Aladdin Dan Harga Diri – Ditulis Pada 1993

Cover Aladdin 1Cover Aladdin 3

Kita mungkin terhibur menonton filem Aladdin yang ditayangkan di pawagam-pawagam Singapura baru-baru ini. Cerita daripada Hikayat Seribu Satu Malam ini begitu segar dan memikat dihidangkan oleh Holywood untuk tatapan kita.

Keistimewaan Cerita Aladdin
Apakah keistimewaan Aladdin? Tiap kanak-kanak dari berbagai zaman dan latar, pasti pernah mendengar ceritanya. Cerita Aladdin membawa kita ke dunia fantasi – adanya kuda terbang, ambal terbang, unsur sakti serta suatu keyakinan, bahawa pada akhirnya, mereka yang baik akan tetap menang. Kita terhibur dan berasa demikian selamat dalam dunia ini, walaupun sesekali ditakutkan oleh jin afrit, wazir yang jahat dan lain-lain keindahan cerita-cerita Penglipur Lara, Aesop’s Fables, Grimm’s Tales dan sebagainya.

Kecuali tengkarah yang ditimbulkan oleh beberapa kumpulan mengenai nyanyian permulaan filem ini, yang kemudian dapat dileraikan dengan baik, filem ini tidak berbau kontroversi. Dengan adunan latar dan pengubahsuaian beberapa adegan serta bantuan teknologi canggih, filem ini demikian hidup dan tidak jemu ditonton. Adanya lagu-lagu juga menyenangkan hati para penonton.

Mungkin suatu watak yang sukar dilupakan sesiapa dalam filem ini ialah ‘jin’ (saya akan seterusnya menyebut ‘genie’) daripada lampu ajaib Aladdin. Genie bukan seperti kebanyakan jin yang pernah kita bayangkan, misalnya bertubuh sasa, garang atau ganas. Genie membuat kita tidak kering gusi dengan telatah dan gelagatnya membantu Aladdin. Dengan bantuan suara Robin Williams yang terkenal kerana lakonan-lakonan gila-gilanya misalnya dalam siri televisyen ‘Mork and Mindy’, saya yakin ramai yang ‘jatuh hati’ dengan genie Aladdin ini. Kalau ada khadam demikian, ada yang mungkin terfikir, betapa bertambah indah hidup ini…

Perkara-Perkara Yang Difikirkan
Ada dua perkara yang saya fikirkan setelah menonton filem ini:

• Saya terkenangkan khazanah kesusasteraan klasik kita – cerita-cerita Jenaka, Binatang, Penglipur Lara, Sejarah dan lain-ain lagi yang sedia sebagai bahan mentah bagi diubahsuaikan untuk difilemkan. Walaupun telah ada beberapa usaha pada tahun-tahun 50-an dulu, tetapi kurang pula penerusan usaha begini dalam industri perfileman Melayu. Seandainya kita dapat memanfaatkan teknologi canggih dan terkini, sebagaimana yang dilakukan oleh Steven Spielberg, tidak mustahil khazanah kesusasteraan klasik kita dapat disebarluaskan dan dikenali dalam era globalisasi ini. Tentunya jika kita ketengahkan watak-watak wira, wirawati, bujang selamat, si kembang cina, nenek kebayan dan lain-lain yang sering terdapat dalam cerita-cerita Penglipur Lara kita, beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan agar watak-watak ini lebih hidup dan mutakhir. Mungkin anak-anak kita nanti dapat turut bercerita tentang Malim Deman, Malik Saiful Lizan, Cendera Kirana, Kemala Ariffin, Iskandar Zulkarnain, Sang Kancil, Si Luncai dan lain-lain seghairah mereka berkisah tentang Aladdin, ‘Beauty And The Beast’, ‘Little Mermaid’, ‘Ninja Turtles’ dan sebagainya.

• Kedua, saya terkesan, dalam beberapa adegan filem ini, Aladdin demikian dihantui perasaan rendah diri. Dia berasakan seolah-olah dia ‘tidak wujud’ kerana tidak dilahirkan sebagai putera diraja, lantas, walaupun dia terpikat dengan Tuan Puteri, cintanya tidak akan kesampaian selagi dia sekadar seorang rakyat biasa. Perasaan rendah diri yang keterlaluan ini, dalam istilah psikologi disebut ‘low self-esteem‘, membuat Aladdin yakin, dia tidak punya apa-apa, walaupun dia sebenarnya seorang yang penyayang, baik hati, menghormati orang lain serta suka membantu orang yang susah.

