Kebangkitan ‘Diri’: Ulasan Terhadap Sebuah Lagi Sajak Muhammad Iqbal

iqbal 1
Prolog
Faktor terpenting bagi memungkinkan perubahan dalam sesuatu masyarakat ialah perubahan sikapnya, demikian dijelaskan oleh Muhammad Iqbal dalam sajak beliau ‘Kisah Biri-Biri Dan Harimau’. Sajak ini, tanpa tajuk kecuali keterangan: ‘A tale of which the moral is that negation of the Self is a doctrine invented by the subject races of mankind in order that by this means they may sap and weaken the character of their rulers’ (Iqbal, Secrets of the Self, hal. 28) pertama kali dimuatkan dalam antologi Asrar-i-Khudi, dalam bahasa Parsi, pada 1915. Saya telah memberikan ia tajuk berdasarkan inti cerita berkias ini dan menterjemahkannya daripada terjemahan bahasa Inggeris oleh R.A.Nicholson. Berikut diperturunkan keseluruhan sajak Iqbal:

Kisah Biri-Biri Dan Harimau

Pernahkah kau dengar waktu dahulukala
Sang biri menginap di suatu daerah
Begitu banyak dan membiak
Hingga tiada apa pun menakutkan mereka?

Tapi akhirnya daripada dengkinya takdir,
Jiwa mereka dihinggapi secebis bencana
Sang rimau keluar dari rimba
Dan menyerang ke ladang mereka.

Menakluk dan menjajah adalah tanda kekuatan,
Kemenangan adalah penjelmaan kegigihan
Rimau-rimau itu memalu gendang pemerintahan,
Dan kaum biri-biri hilang kemerdekaan.

Lalu kerana sang rimau perlukan makanan,
Darah biri-biri bersimbah di ladang.
Seekor biri-biri yang cerdik dan pintar,
Begitu tua tapi licik bagai serigala,
Terlalu duka mengenang nasib bangsa
Dan kesal akan keganasan raja rimba,
Mengutuki takdir yang menimpa mereka
Lalu mencari akal demi kegemilangan kaumnya.

Si lemah, jika mahu menjaga diri,
Mencari kekuatan daripada kemahiran akli.
Demi pertahanan diri dalam perhambaan,
Kekuatan menipu dilipat-gandakan,
Dan tika api dendam mula mencengkam,
Si hamba hanya fikirkan pemberontakan.

‘Betapa malang nasib kita,’ kata si biri-biri,
‘Lautan duka kita tiada bertepi.
Dengan paksaan pun tiada dapat kita lari daripada si rimau:
Kaki kita perak, sedang mereka berkaki besi-waja.

Tidak mungkin, walau dipujuk dan dinasihati,
Mencipta peribadi serigala dalam jiwa biri-biri.
Tapi menukar tabiat rimau menjadi biri-biri—itu mungkin sekali;
Untuk membuat rimau alpa akan peribadinya—itu mungkin belaka.’

Si biri-biri itu pun menjadikan dirinya utusan,
Dan mula berkhutbah kepada rimau-rimau lapar.
Serunya, ‘Duhai engkau pendusta tak bersopan,
Yang tiada tahu hari bencana tidak berkesudahan.
Akulah pemilik kuasa ghaib,
Akulah utusan untuk sang rimau.
Aku datang bagai cahaya bagi mata si buta,
Aku datang menetapkan hukum dan peraturan.
Taubatlah daripada berbuat maksiat!
Jangan fikir dirimu baik!
Sesiapa yang ganas dan kuat kan celaka:
Keutuhan hidup bergantung kepada penafian diri.

