Gugurnya Permata: Pramoedya Ananta Toer

Buku PAT 1Buku PAT 2Buku PAT 5PATBuku PAT 4

Prakata
Pada lebih kurang 8:30 pagi WIB, bertarikh 30 April 2006, berpulanglah seorang tokoh yang besar dalam kesusasteraan di Nusantara. Pramoedya Ananta Toer, anak kelahiran Blora, Jawa Tengah, pada 6 Februari 1925, mengakhiri hayatnya di rumahnya di Jakarta Timur, setelah diserang beberapa penyakit. Beliau meninggalkan seorang isteri, Maemu-nah Thamrin, sembilan orang anak dan beberapa orang cucu.

Siapakah Pramoedya
Bagi mereka yang menelusuri kesusasteraan Indonesia, nama Pramoedya akan selalu terserlah sebagai salah seorang tokoh yang menyerikan cakerawala sasteranya. Dan bagi mereka yang membesar pada tahun-tahun 50-an sehingga awal 80-an, karya beliau, berserta beberapa penulis Indonesia yang lain, telah menjadi “makanan harian” mereka. Sastera Indonesia ketika itu begitu berkembang dan hidup, malah dianggap sekurang-kurangnya 20 tahun ke hadapan, berbanding dengan sastera berbahasa Melayu yang dicipta penulis-penulis dari Malaya/Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pramoedya membesar dalam keluarga nasionalis; bapanya menjadi guru besar sekolah Budi Otomo. Namun kesempitan wang sering memberantakkan kerukunan rumah tangga ibu bapanya. Ibu Pramoedyalah yang banyak mempengaruhinya untuk menimba ilmu, tabah, dan cintakan bangsa dan tanah airnya. Watak ibu yang teguh ini kemudian kita temui dalam beberapa watak wanita yang teguh, berdikari dan tidak sekadar dirundung sedih, dalam beberapa karyanya. Pramoedya mendapat pelbagai jenis pendidikan, termasuk pendidikan teknikal bahagian radio, stenografi, malah pendidikan Islam. Pembelajarannya banyak dirusuhi oleh ketidak-tentuan zaman membesarnya, misalnya Pendudukan Jepun, selain kesempitan wang untuk meneruskan pelajaran. Namun, dalam pelbagai segi, beliau amat terdidik, kerana pembelajarannya tidak hanya terhenti setakat sekolah formal.

Pramoedya pernah bekerja sebagai jurutaip, tentera, editor, wartawan dan pensyarah. Karya-karyanya termasuklah:
Kranji Bekasi Jatuh, Perburuan, Korupsi, Di Tepi Kali Bekasi, Keluarga Gerilya, Cerita Dari Blora, Cerita Dari Jakarta, Subuh, Midah Si Manis Bergigi Emas, Bukan Pasar Malam, Hoakiau di Indonesia, Panggil Aku Kartini Saja, Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah, Rumah Kaca, Sang Pemula, Gadis Pantai, Arus Balik, Arok Dedes, Mangir, Larasati, Nanyi Sunyi Seorang Bisu dan lain-lain.

Pramoedya telah beberapa kali dipenjarakan oleh pihak-pihak berkuasa di Indonesia, yang paling lama oleh regim Orde Baru pimpinan Suharto. Beliau juga pernah dikaitkan dengan Partai Komunis Indonesia, walaupun Pramoedya tidak pernah menjadi anggota parti ini, beliau ada juga terlibat dalam kegiatan LEKRA (Lembaga Kebudayaan Rakyat) yang mendapat sokongan PKI. Motif utama tulisan-tulisan bercorak LEKRA lebih mengutamakan realisme sosial dan masyarakat marhaenlah yang menjadi tunggak perjuangan mereka. Dan rakyat jelatalah, dan bukan sekadar ideologi, yang turut menjadi bumbu utama karya-karya Pramoedya sejak awal penulisannya. Apabila percubaan PKI ditumpaskan dan Sukarno digulingkan pada 1965, Pramoedya turut juga menjadi mangsanya. Selama 14 tahun beliau meringkuk di Pulau Buru dan hanya “dibebaskan” pada 1979, itu pun masih perlu melaporkan kehadirannya pada pihak tentera setiap minggu. Hanya pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, kebebasan itu dapat lebih beliau kecap.

