Archive | September 2016

Catatan 17 September 2016

k-1k-2k-4k5k-6k7

1.Saya ingin menulis masukan/entri kali ini sebelum Aidiladha yang jatuh pada 12 September lalu. Tetapi saya terhalang kerana sakit. Dan sakit saya berlarutan lebih 2 minggu. Semakin meningkat usia dan kesihatan yang tidak sebaiknya, bila sakit biasa pun – demam, batuk kokol, sakit tekak dan mata berair pun mengambil masa yang lama untuk sembuh. Saya belum pulih seratus peratus tetapi sekurang-kurangnya saya tidak lagi demam dan batuk saya amat berkurangan. Cuma suara saya serak-serak basah, kalah orang yang menyanti lagu rok!

2. Aidiladha sudah pun berlalu dan menimbulkan pelbagai kenangan bagi mereka yang mengerjakan haji, pernah mengerjakan haji atau sekadar bahagia dapat menyambut Aidiladha dengan orang-orang yang mereka sayang.

Kehidupan kita kini semakin canggih; tidak seperti dahulu apabila sukar betul kita menerima berita mengenai mereka yang menunaikan haji. Tetapi kecanggihan ini juga kadangkala membawa perkara-perkara yang tidak sebaiknya.

Bukan salahnya kita memberitahu keluarga, kerabat dan sahabat mengenai kegiatan kita di Tanah Suci tetapi ada orang pula melakukan ini agak keterlaluan. Bilakah kita melakukan amal ibadat apabila kita terlalu sibuk di facebook, instagram dan sebagainya? Menunaikan haji bukanlah pergi melancong. Akhirnya berapa banyak ‘like’ dan seumpama itu tidak penting sama sekali seandainya Pencipta kita tidak menerima amal ibadat yang kita lakukan. Dialah penilai terbaik dan itulah penilaian yang kita dambakan. Begitu juga ada yang terlalu sibuk dengan urusan-urusan lain termasuk menghasilkan terlalu banyak karya – sekali lagi, bagaimana dengan amalan kita kepada Allah? Allah lah penilai hati kita, bukan manusia yang mudah dikaburi pelbagai cara. Kalau Allah lah matlamat kita dan kita mahu dosa dan kesilapan kita Allah ampunkan, apakah penting penilaian dan ‘like’ daripada orang lain? Mungkin ini boleh kita fikirkan bersama.

3. Hari Raya Korban bukan hanya mengingatkan kita kepada pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya, Nabi Ismail A.S. Kita mungkin terfikirkan datuk dan nenek, orang tua, saudara-mara serta sahabat handai yang turut berkorban untuk kebajikan kita. Dan kita tentunya banyak terkenang mereka yang telah meninggalkan kita. Bertahun telah berlalu, namun pada waktu-waktu tertentu, mereka yang telah berpulang ke alam barzakh ini seolah-olah masih bersama kita – dan kita amat merindui mereka. Mungkin rindu ini akan berlarutan hingga ke akhir hayat kita.

4. Dalam hidup saya, terdapat beberapa orang yang banyak berkorban untuk keselesaan keluarga dan saya. Ada di kalangan mereka ini merupakan ahli keluarga saya dan ada pula merupakan sahabat-sahabat akrab saya. Mereka bersama saya dalam susah senang saya dan tidak menyisihkan saya. Salah seorang daripada manusia-manusia istimewa ini merupakan ibu saudara saya, Rahijah Syed Hussein.

Beliau merupakan anak angkat datuk dan nenek saya dan bersama seorang lagi ibu saudara saya dan keluarganya serta datuk nenek saya, kami pernah tinggal serumah. Saya memanggilnya ‘kakak’ dan menyayanginya sebagai ibu saudara dan kakak saya.

Beliau menyayangi kedua-dua kakaknya – ibu saya, Halimah, dan ibu saudara saya, Puteh. Dan beliau amat menyayangi anak-anak saudara serta cucu-cucu saudara daripada anak kedua-dua kakaknya. Kami juga demikian menyayanginya. Ibu saudara saya sudah berkeluarga tetapi tidak mempunyai zuriat sendiri.

