Tangani Remaja Bak Layang-Layang: Sesekali Perlu Ditarik, Adakala Dilepaskan

Sebulan dua ini Sri berkesempatan bersama beberapa orang remaja. Yang pertama merupakan segolongan remaja anak saudara jiran Sri. Kami sama-sama mengambil bahagian dalam acara ‘Sukan Untuk Kehidupan’ anjuran tempat kerja jiran Sri dengan kerjasama Majlis Sukan Kebangsaan. Acaranya mudah: sekadar berjalan-jalan di trak stadium sebanyak lima pusingan dan kemudian detakan jantung kami dicatatkan. Berat badan, ketinggian dan sebagainya juga dicatatkan dan ada pula cenderamata diberi. Anak-anak saudara jiran Sri begitu cepat menyelesaikan perjalanan mereka berbanding dengan Sri dan emak saudara mereka. Walaupun penat sedikit, Sri terhibur menyaksikan telatah dan ‘kenakalan’ mereka yang sebenarnya bukanlah kenakalan sebenar. Ia bagaikan asam garam yang merencahkan dan mengindahkan kehidupan dan bukan pula memusnahkan.

Sri berkesempatan pula bersama beberapa orang anak saudara Sri yang menetap di Singapura dan juga di luar negara. Bayangkan betapa kecohnya mereka: ada yang masih menuntut di institusi luar dan dalam negeri dan ada pula sudah bekerja. Berbual dengan mereka dan melihat ‘kegilaan-kegilaan’ mereka Sri terkenangkan zaman kanak-kanak serta ibu bapa mereka dan betapa dulu kita selalu sempat bersama kerana banyak acara keluarga yang membolehkan demikian. Kini anak-anak saudara Sri dah besar panjang tetapi masih ada unsur-unsur ‘kenakalan’ mereka yang sihat yang mudah membuat kita tak kering gusi. Mereka dalam banyak hal lebih bertuah kerana mempunyai keluarga yang lebih utuh, sekitaran kehidupan dan pembelajaran yang lebih baik dan saudara-mara terdekat yang menyayangi. Senakal-nakal mereka sekadar nakalnya anak muda yang masih dibendung nilai-nilai Islam dan Melayu yang murni. Dan walaupun ada perkara-perkara kami mungkin berbeza pendapat, ia sekadar itu saja kerana mereka juga berhak mempunyai pendapat-pendapat sendiri berhadapan dengan masalah-masalah masa kini. Asal terasnya Islam dan tatasusila murni, insya-Allah mereka selamat.

Kini banyak kisah negatif mengenai remaja terdedah di dada-dada akhbar. Kita sebagai orang tua menjadi gerun dengan kejadian-kejadian tersebut dan mahu kalau boleh melindungi anak-anak kita daripada anasir-anasir liar itu. Tapi betapa pun kita lindungi, dalam dunia internet dan globalisasi ini, demikian mudah pula anak-anak muda kita boleh dipengaruhi. Baik di sekolah atau di luar pengaruh-pengaruh ini semakin menjadi-jadi dan kalau kita salah menanganinya, kita akan kehilangan anak-anak muda ini selamanya.

Ada pendeta Yahudi ke Nasrani yang berpendapat: ‘Berilah anakmu kepadaku sehingga usianya 7 tahun dan kemudian ambillah semula anakmu’. Dan walaupun anak itu diambil semula, nilai-nilai hidupnya yang telah dibentuk oleh pendeta tadi akan tetap dipakainya. Maksudnya, nilai-nilai pertama yang kita tanamkan dalam anak-anak kita itu amat penting dari semasa bayi (malah ketika hamil) sehingga remaja. Tanpa asas-asas nilai yang baik, mudah bagi anak-anak muda kita tergelincir. Dan penyemaian dan penyampaian asas-asas ini mestilah dilakukan dengan baik dan saksama. Setakat melarang dan mengherdik atau menyemburkan kata-kata ‘haram’ dan ‘halal’ tanpa mempamerkan nilai-nilai keihsanan dan kerasionalan dalam Islam misalnya, anak-anak kita mungkin mendengar kata buat seketika semasa mereka kecil dan takutkan kita tetapi akan memberontak bila mereka semakin dewasa.

Demikian juga bila kita bertembung dengan remaja-remaja yang bukan sekadar nakal-nakal biasa tetapi menyeleweng. Di beberapa daerah di sini sesekali boleh juga ditemui remaja-remaja liar, bergaul terlalu bebas, berpakaian mengaibkan, bertatu, bertindik, minum arak dan lain-lain. Memang mudah bagi kita memulaukan mereka dan menganggap mereka ‘sampah masyarakat’. Mudah juga untuk sekadar berleter dan menghukum ‘halal’ dan ‘haram’ sahaja atau menggunakan kata-kata kesat. Tetapi yang paling sukar ialah mendekati mereka, memahami punca masalah mereka dan dengan ihsan (bukan dengan lagak pandai atau kita lebih baik) membawa mereka pulang ke pangkal jalan. Kita terpaksa tahu mengenai psikologi manusia dan cara-cara berhubung dengan remaja dan manusia lain untuk mencapai matlamat ini. Dengan hanya mengherdik, memalukan atau memaksa matlamat kita tidak akan kesampaian untuk jangka panjangnya. Lihat saja bagaimana kelompok-kelompok lain mendekati remaja dan manusia-manusia yang bermasalah: bukan dengan kekerasan, tetapi sebaliknya. Nabi s.a.w. juga telah mengajar kita untuk mendekati manusia dengan hikmah dan beliaulah guru terbaik yang memahami psikologi manusia. Perilaku, keihsanan dan kelembutannya yang berjaya menambat hati-hati insan yang pernah liar, keras dan luka untuk mencari makna baharu dalam kehidupan pula. Dan kerana contoh baik Nabi s.a.w., pengajaran itu kekal buat selama-lamanya.

Mendekati remaja bagaikan bermain layang-layang. Sesekali kita harus tarik talinya dan sesekali pula harus kita lepaskan tali itu agar layang-layang tersebut dapat terbang tinggi dengan indahnya dan tidak pula hanyut di angkasa kehidupan. Dan sepentingnya pula kita meluangkan masa bermutu untuk sama-sama menganjungkan layang-layang anak remaja kita agar dia tahu dia disayangi sebagai anak dan dihormati sebagai manusia.

Ditulis: 29 Ogos 2001
Tajuk Asal: Bersama Remaja Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 2 September 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s