Jiwa kebenaran telah dihidupkan:
Oleh makanan sayuran yang menyenangkan Tuhan.
Gigi tajammu hanya membawa padah
Dan menjadikan mata batinmu buta
Syurga hanyalah untuk si lemah,
Kekuatan hanya menempah neraka.
Adalah dangkal mencari kemegahan dan keagungan,
Kemiskinan itu lebih baik daripada kekuasaan
Guruh kilat tiada menakutkan sebutir jagung:
Bencana tiba, bila biji-biji jagung berkumpul
Jika kau bijak, jadilah sebutir pasir, bukan padang sahara,
Agar daripadanya kau nikmati sinar suria.

Duhai kau yang gemar menyembelih biri-biri,
Sembelihlah dirimu agar kau kecapi kemuliaan!
Hidup ini menjadi tidak tenteram
Oleh keganasan, penindasan, dendam dan kekuasaan
Namun walau sering dipijak, rumput tumbuh melata
Dan menghilangkan sentuhan maut daripada dirinya
Lupakan dirimu, jika benar kau bijaksana!
Jika tidak, kau tentu kan gila
Tutuplah mata, bibir dan telinga
Biar fikiranmu menerawang ke angkasa raya!
Padang dunia ini tiada erti atau berkekalan:
Duhai si jahil, usah seksa dirimu dengan khayalan!’

Kaum rimau yang dilelahkan pergelutan,
Ingin pula menikmati keselesaan
Nasihat bercandu biri-biri itu menyenangkan mereka,
Dalam kejahilan termakan mereka kata manisnya.

Dan kaum rimau yang pernah memakan biri-biri
Kini menganut agama biri-biri.

Sang rimau mula memakan sayur-mayur:
Akhirnya tabiat kerimauan mereka hilang
Sayur-sayuran menumpulkan gigi-gigi tajam
Melenyapkan sinaran mata nan menggerunkan
Berdikit-dikit keberanian mereka pun surut,
Bagai hilangnya sinar pada cermin buruk.

Usaha gigih pun tiada lagi kedapatan,
Dan keinginan bertindak pun tiada kelihatan
Sang rimau hilang kuasa dan dijajah,
Hilanglah kehormatan, kemuliaan dan harta
Kaki besi mereka menjadi tiada daya;
Mati jiwa mereka dan jasad merekalah kuburnya.
Kekuatan jasmani mereka menurun, ketakutan ghaib meninggi:
Ketakutan ghaib melenyapkan daya berani.
Hilangnya keberanian menimbulkan berbagai penyakit:
Kemiskinan, kebaculan, jahil.

Si rimau perkasa dicandui biri-biri:
Kejatuhannya digelar ‘Berbudaya Tinggi’.

Sedikit Huraian Sajak Ini
Dua jenis binatang telah dikemukakan oleh Iqbal iaitu biri-biri dan harimau, bagi melambangkan kaum dijajah dan penjajah dalam sajak ini. Biri-biri yang pernah bermarahjalela dan berkuasa akhirnya dikalahkan oleh kaum Harimau yang tiba-tiba ‘keluar dari rimba’. Adalah lebih mudah bagi kaum biri-biri menyerah kalah tetapi ternyata mereka bukan bangsa yang hanya ingin menyerah kepada nasib yang menimpa. Walaupun secara fizikal dan alamiah adalah sukar untuk mengalahkan kaum Harimau, tetapi mereka telah menggunakan cara halus iaitu cara psikologi bagi mengubahkan sikap Harimau agar mudah dilentur.

Perubahan sikap inilah yang dianjurkan oleh ‘seekor biri-biri yang pintar dan cerdik’ dan dengan demikian daya ketahanan kaumnya dapat dipertahankan sedangkan ketahanan kaum Harimau dapat dimusnahkan dari dalam.

Iqbal yang mengarang sajak ini pada awal kurun ke-20, ketika hampir semua negara Islam dicengkam penjajahan, sebenarnya ingin menyedarkan pembaca zamannya akan bahaya penjajahan dan juga sikap yang diperlukan demi mengelakkan diri daripada nasib sedemikian. Negara-negara Islam, menurut Iqbal, pernah segagah kaum Harimau iaitu pada zaman Nabi s.a.w., khulafar ar-Rasyidin, kerajaan-kerajaan Umayyah, Abbasiyah dan lain-lain. Islam pernah menampilkan bukan sahaja ahli agama bahkan cendekia dalam bidang sains, perubatan, ilmu hisab, falsafah dan sebagainya.