Banyak laluan hidup, suka dan duka, telah dilaluinya. Tapi, seperti nenek saya, hatinya terbuka menerima dan menyayangi orang. Orangnya peramah dan petes – mudah mencipta istilah-istilah baharu, mudah ketawa dan boleh sahaja menggantikan seniwati Neng Yatimah dalam mengalirkan air mata. Tapi mengatasi semuanya, ibu saudara saya ini banyak berkorban untuk keselesaan orang lain – hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikannya.

Dalam liku-liku hidup saya, pada awal 80-an dulu, walaupun beliau tidak tahu sepenuhnya apa yang saya lalui (sebab saya tidak menceritakan kepadanya kerana tidak mahu beliau bersusah hati), saya ingat betapa beliau meluangkan masa, keluar dengan saya dan seorang lagi anak saudaranya dan pergi ke pasar raya kecil yang berdekatan. Saya amat terluka ketika itu dan semakin pendiam dan beliau dengan sederhana berkata: ‘Idah, kakak ada, Idah’. Walaupun saya tahu beliau tidak dapat melakukan apa-apa terhadap masalah-masalah yang saya hadapi, namun saya tahu beliau selalu mendoakan kesejahteraan saya.

Banyak lagi kisah saya dengan ibu saudara saya ini – hati saya mudah tersentuh bila orang memperlekehkannya kerana ibu saudara saya bukan orangnya yang suka melawan. Beliau sabar dan tabah dan tahu anak-anak saudaranya, daripada kedua-dua kakaknya, mengambil berat dan menyayanginya.

Pada 1984, semasa mengikuti kursus pendidikan (untuk dilatih menjadi guru), nenek saya menyuruh saya membeli sebuah rumah pangsa agar beliau dapat tinggal bersama saya. Rumah peninggalan bapa saya, sebuah rumah privet, sudah dijual. Sebelum dijual, saya menginap lama di asrama dan kemudian menumpang di rumah keluarga seorang saudara saya semasa hari-hari biasa dan di rumah ibu dan bapa saudara saya (Puteh dan Abdul Ghani), pada hujung minggu. Bila membeli rumah dan nenek saya tinggal bersama, terasa kehidupan saya semakin tenang. Ibu saudara saya kemudian tinggal bersama kami kerana nenek saya semakin uzur dan memerlukan ada orang lain, selain saya, yang keluar mengajar. Ini berlaku pada 1985. Apabila nenek saya meninggal dunia pada Disember 1991, ibu saudara saya masih tinggal bersama saya. Beliau berumah tangga pada bulan September 1993.

Walaupun tidak tinggal serumah, beliau sering menghubungi saya dan mengambil berat terhadap kebajikan saya. Malah beliau mempunyai kunci ke rumah saya dan tidak mustahil ada masanya saya pulang ke rumah dan dapati ada makanan kegemaran saya terhidang di atas meja – pemberiannya.

Dalam banyak hal yang beliau ingatkan saya, mudah-mudahan ini yang akan saya pegang iaitu bila masalah melanda, jangan simpan di dalam hati. Katanya: ‘Idah, tepis dan balikkan kepada Allah’. Betapa beliau selalu ‘menepis’, menyerahkan segala-galanya kepada Allah, setelah berusaha sebaik mungkin dan selalu berlapang dada dan bersikap positif terhadap orang lain dan kehidupan. Kalau saya dapat amalkan secercah semangat begini betapa lebih indah kehidupan ini.

Saya berpanjang-lebar mengenai ibu saudara saya bukan kerana saya ingin bermegah. Tetapi saya yakin terdapat orang-orang yang berhati mulia seperti beliau dalam kehidupan kita. Hari itu seorang sahabat saya menceritakan mengenai seorang insan berhati mulia, yang selalu menjadi ‘orang dapur’ tetapi orang-orang yang benar-benar menyayanginya dapat melihat betapa baiknya orang tersebut. Dan pemergiannya juga membuktikan kebaikan hatinya.

Pada 1991, saya dengan bantuan sepupu saya, Sham, menyiapkan dokumentari hampir 2 jam mengenai sejarah keluarga saya, berjudul ‘The Journey Home’. Dokumentari ini ada gambar-gambar statik, video, lagu-lagu tertentu, lagu-lagu instrumental dan lagu tema. Dalam salah satu segmen, ada saya paparkan mengenai kejayaan akademik dua ahli keluarga saya dan dua buah lagu mengiringi segmen itu. Salah sebuah lagu itu berjudul ‘Kau Bayangan Hidupku’ nyanyian D J Dave. Ibu saudara saya tersentuh mendengar lagu tersebut.