Seperti kebanyakan penonton, saya terharu apabila Aladdin memilih untuk memberi kebebasan kepada genie, sebagai memenuhi janjinya, walaupun ini bererti dia tidak dapat menjadi putera diraja sebagaimana yang dihajatinya. Bagi Aladdin, janji mesti ditepati, selagi boleh, dan melihat genie bebas dan bahagia, tentunya menimbulkan rasa bahagia dalam dirinya. Dan kita mungkin terharu apabila genie yang dibebaskan Aladdin mendakapnya dan berkata: ‘Kau akan sentiasa menjadi seorang putera diraja bagiku’ – walaupun kita tahu, dari mata kasar kita, Aladdin tidak akan menjadi putera diraja.

Aladdin Dan Perasaan Rendah Diri
Perasaan rendah diri Aladdin yang agak keterlaluan ini menyentuh sesuatu di hati saya – saya kira demikian juga di hati penonton lainnya. Sememangnya perasaan angkuh, bongkak, sombong, bangga dan lain-lain adalah perasaan-perasaan yang buruk dan tidak sihat, tetapi perasaan yang terlalu merendah diri sehingga seseorang itu seoah-olah tidak berharga sebagai manusia, juga tidak sihat untuk pembangunan kita.

Bahawa Aladdin bukanlah seorang putera diraja bukanlah penghalang baginya mengahwini Tuan Puteri, atau yang lebih penting, mengecapi hidup bahagia. Kedudukannya hanyalah faktor teknikal, yang sebenarnya boleh diubah, sebagaimana Sultan Baghdad mengubahnya di akhir cerita. Tetapi lebih daripada apapun kedudukan, sebagai insan, Aladdin memiliki ciri-ciri yang baik; inilah ‘mutiara’ hidupnya yang terpendam dalam hati nurani yang suci dan mulia. Ketiadaan pangkat, dalam konteks ini, kedudukan sebagai putera diraja, tidak seharusnya menghalang Aladdin menikmati kebahagiaan dan kehidupan sempurna. Dan seorang putera diraja atau mereka yang berkedudukan, sebagaimana digambarkan oleh beberapa orang watak dalam filem ini, tidak semestinya memliki ciri-ciri baik seorang Aladdin.

Adakalanya kita sebagai individu atau anggota kelompok, juga berfikiran dan berperasaan seperti Aladdin. Perasaan terlalu rendah diri (low self-esteem) membuat kita berfikir bahawa kita tidak penting atau berharga sebagai manusia. Bahawa orang akan hanya menerima dan menyayangi kita apabila kita berkedudukan seperti putera diraja, sebagaimana Aladdin menjadi ‘Putera Abou’, mungkin perlu dipertimbangkan semula. Pertukaran secara zahiriah begini tidak akan menjamin kebahagian yang sebenar, kerana yang lebih utama ialah perubahan dari segi nurani dan minda seseorang. Kita harus yakin, sebagai manusia, kita mempunyai harga diri dan orang harus menerima kita, baik tuan puteri ataupun sesiapa, bukanlah atas dasar yang tidak setara. Terlalu menidakkan kebolehan diri sendiri, sebagaimana dilakukan oleh Aladdin, demi suatu faktor teknikal, akan hanya menghambat kemajuan seseorang. Dan keyakinan serta harga diri ini penting demi pembangunan seseorang individu ataupun suatu kelompok.

Penutup
Sesungguhnya filem Aladdin amat menghibur dan memberi iktibar kepada saya. Pada abad ke-21 nanti, saya ingin menonton filem Si Luncai, Sang Kancil, Panji Semirang, Malik Saiful-Lizan dan lain-lain, yang mencuit rasa, mengingatkan saya kepada khazanah kesusasteraan klasik kita dan juga menambahkan rasa yakin serta harga diri saya serta mempesona dengan penggunaan teknologi terkini dan semasa. Saya percaya, harapan ini bukanlah sekadar angan-angan Mat Jenin sahaja.

Ditulis: 20 September 1993
Tajuk Asal: Aladdin Dan Harga Diri
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 1993
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s