Sejenak Bersama Hermann Hesse – Penulis Jerman-Swiss

HH AHH 1HH 2HH 3

Pengenalan
Hermann Hesse lahir pada 2 Julai 1877 di Calw, Wurttemberg, Jerman, dan meninggal di Montagnola, Switzerland, pada 9 Ogos 1962. Dalam usia 13 tahun beliau telah menetapkan pendiriannya untuk ‘menjadi penyair atau tak mahu jadi apa-apa’, lantas memberontak terhadap tradisi keluarganya yang mementingkan kerjaya dalam bidang agama. Hesse bekerja sebagai penjual buku dan karya-karyanya mula tersiar mulai 1899.

Mulai 1904, Hesse menyara hidupnya melalui penulisan; beliau menulis puisi, esei, novel, cerpen dan ulasan buku. Bermula sebagai penyair dan penulis romantis mengikut tradisi Jerman, suaranya semakin dewasa dan lantang apabila negaranya, Jerman, mula perkasa dengan bala tentera perang terutama semasa Perang Dunia Pertama. Hesse juga menyuarakan kebimbangannya terhadap semangat nasionalisme negatif Jerman, yang disaksikan melalui Nazisme, menjelang Perang Dunia Kedua. Namun suara kemanusiannya disenyapkan dan dia dipulaukan dan dianggap tidak patriotik. Hesse menjadi rakyat Switzerland (yang tidak berpihak semasa Perang) pada 1923 dan tetap menulis mengenai masyarakatnya dalam bahasa Jerman sehingga ke akhir hayat. Beliau dianugerahi Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan pada 1946.

Hesse Dan Karya-Karyanya
Seorang penulis yang prolifik, Herman Hesse telah melahirkan banyak karya yang pernah menjadi ikutan, terutama pada zaman 60-an di Amerika Syarikat. Di antara karya-karyanya termasuklah: Peter Camenzind (1904), The Prodigy (1905), Beneath The Wheel (1906), Getrude (1910), Rosshalde (1914), Demian (1919), Siddhartha (1922), Steppenwolf (1927), Narcissus And Goldmund (1930) Journey To The East (1931), Magister Ludi (1943), Strange News From Another Star (1955), The Hesse-Mann Letters (1975), My Belief (1976) dan lain-lain.

Apakah keistimewaan Hermann Hesse? Membaca karya-karya awalnya kita temui suara orang muda yang menentang keadaan sekelilingnya, sama ada sistem pendidikan ataupun kehendak-kehendak orang-orang dewasa yang seolah-olah membelenggu mercupnya jiwa muda yang ingin segar membangun. Tulisan Hesse bagaikan lirik puisi yang indah, menyampaikan hasrat hati tanpa terlalu banyak menyengat. Dan setiap orang muda yang melalui seksanya zaman-zaman pembelajaran dan pendewasaan mudah mengikuti karya-karya tersebut.
Namun, suara Hesse sedikit berubah setelah menyaksikan sendiri ganasnya halilintar perang, terutama semasa Perang Dunia Pertama. Walaupun suaranya masih tetap puitis dan karya-karyanya menawan hati, pengamatan dan kedewasaannya membolehkan beliau melihat sesuatu gejala bukan sekadar dari kaca mata anak muda ataupun kehendak individu sahaja. Ada panggilan yang lebih besar daripada suara keindahan dan ada tuntutan yang perlu dilaksanakan demi kemanusiaan, dan Hesse selepas 1919 menyahut seruan dalaman itu, tanpa menggadaikan harga dirinya atau menjadikan seninya alat propaganda Nazi-Jerman.

Hermann Hesse banyak menggambarkan pertikaian nilai kerohanian yang suci dengan kehendak jasmani atau kebendaan yang tiada mengenal batas, dalam novel-novelnya. Dalam Stepppenwolf, misalnya, Harry Haller, watak utamanya, menganggap dirinya sebagai ‘separuh manusia dan separuh serigala’ kerana sekitarannya telah diselubungi nilai-nilai hipokrasi. Dalam Siddhartha pula, watak utamanya, Siddhartha, meninggalkan hidup disiplin keluarga Brahminnya untuk mengecapi hidup bebas dan berunsur kebendaan melalui perhubungannya dengan Kamala, Kamaswami dan lain-lain. Namun Siddhartha, seperti sebatang sungai, mencari semula laut, (dan disiplin) asalnya kerana inilah, yang akhirnya dia fahami, yang dapat memberi makna dan pembersihan jiwa.

Dalam novel terbaik Hermann Hesse, Magister Ludi atau dinamakan juga The Glass Bead Game, konflik diri ini digambarkan melalui watak Joseph Knecht dari institusi elita bernama Castalia. Ditubuhkan setelah beberapa peperangan abad ke-20, institusi ini demikian terpisah daripada sekitaran yang sebenar. Knecht, sarjana terbaik dari institusi itu, akhirnya keluar dari Castalia dan menyatukan diri dengan rakyat jelata; dilambangkan dengan Knecht cuba menyelamatkan salah seorang muridnya dari mati lemas. Hesse, melalui novel ini, ‘menampar’ golongan elita agar menjejak ke bumi nyata dan tidak sekadar memahirkan ‘glass bead game’ mereka sahaja sedangkan seluruh dunia di ambang perang.

Penutup
Banyak unsur psikoanalisis terdapat dalam karya-karya Hesse. Demikian juga unsur-unsur falsafah dari dunia Barat dan Timur. Beliau juga dipengaruhi oleh tulisan-tulisan Spengler, Nietzche, Dostoyevsky dan unsur-unsur mistik Timur. Karya-karyanya memperkayakan kehidupan kita melalui unsur falsafah dan bahasanya yang berlapis makna, puitis serta keindahan penyampaiannya.

Ditulis: 27 Julai 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 1998
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s