Nama Pramoedya telah berkali dicalonkan untuk menerima Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan, Beliau juga telah diberi pelbagai anugerah kerana sumbangannya dalam bidang kesusasteraan. Di antaranya termasuklah Hadiah Pertama (1951) daripada Balai Pustaka bagi novelnya Perburuan, yang ditulis dalam penjara (novel ini dihantar oleh HB Jassin untuk peraduan tersebut), hadiah untuk Cerita Dari Blora (1953), Cerita Dari Jakarta (1964, yang beliau tolak), selain anugerah-anugerah menghargai sumbangannya dari negara-negara asing seperti Jerman, Australia, Jepun, Amerika Syarikat, Filipina, Perancis dan juga ijazah doktor kehormat dari Universiti Michigan di Amerika Syarikat. Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke dalam lebih 35 bahasa.

Secercah Karya Pramoedya
Karya-karya Pramoedya tidak pernah bersifat murahan atau picisan. Dari awal penulisan-nya sehinggalah tintanya yang terakhir, yang kita temui ialah kesungguhannya sebagai penulis yang jelas akan tujuan keterlibatannya dalam dunia penulisan. Bahasa yang digunakan tepat dan bernas dan seringkali kita terhimbau nafas kemanusiaan dalam karya-karyanya. Dan semua ini tidak dilakukan sebagai tempelan tetapi sebagai sesuatu yang beliau hayati atau cuba fahami sedalam-dalamnya. Perang merebut kemerdekaan di Indonesia memang banyak ceritanya tetapi sekali lagi, sama ada dalam Di Tepi Kali Bekasi atau Keluarga Gerilya, yang beliau paparkan bukanlah romantisme perebutan kemerdekaan berdarah itu tetapi kehancuran kehidupan rakyat biasa, baik semasa zaman revolusi, mahupun sesudahnya. Dan lama sebelum penulis lain menyentuh dengan mendalam persoalan rasuah, beliau telah melihat adanya gejalanya ini dalam masyarakat yang baru merdeka, misalnya dalam novelnya Korupsi.

Salah sebuah karyanya, Panggil Aku Kartini Saja, yang ditulis dalam dua jilid, benar-benar menghidupkan watak pejuang Indonesia, Raden Atjeng Kartini, sebagai protagonis dalam layar pembangunan negaranya. Sebagaimana kita temui kejituan pemikiran Kartini dalam kumpulan suratnya Letters of a Javanese Princess (terjemahan daripada tulisan asal Kartini dalam bahasa Belanda), demikian juga keteguhan pendiriannya kita temui dalam karya Pramoedya mengenainya. Watak Kartini, dan terlebih awal, ibunya dan nenek beliau banyak mengilhamkan Pramoedya melahirkan watak-watak wanita Nusantara yang bukan sekadar dibeliti nestapa, tetapi insan-insan yang berani menongkah arus demi menegakkan pendirian mereka.

Tetapi mungkin karyanya yang paling diingati merupakan tetralogi: Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Novel-novel ini ditulis semasa dalam tahanan dan diterbitkan mulai tahun 1980. Berlatarkan sejarah Indonesia dari 1890, ia menjejaki kebangkitan nasionalisme dan pertubuhan-pertubuhan sedemikian pada tahun-tahun tersebut sehingga awal abad ke-20. Kesedaran sosial dan politik negara Hindia Timur (Indonesia, yang juga digelar Hindia Belanda) ini diserapkan dalam watak utamanya, Minke, seorang anak bupati. Minke terdidik di sekolah Belanda, dan seperti golongan priyayi lainnya, kehidupannya tidak terlalu terkacau oleh adanya penjajahan Belanda. Namun beliau beruntung kerana mempunyai guru dan watak-watak lain yang menyedarkannya akan semangat nasionalisme dan pelajaran bagi Hindia Timurnya. Kesedaran Minke akan keadaan di sekelilingnya, terutama setelah bertemu dengan Nyai Ontosoroh, menjadikan Minke seorang yang lebih faham dan tabah akan pembenturan-pembenturan siasah dan lain-lain dalam masyarakatnya.

