Ulasan Buku: Dua Karya Lelucon Terbaharu

Malay Folklore A Contemporary Retelling By D RuseEh! Wat Yu Talking Chronicles of Malay Humuor By Syed Ali Tawfik Al-Attas

Pengenalan

Sebilangan kita membesar dengan cerita-cerita jenaka, binatang dan pelbagai karya tradisional kita. Siapakah yang tidak akan teringat kisah-kisah Pak Pandir, Si Luncai, Lebai Malang, Pak Kaduk, Si Tenggang selain kisah-kisah Sang Kancil, Bayan Budiman serta beberapa kisah purba seperti Singapura Dilanggar Todak, Badang, Raja Bersiung dan sejumlah cerita daripada Hikayat Seribu Satu Malam? Sebahagian cerita-cerita ini mengandungi lelucon tulen, tetapi ada juga diselitkan unsur ironi dan pelbagai pengajaran untuk pembacanya.

Selain terdapat beberapa komik, buku dan kajian mengenai kisah-kisah silam ini, terdapat juga filem, animasi dan telemovie yang berdasarkan cerita-cerita ini. Generasi demi generasi perulangan cerita-cerita ini selalu mencuit hati dan fikiran kita kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kenangan bersama kita. Dan cerita-cerita sebegini bukan hanya terbatas kepada masyarakat Melayu sahaja.

Dua Buah Karya Lelucon Yang Terbaharu

Baru-baru ini saya diberi dan terjumpa di perpustakaan dua buah buku yang merakamkan beberapa cerita purba kita, tetapi dengan sedikit pembaharuan. Buku yang pertama, Malay Folklore A Contemporary Retelling oleh D Ruse, terbit di United Kingdom pada 2007, mengandungi 10 cerita iaitu cerita-cerita ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, ‘Bawang Putih, Bawang Merah’, ‘Puteri Gunung Ledang’, ‘Raja Bersiung’, ‘Si Tenggang’, ‘Pak Pandir’, ‘Si Luncai’, ‘Badang’, ‘Angan-angan Mat Jenin’ dan ‘Singapura Dilanggar Todak’. Cerita-ceritanya ditulis ringkas dan inti ceritanya umumnya sebagaimana yang diketahui. Bezanya, penulis buku ini, D Ruse, yang besar kemungkinannya ialah nama pena penulis Melayu atau Malaysia atau mungkin juga penulisnya orang Barat yang mendalami bidang kesusasteraan Melayu atau sekurang-kurangnya mengenali masyarakat Melayu, memberi ‘tafsiran kedua’ (second take) kepada cerita-cerita yang dimuatkannya. Lantas, terdapat dua versi cerita-cerita yang kita ketahui ini.

Misalnya cerita ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, kita maklumi bahawa di akhir cerita si ibu ditelan batu belah batu bertangkup kerana terkilan dan merajuk tidak dapat makan telur ikan tembakul. Tetapi dalam second take cerita ini, D Ruse memberi versi yang begitu kontemporari. Ketika sang ibu hampir ditelan batu belah batu bertangkup, anak perempuannya menghalangnya kerana dia boleh mendapatkan telur ikan tembakul yang telah dimakan oleh adiknya dan dia. Bagaimanakah caranya? Senang sahaja, si anak tadi melalui SMS telefon bimbitnya telah mendapatkan telur yang lebih baik, caviar Beluga, dari sebuah pasar raya. Justeru, ibunya tidak jadi masuk ke batu belah batu bertangkup sebab akan mendapat telur tembakul yang lebih tinggi grednya!

Cerita ‘Raja Bersiung’ pula diberi second take yang tidak kita sangka-sangkakan. Sebagaimana yang kita ketahui, Raja Bersiung mendapat siungnya melalui makanan yang tercampur darah daripada luka jejari tukang masaknya. Kerana terbiasa dengan makanan sebegini, setiap hari makanannya terpaksa dicampur darah rakyatnya agar enak dimakannya. Ini menyebabkan sang raja itu bersiung (bertaring). Perbuatannya kemudian diketahui oleh rakyat jelata.

