Cerpen: Ma

Usaplah air matamu, Ma, aku akan tetap pergi. Perjalanan ini telah menjadikan aku seorang pemburu sepi dan air matamu tidak mungkin merubah ini semua. Inilah kenyataan yang harus kita tempuh, Ma, walau kau tidak merelakan dan aku turut terseksa. Hidup ini telah mengajarku untuk menjadi ‘kejam’, Ma, dan inilah akibatnya.

Usahlah menangis lagi, Ma, derita yang kau tanggung tidak seberat apa yang kurasa ketika ini. Aku terlalu ingin menceritakanmu, Ma, tapi ini akan hanya membebankanmu. Kau terlalu tua untuk ini semua, Ma, terlalu tua buat seorang anak yang selalu membantah dan bertanya. Kalau kesempurnaan yang kau tuntut daripada hidupku, aku tidak dapat memberikannya kepadamu, Ma. Aku tidak mungkin menjadi seorang anak yang taat setia pada segala yang kau percaya baik. Terlalu banyak pengaruh dan rangsangan yang menyebabkan aku berpegang pada nilai-nilai yang kupercayai baik. Aku tidak boleh lagi menerima melulu, Ma, kerana keadaan tidak membenarkan aku bertindak begitu. Aku telah menjadi sinis, Ma, kerana hidup yang kulalui tidak seindah yang kau gambarkan atau yang pernah aku impikan.

Keberanian mental itu lebih sukar daripada keberanian fizikal, Ma. Lebih mudah untuk menurut pendapat ramai daripada berdiri tegas di atas pendirian sendiri. Lebih tenang dan sentosa hidupku kalau aku hanya pandai menerima dan tidak banyak bertanya, Ma. Tetapi pengalaman hidupku telah menganugerahkan aku dengan sikap sering menyoal dan selalu terserlah dengan kepura-puraan yang disembunyikan manusia. Lantas, bagaimanakah akan aku bina keyakinan terhadap seseorang jika ini sering tersua, Ma? Kadangkala aku jadi cemburu padamu yang sentiasa tenang menghadapi pancaroba dunia.

Aku tidak mahu kau menangis, Ma. Kasih sayang bukanlah seperti sebuah sangkar yang memagari orang yang dikasihi. Kasih sayang bererti membenarkan orang yang dikasihi melalui liku-liku hidupnya sendiri, walaupun kau akan sentiasa berada di sisi untuk memberi segala galakan dan harapan. Selalu meninggalkan kau bukanlah bererti aku tidak menyayangimu, Ma. Kau tidak begitu senang kerana aku seolah-olah tidak punya masa untuk bercakap atau bahan bicara untuk dicakapkan. Aku tidak seriang selalu, lebih pendiam dan muram. Lalu kau sangkakan aku telah terlalu berubah. Aku telah banyak berubah, Ma, tapi kasih sayangku padamu tidak pernah akan berubah. Tiap kali aku malas belajar atau pulang sendirian pada waktu malam, aku teringatkan kau. Kau telah banyak berkorban untukku, dengan apakah dapat kubalas budimu, kecuali ini, Ma? Aku tidak mahu membebankanmu dengan masalah-masalahku kerana terlalu banyak rentetan menghubung-kaitkan masalah-masalah ini. Tapi aku ingin lulus tahun ini, Ma, ingin mendapat pekerjaan yang baik dan ingin sekali membahagiakan hidupmu. Dan satu-satu cara untuk menyempurnakan ini semua ialah dengan selalu meninggalkanmu. Aku bukan mengetepikanmu, Ma, cuma aku tidak mahu merunsingkan hatimu. Aku tahu, aku tak punya sesiapa kecuali kau, yang dapat melihat segala kelemahanku dan menerimaku, kau yang bukan ibu kandungku, Ma.

