Archive | October 2016

Catatan Ringkas 28 Oktober 2016


1. Terdapat beberapa berita yang menyedihkan berlaku di sekitar kita baru-baru ini. Selain khemah-khemah pelarian di Calais terbakar, kita juga mengikuti kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah, di Johor Bahru, pada 25 Oktober lalu. Kedua-dua kejadian ini dan beberapa kejadian bencana alam dan bencana buatan manusia tentunya menyedihkan kita. Kita mendoakan yang terbaik bagi semua yang dijejas peristiwa-peristiwa pedih ini dan yang termampu, bantulah mana yang boleh. Hidup ini demikian rapuh kerana dengan sekelip mata, apa yang tidak disangka-sangkakan boleh berlaku.

2. Saya sebenarnya ingin merakamkan beberapa hal mengenai dunia seni dan orang seni tetapi usaha ini saya tundakan kerana beberapa hal.

A. Berita Bob Dylan, seorang penyanyi dan penggubah lagu, diberi ‘Hadiah Nobel Bagi Kesusasteraan’ menimbulkan pelbagai reaksi daripada penulis, penggiat seni dan bukan penulis. Kalau kayu ukur bahawa lagu-lagunya menyentuh ramai orang dan ada seni katanya seakan-akan puisi, terdapat orang-orang sedemikian, misalnya Elvis, The Beatles dan Michael Jackson misalnya, yang menyentuh pelbagai lapisan masyarakat dalam bidang muzik mereka. Malah, lama sebelum Bob Dylan, lagu dan filem Elvis telah pun dikaji dan dikuliahkan di universiti, terutamanya Universiti Iowa. Dan ini belum lagi kita menyentuh penggubah lagu dan/atau penyanyi dari daerah kita misalnya P. Ramlee, Ismail Marzuki dan lain-lain.

Tentunya pilihan pihak Hadiah Nobel ini penuh tengkarah dan Bob Dylan sehingga kini tidak pun memberi respons terhadap hadiah yang diberikan kepadanya. Beliau memang seniman yang berwibawa dan beberapa kali saya ingin memasukkan lagunya, ‘Blowin’ In The Wind’ dalam blog ini. Tetapi memberi beliau hadiah sebegini hanya menunjukkan kekurangan pihak yang memberi hadiah dan bukannya kekurangan Bob Dylan. Kalau hadiah-hadiah begini dibuat bagaikan berat sebelah, orang semakin mempertikaikannya. Lagu dan seni kata ciptaan Bob Dylan ada keindahannya dan boleh menyentuh pendengar pelbagai generasi tetapi memberi hadiah sedemikian kepadanya tidaklah lebih menonjolkan sumbangannya. Bak kata seorang wartawan, berilah Bob Dylan ‘Hadiah Nobel Bagi Keamanan’, kerana ini  lebih bermakna bagi sumbangannya, selain hadiah-hadiah berkaitan dengan seni muziknya.

Dengan ‘kekaburan’ apa itu karya sastera dan apa itu seni kata lagu atau bidang-bidang seni yang lain, apakah hadiah yang diberi benar-benar bermakna? Atau nanti pelukis kartun, pencipta animasi dan mereka yang kononnya melonggokkan kata-kata yang dianggap ‘karya sastera’, boleh juga diberi hadiah-hadiah dalam bidang sastera? Bob Dylan memang seniman yang tersohor dan dihormati tetapi jawatankuasa pemberi hadiahlah yang tidak menjalankan tugas mereka yang sewajarnya bagi bidang kesusasteraan. Dan sewajarnya Bob Dylan memberi respons s dengan tidak memberi respons  kepada pihak Hadiah Nobel, sejauh ini.