Walaupun watak Minke ini diilhamkan daripada watak ‘Bapa Wartawan Indonesia’, Tirto Adhi Soerjo (R.M.Tirto), ia juga adalah sebahagian daripada watak Pramoedya dan pembauran keduanya serta ilham beliau. Minke menjadi peribumi yang prihatin, yang melihat dunia daripada kaca mata yang lebih terbuka, dan melalui pengaruh guru-gurunya dan Nyai Ontosoroh, dia mula terasa peranannya dalam negaranya yang masih dijajah. Melalui Nyai Ontosorohlah, Minke memilih bahasa Melayu sebagai bahasa penulisannya kerana hanya melaluinya, masyarakat umum dapat menerima idea-idea pembaharuannya. Kesedaran Minke sebagai golongan terpelajar menjadi kesedaran generasinya akan pentingnya ilmu pengetahuan dalam menanggapi dan mengisi erti pembangunan sebenar, baik bagi individu mahupun negara. Dan Pramoedya demikian berjaya menggambarkan watak Minke ini: daripada seorang anak muda yang tercari-cari akar jati dirinya kepada seseorang yang maklum akan peranannya sebagai wartawan dan penulis, walaupun akhirnya dia terjebak dalam ‘rumah kaca’ buatan Belanda. Pencarian Minke akan ilmu-ilmu baharu dan pengaruh-pengaruh yang beliau terima menjadikan beliau sumber contoh kepada pembacanya.

Malah Nyai Ontosoroh atau nama sebenarnya Sanikem, wanita yang dijual oleh bapanya sebagai gundik kepada Herman Mellema, dan belajar keluar daripada keterbatasannya sebagai seorang gundik yang buta huruf sehingga menjadi seorang yang terdidik dan membangunkan perusahaan sendiri serta sedar akan tindak-tanduk penjajahan Belanda, juga banyak mengilhamkan pembaca novel tetralogi Pramoedya ini. Berbeza dengan watak Salina dalam novel Salina karya A. Samad Said, watak Nyai Ontosoroh ini, walaupun terjerlus dalam pelbagai lumpur kehidupan, tidak pula terus tersalut dengannya. Semangat wajanya untuk mengubah kehidupannya dan pemahamannya akan keadaan sekitarnya, tanpa dijadikan watak cardboard oleh Pramoedya, menjadikan kita menghargai keteguhan hatinya. Mungkin melaluinya, Pramoedya ingin mengingatkan pembacanya bahawa kemerdekaan sebenar seseorang individu ialah kemerdekaan jiwanya, walaupun pada mata kasarnya kehidupannya (Nyai Ontosoroh) masih terbelenggu sebagai seorang nyai (gundik/perempuan simpanan) atau dirundung pelbagai dugaan (apabila Nyai Ontosoroh dapat berdiri sendiri dengan tiadanya Herman Mellema) mahupun dalam tahanan, sebagaimana Pramoedya ketika novel-novel ini ditulis.

Membaca novel tetraloginya ini kita akan maklumi betapa mendalam pengetahuan Pramoedya mengenai sejarah, masyarakat, falsafah, psikologi manusia sehingga terasa kehidupan kita diperkayakan setelah menyudahkan pembacaan novel-novel ini. Dan di antara nukilan-nukilan daripada novel-novel ini, termasuklah satu yang sering dipetik, merupakan nasihat guru Minke kepada Minke dalam Bumi Manusia, halaman 205:
Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastera, kalian hanya tinggal hanya hewan yang pandai. Sebahagian terbesar dari kalian belum pernah melihat Nederland. Aku dilahirkan dan diperbesarkan di sana. Jadi aku tahu setiap orang Belanda mencintai dan membacai karya sastera Belanda. Orang mencintai dan menghormati karya lukis van Gogh, Rembrandt, para pelukis besar kita dan dunia. Mereka yang tidak mencintai dan menghormati dianggap sebagai yang kurang adab.
Lukisan adalah sastera dalam warna-warni. Sastera adalah lukisan dalam bahasa.

Salah sebuah karya Pramoedya mengenai pengalamannya dalam tahanan dikumpulkan dalam Nyanyi Sunyi Seorang Bisu. Catatan-catatan Dari Pulau Buru yang terbit pada 1995. Dalam karya ini kita akan tersentuh dengan pelbagai kesukaran yang dihadapi tahanan, selain semangat setiakawan mereka. Beberapa catatan Pramoedya mengenai keluarganya, terutamanya anaknya, begitu menusuk hati. Namun dalam buku ini juga kita menemui keteguhan pendiriannya berhadapan dengan raksasanya mekanisme yang ingin menghancurkan kehidupannya. Berikut saya perturunkan beberapa pandangan Pramoedya dalam buku ini:
Sebagai pengarang saya adalah manusia Indonesia penuh, dengan kekuatan dan kelemahannya, dengan kebenaran dan kekeliruannya. Soal penilaian adalah soal orang lain (hal. 99).

Kerana seorang pengarang adalah juga seorang yang terkenal, orang menganggapnya sebagai keluarbiasaan sosial, sebagai tokoh yang banyak mengetahui. Tak jarang dianggap sebagai si tahu segala. Orang terlalu sering lupa: kemasyhuran bukan hadiah dari langit, justeru pemberian dari masyarakat, dari bangsanya sendiri, dan kalau beruntung, juga dari umat manusia seluruh dunia. Pengarang adalah pekerja biasa yang memproduksikan kekayaan – hanya bukan kekayaan duniawi – terutama rohani (hal. 84).