Pada 2007, dua buah buku saya, Hikayat Sri Anggerik dan Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi, dilancarkan oleh penerbit saya, Pustaka Nasional. Selepas pelancaran rasmi itu, saya mengundang kawan-kawan serta keluarga saya mengadakan majlis untuk meraikan guru kami, Pak Liaw Yock Fang dan juga meraikan orang-orang yang dekat dengan saya. Saya kumpulkan beberapa buah lagu dalam bentuk CD untuk sahabat dan kerabat yang akrab dengan saya. Ada lagu yang saya pilih melambangkan zaman pembesaran kami tetapi ada juga lagu saya pilih kerana seni katanya menyampaikan hasrat hati saya. Salah sebuah lagu itu merupakan lagu D J Dave tersebut. Sesekali bila bersiar-siar dengan kereta dan pak cik saya memainkan CD tersebut, bila mendengar lagu ‘Kau Bayangan Hidupku’, ibu saudara saya akan berlinangan air mata.

Pada 2011, saya menyiapkan satu lagi dokumentari yang saya beri judul ‘2 Birthdays & A Wedding‘. Saya merakamkan perjalanan hidup ibu saudara saya dan dua orang saudara saya serta keluarga berangkai saya. Segmen ibu saudara saya seharusnya lebih panjang tetapi  walaupun dibantu dalam banyak hal oleh seorang anak saudara saya dan suaminya dan saya kumpulkan pelbagai gambar, lagu dan bahan, orang yang menguruskan hal video itu tidak dapat menyiapkannya seperti yang saya kehendaki. Saya masukkan juga lagu ‘Kau Bayangan Hidupku’ selain beberapa lagu lain untuk segmen ibu saudara saya. Segmen ibu saudara saya  dibuat paling pendek oleh orang itu tetapi ibu saudara sayalah orang yang paling terharu dan tersentuh bila menyaksikan secebis kehidupannya dalam video tersebut.

Banyak lagi kisah boleh saya catatkan tapi cukuplah setakat ini. Saya yakin anda juga ada orang-orang yang baik hati seperti ibu saudara saya. Beliau seorang berketurunan Tionghoa dan dibesarkan oleh datuk dan nenek saya sejak bayi. Setakat keturunan dan pertalian darah, apalah ertinya? Bagi saya dan anak-anak saudara serta cucu-cucu saudaranya, beliaulah ibu dan nenek saudara yang kami sayangi. Dan bagi saya, beliaulah satu-satu manusia yang saya panggil ‘kakak’ sejak saya boleh berkata-kata dan beliau merupakan antara mereka yang paling saya sayangi di dunia ini.

Semoga anda juga menghargai orang-orang yang berhati mulia dan menyayangi anda – sepanjang hidup mereka dan apabila mereka telah berpulang ke rahmatullah, selesakan kehidupan mereka di alam barzakh dan anda tetap prihatin terhadap orang-orang yang mereka tinggalkan dan sayangi.

Sesekali dalam kehidupan ini, Allah beri kita permata/manikam – kitalah yang seharusnya menjadi jauhari yang pandai menilai permata/manikam tersebut. Semoga kita semua dipermudahkan Allah menjadi jauhari kepada orang-orang yang menjadi permata kehidupan kita, insya-Allah. Amin.

Salam
Rasiah Halil
17 September 2016.

Advertisements

Sajak: ‘Tega’ Dan ‘Hujan (iii)’

Tega

Di manakah hatimu ketika halilintar itu
kautebar, merata-rata
bom, bahan kimia, napalm
& lumpur sekadar menampung
kehancuran yang menyusul
tanpa adanya ubat-ubatan
menularkan jangkitan, penderitaan.

Kaukah melihat kanak-kanak itu
orang-orang tua, wanita, orang awam
bertempiaran diserang halilintar
atau mereka sekadar digit dari angkasa
bagai tikam-tikam, permainan komputer
memusnah segala
menghangusi cinta
memuing duka
berlarutan
entah untuk generasi keberapa.