Kekuatan Islam ketika itu, terutama dari segi mentifaknya, adalah jauh ke hadapan jika dibandingkan dengan negara-negara Barat yang masih dilanda Zaman Kegelapan. Cendekia Islam telah juga mempelajari falsafah Yunani, mengambil buah falsafahnya yang ranum dan memperkuatkan daya intelek umat Islam yang akhirnya sampai juga ke Barat. Namun, kekuatan intelek yang serupa dengan ketangkasan sang Harimau ini menerima kegenjotan apabila berlaku terlalu banyak perbalahan, tertutupnya pintu ijtihad serta serangan kaum Mongol ke kota Baghdad pada 1258 Masihi. Walaupun setelah ini ada secarik sinar Harimau di sana sini, sinar-sinar itu tidak lagi gemilang. Keadaan ini, menurut Iqbal, diburukkan lagi oleh kedatangan penjajah Barat pada abad ke-19. Natijahnya, peribadi gagah Harimau bertukar rupa.

Kaum Biri-biri sedar bahawa adalah mustahil ‘mencipta peribadi serigala dalam jiwa biri-biri’, lantas mereka menggunakan tipu muslihat untuk ‘menukar tabiat rimau menjadi biri-biri/membuat rimau alpa akan peribadi’. Inilah bius terbaik bagi menghilangkan kesedaran kaum Harimau dan meniadakan kebangkitan ‘diri’ kaum Harimau.

Dalam kebanyakan tulisannya Iqbal sering menegaskan bahawa adalah penting menegakkan ‘diri-diri’ yang utuh bagi pembangunan masyarakat. Konsep yang sering beliau gunakan ialah ‘khudi’ yang bererti ‘diri’, ‘peribadi’ ataupun ‘ego’. Nicholson dalam pengantar kepada antologi Secrets of the Self, telah mentakrifkannya sebagai ‘selfhood, individuality, personality’ (hal. X).
Konsep ‘ego’ yang digunakan Iqbal tidak sama dengan takrif ‘ego’ yang sering kita gunakan iaitu yang berkonotasi negatif. Melalui konsep ini, manusia digesa untuk membangkitkan ‘diri’ ataupun ‘peribadi’nya sebaik mungkin, menggilapnya dengan ‘cinta’ (‘isyq’; bukan cinta biasa), ilmu dan hikmah agar ia mencapai taraf ‘Insan Sempurna/Insanul Kamil’.

Konsep ‘Insan Sempurna’ ini, walaupun telah sedia ada dalam khazanah ilmiah Islam, banyak persamaan dengan konsep ‘Super-man’ gagasan Nietzsche, yang falsafahnya, selain falsafah Bergson, banyak mempengaruhi cakerawala mental Iqbal. Bagi Iqbal, hanya apabila ‘diri’ ataupun ‘peribadi’ seseorang itu telah diteguhkan sebaik mungkin dengan adanya unsur perjuangan, barulah akan tumbuh ‘millat’ ataupun masyarakat yang utuh yang dapat memberi saham kepada kehidupan. Kegagalan membangkitkan ‘diri’ atau ‘ego’ akan hanya melemahkan peribadi sesebuah masyarakat, sebagaimana terjadi kepada kaum Harimau.

