Archive | July 2016

Kata Mutiara Daripada Oprah Winfrey

!. Sejak dari bulan Ramadan, saya tidak menulis apa-apa catatan/komen yang lebih menyeluruh dalam masukan/entri blog saya, begitu juga kali ini. Saya akan meneruskan catatan/komen yang menyentuh beberapa hal di sekitar saya dalam masukan/entri seterusnya, insya-Allah.

2. Banyak yang bergolak dan bersimpang-siur di persekitaran kita – ada yang sungguh menyentak dan ada pula yang menyenangkan kita. Kadangkala kita semakin gamam dan gusar dengan beberapa kejadian yang menyentak ini. Tetapi dalam segala kegusaran ini, masih dapat kita saksikan pelbagai kejadian yang turut mencorakkan rasa bahagia kita.

3. Saya lampirkan sebahagian ucapan Oprah Winfrey yang dimasukkan dalam facebook keluarga saya baru-baru ini. Kata-kata Oprah ini boleh membuat kita berfikir sejenak, menghela nafas panjang dan mencari perspektif hidup yang kadangkala tercicir dalam menjalani kehidupan.

4. Semoga beberapa masukan/entri kali ini ada manfaatnya.

Salam
Rasiah Halil
26 Julai 2016 Masihi /21 Syawal 1437 Hijriah.

Pantun Terjemahan 1 / Translated Pantun 1

1 Golden bananas are brought to sail
One ripens on top of a chest;
A debt of gold you can repay
A debt of kindness you’ll bring to your grave.
(Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati
.)

2 While on the island of Java
Friends invite to go fishing;
While in power, always be aware
The power of God is everlasting.
(Masa berada di Pulau Jawa
Rakan-rakan ajak menjala;
Masa berkuasa janganlah lupa
Kuasa Tuhan tidak terhingga
.)

3 Though oil lights a lamp
Its wick must be just as long;
Though many are our friends
When one departs we are forlorn.
(Sungguh minyak menerangkan pelita
Hendaklah juga panjang sumbunya;
Sungguh banyak kawan-kawan kita
Hilang satu pilu rasanya
.)

4 The crown prince is king of Linggi
Trading in the state of Palembang;
It is better to emulate stalks of paddy
Emulate not the behaviour of lalang.
(Tengku muda raja di Linggi
Pergi berniaga di negeri Palembang;
Biar ambil resmi padi
Jangan diikut resmi lalang
.)

5 A stable is built on the island of Daik
Let it be bright, set a night fishing line;
If originally from a good seed
Falling into the sea, you’ll be an island.
(Buat bangsal di Pulau Daik
Menahan taut, sambil mengilau;
Kalau asal benih yang baik
Jatuh ke laut menjadi pulau
.)

6 A leafy stump on the city top
A distance of two fingers merely;
A myopic civet cat, a blind hawk
Only then can the chicken be happy.
(Punggur berdaun di atas kota
Jarak sejenggal dua jari;
Musang rabun, helang buta
Barulah ayam suka hati
.)

7 Early in the morning, going to the field
Wanting to plant paddy seeds;
How high is Mount Ophir
My heart’s purpose is higher still.
(Pagi-pagi pergi ke ladang
Hendak menyemai benih padi;
Berapa tinggi Gunung Ledang
Tinggi lagi hajat di hati
.)

Pantun Diambil Daripada Beberapa Buku Pantun.
Terjemahan: Rasiah Halil.

‘Dah Tiba’kah Orang Kita?

Baru-baru ini ada beberapa orang kenalan dan sahabat Sri berasa gusar bila kami berbincang-bincang. Perkara yang mereka gusarkan bukanlah perkara baharu tapi gejala ini bagai menghantui kita sejak kebelakangan ini. Mereka gusarkan konsep ‘dah tiba’ (istilah Inggerisnya ‘has arrived’) iaitu ‘ah berjaya’ dalam masyarakat kita. Kawan dan kenalan Sri ini bukan semuanya karyawan tapi kesimpulan mereka agak tidak jauh berbeza di antara satu sama lain.

