Bila Beraya Pasti Tak Lekang Daripada Keriangan, Keharuan, Kenangan

Rasa-rasanya macam kita nak berhari raya sebulan, maklumlah suasananya masih terasa pada hujung minggu ini. Belum semua rumah yang kita kunjungi dan bagi mereka yang berpuasa enam, minggu inilah baru dapat benar-benar berhari raya. Walaupun ekonomi suram dan keadaan dunia masih tidak menentu, namun Hari Raya tetap kita meriahkan meskipun tidak sehebatnya.

Anda tentu dah dengar pasal kuih makmur dan kuih tart, jadi tak payahlah Sri terangkan lagi. Mendengar kisah ini, ada di antara kita terbahak-bahak; siapalah kata orang kita tak ada bakat kreatif, kalau tak percaya, tanyalah penghantar-penghantar sms kita! Pandai saja mereka buat kelakar; rupa-rupanya banyak bakat terkubur, tertimbun dan terbenam di kalangan kita.

Salah satu pandangan istimewa semasa Hari Raya ialah melihat masyarakat kita berbaju tradisional, terutama di kalangan anak-anak muda. Kita yang lebih dewasa sudah tentulah berpakaian sedemikian, malah bagi kaum wanita pakaian tradisional selalunya menjadi pilihan harian kita. Tetapi melihat anak-anak muda dan kanak-kanak berbaju kurung misalnya, menimbulkan semacam keriangan di hati kita. Terasa mereka begitu anggun, segak atau comel bila berpakaian sedemikian. Dan memang ada pelbagai jenis baju kurung, selendang dan kain samping yang seolah-olah diperagakan; lebih pelbagai berbanding dengan satu zaman dahulu. Memang indah melihat warna perang atau biru misalnya berbondong-bondong bergerak dengan riangnya meraikan Hari Raya. Ini terutamanya bila yang mengunjungi rumah anda datang bagaikan selori penuhnya – macam warna pelangi kadangkala menghiasi rumah anda, demikian gemerlapannya warna-warna di Hari Raya.

Tapi ada juga tak berapa sedap dipandang mata….ada yang berbaju kurung tapi telinganya ditindik (bagi lelaki), bajunya terlalu jarang (bagi perempuan), dan ada pula badannya bercacah (tatu). Dan walaupun kita faham keinginan manusia untuk dapatkan kelainan misalnya dengan mewarnakan rambut atau menggunakan kanta mata berwarna, tetapi bila dipadankan dengan baju tradisional kita, lebih-lebih lagi pada Hari Raya yang mulia terasa macam tak kena. Apalah hebatnya nak jadi macam mat saleh sedangkan sebilangan kita memang jenis sawo matang atau putih kuning. Ini memanglah era globalisasi atau kadangkala disebut MacWorld tetapi takkanlah globalisasi bererti kita hilang jati diri. Salah-salah langkah nanti kita jadi macam orang-orang di Carribean pula.

Tetapi cerita-cerita begini tidaklah sebanyaknya. Sesetengah kita masih terkenangkan Ramadan dan I Syawal yang baru berlalu. Hati kita terharu dengan sikap dermawan di kalangan saudara, sahabat dan jiran kita berkongsi juadah berbuka dan kuih-muih Hari Raya. Memang, semua ini boleh dibeli sendiri, tetapi bila orang berkongsi sepinggan juadah dengan anda, mengajak anda berbuka sama atau bersusah payah berkongsi juadah Hari Raya, apa yang dikongsikan itu besar nilainya. Makanan tersebut memang dengan mudah boleh kita dapatkan tetapi sikap mengambil berat itulah yang selalu menyentuh hati kita. Tanpa banyak berheboh, inilah sebenarnya sikap dermawan masyarakat kita. Dan banyak lagi sikap dermawan masyarakat kita, yang tidak terbatas pada wang ringgit saja.

Keharuan kita juga terbetik mengenang Ramadan-Ramadan kita yang telah berlalu dan yang akan datang. Dapatkah Ramadan kita benar-benar dihidupi pada masa-masa mendatang? Apakah kita akan bersama pada Ramadan yang menjelang? Setiap tahun pada akhir bulan Ramadan Sri akan mengunjungi rumah Busu dan Cicik Sri. Pak Busu Sri akan khatam Quran dan kemudian membaca tahlil untuk kaum keluarga yang telah meninggal dunia. Setelah azan Maghrib, kami berbuka bersama-sama. Kemudian, bersama sepupu-sepupu Sri dan keluarga mereka, kami berjemaah, selalunya berimamkan Pak Busu Sri. Dan yang paling mengharukan ialah bila kami bertakbir bersama-sama, bergilir-gilir dilaungkan oleh Pak Busu, sepupu-sepupu dan anak-anak saudara lelaki Sri. Hanya laungan takbir, sambut menyambut, dan air mata yang sering mengiringinya. Tahun ini kami semakin terharu kerana Pak Busu Sri sakit dan seolah-olah sebagai pelapis, sepupu sulung Sri yang agak pendiam dan pemalu, mengimamkan solat Maghrib, memulakan laungan takbir dan membaca doa mengakhiri upacara bertakbir tadi. Sejuk hati kami melihat dia dan adik-adik lelakinya dapat tampil ke depan dan melanjutkan tradisi ini bagi tahun-tahun mendatang.

Rumah Pak Busu dan Cicik Sri juga menjadi port tempat bertemu saudara-saudara yang lain, yang jarang ditemui, kecuali pada Hari Raya. Dalam bertemu, kadangkala begitu singkat, kerana yang datang itu macam hujan, demikian lebat, sempat juga ada di kalangan kita yang terkenang-kenang. Salah satu kenangan ini ialah kuih-muih buatan ibu dan nenek kita, yang kini telah tiada. Sayangnya sesetengah kita tak pun mencatatkan ramuan-ramuan istimewa kuih atau masakan Hari Raya mereka. Ini diburukkan lagi oleh tabiat memasak kita yang suka ‘agak-agak’ saja. Seorang saudara Sri amat kesal tidak mencatatkan ramuan/rempah kek lapis ibunya yang terkenal sedap. Kini dia terpaksalah membuat semacam eksperimen untuk dapatkan nisbah ramuan yang betul. Nasib baik sebilangan kuih dan masakan ibunya dicatatkan dalam tulisan Jawi oleh pak ciknya. Lantas ini boleh ditukarkan ke tulisan Rumi dan disimpan dalam disket dan lain-lain dengan rapi.

Memang mudah menempah kuih dan masakan Hari Raya kini, tetapi ada baiknya jika anak-anak kita juga tahu membuatnya agar apa yang menjadi tradisi keluarga kita tidak hilang bersama masa.

Ditulis: 12 Disember 2002
Tajuk Asal: Masih Dalam Suasana Hari Raya
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 15 Disember 2002.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s