Dalam second takenya, Raja Bersiung lari daripada rakyat yang memberontak. Dia menaiki teksi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan berakhir di Eropah. Raja Bersiung kemudian mengikat kontrak sebagai pelakon gantian (stand-in) bagi Christopher Lee dalam filem ‘Count Dracula’. Walaupun filem-filem Dracula ini mencapai taraf box office, Raja Bersiung kecewa kerana dia hanya menjadi pelakon gantian dan tidak mendapat darah yang mencukupi untuk keperluannya. Lantas, dia memilih kerjaya baharu; mengunjungi bank-bank darah dan menjadi pembantu makmal bank darah secara sukarela. Dengan ini keperluan darahnya dipenuhi dan tiada siapa yang akan tahu jika sepaket dua darah hilang dalam simpanan bank darah!

Kisah budak bijak bernama Nadim dalam cerita ‘Singapura Dilanggar Todak’ juga diberi pembaharuan yang lucu. Nadim tidak jadi dibunuh kerana kepandaiannya menyelesaikan masalah serangan todak ke Singapura purba, sebagaimana yang kita ketahui. Tetapi kerana dia bijak, dia pun mengakalkan sultan agar menyetujui suatu cadangan yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak, apa yang kini disebut sebagai ‘keadaan menang-menang’ (win-win situation). Nadim dan Raja Singapura membuka restoran bernama ‘The Royal Satay & Swordfish Steak House’ yang pada mulanya dibuka di Shenton Way. Pada tahun 2006, restoran ini terdapat hampir 10000 cawangan di Asia dan Eropah! Dan siapa kata Nadim tak bijak?

Buku lelucon kedua berjudul Eh! Wat Yu Talking? Chronicles of Malay Humour, diterbitkan oleh MPH pada 2007 dan ditulis oleh Syed Ali Tawfik Al-Attas, pengarah besar Institut Kefahaman Islam Malaysia. Tidak seperti yang kita sangkakan, buku ini tidak berisi kisah-kisah agama; Syed Ali Tawfik menyerlahkan peribadinya yang lucu, dan bukannya yang serius sebagai seorang sarjana, seperti yang kita maklum mengenai diri beliau. Sebilangan cerita ini kita pernah membacanya walaupun cara penulisan Syed Ali Tawfik tetap mencuit hati kita.

Kisah seorang watak lucu yang pandai merakamkan pelbagai cerita suka duka kehidupan dan bijak pula memberi iktibar melalui kejahilan, kebijaksanaan dan kadangkala kerana keadaannya yang sedia ada, bukan pula terbatas kepada dunia kita sahaja. Dalam dunia kesusasteraan Arab ada watak sedemikian yang dipanggil ‘Johar/Juha’; di kalangan mereka yang berbahasa Parsi terdapat watak yang dinamakan ‘Mulla Nasruddin’ dan di kalangan orang berbahasa Turki watak sedemikian dinamakan ‘Hoca Nasruddin’. Syed Ali Tawfik memilih watak Pak Pandir dan kawan-kawannya seperti Pak Mat, Pak Him dan Pak Su untuk menyampaikan cerita-cerita yang pernah beliau dengari daripada keluarganya, yang kita sedia maklum daripada kisah-kisah Pak Pandir dan kisah-kisah lucu lainnya dan juga cerita-cerita baharu untuk tatapan kita. Cerita-ceritanya kelihatan biasa sahaja tetapi cara penceritaannyalah yang membuat kita selalu tidak gering gusi apabila membacanya. Beliau banyak ‘mengusik’ kita dalam 79 kisah yang dimuatkan dalam buku leluconnya ini. Terdapat juga ilustrasi yang menarik mengiringi sebahagian besar cerita-ceritanya. Ilustrasi-ilustrasi ini dilukis oleh E. Yu.

Salah satu ceritanya mengenai seorang lelaki yang menghadapi masalah botak di kepala. Pak Pandir memberi penyelesaian: larutkan dua teh sudu garam dalam air dan sapukan di tempat yang terjejas. Ini harus dilakukan sebanyak lima kali sehari selama seminggu. Orang tersebut mematuhi arahan Pak Pandir tetapi masalahnya tidak juga selesai. Rambutnya tetap gugur dan tempat-tempat yang disapu larutan garam itu semakin tegang dan gatal. Bila dia bertanya Pak Pandir mengapa penyelesaian sedemikian yang diberinya, jawapan Pak Pandir ternyata meleset: dengan menyapu air bergaram di tempat-tempat yang terjejas, pada pendapat Pak Pandir, akar anak-anak rambut itu akan menjadi ‘haus’ lantas keluar dan tumbuh di kepala lelaki tersebut!

