‘Dah Tiba’kah Orang Kita?

Baru-baru ini ada beberapa orang kenalan dan sahabat Sri berasa gusar bila kami berbincang-bincang. Perkara yang mereka gusarkan bukanlah perkara baharu tapi gejala ini bagai menghantui kita sejak kebelakangan ini. Mereka gusarkan konsep ‘dah tiba’ (istilah Inggerisnya ‘has arrived’) iaitu ‘ah berjaya’ dalam masyarakat kita. Kawan dan kenalan Sri ini bukan semuanya karyawan tapi kesimpulan mereka agak tidak jauh berbeza di antara satu sama lain.

Apakah maksudnya ‘dah tiba’ ke puncak kejayaan bagi masyarakat kita? Selalunya kita menggunakan kayu ukur kebendaan bagi menilai kejayaan. Misalnya bila dah berumah besar, sekurang-kurang rumah eksekutif 5 bilik, mempunyai kereta dan ada pembantu rumah, kita rasa kita ah berjaya. Lebih buruk lagi bila anak-anak kita yang baru bekerja, tumpuannya hanya untuk membeli rumah dan kereta besar – konsep berakit-rakit ke hulu dan berenang-berenang ke tepian bagai tak dipakai lagi. Demikian juga dengan penggunaan kad kredit yang begitu mudah dimiliki kini. Bila anda bercakap dengan orang-orang begini kadangkala anda jadi tak sedap juga. Bukan, bukan salahnya memiliki sesuatu yang besar dan berharga tetapi jika seluruh hidup kita berpusar pada soal nak yang terbesar/termahal, akan kuranglah tumpuan kita kepada perkara-perkara yang mungkin tak nampak hebat tapi akan kekal lama dalam tamadun sesuatu bangsa.

Apa pun anda nak cuba bincangkan dengan orang-orang begini akan terlencong pada soal yang sama – mereka cakap pasal soal beli rumah, di dalam dan luar negara, barang-barang termahal, kereta menjalar dan sebagainya tapi bila anda ajak bincang pasal ilmu dalam erti kata sebenar, mereka ini begitu ‘segan’. Bukan, bukan maksud Sri kita semua mesti bersikap ilmiah dan hanya berbincang mengenai buku tetapi pandangan kita, kadangkala dalam berbincang hal-hal yang murni pun, bersalut penilaian nak tonjolkan unsur wang dan kemegahan ini. Wang itu kan sekadar alat, seperti mana kata seorang kawan Sri, dan alat dalam apa pun persoalan, bukanlah tujuan.

Ingin memiliki sesuatu dengan cepat agar dianggap berjaya ini menimbulkan akibat yang merosakkan. Beberapa orang kenalan Sri menjadi psikologis bagi remaja juvena. Masalahnya: remaja ini mencari jalan pintas untuk memiliki barang-barang berharga iaitu dengan memilih jalan yang salah kerana memiliki barang-barang berjenama itu menunjukkan mereka dah tiba. Demikian juga ada perlakuan-perlakuan yang hampir sama daripada orang-orang dewasa. Kita seolah-olah menganggap dengan mempamerkan kemilikan kita sama ada barang-barang berjenama, intan berlian, rumah, kereta, gaji besar dan sebagainya kejayaan yang sebenar telah kita miliki.

Memiliki segala kesenangan sebegini tidaklah ada salahnya, jika anda ada kelebihan, tetapi Sri takut tumpuan kita hanya ke situ saja. Sri teringat kisah seorang sufi Ibrahim ibni Adham; katanya, yang penting bukanlah kekayaan yang kita miliki, tetapi kekayaan apa pun tidak terpacak di hati kita, walaupun kita memilikinya dengan banyaknya. Bila-bilapun ia hilang, ia tidak akan menggemparkan hidup kita. Mungkin laluan hidup kita belum sampai ke tahap ini, tapi tak perlu pula kita erkejar-kejar mengumpul harta sehingga nikmat kejayaan yang sebenar tidak pula kita miliki. Sri takut nanti, kita nak kejayaan yang berbentuk luaran saja sedangkan injakan paradigma yang seharusnya kita lakukan untuk benar-benar menunjukkan kejayaan kita, mungkin tak ramai di antara kita yang sanggup lakukan.

Mungkin ramai yang akan bersetuju, harta dan kedudukan hanya kayu ukur bagi menunjukkan kejayaan seseorang, bukan kayu ukur yang mutlak. Ada beberapa kelompok masyarakat memiliki harta berlimpah-ruah, malah apa pun barangan terbaru akan mereka miliki. Tapi bila anda berbincang dengan mereka anda tahu yang mereka miliki hanyalah harta. Yang terbaru itu hanyalah barangan tapi minda mereka masih tetap di takuk yang lama. Tiada inovasi dan daya kreatif yang cemerlang yang memacu mereka, sebaliknya yang memacu mereka sekadar daya untuk memiliki sesuatu barangan. Kalau nak gunakan istilah sekarang: tiada nilai tambahan yang sebenar bagi masyarakat sebegini. Nikmat kejayaan begini hanya di peringkat luaran, tiada tunjang kecemerlangan daya fikir dan ketahanan dalaman yang mengobori masyarakat sedemikian. Mereka akan dianggap berjaya selagi harta mereka berlimpah-ruah, tapi bila ia pupus, tahulah mereka makna kejayaan sebenar.

Di antara harta terbesar yang dimiliki manusia ialah hati dan akalnya. Jika hati kita benar-benar luhur dan minda kita dipergunakan bukan sekadar untuk mencari harta dan wang saja tapi juga untuk kemaslahatan umum dalam erti kata sebenar, kejayaan itu akan kita miliki juga walau kini kita mungkin tiada rumah besar dan kereta menjalar. Seperti kata peribahasa kita: hanya jauhari yang mengenal manikam. Kita haruslah menjadi jauhari kalau manikam (kejayaan) sebenar ingin kita kenal dan terus gilapkan untuk masyarakat dan bukan kaca yang kita hidangkan untuk tatapan umum.

Ditulis: 30 Julai 2000
Tajuk Asal: Kisah ‘Dah Tiba’
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 6 Ogos 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s