Di Hom, Aleppo atau di mana sahaja
murahnya nyawa manusia
atau kitakah yang tega
didera saudagar senjata, dipacu kesempatan
pemimpim-pemimpin yang rakus & gagal
& kanak-kanak terus dibaham
peluru, bom, bom kluster, bahan kimia, napalm
membakar & memuing
bukan sekadar cebisan jasad
bukan sekadar sebuah wilayah
& mereka membisu, membius media
tanpa secarik ihsan
tanpa secercah kebaikan
meluntur & mengecai
kemanusiaan.

*Tega: tidak menaruh belas kasihan, tidak peduli akan kesusahan dan sebagainya orang, sampai hati – daripada Kamus Dewan.

Ditulis: 4 – 10 September 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Hujan (iii)

Tika hujan tiba-tiba menjelma
membersihi bumi
pada hari Tasyrik kedua ini
melenyapkan dosa, noda
menghalau mungkar
seperti jamrah di Mina dilontar
iakah membawa rindu
kepada yang tiada
yang saban berulang
tanpa batas waktu?

Lebat hujan ini
tika takbir masih bergema
menebar rahmat tiada terhingga
setelah jerebu
setelah denggi, zika
perang, pelarian, pengganasan
pengorbanan dihayati, dipermainkan
& aku meringkuk di sofa
diterjah sakit berlarutan.

Betapa yang kita rindui
pudar & menjelma dalam hujan begini
bagai mereka tiada pernah pergi
bersama, dengan hati nan kasih
senyum mengulum
tanpa kata
hadir, keseluruhannya
memungkinkan sejenak
makna kasih sejati
pada carik-carik laluan
yang masih tertinggal ini.

Dalam hujan lebat
& pengorbanan ditafsir pelbagai cara
air mataku bergenang
mengenang yang sederhana:
kasih sejati
mereka yang tiada
luasnya rahmat-Nya
& susutnya kehidupan dari cembulnya.

Ditulis: 14 September 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Dari Angkasa Lepas Ke Baitullah Di Makkah

Anda tentu, seperti Sri, terperanjat menyaksikan kapal angkasa ulang-alik Columbia berkecai di udara hanya 63 kilometer dari bumi Texas. Dengan suhu setinggi 3000 sentigred betapalah anak kapalnya menanggung kehangatan dan kehangusan itu di saat-saat terakhir mereka. Hanya 16 minit sebelum mendarat dan kepulangan yang seharusnya menggembirakan kaum keluarga serta pihak Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) bertukar kepada kepulangan yang menghibakan. Tragedi begini (ketika itu semasa pelancaran, bukan pendaratan) pernah berlaku sebelum ini; yang masih dalam ingatan sebilangan kita ialah meletupnya kapal angkasa Challenger pada 1986, dalam seminit setelah pelancaran ke angkasa.

Banyak perkara yang kita fikirkan ketika menyaksikan tragedi begini. Serangkap ayat bermain-main di fikiran Sri ketika itu: manusia merancang, tetapi Allah jua yang menentukan. Akhirnya segala perancangan kita boleh, dengan tiba-tiba bertukar kerana bukan kita penentu segalanya. Tetapi sebagai manusia, memang menjadi tugas kita untuk merancang dengan teliti agar apa yang kita lakukan, sama ada terbang ke angkasa lepas, mentadbir diri, keluarga atau masyarakat, dapat disusun sebaik mungkin agar ruang-ruang untuk kesilapan itu kita kurangkan semampu yang boleh.

Membaca dan menonton siaran televisyen mengenai tragedi Columbia, kita temui beberapa fakta yang kurang menyenangkan. Bahawa kapal ulang-alik itu agak uzur, lantas teknologinya tidak secanggihnya berbanding dengan kapal angkasa baharu, jika dibina, dan penerokaan yang dijalankan oleh anak kapalnya boleh juga dilakukan oleh robot yang canggih. Yang agak ketara, ada pihak-pihak tertentu yang banyak meraih keuntungan, baik wang mahupun kedudukan, jika misi kapal ulang-alik ini diteruskan. Lantas, keselamatan kapal angkasa tersebut, tidak diberi keutamaan terpenting. Seperti dinyatakan oleh beberapa pihak media massa, ada kesenjangan dalam NASA, lantas perlu dirungkai demi keselamatan anak kapalnya dan misi penerokaan yang diharapkan dapat memanfaatkan manusia.