Kehadiran ‘utusan-utusan palsu’ kaum Biri-biri, yang mendendangkan kealpaan masa kini, penafian ‘diri’ dan mendodoikan keseronokan alam ghaib sahaja telah menjadi belati yang paling berkesan bagi membunuh kebangkitan peribadi sang Harimau. Seperti hujah utusan mereka: ‘sesiapa yang ganas dan kuat kan celaka/keutuhan hidup bergantung kepada penafian diri’. Segala-segala yang pernah menjadikan golongan Harimau perkasa, sama ada ketajaman gigi mereka kerana memakan biri-biri, perjuangan mereka untuk mencapai kemegahan dan keagungan, ilmu yang mereka miliki mahupun perpaduan mereka yang teguh, adalah perkara-perkara yang sebenarnya akan menjahanamkan mereka, menurut utusan Biri-biri. Lantas, mereka harus menganut falsafah hidup Biri-biri kerana ‘syurga hanya untuk si lemah’ dan ‘padang dunia ini tiada erti atau berkekalan’.

Sebagai manusia, kita sering mempercayai sesuatu jika ia sering dipaparkan; demikianlah sentuhan psikologi yang telah dilakukan oleh sang Biri-biri terhadap golongan Harimau. Utusan-utusan mereka telah mencanangkan falsafah hampas, bukan saripati falsafah kebangkitan kerana hanya dengan berbuat demikian mereka dapat menghancurkan saraf ketahanan kaum Harimau. Kemerosotan peribadi Harimau, bagai suatu ‘zero-sum-game’, akan mengukuhkan peribadi kaum Biri-biri dan kemerosotan ini akan terus menjunam kerana kaum Harimau terlalu leka dinina-bobokkan oleh segala yang muluk di hari kemudian. Kematian ‘diri’ inilah yang menjadikan kaum Harimau tidak lagi berani menghadapi kenyataan, tidak lagi pandai berjuang, mudah diselesakan dan terlalu leka dicandui kata-kata manis sang Biri-Biri. Dan seperti watak utama novel 1984 karya George Orwell, yang akhirnya menganuti fahaman ‘Big Brother’, begitu jugalah dengan kaum Harimau; inilah menjadi titik-tolak bagi kejatuhan Harimau dengan begitu teruk, bagai terlaksananya teori domino.

Dengan keberanian mental dan fizikal kaum Harimau menurun dan dengan bertunjangnya ‘ketakutan ghaib melenyapkan daya berani’, maka timbullah berbagai wabak di kalangan Harimau iaitu ‘kemiskinan, kebaculan, jahil’. Dan inilah kejayaan mutlak sang Biri-biri apabila sang Harimau yang gagah dapat ditundukkan dan semua ciri positif Harimau dinegatifkan dan ciri negatif itu pula dianggap sebagai ‘berbudaya tinggi’. Ternyata kekuatan akliah yang tinggi daripada sang Biri-biri dan tiada berkembangnya ‘diri’ sang Harimau telah menyebabkan kejayaan puak pertama dan kemusnahan puak kedua.

Epilog
Dalam sajak ‘Kisah Biri-Biri Dan Harimau’ ini ternyata suatu sindiran yang tajam Iqbal terhadap masyarakat Islam di zamannya yang telah menjadi ‘harimau tak bergigi’ apabila bertembung dengan ‘biri-biri penjajahan’. Walaupun zaman penjajahan telah hampir tiada di dunia hari ini, namun analisis beliau dapat kita jadikan iktibar di masa kini mahupun di masa-masa menjelang. Bagi Iqbal, kejatuhan sesuatu bangsa atau negara berpunca daripada sikap mereka yang kurang tegas menghadapi bencana dan juga ketiadaan usaha terus menerus untuk membangkitkan ‘diri’ ataupun ‘peribadi’ Selagi ‘diri’ tidak diperkembangkan akan terbantutlah segala usaha untuk mengukuhkan masyarakat. Dan tidak akan muncul kaum Biri-Biri yang kuat dan dapat mengalahkan kaum Harimau, seandainya mereka tidak bersenjatakan akal yang sihat, sikap yang betul dan keberanian yang mutlak serta berperisaikan ‘diri’ atau ‘peribadi’ yang bangkit serta sering diperkukuhkan dan digilap.

Disiapkan: 17 Ogos 1989
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 1989
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s