Apakah maksudnya ‘dah tiba’ ke puncak kejayaan bagi masyarakat kita? Selalunya kita menggunakan kayu ukur kebendaan bagi menilai kejayaan. Misalnya bila dah berumah besar, sekurang-kurang rumah eksekutif 5 bilik, mempunyai kereta dan ada pembantu rumah, kita rasa kita ah berjaya. Lebih buruk lagi bila anak-anak kita yang baru bekerja, tumpuannya hanya untuk membeli rumah dan kereta besar – konsep berakit-rakit ke hulu dan berenang-berenang ke tepian bagai tak dipakai lagi. Demikian juga dengan penggunaan kad kredit yang begitu mudah dimiliki kini. Bila anda bercakap dengan orang-orang begini kadangkala anda jadi tak sedap juga. Bukan, bukan salahnya memiliki sesuatu yang besar dan berharga tetapi jika seluruh hidup kita berpusar pada soal nak yang terbesar/termahal, akan kuranglah tumpuan kita kepada perkara-perkara yang mungkin tak nampak hebat tapi akan kekal lama dalam tamadun sesuatu bangsa.

Apa pun anda nak cuba bincangkan dengan orang-orang begini akan terlencong pada soal yang sama – mereka cakap pasal soal beli rumah, di dalam dan luar negara, barang-barang termahal, kereta menjalar dan sebagainya tapi bila anda ajak bincang pasal ilmu dalam erti kata sebenar, mereka ini begitu ‘segan’. Bukan, bukan maksud Sri kita semua mesti bersikap ilmiah dan hanya berbincang mengenai buku tetapi pandangan kita, kadangkala dalam berbincang hal-hal yang murni pun, bersalut penilaian nak tonjolkan unsur wang dan kemegahan ini. Wang itu kan sekadar alat, seperti mana kata seorang kawan Sri, dan alat dalam apa pun persoalan, bukanlah tujuan.

Ingin memiliki sesuatu dengan cepat agar dianggap berjaya ini menimbulkan akibat yang merosakkan. Beberapa orang kenalan Sri menjadi psikologis bagi remaja juvena. Masalahnya: remaja ini mencari jalan pintas untuk memiliki barang-barang berharga iaitu dengan memilih jalan yang salah kerana memiliki barang-barang berjenama itu menunjukkan mereka dah tiba. Demikian juga ada perlakuan-perlakuan yang hampir sama daripada orang-orang dewasa. Kita seolah-olah menganggap dengan mempamerkan kemilikan kita sama ada barang-barang berjenama, intan berlian, rumah, kereta, gaji besar dan sebagainya kejayaan yang sebenar telah kita miliki.

Memiliki segala kesenangan sebegini tidaklah ada salahnya, jika anda ada kelebihan, tetapi Sri takut tumpuan kita hanya ke situ saja. Sri teringat kisah seorang sufi Ibrahim ibni Adham; katanya, yang penting bukanlah kekayaan yang kita miliki, tetapi kekayaan apa pun tidak terpacak di hati kita, walaupun kita memilikinya dengan banyaknya. Bila-bilapun ia hilang, ia tidak akan menggemparkan hidup kita. Mungkin laluan hidup kita belum sampai ke tahap ini, tapi tak perlu pula kita erkejar-kejar mengumpul harta sehingga nikmat kejayaan yang sebenar tidak pula kita miliki. Sri takut nanti, kita nak kejayaan yang berbentuk luaran saja sedangkan injakan paradigma yang seharusnya kita lakukan untuk benar-benar menunjukkan kejayaan kita, mungkin tak ramai di antara kita yang sanggup lakukan.

Mungkin ramai yang akan bersetuju, harta dan kedudukan hanya kayu ukur bagi menunjukkan kejayaan seseorang, bukan kayu ukur yang mutlak. Ada beberapa kelompok masyarakat memiliki harta berlimpah-ruah, malah apa pun barangan terbaru akan mereka miliki. Tapi bila anda berbincang dengan mereka anda tahu yang mereka miliki hanyalah harta. Yang terbaru itu hanyalah barangan tapi minda mereka masih tetap di takuk yang lama. Tiada inovasi dan daya kreatif yang cemerlang yang memacu mereka, sebaliknya yang memacu mereka sekadar daya untuk memiliki sesuatu barangan. Kalau nak gunakan istilah sekarang: tiada nilai tambahan yang sebenar bagi masyarakat sebegini. Nikmat kejayaan begini hanya di peringkat luaran, tiada tunjang kecemerlangan daya fikir dan ketahanan dalaman yang mengobori masyarakat sedemikian. Mereka akan dianggap berjaya selagi harta mereka berlimpah-ruah, tapi bila ia pupus, tahulah mereka makna kejayaan sebenar.