Dari angkasa yang mengingatkan kita kepada Pencipta kita, di bumi berhimpun berjuta manusia di Makkah menunaikan ibadah haji pula. Dalam suasana ekonomi yang muram dan bahang perang yang semakin mengancam, manusia tetap tabah dan menyahut seruan Labaikallahuma labaik…(Aku sahut seruan-Mu, ya Allah! Aku sahut seruan-Mu. Aku sahut seruan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu. Aku sahut seruan-Mu. Pujian, nikmat dan kerajaan untuk-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu!) Tiap tahun, menjelang musim haji, mereka yang telah menunaikannya akan terkenang masa-masa mereka ketika di sana. Pelbagai peristiwa meruangi hati mereka tetapi tiada apa yang dapat membandingkan dengan menjadi hamba-Nya, datang dengan penuh keinsafan akan segala kekurangan dan kesilapan kita menjadi tetamu-Nya. Bagi sebilangan mereka yang belum menunaikan haji pula, panggilan Kaabah itu sering juga bergema di hati, mengharapkan ada pula kesempatan bagi mereka menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan berasakan sendiri persaudaraan dan kesejagatan Islam serta limpah kurnia Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Suatu masa dahulu bertolak untuk menunaikan haji bukanlah perkara yang mudah. Mungkin sesetengah kita masih ingat menghantar jemaah haji berlepas melalui kapal. Ketika itu banyak lagi persediaan dari segi makanan dan sebagainya perlu disiapkan kerana kapal belayar berbulan-bulan. Singapura memang tempat bertolaknya kapal-kapal haji ini kerana di sinilah berkumpul sejumlah jemaah dari Nusantara. Lantas tidak hairanlah kita namakan daerah Arab/Bussorah Street sebagai Kampung K(H)aji, tempat bakal-bakal haji berhimpun sebelum berlepas ke Makkah. Dan kesukaran-kesukaran yang dihadapi, selain faktor-faktor lain, membuat kita hormat akan mereka yang pulang dari menunaikan haji. Perasaan yang sama juga kita rasakan kini, walaupun keadaannya sudah agak berbeza dari segi penerbangan, penginapan dan lain-lain.

Menunaikan haji adalah suatu ibadah yang agak mudah diketahui umum tetapi pelaksanaannya sebenarnya adalah amat peribadi. Anda seorang sahaja yang tahu apakah anda telah mengerjakan haji dengan sempurna atau kedatangan anda itu bersalut tujuan-tujuan lain yang kurang baik. Sri katakan ini kerana kita sedia maklum ada orang demikian berbangga dengan gelaran ‘haji’ dan ‘hajah’nya padahal gelaran itu tidak penting di sisi Allah. Ramai juga telah menunaikan fardu haji, tetapi tidak mahu gelaran itu dikaitkan dengan namanya. Yang penting bukan gelarannya tetapi pemilik gelaran itu: apakah dia cuba menjadi insan yang lebih baik setelah kembalinya dari Makkah? Demikian juga kita tahu ada unsur-unsur yang kurang baik menjadi amalan kita semasa penghantaran, penyambutan jemaah dan sebagainya. Namun, setiap kita yang maklum, sentiasa mengharapkan pengampunan-Nya, dan menunaikan haji adalah salah satu langkah ke arah itu. Kita selalu berbesar hati mendengar sanak saudara akan menunaikannya, kerana secara tak langsung, kita mahu kerahmatan Baitullah itu singgah juga dalam kehidupan kita.

Mendiang angkasawan Kalpana Chawla dalam misi ke angkasa lepas 1997, mencatatkan betapa indahnya Bumi ketika matahari terbit: daripada kegelapan bertukar terang. Demikian juga mendiang angkasawan Laurel Clark, menggambarkan indahnya Gunung Fuji, Gurun Sahara, bintang-gemintang yang dilihat dari Columbia pada 2003. Seperti kata Kalpana: ‘Planet di bawah kita ini adalah perkhemahan kita dan kita tiada perkhemahan lain’. Dan kerana kita penghuni planet yang sama, di angkasa lepas, di Baitullah, dan di seluruh dunia, kita seharusnya menjadikan Bumi kita lebih damai padadiracuni persengketaan, ketidakadilan, prasangka dan perang.

Ditulis: 6 Februari 2003
Tajuk Asal: Di Angkasa Dan Di Baitullah
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 9 Februari 2003
Tulisan: Rasiah Halil.

