Keindahan Di Sebalik Hari Kebangsaan

Anda mungkin sudah menonton perbarisan Hari Kebangsaan kita dan pembukaan sukan Olimpik di Greece baru-baru ini. Kalau tak menonton keseluruhannya, mungkin sedikit-sedikit gambaran kedua-dua acara itu dapat juga anda saksikan. Dan perasaan kita terbaur menyaksikan kedua-duanya. Satu, mengakarkan kita sebagai warga sebuah negara, dan satu lagi meng-ingatkan kita persamaan kita sebagai warga dunia, walaupun dari negara mana kita berasal.

Mengapa sesetengah kita suka menyaksikan sukan Olimpik? Banyak sebabnya, tapi mungkin salah satu sebabnya ialah kita ingin melihat keupayaan manusia merentas halangan-halangan biasa, sama ada untuk menjadi lebih cepat, tangkas, bekerjasama dalam pasukan dan sebagainya demi mencatatkan rekod yang lebih baik bukan hanya untuk dirinya, malah negara dan dunia. Tapi mungkin lebih daripada segala-galanya, kita mahu sukan seperti Olimpik ini menyatukan kita sebagai manusia, walaupun bersaing, dan yang lebih penting bukanlah pingat, tetapi semangat kesukanan yang baik.Sayangnya, ini kadangkala terpinggir bila terdapat ahli sukan yang mengambil dadah/steroid untuk memberi mereka ‘kekuatan’ segera, atau ada perangai ahli sukan dan penyokong mereka yang tak ubah macam samseng.

Olimpik diwujudkan di Greece (Yunani purba) untuk menyatupadukan kelompok negara-bangsa Greece buat seketika, kerana mereka sering berperang. Jadi, semasa sukan Olimpik itu, gencatan senjata berlaku dan tenaga perang terutama dari Athens dan Sparta, dapat disalurkan ke arena sukan. Ini semacam berlaku di Makkah sejak zaman sebelum Nabi s.a.w. Walaupun ia tidak disalurkan ke bidang sukan, pada bulan-bulan tertentu kabilah-kabilah dagangan tidak lagi berperang tetapi bebas melakukan dagangan dan beribadat. Musuh hilang taring kerana yang diutamakan ialah keamanan dan kesejahteraan bersama. Betapa dunia kita hari ini memerlukan masa-masa jeda seperti itu; walaupun ini terlalu unggul, tetapi betapa indahnya jika buat seketika segala keburukan, prasangka, kesongsangan penghuni dunia ini dapat berhenti dan kita bersama menghargai keinsanan kita dalam jalur keihsanan kita mengaitkan segala-galanya.

Perbarisan Hari Kebangsaan meriakkan perasaan yang hampir serupa, tapi tak sama seperti sukan Olimpik. Kita bangga menyaksikan perbarisan tersebut dan terhibur dengan pelbagai pertunjukan, termasuk mercupnya bunga api. Nenek saudara Sri, yang lama menginap di luar negara, sering mengungkapkan ‘tak macam Singapura’ bila hari kebangsaan negara tersebut diraikan. Walaupun sering tak dapat menyaksikan penyambutan Hari Kebangsaan di sini, yang pernah ditontonnya sejak tahun 60-an, membanggakannya. Ungkapan ‘tak macam Singapura’ itu sebenarnya bukan bererti menghina negara tempatnya bermastautin tetapi menggambarkan kebanggaan positifnya terhadap negara kelahirannya. Dan kita berharap ‘tak macam Singapura’ itu tidak pula bercambah ke ruang-ruang kehidupan yang lain misalnya ‘tak macam Singapura’ dalam sikap kiasu, terlalu berkira, bongkak, ingat kita saja betul, sanggup beratur berhari-hari, malah ‘merusuh’ untuk mendapatkan anak patung ‘Hello Kitty’, sesuatu peraduan, rumah, dan sebagainya…

Bagi Sri, yang lebih menarik pada perbarisan Hari Kebangsaan, ialah apa yang berlaku di balik tirai. Melihat anak-anak kita bersungguh-sungguh berlatih, hingga muka naik merah padam atau berkilat, menyaksikan semangat gotong royong mereka yang terlibat menjayakan hari tersebut, daripada mereka yang sukarela menghiaskan wajah peserta-peserta, mengipaskan seorang kawan yang kepanasan, melentuk-liuk dan bahu-membahu dalam kepenatan, menyelaraskan setiap segmen persembahan, mengajak penonton membuat ‘Ombak Kallang’ (Kallang Wave), mengarahkan lalu lintas, selain muzik dan sebagainya. Inilah keindahan sebenar Hari Kebangsaan bagi Sri, kerana sebilangan besar kekurangan kita mencorot berhadapan tugas bersama yang lebih besar. Dan kita spontan dalam keikhlasan dan kebersamaan kita.

Satu perkara yang kita tahu mengenai Hari Kebangsaan, sehabis saja hari tersebut, pihak penyelaras akan berbincang mengenai sambutan hari kebangsaan pada tahun berikutnya. Sedang kita masih bercakap-cakap pasal persembahan NDP 2004, pihak penyelaras dah pun fikirkan NDP 2005. Kerana ini acara tahunan dan melibatkan ramai orang, persiapannya tak boleh dibuat sambil lewa. Kalau buat tak tentu, buat malu saja.

Mungkin perkara ini boleh menjadi iktibar kepada pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan kita. Ada yang mengadakan acara-acara tahunan tetapi persiapan untuk acara-acara itu dibuat secara ad hoc. Kerana setiap tahun acara yang sama diadakan, Sri kurang pasti mengapa perbincangan, lakaran dan tugas kerja tidak boleh dibuat lebih awal, sebagaimana persiapan penyambutan Hari Kebangsaan kita. Yang sedihnya, kita selalu disuguhkan dengan kata-kata ‘tak cukup masa/ orang/ bahan’ dan lain-lain padahal ini semua adalah alasan-alasan yang lemah. Masanya lebih daripada mencukupi, orang dan bahan boleh dicari atau didapatkan, tetapi kerana kita bekerja pada saat-saat terakhir, banyaklah tak dapat dibuat dengan sempurna.

Dan kadangkala kita berkitar daripada kumpulan yang sama, lantas tidak hairanlah beberapa acara yang melibatkan orang-orang Melayu-Islam Singapura, kumpulan yang sama juga dikedepankan. Dan orang-orang yang sama juga kadangkala mewakili kita dalam pertemuan dan seminar di luar negara. Akibatnya, kita tidak akan memperbaiki kekurangan kita, kerana segala-galanya asyik ‘berkitar’. Kerana kurang persiapan awal, dan ini kadangkala diburukkan lagi bila terdapat orang-orang yang asyik mahu dianggap ‘pakar’ dan gila nama, nanti yang kita lebih utamakan ialah ‘bentuk’ bukan ‘isi’ sesuatu kegiatan yang kita adakan untuk khalayak ramai. Betapa ruginya kita.

Ditulis: 19 Ogos 2004
Tajuk Asal: Iktibar Daripada Hari Kebangsaan, Olimpik
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 22 Ogos 2004
Tulisan: Rasiah Halil

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s