Enaknya Kalau Dapat Bercucuk Tanam…

Salah satu impian hidup Sri ialah memiliki rumah yang berhalaman. Bukan, bukan Sri tiba-tiba nak terikut-ikut sesetengah masyarakat Singapura yang mahukan rumah privet dan sebagainya. Impian ini juga tidak timbul dengan sekelip mata. Sri dibesarkan di beberapa kampung di daerah Timur Singapura. Rumah kampung tahulah, sekecil-kecilpun ada halaman untuk bercucuk tanam. Ketika Sri di sekolah rendah, bapa Sri membeli sebidang tanah yang luas dan mendirikan rumah banglo dua tingkat. Halamannya luas bukan hanya di bahagian hadapan rumah, malah lebih besar di belakangnya. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga dan pokok buah-buahan. Selain kadangkala membantu nenek dan ibu Sri menanam pokok, salah satu kegemaran Sri ialah menyiram air pokok pada waktu pagi atau petang. Ada beberapa pokok di halaman belakang rumah Sri menjadi tempat Sri ‘bersembunyi’. Berbekalkan kerusi malas, buku-buku, pena, sedikit makanan dan minuman, Sri kadangkala menelaah, menulis dan membaca di bawah pokok mangga misalnya. Tenangnya bukan main. Sri suka melihat pokok membesar, berbunga, berbuah atau sekadar teguh berdiri dan memberi semacam perlindungan. Bila menyirami air menggunakan getah (hose) dan berjalan di atas rumput memancutkan air tersebut, Sri selalu berasa riang, walaupun Sri mungkin bermasalah ketika itu. Berdekatan dengan pokok-pokok tadi, memijak rumput dan tanah, menimbulkan semacam ketenangan jiwa.

Sri hanya berpindah ke rumah pangsa pada tahun 80-an. Nenek Sri paling tidak selesa tinggal di rumah pangsa kerana dia tak dapat bercucuk tanam seperti dulu dan dia juga tak dapat memijak tanah. Demikian juga perasaan Sri dan Sri yakin sesetengah masyarakat kita juga berperasaan sedemikian kerana suka rumah berhalaman. Bila ada sahabat dan saudara Sri membeli rumah pangsa jenis mansionet, kondominium dan rumah privet yang halamannya amat kecil atau disimen, hati Sri tak tertawan. Impian Sri bukan rumah sedemikian kerana yang penting bagi Sri, rumah Sri harus selesa (tidak semestinya besar), ada halaman untuk bercucuk tanam dan kalau boleh, tidak terlalu diriuhi jiran. Rumah kampung dengan ciri-ciri ini pun akan menyenangkan Sri.

Walaupun Sri akur, di Singapura sebahagian besar kita terpaksa menginap di rumah pangsa kerana masalah kekurangan tanah, tetapi ia tidak bermakna keadaan serba konkrit ini menyelesakan kita. Lantas tidak hairanlah sebahagian besar kita suka bercucuk tanam di koridor dan menghiasi rumah kita dengan pokok-pokok dalam rumah. Kehadiran pokok-pokok tadi bukan sekadar menenangkan bahkan mengingatkan kita kepada apa yang pernah kita alami semasa hidup berkampung. Dan bagi yang muda-muda pula, ia mendekatkan mereka pada alam semula jadi dan hubungan kita dengan alam tersebut.

Salah satu harapan Sri ketika estet perumahan Sri dipertingkatkan ialah adanya semacam kebun untuk penghuni estet Sri bercucuk tanam walaupun ini tidak termasuk dalam lakaran mereka. Sri pernah membaca ada estet perumahan mencuba berkebun dan baru-baru ini, ada pula kisah perkebunan hidrofonik di estet perumahan Choa Chu Kang. Apa maknanya ini? Bagi estet-estet yang penghuninya rata-rata orang-orang muda yang baru berumahtangga wujudnya perkebunan begini mungkin tidak terlalu penting. Tapi bagi mereka yang meningkat usia, aktiviti begini bukan sekadar menyenangkan mereka kerana dapat ‘turun tanah’ malah dapat merapatkan lagi hubungan di antara penghuni estet tersebut. Walaupun penghuni di satu-satu estet perumahan itu mungkin bertegur sapa bila bertembung, namun tidak ramai yang gemar mengikuti kegiatan-kegiatan di estet perumahannya, terutama jika kegiatan-kegiatan itu tidak menimbulkan kecenderungan mereka dan ada pula menganggapnya tidak menyenangkan. Aktiviti berkebun dan kalau boleh memelihara haiwan ternakan, dapat pula membuka ruang yang lebih neutral bagi penghuni-penghuni tadi. Manfaat jangka panjangnya lebih besar berbanding dengan sebahagian tanah yang kita ketepikan untuk kegiatan ini.

Dan menanam pokok banyak pula kiasannya bagi kita. Walaupun ada pokok boleh hidup dengan hanya ‘dicampak lempar’, tapi bagi pertumbuhan pokok yang sihat, kita mestilah ambil berat mengenai tanahnya, baja, air dan sinaran matahari serta serangga yang mungkin memusnahkan pokok tadi. Dikatakan pokok-pokok yang ‘dibelai’ dengan kasih dan kelembutan ketika kita menyirami air, membaja dan menggembur tanah dan sebagainya akan tumbuh dengan sihat. Tapi pokok yang terlalu diteriki sang matahari tanpa dilindungi dan diperkuatkan oleh tanah, baja dan air pula, tidak akan membesar dengan sempurna. Demikian juga perhubungan di antara penghuni estet perumahan, kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan, pekerjaan dan lain-lain. Sebagaimana pokok harus diseimbangi dengan unsur-unsur tadi, demikian juga hubungan kemanusiaan. Premis utamanya ialah menghormati satu sama lain, kemudian unsur ‘tanah’, ‘baja’, ‘air’, ‘cahaya matahari’ dan lain-lain boleh diseimbangkan. Barulah pohon perhubungan kita membesar dan insya-Allah, berbunga, berbuah dan memberi perlindungan bagi manusia.

Bercucuk tanam banyak pengertiannya bagi kehidupan kita. Dan ini dengan indah dikiaskan oleh penyair Lee Tzu Pheng dalam sajaknya ‘My Country and My People’:

Yet, careful tending of the human heart
may make a thousand flowers bloom…….

*Kini (tahun 2016) dan beberapa tahun sebelum tahun ini terdapat sejumlah kemudahan bercucuk tanam, beriadah dan sebagainya dalam sebilangan estet perumahan di Singapura. Di estet perumahan saya juga sedemikian.

Ditulis: 2 Mei 2001
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 6 Mei 2001
Tajuk Asal: Lagi Kisah Pokok
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s