Di antara harta terbesar yang dimiliki manusia ialah hati dan akalnya. Jika hati kita benar-benar luhur dan minda kita dipergunakan bukan sekadar untuk mencari harta dan wang saja tapi juga untuk kemaslahatan umum dalam erti kata sebenar, kejayaan itu akan kita miliki juga walau kini kita mungkin tiada rumah besar dan kereta menjalar. Seperti kata peribahasa kita: hanya jauhari yang mengenal manikam. Kita haruslah menjadi jauhari kalau manikam (kejayaan) sebenar ingin kita kenal dan terus gilapkan untuk masyarakat dan bukan kaca yang kita hidangkan untuk tatapan umum.

Ditulis: 30 Julai 2000
Tajuk Asal: Kisah ‘Dah Tiba’
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 6 Ogos 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Aladdin Dan Harga Diri – Ditulis Pada 1993

Cover Aladdin 1Cover Aladdin 3

Kita mungkin terhibur menonton filem Aladdin yang ditayangkan di pawagam-pawagam Singapura baru-baru ini. Cerita daripada Hikayat Seribu Satu Malam ini begitu segar dan memikat dihidangkan oleh Holywood untuk tatapan kita.

Keistimewaan Cerita Aladdin
Apakah keistimewaan Aladdin? Tiap kanak-kanak dari berbagai zaman dan latar, pasti pernah mendengar ceritanya. Cerita Aladdin membawa kita ke dunia fantasi – adanya kuda terbang, ambal terbang, unsur sakti serta suatu keyakinan, bahawa pada akhirnya, mereka yang baik akan tetap menang. Kita terhibur dan berasa demikian selamat dalam dunia ini, walaupun sesekali ditakutkan oleh jin afrit, wazir yang jahat dan lain-lain keindahan cerita-cerita Penglipur Lara, Aesop’s Fables, Grimm’s Tales dan sebagainya.

Kecuali tengkarah yang ditimbulkan oleh beberapa kumpulan mengenai nyanyian permulaan filem ini, yang kemudian dapat dileraikan dengan baik, filem ini tidak berbau kontroversi. Dengan adunan latar dan pengubahsuaian beberapa adegan serta bantuan teknologi canggih, filem ini demikian hidup dan tidak jemu ditonton. Adanya lagu-lagu juga menyenangkan hati para penonton.

Mungkin suatu watak yang sukar dilupakan sesiapa dalam filem ini ialah ‘jin’ (saya akan seterusnya menyebut ‘genie’) daripada lampu ajaib Aladdin. Genie bukan seperti kebanyakan jin yang pernah kita bayangkan, misalnya bertubuh sasa, garang atau ganas. Genie membuat kita tidak kering gusi dengan telatah dan gelagatnya membantu Aladdin. Dengan bantuan suara Robin Williams yang terkenal kerana lakonan-lakonan gila-gilanya misalnya dalam siri televisyen ‘Mork and Mindy’, saya yakin ramai yang ‘jatuh hati’ dengan genie Aladdin ini. Kalau ada khadam demikian, ada yang mungkin terfikir, betapa bertambah indah hidup ini…

Perkara-Perkara Yang Difikirkan
Ada dua perkara yang saya fikirkan setelah menonton filem ini:

• Saya terkenangkan khazanah kesusasteraan klasik kita – cerita-cerita Jenaka, Binatang, Penglipur Lara, Sejarah dan lain-ain lagi yang sedia sebagai bahan mentah bagi diubahsuaikan untuk difilemkan. Walaupun telah ada beberapa usaha pada tahun-tahun 50-an dulu, tetapi kurang pula penerusan usaha begini dalam industri perfileman Melayu. Seandainya kita dapat memanfaatkan teknologi canggih dan terkini, sebagaimana yang dilakukan oleh Steven Spielberg, tidak mustahil khazanah kesusasteraan klasik kita dapat disebarluaskan dan dikenali dalam era globalisasi ini. Tentunya jika kita ketengahkan watak-watak wira, wirawati, bujang selamat, si kembang cina, nenek kebayan dan lain-lain yang sering terdapat dalam cerita-cerita Penglipur Lara kita, beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan agar watak-watak ini lebih hidup dan mutakhir. Mungkin anak-anak kita nanti dapat turut bercerita tentang Malim Deman, Malik Saiful Lizan, Cendera Kirana, Kemala Ariffin, Iskandar Zulkarnain, Sang Kancil, Si Luncai dan lain-lain seghairah mereka berkisah tentang Aladdin, ‘Beauty And The Beast’, ‘Little Mermaid’, ‘Ninja Turtles’ dan sebagainya.