Satu lagi cerita berkisar kepada soal kuali yang beranak. Pak Pandir meminjam kuali jirannya dan kemudian memulangkan kuali tersebut bersama sebuah kuali yang kecil. Bila jirannya bertanya mengenai penambahan jumlah kuali yang dipulangkan, Pak Pandir berkata bahawa kuali yang dipinjamkan kepadanya dahulu telah ‘beranak’, lantas kuali kecil itu adalah hak jirannya. Beberapa ketika kemudian, Pak Pandir sekali lagi meminjam kuali jirannya. Kali ini dia tidak memulangkannya. Apabila jirannya meminta kualinya dipulangkan, Pak Pandir hanya mengucapkan takziah. Mengapa digucapkan takziah, kerana kualinya jirannya sudah ‘mati’. Jirannya enggan menerima penjelasan Pak Pandir: jirannya boleh menerima kualinya ‘beranak’ (sesuatu yang menguntungkan) tetapi enggan menerima kualinya boleh ‘mati’ (sesuatu yang merugikan), menjelaskan dengan lucu betapa tabiat sesetengah kita sebenarnya.

Satu lagi kisah ialah mengenai jiran Pak Pandir yang bersungut kerana rumahnya begitu sempit dengan isteri, empat orang anak dan ibu mertuanya tinggal bersamanya, lantas meminta nasihat Pak Pandir. Penyelesaian Pak Pandir: masukkan tujuh ekor ayam peliharaannya ke dalam rumahnya. Pak Pandir tahu jirannya akan berterima kasih kerana penyelesaian yang diajukannya. Ini dilakukan oleh jirannya tetapi semua ahli keluarganya bersungut kerana rumah semakin sempit. Penyelesaian Pak Pandir seterusnya: masukkan pula kerbau peliharaan jirannya ke rumahnya. Sekali lagi jirannya mematuhi arahannya dan semakin bersungut kepada Pak Pandir kerana rumahnya semakin sempit. Penyelesaian Pak Pandir selanjutnya: masukkan pula tiga ekor kambing peliharaan jirannya ke rumahnya. Sekali lagi jirannya mematuhinya tetapi bersungut keesokan hari kerana keluarganya sukar melelapkan mata dan rumahnya menjadi teramat sempit. Dan kini Pak Pandir memberi penyelesaian yang terakhir kepada jirannya: keluarkan semua binatang peliharaannya daripada rumahnya. Keesokan harinya jiran Pak Pandir mengucapkan terima kasih kerana menyelesaikan masalahnya: rumah yang dihuni oleh isteri, ibu mertua, empat orang anak dan dirinya terasa luas dan selesa. Betapa berbeza sesuatu masalah, menurut Pak Pandir, jika dapat melihatnya daripada perspektif yang berbeza dan pandai memahami keadaan kita sebenarnya!

Satu lagi kisah yang ditulis Syed Ali Tawfik menceritakan bagaimana Pak Pandir berkebun di kebun semangkanya. Setelah beberapa jam berkebun, Pak Pandir berehat di bawah sebatang pokok kelapa. Dia terfikir dan seolah-olah berkata-kata kepada Allah: mengapa semangka yang begitu besar dan berat ditumbuhkan pada tanaman melata yang dahan dan rantingnya lembut sedangkan buah kelapa yang kecil ditumbuhkan pada pokok dan dahan yang kukuh? Tiba-tiba sebiji kelapa jatuh ke atas kepala Pak Pandir. Mengalami itu, barulah Pak Pandir faham akan kemahaluasan pengetahuan Allah. Andainya buah semangka yang terjatuh ke kepalanya, besar kemungkinan Pak Pandir kita tiada lagi di dunia!

Kesimpulan

Kedua-dua buku terbaharu ini memang boleh mencuit hati dan fikiran kita. Walaupun kisah-kisah lucu kita telah banyak dibukukan, termasuk buku Pak Pandir Moden tulisan penulis veteran kita, MAS, namun inilah kali pertama ia ditulis dalam bahasa Inggeris dan dengan pendekatan yang sedikit berbeza. Anak remaja, selain mereka yang menggemari kisah-kisah begini, mudah mengikuti cerita-cerita ini. Ia merakamkan yang silam tetapi juga menjentik keadaan semasa dengan lucu dan sesekali penuh iktibar.

Selamat membaca.

Ditulis: 7 November 2007
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada November 2007
Tajuk Asal: Dua Karya Lelucon Terbaharu
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s