Bila Topeng Mereka Terbuka…

Anda sudah biasa dengan gejala ini: orang bercakap berkobar-kobar dan anda terpegun. Atau mungkin anda benar-benar terpesona dengan kata-katanya. Kata-kata puji anda terhadapnya lancar bak air, seolah-olah anda telah bertemu dengan seorang manusia yang berwibawa. Tetapi mengetahui watak sebenar orang tersebut, mungkin setelah lama mengenalinya, barulah anda tahu gambaran yang terserlah mengenainya bukanlah gambaran yang sering digembar-gemburkan. Anda terperanjat dan mungkin sukar mempercayainya. Tetapi lama kelamaan anda maklum, dalam banyak hal manusia pandai berselindung. Dan dalam banyak hal pula, sebagai manusia biasa, kita ingin mempercayai, apa yang dikatakan seseorang itu akan dikotakannya.

Bukan maksud Sri manusia itu mempunyai watak ‘leper’ atau seperti diistilahkan dalam kajian-kajian sastera sebagai flat atau cardboard characters. Manusia itu memang ada kepelbagaiannya; orang yang kelihatan serius atau garang boleh juga menjadi rakan yang pandai bergurau atau saudara yang ada unsur ‘gila-gila’nya. Tetapi apa yang Sri hendak ketengahkan ini bukan kepelbagaian manusia tetapi semacam topeng-topengan yang manusia gunakan mengikut golongan yang mendampinginya agar orang tersebut kelihatan dan kedengaran baik belaka. Tujuannya memikat kita dan kita terpesona dengan apa yang kita lihat dan dengar sehinggalah kita ketahui kata-kata orang tadi tidak serupa apa yang diamalkan dalam hidupnya. Ini berbeza dengan orang-orang yang benar-benar berwibawa; anda akan lihat keselarasan apa yang dicakapkan dengan perbuatannya, kejujurannya yang bukan dibuat-buat dan berhemahya dia bila bercampur-gaul dengan manusia lain dan sebagainya.

Sri diingatkan akan hal ‘cakap tak serupa bikin’ ini oleh beberapa orang kawan baru-baru ini dan juga bila membaca dan memerhatikan hal-hal dalam masyarakat kita. Yang boleh kita tarik kesimpulan kenapa wujudnya gejala ini ialah: mudahnya kita menerima sesuatu atau seseorang tanpa selidik dan cepatnya kita julang seseorang sebagai ‘tokoh’, ‘pakar’ dan sebagainya. Kita seolah-olah terperangkap dalam lingkaran puji-memuji dan julang-menjulang sehingga kita terlupa atau tidak tahu lagi membezakan di antara kaca dan permata yang tertabur dalam masyarakat kita.

Bukanlah sukar untuk ‘mempesona’ orang: anda pamerkan buat waktu tertentu imej yang kononnya ‘baik’ dan anda kerap tayangkan kepada khalayak ramai andalah orang yang berfikiran tajam, berilmu, manusia jenis kebangkitan (renaissance man/woman), mengambil berat hal-hal masyarakat dan sebagainya, lambat laun ada juga orang termakan dengan gambaran yang anda buat-buat itu. Ini diteguhkan lagi dengan wujudnya semacam kayu ukur yang longgar bila kita membuat penilaian terhadap sesiapa yang kita anggap ‘tokoh’ dan ‘pakar’. Kelonggaran kayu ukur ini banyak keburukannya: sesiapa saja yang pandai menghidupkan budaya ‘tayang tampang’ seperti disajakkan oleh profesor dan penyair A. Wahab Ali dalam puisi ‘Orang Bestari Kini’ akan kita anggap ‘berkepakaran’. Dan orang-orang inilah pula kita jadikan sumber contoh dan rujukan; akhirnya masyarakat kita berpusar dalam lingkaran yang tidak membawa apa-apapun manfaat.

Sri tidak bermaksud kita sengaja mencari kesalahan atau kekurangan orang. Tetapi kita haruslah jelas siapa yang kita jadikan contoh/pakar dan mereka yang sekadar wujud dalam apa pun masyarakat. Sebagai contoh, dalam masyarakat Jepun ada golongan samseng yang dipanggil yakuza. Walau pun golongan ini agak berpengaruh, misalnya dalam bidang perniagaan, mustahil pula orang Jepun menjadikan mereka sumber contoh bagi masyarakat mereka dan dengan secara langsung atau tidak langsung menggalakkan anak muda mereka menjadi yakuza. Ini kerana pengaruh yakuza tadi bukanlah sesuatu yang harus digalakkan pertumbuhannya dalam masyarakat mereka. Demikian juga dalam masyarakat kita; kita harus lebih cekap membezakan yang pandai ‘tayang tampang’ dengan yang benar-benar berbobot dan berhikmah.