• Kedua, saya terkesan, dalam beberapa adegan filem ini, Aladdin demikian dihantui perasaan rendah diri. Dia berasakan seolah-olah dia ‘tidak wujud’ kerana tidak dilahirkan sebagai putera diraja, lantas, walaupun dia terpikat dengan Tuan Puteri, cintanya tidak akan kesampaian selagi dia sekadar seorang rakyat biasa. Perasaan rendah diri yang keterlaluan ini, dalam istilah psikologi disebut ‘low self-esteem‘, membuat Aladdin yakin, dia tidak punya apa-apa, walaupun dia sebenarnya seorang yang penyayang, baik hati, menghormati orang lain serta suka membantu orang yang susah.

Seperti kebanyakan penonton, saya terharu apabila Aladdin memilih untuk memberi kebebasan kepada genie, sebagai memenuhi janjinya, walaupun ini bererti dia tidak dapat menjadi putera diraja sebagaimana yang dihajatinya. Bagi Aladdin, janji mesti ditepati, selagi boleh, dan melihat genie bebas dan bahagia, tentunya menimbulkan rasa bahagia dalam dirinya. Dan kita mungkin terharu apabila genie yang dibebaskan Aladdin mendakapnya dan berkata: ‘Kau akan sentiasa menjadi seorang putera diraja bagiku’ – walaupun kita tahu, dari mata kasar kita, Aladdin tidak akan menjadi putera diraja.

Aladdin Dan Perasaan Rendah Diri
Perasaan rendah diri Aladdin yang agak keterlaluan ini menyentuh sesuatu di hati saya – saya kira demikian juga di hati penonton lainnya. Sememangnya perasaan angkuh, bongkak, sombong, bangga dan lain-lain adalah perasaan-perasaan yang buruk dan tidak sihat, tetapi perasaan yang terlalu merendah diri sehingga seseorang itu seoah-olah tidak berharga sebagai manusia, juga tidak sihat untuk pembangunan kita.

Bahawa Aladdin bukanlah seorang putera diraja bukanlah penghalang baginya mengahwini Tuan Puteri, atau yang lebih penting, mengecapi hidup bahagia. Kedudukannya hanyalah faktor teknikal, yang sebenarnya boleh diubah, sebagaimana Sultan Baghdad mengubahnya di akhir cerita. Tetapi lebih daripada apapun kedudukan, sebagai insan, Aladdin memiliki ciri-ciri yang baik; inilah ‘mutiara’ hidupnya yang terpendam dalam hati nurani yang suci dan mulia. Ketiadaan pangkat, dalam konteks ini, kedudukan sebagai putera diraja, tidak seharusnya menghalang Aladdin menikmati kebahagiaan dan kehidupan sempurna. Dan seorang putera diraja atau mereka yang berkedudukan, sebagaimana digambarkan oleh beberapa orang watak dalam filem ini, tidak semestinya memliki ciri-ciri baik seorang Aladdin.

Adakalanya kita sebagai individu atau anggota kelompok, juga berfikiran dan berperasaan seperti Aladdin. Perasaan terlalu rendah diri (low self-esteem) membuat kita berfikir bahawa kita tidak penting atau berharga sebagai manusia. Bahawa orang akan hanya menerima dan menyayangi kita apabila kita berkedudukan seperti putera diraja, sebagaimana Aladdin menjadi ‘Putera Abou’, mungkin perlu dipertimbangkan semula. Pertukaran secara zahiriah begini tidak akan menjamin kebahagian yang sebenar, kerana yang lebih utama ialah perubahan dari segi nurani dan minda seseorang. Kita harus yakin, sebagai manusia, kita mempunyai harga diri dan orang harus menerima kita, baik tuan puteri ataupun sesiapa, bukanlah atas dasar yang tidak setara. Terlalu menidakkan kebolehan diri sendiri, sebagaimana dilakukan oleh Aladdin, demi suatu faktor teknikal, akan hanya menghambat kemajuan seseorang. Dan keyakinan serta harga diri ini penting demi pembangunan seseorang individu ataupun suatu kelompok.

Penutup
Sesungguhnya filem Aladdin amat menghibur dan memberi iktibar kepada saya. Pada abad ke-21 nanti, saya ingin menonton filem Si Luncai, Sang Kancil, Panji Semirang, Malik Saiful-Lizan dan lain-lain, yang mencuit rasa, mengingatkan saya kepada khazanah kesusasteraan klasik kita dan juga menambahkan rasa yakin serta harga diri saya serta mempesona dengan penggunaan teknologi terkini dan semasa. Saya percaya, harapan ini bukanlah sekadar angan-angan Mat Jenin sahaja.