Prejalanan ini semakin sepi, Ma. Terlalu banyak ranjau dan onak di sepanjang landasan yang kutempuh ini. Tapi aku tidak akan berpatah arang, Ma, walaupun sinar di hujung perjalanan kadangkala begitu kelam. Kepada siapa harus kukongsikan perasaan ini, Ma? Kepada watak-watak daripada buku-buku yang tidak tahu menilai erti resah dan air mata? Kepada kenalan-kenalan yang lebih bersifat persahabatan sementara? Ingin kubawa seorang kawan untuk menemaniku dalam perjalanan ini, Ma, tapi untuk mendapatkan seorang kawan seperti ini bukanlah mudah. Mungkin kerana aku selalu terlambat dalam hidupku, Ma, dan kelambatan ini membuat orang tidak dapat menerima aku, atau seperti katamu, kawan ketawa senang dicari tapi kawan menangis…

Ma, terlalu banyak yang harus kulakukan dalam hidup ini. Tuntutan hidup kini semakin mencabar dan sukar dipenuhi berbandingkan tuntutan-tuntutan hidup pada zamanmu. Aku tidak mahu menjalani hidup seperti yang pernah kau bayangkan, kerana hidup ini terlalu singkat, Ma. Aku mahu hidupku membawa sesuatu yang bererti, sekurang-kurangnya pada diriku sendiri. Aku ingin mengharungi hidup ini dengan sebenar-benar hidup, bukan yang klise, tanpa terikat dengan sekatan palsu yang selalu memisahkan manusia dengan kehidupan. Aku tahu kau tidak sepenuhnya mengerti atau menyetujui ini, Ma, tapi inilah hidup yang telah kupilih. Akan kubuktikan padamu, suatu hari kelak, apa maksudku yang sebenar.

Dunia kulihat semakin hari semakin berubah, Ma. Keunggulanku seringkali berpatah oleh kenyataan yang melanda. Aku terasa begitu kecil, Ma, seolah-olah aku tak punya kuasa untuk berbuat apa-apa. Terlalu banyak yang meminta perhatian dan terlalu banyak yang perlu dikerjakan, kadangkala membuat aku takut aku tidak dapat menyeimbangkan keduanya. Semakin aku mengetahui yang lain, semakin aku sedar betapa jahil diriku ini. Dan hidup ini juga telah menyedarkankan aku akan kepura-puraan manusia, Ma, yang kadangkala membuatku bertanya ke mana menghilangnya segala-gala yang murni yang ada pada manusia. Tapi aku tidak pernah berputus harap, Ma, cuma aku semakin cekal hati dan ingin terus mencabar hidup ini. Ma, seringkali juga aku mencemburuimu, yang walaupun tidak berpelajaran tinggi, dapat menerima hidup dengan segala keburukannya tanpa menjadi sinis atau keras hati.

Usaplah air matamu, Ma, jangan menangis lagi. Aku tidak akan membebankanmu dengan cerita seperti ini, walaupun ia akan membuat kau lebih mengerti. Kau seharusnya banyak berehat, Ma, melihat cucu-cucumu semakin dewasa dan tidak terlalu memikirkan soalku. Aku harus berubah, Ma, kerana hidup ini memaksa aku supaya bertindak demikian. Aku tidak boleh lagi menjadi anak yang sentiasa menurut saja apa katamu tanpa menggunakan penilaian-penilaianku, Ma. Kalau kau mengukur kasih sayang hanya dengan mengikut kata, akulah orang yang paling kurang menyayangimu. Tapi aku menyayangimu dengan caraku, Ma, dan tidak perlu seluruh dunia ini tahu. Aku percaya, seperti subuh menggantikan dinihari, perubahanku adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan sesuatu yang aku yakin sekali, adalah untuk yang lebih baik.

Ketika azan subuh bergema pada pagi ini, doakan aku, Ma. Doakan anakmu ini akan lebih cekal hatinya dan tidak akan mengenal erti putus asa.

Ditulis: Bulan Puasa, Ogos 1978 – ketika saya baru menjejaki tahun ketiga (tahun akademik 1978/79) di Universiti Singapura. Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tersiar: Majalah ‘Gempur’, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura dan Berita Minggu (Singapura), 1978.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s