Pupuk Golongan Intelektual Demi Kebaikan Semua [Tajuk Asal: Erti Pendidikan]

Beberapa tahun lalu Sri pernah mengajar secara sambilan di sebuah sekolah kejiranan. Salah seorang pelajar di sekolah itu banyak membuat Sri berfikir. Pelajar ini dari aliran normal, menengah lima. Bahasa Inggerisnya amat baik dan ketika komputer belum begitu berleluasa digunakan di sekolah dan rumah, dia mahir mengenainya. Selain itu, pelajar ini berpandangan jauh mengenai masa depannya baik pelajaran mahupun kerjaya. Dan pada usia 17 tahun itu, dia telah pun membuat kontrak dengan sebuah badan perniagaan komputer yang agak besar; tugasnya melakar permainan komputer. Pelajar ini dibantu oleh bapanya dalam urusan kontrak niaga dan sebagainya; dia hanya menyumbang dari segi kreatifnya. Dan beberapa minggu mengajarnya Sri dapati pelajar ini amat kreatif dan berlainan cara berfikirnya dibandingkan dengan rakan-rakan sebayanya.

Ramai di kalangan kita selalu menganggap pelajar aliran normal hanya boleh berfikiran tertentu atau pelajar aliran ekpres tentunya boleh cemerlang. Tetapi kenyataan hidup selalu menjungkar-balikkan tanggapan kita. Tiada siapa yang suka dianggap tidak ‘pandai’ dan aliran-aliran yang wujud dalam sistem pendidikan kita kadangkala mewajarkan semacam stereotaip sedemikian. Walaupun kita mungkin faham mengapa penyaluran pelajaran diadakan tetapi sesiapa yang berhubung dengan pelajar dan dunia pendidikan tentu terasa kongkongan dan kendala yang sedia ada dalam sistem sedemikian. Lantas, Sri membaca dengan penuh debar akan perubahan-perubahan yang bakal dilakukan dalam sistem pendidikan kita, demi masa depan anak-anak kita.

Pendidikan itu berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud ‘untuk mengembangkan potensi seseorang’. Dan potensi seseorang kadangkala mengambil masa yang lama untuk dikembangkan; mendidik bukan seperti menyiapkan mi segera yang ‘cepat dimasak dan sedap dimakan’ walhal ia mengandungi banyak monosodium glutamate (msg/bahan perisa) yang memudaratkan kita. Seperti semaian benih, kita terpaksa menunggu masa agar benih tadi menjadi tumbuhan, membesar, berakar tunjang, berbunga dan berbuah untuk kehidupan. Kita juga harus mengadakan prasarana yang memberangsangkan pertumbuhan; tanah yang baik, baja, air, sinar matahari, karbon dioksida dan perlindungan daripada pelbagai penyakit pokok dan serangga. Dan tiap benih itu berpontensi menjadi pohon yang teguh dan tegap kalau ia diberi masa dan dipupuk sedemikan.

Kini sering kedengaran bahawa kita harus berfikir ‘di luar kotak’: daripada kebiasaan-kebiasaan yang kita telah terbiasa, terutama dalam pendidikan. Meneruskan cara berfikir yang statis tidak akan membantu kita mengembangkan lagi potensi anak-anak kita. Tetapi kita harus pandai pula membezakan apa yang dianggap ‘tempelan’ dan apa pula yang dianggap ‘teras’ dalam pendidikan. Seandainya kita mudah tertawan dengan gimik (gimmick) tetapi terlupa tujuan sebenar sesebuah sistem pendidikan, manfaatnya tidak akan dinikmati oleh anak-anak kita. Perlumbaan terhadap gimik tadi bagaikan permainan tikus putih dengan roda: putarannya di situ saja dan kita masih terperangkap dalam kepompong lama dan tiada perubahan sebenar yang berlaku di kalangan kita.

Sri selalu teringat bahawa Albert Einstein, saintis yang mengemukakan teori relativiti yang banyak mempengaruhi dunia fiziks, tidak boleh bercakap sebaiknya sehinggalah umurnya 9 tahun. Dalam sistem pendidikan kita, seorang sepertinya akan kita anggap gagal dan disalurkan ke aliran tertentu, walhal potensinya akan terbantut jika perkara itu berlaku. Dan dalam kita gemar mengejar angka dan statistik dan mudah menganggap kejayaan dengan nombor wahid saja, kita seringkali terlupa dunia pendidikan itu amat berhubung rapat dengan manusia yang kita didik.

Manusia bukanlah mesin dan betapa mahir pun mesin nanti meresap ilmu-ilmu teras dalam bidang psiko-motor (pergerakan), afektif (perasaan) dan kognitif (pemikiran) tidak sama dengan manusia yang sering boleh menakjubkan kita. Sri rasa mendidik manusia bukanlah pekerjaan enteng dan sistem yang kita wujudkan juga perlu diteliti dari masa ke semasa kerana kenyataan hidup memerlukan kita berbuat demikian. Zaman Sri membesar, tahun 60-an dan 70-an, banyak penekanan dalam bidang sains dan teknikal dalam sistem pendidikan kita dan kini penekanannya berbeza pula. Namun di antara beberapa teras pendidikan yang baik: meresap sebilangan ilmu penting, menghargai pengetahuan, beradab dan menjadi insan yang baik dalam pergaulan sesama insan dan sebagainya, tidak harus pula diabaikan.

Sri bertemu dengan pelbagai jenis orang dalam kerjaya Sri. Ada yang begitu cemerlang dari segi pendidikan tetapi kurang adab berhubung dengan manusia lain dan tiada EQ (emotional quotient) langsung. Ada yang hanya mengejar ‘kertas’ tanpa menghargai ilmu atau benar-benar mahir dalam bidangnya. Dan tidak kurang pula yang tanpa ijazah atau pendidikan tinggi kerana sebab-sebab tertentu, tetapi pengetahuannya amat mendalam mengenai satu-satu bidang. Mahaguru Sri dulu ingatkan: ada perbezaan di antara inteligensia dengan intelektual. Sesiapa yang mendapat pendidikan dianggap inteligensia tetapi intelektual itu bukan sekadar orang yang ada ijazah saja. Dan sistem pendidikan kita, dalam memenuhi kehendak baharu zaman dan negara, harus pula membajai juga tumbuhnya golongan intelektual demi kebaikan semua.

Ditulis: 30 Januari 2002
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 10 Februari 2002
Tajuk Asal: Erti Pendidikan
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s