Ditulis: 20 September 1993
Tajuk Asal: Aladdin Dan Harga Diri
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 1993
Tulisan: Rasiah Halil.

Tangani Remaja Bak Layang-Layang: Sesekali Perlu Ditarik, Adakala Dilepaskan

Sebulan dua ini Sri berkesempatan bersama beberapa orang remaja. Yang pertama merupakan segolongan remaja anak saudara jiran Sri. Kami sama-sama mengambil bahagian dalam acara ‘Sukan Untuk Kehidupan’ anjuran tempat kerja jiran Sri dengan kerjasama Majlis Sukan Kebangsaan. Acaranya mudah: sekadar berjalan-jalan di trak stadium sebanyak lima pusingan dan kemudian detakan jantung kami dicatatkan. Berat badan, ketinggian dan sebagainya juga dicatatkan dan ada pula cenderamata diberi. Anak-anak saudara jiran Sri begitu cepat menyelesaikan perjalanan mereka berbanding dengan Sri dan emak saudara mereka. Walaupun penat sedikit, Sri terhibur menyaksikan telatah dan ‘kenakalan’ mereka yang sebenarnya bukanlah kenakalan sebenar. Ia bagaikan asam garam yang merencahkan dan mengindahkan kehidupan dan bukan pula memusnahkan.

Sri berkesempatan pula bersama beberapa orang anak saudara Sri yang menetap di Singapura dan juga di luar negara. Bayangkan betapa kecohnya mereka: ada yang masih menuntut di institusi luar dan dalam negeri dan ada pula sudah bekerja. Berbual dengan mereka dan melihat ‘kegilaan-kegilaan’ mereka Sri terkenangkan zaman kanak-kanak serta ibu bapa mereka dan betapa dulu kita selalu sempat bersama kerana banyak acara keluarga yang membolehkan demikian. Kini anak-anak saudara Sri dah besar panjang tetapi masih ada unsur-unsur ‘kenakalan’ mereka yang sihat yang mudah membuat kita tak kering gusi. Mereka dalam banyak hal lebih bertuah kerana mempunyai keluarga yang lebih utuh, sekitaran kehidupan dan pembelajaran yang lebih baik dan saudara-mara terdekat yang menyayangi. Senakal-nakal mereka sekadar nakalnya anak muda yang masih dibendung nilai-nilai Islam dan Melayu yang murni. Dan walaupun ada perkara-perkara kami mungkin berbeza pendapat, ia sekadar itu saja kerana mereka juga berhak mempunyai pendapat-pendapat sendiri berhadapan dengan masalah-masalah masa kini. Asal terasnya Islam dan tatasusila murni, insya-Allah mereka selamat.

Kini banyak kisah negatif mengenai remaja terdedah di dada-dada akhbar. Kita sebagai orang tua menjadi gerun dengan kejadian-kejadian tersebut dan mahu kalau boleh melindungi anak-anak kita daripada anasir-anasir liar itu. Tapi betapa pun kita lindungi, dalam dunia internet dan globalisasi ini, demikian mudah pula anak-anak muda kita boleh dipengaruhi. Baik di sekolah atau di luar pengaruh-pengaruh ini semakin menjadi-jadi dan kalau kita salah menanganinya, kita akan kehilangan anak-anak muda ini selamanya.

Ada pendeta Yahudi ke Nasrani yang berpendapat: ‘Berilah anakmu kepadaku sehingga usianya 7 tahun dan kemudian ambillah semula anakmu’. Dan walaupun anak itu diambil semula, nilai-nilai hidupnya yang telah dibentuk oleh pendeta tadi akan tetap dipakainya. Maksudnya, nilai-nilai pertama yang kita tanamkan dalam anak-anak kita itu amat penting dari semasa bayi (malah ketika hamil) sehingga remaja. Tanpa asas-asas nilai yang baik, mudah bagi anak-anak muda kita tergelincir. Dan penyemaian dan penyampaian asas-asas ini mestilah dilakukan dengan baik dan saksama. Setakat melarang dan mengherdik atau menyemburkan kata-kata ‘haram’ dan ‘halal’ tanpa mempamerkan nilai-nilai keihsanan dan kerasionalan dalam Islam misalnya, anak-anak kita mungkin mendengar kata buat seketika semasa mereka kecil dan takutkan kita tetapi akan memberontak bila mereka semakin dewasa.

