Ulasan Sajak ‘Kisah Permata Dan Arang Batu’ Tulisan Muhammad Iqbal

iqbal 1iqbal

Sajak: Kisah Permata Dan Arang Batu

Sekarang akan kubuka satu lagi pintu Kebenaran,
Akan kuceritakan kau satu lagi kisah.

Arang Batu dalam lubang itu berbicara kepada Permata:
‘Duhai engkau yang telah dikurniakan keindahan yang baka,
Kita rakan seperjuangan, zat kita adalah sama;
Sumber kewujudan kita adalah serupa,
Akan tetapi aku mati di sini dalam kedukaan tak berharga,
Sedang engkau bertakhta di atas mahkota raja-raja.

Bahan tubuhku terlalu hina sehingga aku dinilai lebih rendah daripada tanah,
Walhal cermin hati terpukau oleh keelokanmu.
Kehitamanku hanya menggilap periuk belanga
Sesudah itu diriku dihangusi hingga ke akhirnya.
Tiap orang meletakkan tapak kakinya di atas kepalaku
Dan menutupi intipati kewujudanku dengan abu.

Sesungguhnya nasibku begitu disesalkan;
Adakah kau tahu apakah intipati kewujudanku?

Kau adalah kepulan-kepulan asap yang dipadatkan
Dianugerahi dengan jisim-jisim bunga api,
Bentuk dan sifatmu bagaikan bintang,
Keindahan terserlah daripada tiap ruang tubuhmu.
Sekarang engkau menjadi sinar bagi mata baginda,
Sekarang kau menghiasi pangkal belati pula.’

‘Duhai kawan yang bijaksana!’, kata si Permata,
Tanah hitam, kalau dikeraskan, akan memiliki kemuliaan manikam,
Setelah ia bergelut dengan alam sekitarnya,
Ia dimatangkan oleh perjuangan dan menjadi pejal seperti batu.

Kematangan inilah yang menganugerahkan diriku bercahaya,
Dan memenuhi dadaku dengan sinar gemilang.
Kerana dirimu tidak matang, kau telah dihina,
Kerana tubuhmu lemah, kau dibakar.

Jauhilah ketakutan, kedukaan dan kebimbangan;
Jadilah sekeras batu, jadilah permata!
Sesiapa yang berusaha gigih dan berpendirian teguh,
Kedua alam ini disinari olehnya.

Batu Hitam yang berasal daripada secebis tanah
Yang kini terletak di Kaabah
Martabatnya lebih tinggi daripada Gunung Sinai
Ia diciumi oleh manusia aneka rupa
Dalam keutuhan ia mengandungi kegemilangan Hidup;
Kelemahan itu tiada berharga dan tiada matang.’

Kisah Permata Dan Arang Batu’ diterjemahkan daripada bahasa Parsi ke bahasa Inggeris oleh R.A.Nicholsan. Saya terjemahkan ke bahasa Melayu dan tersiar dalam jurnal Jejak Kembara, Jilid 1, Bil. 1, Dis. 1978, tahun akademik 1978/1979, Universiti Singapura.

Latarbelakang

Muhammad Iqbal bin Nur Muhmmad, dilahirkan di Sialkot, Punjab, pada 1873. Beliau mendapat pendidikan asas di Punjab dan kemudian melanjutkan pelajaran di Britain dan Jerman. Iqbal memperolehi ijazah undang-undang dan juga ijazah Doktor Falsafah (Ph.d.). Tesis Ph.d. beliau bertajuk: ‘The Development of Metaphysics in Persia’. Iqbal telah menerbitkan beberapa kumpulan puisi, di antaranya bertajuk:

1. The Mysteries of Selflessness (Rumuz-i Bekhudi)
2. Persian Psalms (Zabur-i Ajam)
3. Tulips of Sinai (Lalah-i Tur)
4. Secrets of The Self (Asrar-i Khudi)
5. Javid Nameh

Iqbal terkenal sebagai seorang penyair yang berwibawa dan berwawasan tajam; hampir ke semua sajaknya menjadi mutiara renungan bagi masyarakat Islam.

Huraian Sajak Di Atas

Sajak ‘Kisah Permata Dan Arang Batu’ (KPDAB) telah diambil daripada kumpulan puisinya bertajuk ‘Asrar-i Khudi’. Beberapa buah sajak yang termuat dalam kumpulan ini mengandungi unsur-unsur nasihat yang baik untuk dijadikan bahan renungan. Sajak-sajak ini dicipta semasa India dan sebahagian besar negara-negara Asia dan Islam ditakluki oleh penjajah-penjajah Barat.