Orang bilang orang yang baik ialah yang tahu teori dan kenal keadaan (hal. 267).

Tetapi juga banyaknya belajar tidak menjamin orang menjadi pandai. Belajar adalah memupuk ilmu dan pengetahuan di dalam dirinya. Pandai adalah bisa menggunakan ilmu dan pengetahuan itu. Dan orang yang cerdas, inteligen, adalah yang pandai menarik kesimpulan dari ilmu dan pengetahuannya. Orang yang resolut adalah yang pandai memutuskan dan melaksanakan segala yang dapat disimpulkannya (hal. 145).

Tetapi bagiku sendiri, aku ingin tetap seperti diriku sendiri, tidak ada keinginan untuk mendapatkan pengaruh, dan menjalani hidup sesuai dengan yang menurut perasaan dan pikiranku baik, dengan berpegang pada moral sosial: bebas tanpa merugikan orang lain atau melanggar kebebasan orang lain. Aku takkan ambil pusing apa saja orang laporkan tentang diriku. Dan sampai sekarang pun aku masih tetap Pramoedya Ananta Toer yang dulu (hal. 97).

Kesimpulan
Pramoedya Ananta Toer adalah prisma indah yang memantulkan pelbagai kegusaran dan kegirangan masyarakatnya baik sebelum zaman revolusi Indonesia mahupun setelah negaranya dilandasi Orde Baru. Karya-karyanya banyak mengingatkan kita bahawa yang penting adalah manusia itu: ideologi sekadar sampingannya. Yang terguris adalah nurani kita apabila kita menelusuri karya-karyanya kerana betapa tegas pun suaranya, ia tetap dilunakkan oleh rasa kemanusiaannya yang mendalam. Ada yang mungkin tidak setuju bidasan-bidasannya dalam dunia sastera semasa zaman LEKRA atau pandangannya dalam beberapa bukunya tetapi kita tahu, sebagaimana Arena Wati, beliau amat jujur, tekun, dan cekap dalam bidang penulisannya. Dan Pramoedya telah membayar cagaran yang mahal demi pendiriannya.

30 April 2006 hanya menamatkan perjalanan panjang seorang sasterawan Nusantara yang terbilang. Tetapi ‘kehidupan’ Pramoedya dalam minda masyarakatnya, baik di Indonesia, Alam Melayu lainnya, mahupun dunia, tidak akan berakhir pada tarikh tersebut. Sebagaimana Minke dalam novel tetralogi Bumi Manusianya, Pramoedya juga adalah di antara ‘Sang Pemula’ yang tetap menyinari zamannya dan zaman-zaman mendatang. Penggunaan bahasanya baik dan jitu, pandangan dan pengetahuannya yang bernas dan segar serta keterlibatan seninya yang serius, bermutu dan tekal, seharusnya menjadi teladan bagi semua penulis.

Biarlah saya akhiri tulisan ini dengan menurunkan sebuah sajak yang saya tulis pada 1990, ketika berada di Amsterdam, Netherlands. Sajak ini pernah disiarkan di Berita Harian(Singapura) pada 1990. Ia seolah-olah ditujukan kepada Minke tetapi boleh juga ditujukan kepada Pramoedya, kerana menghidupkan Minke dalam perbendaharaan kesusasteraan kita dan mencetuskan pelbagai pemikiran kita mengenai perkara-perkara yang luhur dan penting melalui novel tetraloginya dan juga tulisan-tulisannya yang lain:

Minke
Kucari kau di sini, Minke
di tengah sulapan tradisi
kincir angin & padang-padang rendah
binatang ternak & rumah-rumah burgher*.

Kau pernah menyusuri lorong-lorong ini
mengasah tantangan mental
menghabluri intipati budaya
di gedung-gedung ilmu, siasah,
dan akhirnya, bagai Netherlands,
kau juga belajar membuat empangan
biarpun sukar
kerana Hindia Timurmu harus diselamatkan
dari dilanda banjir ketidak-tentuan.

Ditulis: 16 Mei 1990
Amsterdam, Netherlands.

*Burgher: golongan atasan Belanda pada zaman silam.

Ditulis: 1 – 2 Mei 2006
Tajuk Asal: Mengenang Pramoedya Ananta Toer
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 4 Mei 2006
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s