Demikian juga bila kita bertembung dengan remaja-remaja yang bukan sekadar nakal-nakal biasa tetapi menyeleweng. Di beberapa daerah di sini sesekali boleh juga ditemui remaja-remaja liar, bergaul terlalu bebas, berpakaian mengaibkan, bertatu, bertindik, minum arak dan lain-lain. Memang mudah bagi kita memulaukan mereka dan menganggap mereka ‘sampah masyarakat’. Mudah juga untuk sekadar berleter dan menghukum ‘halal’ dan ‘haram’ sahaja atau menggunakan kata-kata kesat. Tetapi yang paling sukar ialah mendekati mereka, memahami punca masalah mereka dan dengan ihsan (bukan dengan lagak pandai atau kita lebih baik) membawa mereka pulang ke pangkal jalan. Kita terpaksa tahu mengenai psikologi manusia dan cara-cara berhubung dengan remaja dan manusia lain untuk mencapai matlamat ini. Dengan hanya mengherdik, memalukan atau memaksa matlamat kita tidak akan kesampaian untuk jangka panjangnya. Lihat saja bagaimana kelompok-kelompok lain mendekati remaja dan manusia-manusia yang bermasalah: bukan dengan kekerasan, tetapi sebaliknya. Nabi s.a.w. juga telah mengajar kita untuk mendekati manusia dengan hikmah dan beliaulah guru terbaik yang memahami psikologi manusia. Perilaku, keihsanan dan kelembutannya yang berjaya menambat hati-hati insan yang pernah liar, keras dan luka untuk mencari makna baharu dalam kehidupan pula. Dan kerana contoh baik Nabi s.a.w., pengajaran itu kekal buat selama-lamanya.

Mendekati remaja bagaikan bermain layang-layang. Sesekali kita harus tarik talinya dan sesekali pula harus kita lepaskan tali itu agar layang-layang tersebut dapat terbang tinggi dengan indahnya dan tidak pula hanyut di angkasa kehidupan. Dan sepentingnya pula kita meluangkan masa bermutu untuk sama-sama menganjungkan layang-layang anak remaja kita agar dia tahu dia disayangi sebagai anak dan dihormati sebagai manusia.

Ditulis: 29 Ogos 2001
Tajuk Asal: Bersama Remaja Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 2 September 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Sejenak Bersama Hermann Hesse – Penulis Jerman-Swiss

HH AHH 1HH 2HH 3

Pengenalan
Hermann Hesse lahir pada 2 Julai 1877 di Calw, Wurttemberg, Jerman, dan meninggal di Montagnola, Switzerland, pada 9 Ogos 1962. Dalam usia 13 tahun beliau telah menetapkan pendiriannya untuk ‘menjadi penyair atau tak mahu jadi apa-apa’, lantas memberontak terhadap tradisi keluarganya yang mementingkan kerjaya dalam bidang agama. Hesse bekerja sebagai penjual buku dan karya-karyanya mula tersiar mulai 1899.

Mulai 1904, Hesse menyara hidupnya melalui penulisan; beliau menulis puisi, esei, novel, cerpen dan ulasan buku. Bermula sebagai penyair dan penulis romantis mengikut tradisi Jerman, suaranya semakin dewasa dan lantang apabila negaranya, Jerman, mula perkasa dengan bala tentera perang terutama semasa Perang Dunia Pertama. Hesse juga menyuarakan kebimbangannya terhadap semangat nasionalisme negatif Jerman, yang disaksikan melalui Nazisme, menjelang Perang Dunia Kedua. Namun suara kemanusiannya disenyapkan dan dia dipulaukan dan dianggap tidak patriotik. Hesse menjadi rakyat Switzerland (yang tidak berpihak semasa Perang) pada 1923 dan tetap menulis mengenai masyarakatnya dalam bahasa Jerman sehingga ke akhir hayat. Beliau dianugerahi Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan pada 1946.

Hesse Dan Karya-Karyanya
Seorang penulis yang prolifik, Herman Hesse telah melahirkan banyak karya yang pernah menjadi ikutan, terutama pada zaman 60-an di Amerika Syarikat. Di antara karya-karyanya termasuklah: Peter Camenzind (1904), The Prodigy (1905), Beneath The Wheel (1906), Getrude (1910), Rosshalde (1914), Demian (1919), Siddhartha (1922), Steppenwolf (1927), Narcissus And Goldmund (1930) Journey To The East (1931), Magister Ludi (1943), Strange News From Another Star (1955), The Hesse-Mann Letters (1975), My Belief (1976) dan lain-lain.