Dalam sajak KPDAB, Iqbal menggunakan unsur perorangan untuk menyampaikan perutusannya. Dengan sederhana, Iqbal telah membandingkan dua bahan alam, arang batu dan permata, dengan membenarkan kedua-duanya berkata-kata. Perbualan kedua-dua bahan ini adalah perumpamaan masyarakat Islam yang wujud pada zaman Iqbal dan masyarakat Islam yang hidup pada zaman keemasan Islam. Masyarakat Islam yang kedua ini merupakan sesuatu yang unggul, dan ia pernah wujud di muka bumi.

Daripada sumber yang serupa, mengapakah, tanya Iqbal, sang arang batu menyesali hidupnya yang ‘mati dalam kedukaan tak berharga’ sedangkan permata pula ‘bertakhta di atas mahkota raja-raja?’ Apakah yang menyebabkan dua unsur yang berasal daripada bahan yang sama, mendapat kedudukan yang berbeza di mata manusia?

Iqbal dengan bijaksana telah menjawab pertanyaan tersebut. Menurut beliau, ketinggian atau kerendahan sesuatu itu terletak pada kematangannya dan kematangan ini hanya akan timbul apabila ada pergelutan atau perjuangan dengan alam sekitar. Saya nukil:

Tanah hitam, kalau dikeraskan, akan memiliki kemuliaan manikam,
Setelah ia bergelut dengan alam sekitarnya,
Ia dimatangkan oleh perjuangan dan menjadi pejal seperti batu.

Perjuangan yang dimaksudkan oleh Iqbal tidak pula terbatas kepada bentuk fizikal sahaja (misalnya menentang penjajah Inggeris di India pada masa itu) tetapi ia juga bermaksud ‘perjuangan mental’ sesuatu masyarakat. Perjuangan bentuk mental ini boleh diertikan sebagai perjuangan untuk keluar daripada apa yang dianggap sebagai keterbatasan-keterbatasan yang melingkungi sesuatu masyarakat. Hanya dengan ‘perjuangan mental’ inilah masyarakat Islam, menurut Iqbal, dapat membangkitkan semangat berfikir, mengkaji dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya. Dan penyesalan atau kelemahan seperti diadukan oleh Arang Batu, menurut Iqbal, tidak mungkin dapat menyelesaikan sebarang masalah. Penyesalan harus dijadikan mangkin untuk memperbaiki diri dan meneruskan perjuangan yang bertaraf lebih tinggi lagi. Masyarakat Islam, menurut Iqbal, harus berani terus berjuang dan bergelut seperti yang dilakukan oleh Permata, kerana hanya dengan demikian akan lahir ‘manikam-manikam’ yang indah daripada masyarakat tersebut.

Menurut Iqbal lagi, tanpa perjuangan ini, sesuatu masyarakat itu akan terus dicemuh dan direndahkan. Saya nukil:

Kerana dirimu tidak matang, kau telah dihina,
kerana tubuhmu lemah, kau dibakar
.’

Kecemerlangan, menurut Iqbal lagi, tidak pula terletak pada ‘baik’ asal sesuatu itu. Misalnya Hajar Aswad (Batu Hitam) di Makkah berasal daripada tanah (ada menyebutnya sebagai meteorit), tetapi ia tetap dimuliakan kerana keutuhannya, bukan kerana asal-usulnya. Jadi, kemuliaan itu bukan milik sesuatu masyarakat, tapi ia ditebarkan bagi sesiapa yang berjuang untuk memilikinya.

Mengapa permata yang menjadi pilihan Iqbal, kita mungkin bertanya. Mungkin sebabnya permata adalah satu-satu bahan yang paling pejal; hanya darjah kepanasan yang tinggi sahaja dapat mencairkannya. Sebagai perumpamaan Iqbal inginkan masyarakat yang seteguh permata tadi. Tanpa kekuatan dalam apa pun perjuangan, sama ada dalam bidang kehidupan, sastera ataupun kemasyarakatan, segala usaha kita, menurut Iqbal, akan menjadi sia-sia seperti si Arang Batu.

Kesimpulan

Sajak ini memantulkan berbagai tafsiran bagi penyair dan masyarakat. Ia mengingatkan kita supaya menjauhi daripada sifat-sifat lemah, menyesali untung nasib dan sebagainya. Dan ia menggesa kita agar menanamkan semangat perjuangan dan kematangan dalam apa pun bidang pilihan kita. Dan pesanan Muhammad Iqbal ini amat berharga:

Jauhilah ketakutan, kedukaan dan kebimbangan;
Jadilah sekeras batu, jadilah permata!
Sesiapa yang berusaha gigih dan berpendirian teguh,
Kedua alam ini disinari olehnya
.’

Disiapkan: 26 Mac 1985
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 1985
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s