Catatan 28 Ogos 2016

1. Beberapa kejadian di dunia  seolah-olah semakin mengendurkan harapan kita. Yang paling menyedihkan mungkin bila kita melihat gambar kanak-kanak dari Syria ini yang bukan ‘a face that launch a thousand ships’ tetapi wajah yang menimbulkan sejuta keharuan.Aleppo Boy

Ada kesedihan mendalam yang tak dapat kita ucapkan – betapa dengan pelbagai peperangan, kekejaman, pengganasan dan kebencian merajalela, akhirnya yang akan mewarisi semua adalah anak cucu kita sebagaimana gambar kanak-kanak dari Aleppo, Syria ini. Bilakah perang, kezaliman, pengganasan, kebencian akan berakhir? Bilakah kita akan ‘give peace a chance’ – bukan sekadar lagu ‘The Beatles’? Siapakah saudagar-saudagar perang, permusuhan, pengganasan yang sebenarnya menangguk di air yang terlalu keruh ini?

Banyak gambar mereka yang dibaham perang dan sebagainya, termasuk bencana alam, menyayat hati kita. Salah sebuah gambar yang menimbulkan semacam kesedihan yang amat mendalam ialah gambar berikut:
IMG-20150615-WA0000
Kanak-kanak ini tidur dalam lukisan ibunya – dia kehilangan ibunya kerana perang. Hati saya luluh melihatnya dan ada lakaran-lakaran sajak yang saya tulis mengenainya tetapi belum menjadi. Ia terlalu menyayat hati.

Apakah yang bakal kita wariskan kepada kanak-kanak seperti ini? Ibunya hanya sebuah lukisan dan dia akan berasa kehilangan yang amat sangat ketika usianya semakin meningkat. Naluri saya dan ramai yang melihat dan membaca mengenai kanak-kanak pelbagai kaum, agama dan budaya yang menjadi mangsa sebegini, mahu saja saya memeluk dan mengambilnya sebagai anak angkat. Namun, bagi kebanyakan kita, keupayaan kita terbatas. Kita hanya boleh berusaha secara kecil-kecilan agar tragedi-tragedi sebegini tidak terus menerus melingkari kehidupan.

Dan di tengah-tengah ini semua, gempa bumi di Italy, Myanmar dan beberapa tempat tetap menyentak kita. Yang dapat kita bantu sebagai penghuni dunia, terbatas, namun harapan kita dengan pelbagai bencana alam dan buatan manusia ini membaham kita, mudah-mudahan kita semakin sedar bahawa nilai-nilai kemanusiaan kitalah yang menjaluri hubungan kita sesama manusia. Kalau kita semakin dipisahkan oleh kebencian dan kezaliman, betapalah akan terjadi kepada kanak-kanak dan mereka yang tidak berdaya?

2.         JS 1JS 2
Kisah Joseph Schooling banyak tersiar di media massa dan media sosial sejak beliau memenangi pingat emas di Sukan Olimpik baru-baru ini.

Memang beliau seorang yang boleh dijadikan contoh bagi anak-anak muda kita. Kesungguhan dan pengorbanannya serta ibu bapanya untuk membolehkan beliau menjadi juara boleh menjadi iktibar kepada kita, berapa pun usia kita.

Saya berharap dengan kemenangan beliau ini, Joseph akan lebih fokus dan melangkah lebih jauh dalam bidang sukan pilihannya. Dan saya juga berharap kemenangan Joseph akan membuka mata ibu bapa kita agar memberikan perhatian yang secukupnya untuk anak-anak mereka dan tidak menjadikan anak-anak mereka sekadar mengejar impian ibu bapa mereka sahaja atau diabaikan terus kehendaknya. Dan saya juga berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab akan lebih terbuka dan saksama memberi peluang-peluang yang lebih baik untuk anak jati Singapura menggilap bakat mereka – baik dalam dunia sukan atau bidang-bidang lainnya.

Joseph juga ada berkata: ‘The first one is always bloodied‘ – betapa benar ini berlaku dalam kehidupan seharian kita. Pemula atau perintis sesuatu yang baharu atau belum pernah difikirkan atau diteroka orang di sekelilingnya, selalu menerima ‘padah’nya. Orang-orang begini selalu menjadi ‘kelinci percubaan’ (guinea pigs) bagi masyarakat di sekeliling mereka bertindak selanjutnya. Dan bukan mudah menjadi ‘sang pemula’. Semoga kita sebagai masyarakat akan lebih terbuka dan saksama menghadapi banyak perkara baharu yang memanfaatkan semua dan orang-orang seperti Joseph tidak terlalu ‘terluka’ dalam proses ini.