Apakah keistimewaan Hermann Hesse? Membaca karya-karya awalnya kita temui suara orang muda yang menentang keadaan sekelilingnya, sama ada sistem pendidikan ataupun kehendak-kehendak orang-orang dewasa yang seolah-olah membelenggu mercupnya jiwa muda yang ingin segar membangun. Tulisan Hesse bagaikan lirik puisi yang indah, menyampaikan hasrat hati tanpa terlalu banyak menyengat. Dan setiap orang muda yang melalui seksanya zaman-zaman pembelajaran dan pendewasaan mudah mengikuti karya-karya tersebut.
Namun, suara Hesse sedikit berubah setelah menyaksikan sendiri ganasnya halilintar perang, terutama semasa Perang Dunia Pertama. Walaupun suaranya masih tetap puitis dan karya-karyanya menawan hati, pengamatan dan kedewasaannya membolehkan beliau melihat sesuatu gejala bukan sekadar dari kaca mata anak muda ataupun kehendak individu sahaja. Ada panggilan yang lebih besar daripada suara keindahan dan ada tuntutan yang perlu dilaksanakan demi kemanusiaan, dan Hesse selepas 1919 menyahut seruan dalaman itu, tanpa menggadaikan harga dirinya atau menjadikan seninya alat propaganda Nazi-Jerman.

Hermann Hesse banyak menggambarkan pertikaian nilai kerohanian yang suci dengan kehendak jasmani atau kebendaan yang tiada mengenal batas, dalam novel-novelnya. Dalam Stepppenwolf, misalnya, Harry Haller, watak utamanya, menganggap dirinya sebagai ‘separuh manusia dan separuh serigala’ kerana sekitarannya telah diselubungi nilai-nilai hipokrasi. Dalam Siddhartha pula, watak utamanya, Siddhartha, meninggalkan hidup disiplin keluarga Brahminnya untuk mengecapi hidup bebas dan berunsur kebendaan melalui perhubungannya dengan Kamala, Kamaswami dan lain-lain. Namun Siddhartha, seperti sebatang sungai, mencari semula laut, (dan disiplin) asalnya kerana inilah, yang akhirnya dia fahami, yang dapat memberi makna dan pembersihan jiwa.

Dalam novel terbaik Hermann Hesse, Magister Ludi atau dinamakan juga The Glass Bead Game, konflik diri ini digambarkan melalui watak Joseph Knecht dari institusi elita bernama Castalia. Ditubuhkan setelah beberapa peperangan abad ke-20, institusi ini demikian terpisah daripada sekitaran yang sebenar. Knecht, sarjana terbaik dari institusi itu, akhirnya keluar dari Castalia dan menyatukan diri dengan rakyat jelata; dilambangkan dengan Knecht cuba menyelamatkan salah seorang muridnya dari mati lemas. Hesse, melalui novel ini, ‘menampar’ golongan elita agar menjejak ke bumi nyata dan tidak sekadar memahirkan ‘glass bead game’ mereka sahaja sedangkan seluruh dunia di ambang perang.

Penutup
Banyak unsur psikoanalisis terdapat dalam karya-karya Hesse. Demikian juga unsur-unsur falsafah dari dunia Barat dan Timur. Beliau juga dipengaruhi oleh tulisan-tulisan Spengler, Nietzche, Dostoyevsky dan unsur-unsur mistik Timur. Karya-karyanya memperkayakan kehidupan kita melalui unsur falsafah dan bahasanya yang berlapis makna, puitis serta keindahan penyampaiannya.

Ditulis: 27 Julai 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Kata Mutiara: Daripada Buku ‘La Tahzan’ (Jangan Bersedih)

Kepada Mereka Yang Ditimpa Musibah – halaman 230 – 232 (beberapa petikan)

Dalam sebuah hadis Qudsi disebutkan: “Barangsiapa yang Aku ambil orang yang dicintainya daripada penduduk dunia kemudian dia [bersabar sambil]mengharapkan pahala [daripada-Ku]maka Aku akan menggantikannya dengan syurga.” (HR. Bukhari)

Dalam hadis Qudsi yang lain disebutkan: “Barangsiapa Aku uji dengan [dicabut] kedua kekasihnya [kedua matanya] makan Aku ganti keduanya dengan syurga.”

{Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta itu, ialah hati yang di dalam dada. QS. Al-Hajj:46}

Dalam sebuah hadis Qudsi yang lain Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya jika Allah mencabut anak seorang hamba yang beriman, maka Allah bertanya kepada para malaikat [yang mencabut nyawanya], “Kalian telah mencabut nyawa anak hamba-Ku yang beriman?” Malaikat-malaikat itu menjawab, “Ya”. Allah bertanya lagi,“Kalian mencabut buah hatinya?” Mereka menjawab, “Ya”. Allah bertanya lagi, “Apa yang dia katakan?” Mereka menjawab, “Dia memuji Engkau dan mengembalikan[semua urusannya untuk-Mu].” Allah bertanya,”Bangunkanlah untuk hamba-Ku sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu dengan Baitul Hamd.” (HR.Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis disebutkan, “Sesungguhnya besarnya pahala itu sesuai dengan besarnya ujian. Jika Allah mencintai suatu kaum maka Allah akan menguji mereka. Maka barangsiapa yang [dengan] rela [menerimanya] maka baginya kerelaan itu, dan barangsiapa yang benci maka baginya kebencian itu.” (HR. Tirmidzi)

Ada sejumlah permasalahan besar dalam musibah-musibah itu: ada kesabaran, ada takdir, ada pahala, ada tuntutan, agar hamba menyedari bahawa Yang Mengambil adalah Yang Memberi, dan bahawa Yang Mencabut adalah Yang Menganugerahkan.

Harta dan keluarga tak lain adalah titipan semata
Pasti suatu hari dia akan dikembalikan jua.

Buah Ranum Daripada Keredaan – halaman 355

{Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada-Nya. QS: Al-Bayyinah: 8}

Keredaan memiliki buah yang melimpah berupa keimanan. Orang yang reda hatinya akan terangkat hingga tempat yang paling tinggi, yang kemudian mempengaruhi keyakinannya yang semakin mendalam dan kuat menakat. Pengaruhnya kemudian adalah kejujuran dalam berucap, berbuat dan berperilaku.

Kesempurnaan ubudiyahnya (ibadah/perhambaannya kepada Allah) lebih disebabkan kemampuannya menjalankan konsekuensi-konsekuensi hukum yang sebenarnya berat baginya. Tapi, ketika hanya hukum-hukum yang ringan saja yang dia jalankan maka itu akan membuat jarak ubudiyahnya dengan Rabbnya semakin jauh. Dalam konteks bahawa ubudiyah itu bererti kesabaran, tawakal, keredaan, rasa rendah diri, rasa memerlukan, ketaklukan, dan ketundukan, maka ubudiyah itu tidak akan sempurna kecuali dengan menjalankan keharusan yang memang berat dilakukan. Keredaan terhadap qadak bukan bererti reda terhadap qadak yang tidak memberatkan, tapi terhadap yang menyakitkan dan memberatkan. Hamba tidak berhak mengatur qadak dan qadar Allah, dengan menerima yang dia mahu dan tidak menerima yang dia tidak mahu. Kerana pada dasarnya manusia itu tidak diberi hak untuk memilih: hak itu mutlak wewewang Allah kerana Dia lebih mengetahui, lebih bijaksana, lebih agung, dan lebih tinggi. Kerana Allah mengetahui alam ghaib, mengetahui segala manusia dan mengetahui akibat daripada segala hal.

Saling Meredai – halaman 355 -356

Satu hal yang harus disedari adalah bahawa keredaaan hamba kepada Allah dalam segala hal akan membuat Rabbnya reda kepadanya. Ketika hamba reda dengan rezeki yang sedikit, maka Rabbnya akan reda kepadanya dengan amal sedikit yang dia persembahkan. Ketika hamba reda terhadap semua keadaan yang melingkunginya dan tetap mempertahankan mutu keredaannya itu maka Allah akan cepat meredainya ketika dia meminta keredaan-Nya. Dengan kaca mata itu, lihatlah orang-orang yang ikhlas, walaupun ilmu mereka sedikit tapi Allah meredai semua usaha mereka kerana memang mereka reda kepada Allah dan Allah meredai mereka. Berbeza dengan orang-orang yang munafik yang selalu ditolak amalan mereka. Mereka tidak menerima apa yang telah Allah turunkan dan tidak suka terhadap keredaan-Nya, maka Allah pun mensia-siakan amalan-amalan mereka.

Dr Aidh al-Qarni, La Tahzan (Jangan Bersedih), Terjemahan Indonesia. Jakarta: Qisthi Press, Cetakan Kelima, April 2004.