Muhammad Ali: 17 Januari 1942 – 3 Jun 2016

MA 1MA 2MA 3MA 4MA 5MA 6

Allahyarham Muhammad Ali bukan hanya seorang juara tinju ‘heavyweight‘ dunia sebanyak tiga kali – perjuangannya melambangkan lebih daripada seorang yang aktif dan juara yang memikat dunia dalam dunia tinju. Beliau bersuara mengenai perang di Vietnam dan menerima padah daripada tindakan tidak mahu pergi berperang di Vietnam. Allahyarham juga bersuara mengenai diskriminasi bukan hanya terhadap masyarakatnya malah kelompok-kelompok yang lain.

Menganut agama Islam melalui Nation of Islam, yang dipimpin oleh Elijah Muhammad pada 1964, seperti Malcolm X (Malik El- Shabazz), beliau kemudian keluar daripada Nation of Islam dan memeluk Islam aliran utama iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni). Dan walaupun banyak pergerakannya dibataskan kerana penyakit Parkinson yang dihadapi sejak 30 tahun sebelum pemergiannya ke rahmatullah, Allahyarham tidak pernah kendur dalam membantu masyarakat sekitar dan dunia – baik mereka yang dibaham kezaliman dan perang seperti di Palestin, Bosnia, Iraq dan di beberapa pelosok dunia serta acara-acara kemasyarakatan yang memerlukan bantuannya.

Benar, Allahyarham hanyalah manusia biasa yang mempunyai kelemahan-kelemahannya tetapi melebihi segala kelemahannya ialah seorang insan, daripada kaum yang lama tertindas di Amerika, seorang yang berani menongkah arus dan sanggup menerima akibat daripada tindakannya dan seorang hamba Allah yang semakin meningkat pemahamannya terhadap agama Islam, semakin menebarkan sayap ihsan dan keamanan yang dirisalahkan oleh Islam.

Dan kita terharu membaca penolakannya membenarkan namanya diletakkan di jalanan yang masyhur dengan nama-nama bintang cemerlang kerana beliau enggan nama Nabi Muhammad s.a.w., yang menjadi sebahagian namanya, dipijak oleh pejalan kaki di sana. Betapa besar rasa hormatnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi sumber ilhamnya. Beliau hanya membenarkan namanya diletakkan bukan di jalanan tapi di tembok tempat masyhur itu agar nama Nabi besar kita tidak dicemar.

Pelbagai cara Allah melorongkan seseorang itu menjadi lebih bermakna dalam kehidupannya dan menjadi semacam ‘duta’ bagi agama Islam – dengan mesej kemanusiaan dan kasih sayang. Allahyarham Muhammad Ali bertuah kerana diberi secercah peranan sedemikian.

Beliau atlet yang sukar dicari ganti – peninju dan juga penyair, yang yakin pada diri sendiri dan kadangkala watak yang dipamerkan seakan ‘angkuh’ dan menunjal pihak lawan tapi di sebalik itu semua, beliau bersifat rendah hati dan tahu bila sebuah ‘permainan’ bermula dan bila kehidupan sebenar yang seharusnya diberi makna. Yang ‘The Greatest’ hanyalah Allah – Muhammad Ali telah diberi sekelumit rasa kebesaran dan kecemerlangan itu dan kita sebagai penonton begitu terpesona. Dan akhirnya, di luar medan tinju, perjuangan Islam dan kemanusiaannyalah yang meneguhkan pendirian dan membolehkan Allahyarham meletakkan mercu tanda yang tinggi untuk kita renungkan, bincangkan dan cuba mencapainya dalam kehidupan yang singkat dan sementara ini.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Muhammad Ali dan menempatkan Allahyarham di kalangan hamba pilihan-Nya di Jannah. Amin. Al-Fatihah.

4 Ramadan 1437 Hijriah/9 Jun 2016
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s