Kadangkala tidak perlu kata-kata bombastik dan berkobar-kobar untuk mewujudkan misalnya pusaran kebaikan dalam masyarakat kita. Ada orang berkobar-kobar cakap pasal konsep kebajikan, keadilan, ilmu pengetahuan, ketelusan, membina silaturrahim dan sebagainya tetapi perkara-perkara tersebut seolah-olah asing dalam kehidupan peribadinya atau dia sebenarnya mengamalkan perkara-perkara yang sebaliknya. Tanpa banyak berkata-kata, sekadar berbuat yang termampu saja kadangkala lebih menggambarkan konsep-konsep muluk tadi. Ada di antara kita pasti mengenali orang-orang sebegini yang perbuatannya melebihi apa pun yang dikobar-kobarkan oleh sesetengah orang walaupun dalam pandangan mata kasar orang-orang sebegini sekadar manusia biasa sahaja bukan tokoh atau pakar. Mereka tekal atau istiqamah menghidupkan kebaikan dan ilmu misalnya, walaupun apa yang mereka lakukan itu umpama setitis air di lautan dan mereka pula tidak gemar pada budaya ‘tayang tampang’.

Kata Abraham Lincoln, manusia boleh ditipu oleh sesetengah manusia pada sesuatu masa tetapi manusia tidak boleh ditipu oleh semua manusia pada semua masa. Demikian juga kita dengan manusia-manusia yang cakapnya tak serupa bikin ini. Mereka boleh menggunakan pelbagai topeng untuk kepentingan diri mereka tetapi di akhir persembahan ‘drama’ tadi, topeng-topeng itu akan dibuka atau terpaksa dilucutkan juga. Dan kita akan mengenali wajah dan watak sebenar mereka bagaikan melihat kejelitaan seorang Maria Menado tiba-tiba bertukar pontianak…..

Ditulis: 30 Mei 2002
Tajuk Asal: Cakap Tak Serupa Bikin
Tersiar: Rungan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 2 Jun 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Sejenak Bersama Penyair Dan Seniman Lebanon Kahlil Gibran

kg-1kg-2kg-3kg-4kg-5kg-6

Latar
Dunia berbahasa Arab telah melahirkan ramai seniman dan penyair yang terbilang. Dari Scherezade (Hikayat Seribu Satu Malam) sehinggalah Adonis, Mahmoud Darwish, Nagiub Mahfouz, Nawal el-Sadawi, Tewfik el-Hakim dan lain-lain, jaringan pengaruh budaya dan penjajahan yang berbeza, melahirkan kerencaman yang pelbagai pula. Tradisi puisi dalam bahasa Arab juga memang telah lama tertancap dan bahasa ini juga terkenal sebagai salah sebuah bahasa dunia yang amat puitis. Salah seorang penyumbang dalam bahasa tersebut dan memasyhurkan kesusasteraan Arab dalam bahasa Arab dan Inggeris ialah Kahlil Gibran.

Mengenali Dunia Gibran
Khalil Gibran dilahirkan di pekan Bcherri, Lebanon, pada 1883. Keluarganya berhijrah ke Boston, Amerika Syarikat, pada 1895, ketika dia berusia 12 tahun, untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Bersekolah selama 2 tahun di Boston, namanya yang agak panjang telah dipendekkan oleh seorang guru kepada Kahlil Gibran. Dia diharapkan oleh keluarganya untuk menjadi ‘manusia terpelajar’, lantas disekolahkan pula di Beirut selama 4 tahun, mendalami bahasa Arabnya. Dia pulang ke Boston pada 1902; tanah tumpah darahnya tidak lagi dapat dijejaknya semasa hayatnya. Kepulangannya diiringi bencana; adik, dan kemudian abang dan ibunya meninggal dunia pada 1902/3.

