Catatan 13 Ogos 2016: Joseph Schooling Kebanggaan Kita

JS 1JS2

Pagi tadi saya tundakan ke pasar kerana ingin menyaksikan Joseph Schooling bertanding dalam acara 100 meter gaya kupu-kupu dalam Sukan Olimpik di Rio. Waktunya: 9:12 pagi, waktu Singapura. Seperti kebanyakan warga dan penghuni Singapura, saya berdebar-debar bila acara ini dimulakan. Dan seperti kebanyakan mereka, walaupun tidak didengari Joseph, saya asyik berkata ‘come on, Joseph’ berkali-kali. Dan bila beliau sampai di garis penamat, mencatatkan masa 50.39 saat, memecahkan rekod Olimpik  dan diisytiharkan sebagai pemenang pingat emas – yang pertama bagi Singapura, air mata saya berlinang. Saya terkenangkan lagu ‘Semoga Bahagia’ ciptaan Pak Zubir Said:

‘Capailah lekas cita-cita
pemudi pemuda
supaya kita ada harga
di mata dunia…’

Hari ini, Joseph Schooling telah memberi rasa harga diri itu untuk kita di mata dunia.

Saya bangga dengan pencapaiannya sebagaimana saya bangga dengan kesungguhan para atlet kita yang lain. Dan saya turut bangga, buat pertama kalinya seorang warga Singapura, Sayidah Aisyah, bertanding dalam acara mengayuh (rowing) dalam Sukan Olimpik.

Dan saya turut tersentuh dengan ucapan bapanya, Colin Schooling – begitu merendah dan terbuka – bahawa Joseph hanya seorang anak yang biasa yang mencintai sukan. Ternyata beliau amat menyayangi anaknya tetapi beliau tidak bangga sekeluarga sahaja, malah melibatkan rasa gembira itu dengan semua rakyat Singapura. Beliau berharap kejayaan Joseph akan menjadi semacam harapan kepada anak-anak muda Singapura lainnya.

Yang tidak dinyatakan ialah pelbagai pengorbanan beliau dan isterinya bukan sahaja dengan wang ringgit, malah terpaksa berjauhan daripada anak mereka, demi cintanya kepada sukan renang, sejak awal remaja anaknya. Joseph merupakan satu-satunya anak pasangan ini tetapi kerana kasih mereka yang mendalam, mereka sanggup melakukan pelbagai pengorbanan demi kejayaan anak mereka.

Semoga kejayaan Joseph Schooling hari ini hanyalah langkah pertama bagi kejayaan-kejayaan selanjutnya. Pada usia 21 tahun dan dengan kebolehannya untuk menumpukan perhatian kepada matlamatnya, tidak mustahil banyak lagi kejayaan akan diraihnya.

Saya bangga dengan kejayaannya kerana usahanya bukan tiba-tiba tetapi telah dimulakan sejak bertahun lamanya. Sama seperti bangganya saya dengan ramai atlet kita dahulu dalam pelbagai bidang misalnya Majid Ariff, Quah Kim Song dan adik-beradiknya, Osman Merican, Heather Merican, C. Kunalan, Nor Azhar Hamid, Patricia Chan, Chee Swee Lee, Glory Barnabas, K. Jayamani, Hassan Bohari, Zainal Abidin Malek, Ang Peng Siong, Syed Abdul Kadir, Junie Sng, Zarinah Abdullah, Samad Allapitchay, Dollah Kassim, Fandi Ahmad dan lain-lain dan adanya orang-orang seperti Uncle Choo, Jita Singh, N. Ganesan, Patrick Zehnder dan sebagainya yang bersungguh-sungguh menghidupkan arena sukan kita tanpa banyak ganjaran yang diterima.

Kita bangga kerana mereka bersungguh-sungguh dalam bidang masing-masing tanpa banyak diberi itu dan ini dan kita tahu mereka benar-benar mewakili kita sebagaimana Joseph Schooling. Sukar pula kita terima, walaupun ini tidak semestinya bererti kita membenci orang lain, orang-orang yang tiba-tiba dimasukkan dalam ‘Team Singapore‘ hanya kerana mereka boleh menambahkan bilangan pingat dan dipermudahkan segala urusan mereka ke arah itu.

Sebab itu sebilangan kita selalu terkenang atlet kita dahulu – yang mengakar dalam denyut nadi rakyat Singapura – apa pun bangsa dan agama atlet kita dan kita menggemari mereka. Dalam konteks ini, kejayaan Joseph Schooling sememangnya patut kita banggakan dan kita tabik kepada segala pengorbanan ibu bapa dan dirinya untuk menjadikan kenyataan impian Olimpiknya. Syabas, Joseph!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s