3.           SR N 1SR N 2               SR 3

Baru-baru ini, presiden keenam Singapura, Encik S R Nathan meninggal dunia pada 22 Ogos lalu. Upacara persemadiannya diadakan pada 26 Ogos lalu. Banyak kisahnya telah pun dipaparkan di media massa dan media sosial. Saya tidak mengenali mendiang secara peribadi tetapi sebagai rakyat Singapura, saya tahu juga beberapa kisahnya yang boleh kita jadikan iktibar. Antaranya:

1. Kesungguhan mendiang memperbaiki kehidupannya setelah melalui zaman-zaman yang getir.

2. Mendiang tidak pernah lupa atau malu berasal daripada keluarga susah dan kerana itu, beliau prihatin terhadap mereka yang berkeadaan demikian. Ini bukan hanya cakap-cakap orang yang sekadar mahu tumpang semangkuk, tetapi keprihatinan mendiang bukanlah sesuatu yang dibuat-buat.

3. Kisah cintanya dengan isterinya, Cik Urmila Nandey, adalah contoh yang baik bagi mereka yang berumah tangga. Cintanya tidak berubah, walau dihalang kasta, kesukaran hidup dan lain-lain. Tidak semua orang dapat teguh mengasihi seorang sahaja sebagai pasangan hidupnya sehingga ke akhir hayat.

4. Yang paling kita terkenang mungkin keramahan Encik Nathan bersama pelbagai lapisan masyarakat dan kerendahan hati mendiang sekeluarga bersama orang lain. Ada orang berkata, mungkin mendiang sekeluarga ramah dan rendah hati kerana hidup mereka senang tetapi keadaan yang sama tidak berlaku kepada sebilangan orang yang berkedudukan serta hidup senang-lenang. Mendiang tetap orang yang sama terhadap keluarga dan orang di sekelilingnya sebelum, semasa dan setelah menjadi presiden. Kerendahan hati dan keramahan itu tidak boleh dibuat-buat; kalau kita berpura-pura terhadap hal-hal begini, akhirnya akan terhidu juga kepura-puraan kita.

Mungkin inilah antara beberapa hal yang boleh kita jadikan iktibar daripada kehidupan Encik S R Nathan. Kita doakan semoga keluarganya, terutama balunya, Cik Urmila, serta mereka yang terdekat dengan mendiang akan tabah menghadapi dugaan ini.

5. Singapura akan menyambut Hari Guru pada hari Jumaat mendatang ini (2 September 2016). Pada hari Khamis (1 September 2016), selalunya para pelajar membuat persembahan untuk para guru di sekolah-sekolah dan tiada pelajaran diadakan. Hari Jumaat pula, untuk para pelajar sekolah, guru serta kakitangan sekolah,  dijadikan hari cuti di sekolah-sekolah di Singapura.

Bagi saya, kerjaya guru ini, baik di peringkat apa pun, merupakan pekerjaan yang mulia. Sama tingginya pandangan saya terhadap mereka yang kerjayanya dalam bidang perubatan – baik sebagai jururawat, doktor mahupun kakitangan yang menceburi bidang yang berkaitan.

Banyak kenangan kita kepada sebilangan guru yang berperanan dalam kehidupan kita. Guru yang baik itu menjadi teladan bagi kita dan kita kenang sepanjang hayat kita. Dalam masukan blog saya yang lalu, saya menceritakan kisah guru-guru saya yang memainkan peranan masing-masing dalam kehidupan saya dalam simpulan kerangka sebuah negara yang baru merdeka.  Masih banyak lagi guru saya yang baik hati, yang tidak saya sebutkan, walaupun ada juga saya menulis mengenai mereka dalam beberapa karya saya. Dan saya masih lagi menghubungi beberapa guru saya walaupun guru-guru saya ini sudah pun bersara.

Seorang guru bukan hanya mengajar kita tetapi guru yang baik itu mendidik kita dalam pelbagai hal. Kita beruntung bila bertemu guru-guru yang baik hati dan mempunyai integriti serta mahu melihat kita berjaya. Dikatakan seorang guru yang benar-benar baik tidak akan gusar apabila anak muridnya mendapat pendidikan yang lebih tinggi daripadanya atau lebih berjaya dalam hidupnya. Hatinya lapang dan terbuka terhadap anak-anak muridnya dan sebilangan insan yang luhur hati ini dapat melihat kebaikan dan kebolehan kita, lama sebelum kita mengesani hal-hal tersebut dalam diri kita.

Kepada semua guru – Selamat Hari Guru. Semoga anda dilimpahi keberkatan hidup dan semoga kebaikan yang anda semai dalam diri anak-anak murid anda akan merimbun menjadi ladang-ladang kebaikan untuk kemaslahatan semua.

6.  Banyak perkara akan merunsingkan kita dan menyelar-nyelar harapan kita. Dan banyak pula yang akan mengharukan kita dan membuat kita menitiskan air mata. Tetapi diselang-seli semuanya – obor harapan itu tetap menyala. Kita ingin percaya mereka yang menghamburkan kemusnahan, kezaliman, kebencian dan sebagainya tidak akan dapat melakukan ini selamanya. Percikan-percikan kemanusiaan bersama kita itu akan tetap menyala, walaupun sukar, demi menerangi perjalanan kita . Hanya sepercik harapan itu tetapi kita yakin lama-kelamaan ia tetap mencerahi kemanusiaan bersama kita.

Salam
Rasiah Halil
28 Ogos 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s