Bersama seorang lagi adiknya, Mariana, Gibran meneruskan pelajarannya (belajar lukisan) dan kehidupannya. Dia menulis dan melukis untuk menyara hidup sementara adiknya menjahit. Penglibatannya yang bersungguh-sungguh serta bakatnya yang luar biasa akhirnya menyinarkan dunia seninya. Dalam usia hampir 20 tahun, dia mula terkenal sebagai penyair berbahasa Arab dan juga pelukis. Namun pameran lukisannya yang pertama membuatnya berputus-asa; ini diselamatkan oleh pertemuannya dengan Mary Haskell dan persahabatan yang luar biasa terjalin di antara mereka. Mary membantu pelajaran Gibran di Paris dan menggalakkannya menulis dalam bahasa Inggeris. Galakan dan perlindungan Mary Haskell bagaikan mangkin dalam menghidupkan daya kreatif tulisan dan lukisan Gibran.

Keterlibatan Seni Gibran
Gibran pernah menghidupkan jurnal-jurnal seni berbahasa Arab di Amerika, misalnya Al-Funoon (The Arts) dan The Seven Arts, walaupun ini tidak bertahan lama. Bersama 9 orang sahabat, beliau terlibat dalam penubuhan Arrabitah (The Pen Bond; 1920) dan banyak menyumbang bagi menghidupkan jurnal tersebut. Karya-karyanya sama ada dalam bentuk puisi mahupun prosa mula tersiar dalam bentuk buku mulai 1918, dengan terbitnya buku puisi The Possession. Ini diikuti oleh The Madman, The Forerunner, The Son of Man, The Voice of The Master, A Self-Potrait, Garden of The Prophet dan lain-lain. Karya-karyanya telah diterjemahkan ke dalam lebih daripada 20 bahasa.

Salah sebuah karyanya yang paling terkenal, diterbitkan dalam 1923, berjudul The Prophet. Dalam buku The Prophet, Gibran mencatatkan pandangan-pandangan hidupnya melalui watak Almustafa, pengembara yang akan meninggalkan kota Orphalese, setelah 12 tahun menginap di sana.

Melalui watak Almitra dan penduduk Orphalese, Gibran membincangkan hal-hal seperti cinta, perkahwinan, anak, pemberian, rumah, kebebasan, undang-undang, pakaian, derita, pengajaran, persahabatan, keindahan, kematian dan lain-lain. Bahasa yang digunakan amat puitis dan pengajarannya halus, disulami lambang dan bahasa berkias. Yang kita temui bukan doktrin tetapi kata-kata hikmah yang diperkayakan oleh kebijaksanaan alam timur yang dicintai Gibran, misalnya:
1. You give little when you give of your possessions. It is when you give of yourself that you truly give.
2. Love gives naught but itself and takes naught but from itself. Love possesses not nor would it be possessed; for love is sufficient unto love.
3. When you work you are a flute through whose heart the whispering of the hours turns to music .
Intipati tulisan Gibran ialah mengenai manusia yang terpinggir, bermasalah, dibelenggu keadaan, perang, permusuhan, kasta dan sebagainya. Dia menganjurkan rasa persaudaraan sarwajagat di tengah-tengah dunia yang mudah dihiruk-pikukkan peperangan, percanggahan dan permusuhan. Suaranya adalah suara kedamaian yang halus, lembut dan lunak, walaupun boleh juga terisi perasaan bernyala-nyala terhadap sesuatu isu kemanusiaan. Pengajaran-pengajaran melalui tulisannya menyentuh kalbu kita kerana kedalaman kejujuran penulisnya, selain membuat kita lebih sedar dan peka terhadap tuntutan kerohanian, alam dan manusia di sekeliling kita.

Penutup
Gibran meninggal pada 10 April 1931, pada usia 48 tahun. Jenazahnya ditanam di Mar-Sarkis, Lebanon, dan pengkebumiannya dihadiri oleh manusia berbilang agama. Disingkirkan oleh pihak-pihak tertentu kerana beberapa pandangannya, kematiannya menampilkan dan menghidupkan pandangan-pandangan tersebut: rasa persaudaraan yang melangkaui batas agama, kasta, keturunan. Dan betapa benar seperti kata Kahlil Gibran: ‘What I say now with one heart will be said Tomorrow by a thousand hearts’.

Disiapkan : 19 Jun 1998
Tersiar : Berita Minggu (Singapura) pada 1998
Tulisan: Rasiah Halil.