finding Forrester’ memecahkan beberapa stereotaip: bahawa pemuda berkulit hitam hanya pandai bersukan tapi tidak cemerlang dalam bidang akademik atau seorang penulis veteran/kawakan yang berkulit putih tentunya penuh ego dan sukar menganggap orang yang baru menceburi bidangnya boleh cemerlang. Kedua-dua Forrester dan Jamal menunjukkan stereotaip itu tidak berlaku dalam hidup mereka. Di luar anggapan-anggapan biasa bila baru mengenali seseorang, kedua-duanya memberi gambaran betapa indahnya jika kita berani keluar daripada stereotaip-stereotaip yang kita sudah terbiasa menerima dalam hidup kita.

Seringkali dalam kehidupan harian atau bidang pekerjaan, stereotaip ini berlaku. Daripada perkara-perkara yang sering digembar-gemburkan, orang membuat andaian bahawa kita tentunya seperti gambaran yang mereka sudah terbiasa. Sebab itu agaknya ada di antara kita bagaikan terperanjat bila kita membaca ada pelajar kita cemerlang atau ada anggota masyarakat kita berjaya dalam satu-satu bidang. Ada pula macam tidak puas hati, lantas ‘mengorek-ngorek’, mungkin orang-orang seperti Dr Azlinda Anwar atau Dr Mansoor Jalil bukanlah suatu kemustahilan atau di luar jangkauan; ‘kemustahilan’nya timbul apabila kita termakan dengan gambaran stereotaip bahawa pelajar-pelajar kita tidak boleh cemerlang. Saya yakin ramai di kalangan kita boleh cemerlang dalam apa pun bidang pilihan kita selagi kita tekun berusaha, tabah dan tersedia peluang-peluang untuk mengasah kebolehan dan bakat kita.

Saya amat bangga dengan kejayaan Dr Azlinda dan Dr Mansoor tetapi lebih daripada itu, saya akan lebih berbangga jika keyakinan kita semakin tertancap bahawa kejayaan mereka bukanlah suatu ‘ketidak-sengajaan’ tetapi kemungkinan yang seharusnya berlaku, insya-Allah.

Mereka merupakan kesinambungan daripada rentetan anggota masyarakat kita yang cemerlang dalam beberapa bidang: daripada peguam dan kemudian mahaguru bidang perundangan, termasuk perundangan syariah yang mendapat ijazah berganda kelas pertama (‘double 1st class honours’) dari Universiti Cambridge pada tahun 40-an, (Prof. Dr. Ahmad Ibrahim), pelajar sejarah yang mendapat ijazah kelas pertama di Universiti Singapura pada awal tahun 60-an, (Dr. Sharom Ahmat), pelajar perakaunan yang juga mendapat ijazah kelas pertama pada awal 70-an di Universiti Singapura (Encik Abdul Aziz Md. Hussain), Dr Mashuddin Rajudin (Dr Mash-Hoordin/Mash-Hoodin Rajudin), pakar ginjal kita pada akhir tahun-tahun 60-an, yang menetap di California dan seorang juruterbang/jurutera penerbangan dengan Tentera Udara Diraja (Royal Air Force/RAF, Britain) pada awal tahun 60-an di Britain (Encik Ahmad Haleem). Kesemua mereka memecahkan stereotaip kerana sebahagian besar masyarakat tidak percaya kecemerlangan-kecemerlangan begini boleh berlaku apalagi oleh anggota masyarakat yang secara nisbah, kecil jumlahnya.

Seringkali juga stereotaip-stereotaip boleh menyukarkan kehidupan seseorang. Anda berpakaian tertentu ada pula menganggap anda tentunya tidak berkelulusan tinggi atau bijak sehinggalah mereka mendengar anda bercakap. Ada pula, melihat perawakan seseorang terus menerima gambaran stereotaip bahawa orang ini tidak boleh cemerlang, tidak boleh berniaga, tidak ‘betul’, tidak ada pengetahuan agama dan lain-lain. Walhal ada juga Sri terbaca, kadangkala orang-orang yang benar-benar cemerlang, gambaran kecemerlangan yang stereotaip itu pun tidak akan anda jumpa di kalangan mereka. Tentu anda juga ada terbaca misalnya mengenai wali-wali Allah: orang-orang begini sederhana sahaja tetapi dalam ilmunya berbeza dengan stereotaip-stereotaip mengenai mereka yang tahu ilmu agama.

Stereotaip yang positif itu mudah membantu kita. Misalnya ada stereotaip mengenai kecemerlangan dalam bidang perniagaan ataupun akademik bagi satu-satu kelompok manusia. Bersandarkan ini, mereka lebih mudah merintis kejayaan-kejayaan baharu dalam bidang tertentu. Bagi yang terbiasa diberi gambaran stereotaip yang negatif, untuk memecahkan lingkaran stereotaip tadi memerlukan ketekunan dan ketabahan yang bukan sedikit. Bila orang lain memberi tumpuan 100 peratus, kita terpaksa memberi tumpuan 200 peratus dan sebagainya. Kalau tumpuan kita setakat sama atau kurang daripada 100 peratus, kejayaan yang ingin kita kecap, tidak sampai ke mana. Kita berlegar di lingkaran serupa.

Memecahkan stereotaip bukanlah kerja yang mudah, tetapi ia bukan pula sesuatu yang mustahil. Yang utama, kita haruslah memecahkan apa yang ditafsirkan sebagai stereotaip negatif dan menambahkan stereotaip positif dalam masyarakat kita agar laluan masa kini dan masa depan kita lebih mudah diterokai oleh sebilangan besar anggota masyarakat kita.

Ditulis : 17 Jul 2001
Tajuk Asal: Menonton Filem ‘Finding Forrester’ Dan Memecahkan Stereotaip
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 22 Julai 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s