B. Saya begitu gembira apabila Mak Nona Asiah diberi ‘Pingat Budaya’ oleh pemerintah Singapura pada 4 Oktober 2016 lalu. Memang beliau wajar menerima pingat ini – malah seharusnya diberi lebih awal lagi. Dan saya terkenangkan orang-orang seperti Allahyarham Kassim Masdor, Allahyarham Hamzah Hussin dan ramai lagi yang seharusnya juga diberi penghargaan sebegini atau seumpama ini semasa hayat mereka. Demikian juga beberapa seniman veteran kita yang masih ada misalnya jurugambar Pak Bakar Ali, pengarah/pelakon/penyanyi kita seperti Wahid Satay, Maria Menado, Rosnani,  Zaiton, Hashimah Yon, Sarimah, penyanyi R. Ismail, Sulaiman Idrus dan lain-lain, yang turut menyumbang kepada dunia seni kita. Mudah-mudahan kita tidak terlalu terlambat menghargai mereka yang masih ada dan mendokumentasikan sumbangan mereka yang masih ada dan yang telah berpulang ke rahmatullah.

Saya memasukkan dalam entri kali ini tulisan-tulisan mengenai Mak Nona Asiah, Allahyarham Haji Shariff Medan, pandangan ringkas saya mengenai buku Allahyarham Hamzah Hussin yang diterbitkan semula dan baru dilancarkan di Singapura pada 22 Oktober 2016 lalu serta  rencana mengenai seniman yang ‘jiwa-jiwa’. Mudah-mudahan ada juga manfaatnya.

Semoga Mak Nona dan penggiat seni veteran kita yang masih bersama kita  diberi kesejahteraan dan bagi mereka yang sudah berpulang ke rahmatullah, Allah cucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin.

3. Kadangkala kita diduga dengan pelbagai cara dalam hidup ini tetapi keimanan dan kekuatan dalaman kita selalu boleh membantu kita menghadapinya. Begitu juga dengan adanya orang-orang yang kita sayang yang prihatin terhadap hal kita. Tidak kurang pula kekuatan itu dapat kita timba daripada orang-orang yang kita sayang tetapi kini tidak lagi bersama kita di alam fana ini. Teladan yang pernah dicontohkan oleh orang tua dan leluhur (keturunan) kita serta arwah-arwah yang kita sayang  dalam menghadapi pelbagai onak dan duri hidup, boleh meneguhkan semangat kita untuk berani menghadapi apa pun dugaan yang menjelma. Tentunya kita hanyalah manusia biasa, yang boleh juga menitiskan air mata bila diduga tetapi kita juga boleh menguatkan semangat kita agar meneruskan kehidupan ini dan tidak mudah kecewa atau hanyut dalam perasaan mengasihani diri sendiri (self-pity). Dalam konteks ini saya lampirkan lagu ‘You Raise Me Up’ dalam segmen terakhir entri kali ini, untuk sama mengingatkan adanya semangat juang kita , yang disemai oleh mereka yang kita sayang, tidak pernah luntur atau hilang, walaupun pelbagai dugaan menimpa kehidupan kita.

Dan bagi rakan-rakan kita yang menyambut Hari Deepavali esok (29 Oktober) – Selamat Hari Deepavali.

Salam
Rasiah Halil
28 Oktober 2016.

Advertisements

Biduanita Nona Asiah


na-2nona-asiah-n-ismail-kassimnonana5

[Saya mewawancara Mak Nona Asiah pada 14 Mei 1999 untuk entri projek siri ensiklopedia, Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan tulisan tersebut dikirimkan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1999. Tulisannya lebih padat dan sesuai untuk entri ensiklopedia. Pada 17 November 2000, saya mengirimkan rencana yang saya tulis mengenai Mak Nona, berdasarkan wawancara itu kepada pihak Berita Harian (Singapura) tetapi diolah dengan lebih santai dan ditambah dengan beberapa hal lain, yang tidak dimasukkan dalam entri ensiklopedia tersebut.]

Pengenalan

Seandainya beliau dilahirkan di zaman dan tempat yang lain, kreativitinya akan tetap digilap dan diberi pengiktirafan yang sesuai dengan pelbagai bakatnya. Suaranya pernah mengalunkan berbagai nada dan emosi dan penceburannya dalam bidang seni bukan pula sesuatu yang baru sahaja dijengahnya atau dibuat sambil lewa.

Latar Dan Perkembangan Hidup Nona Asiah

Biduanita yang dimaksudkan ialah Mak Nona Asiah atau nama sebenarnya Asiah bte Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 29 November 1932 di Singapura. Bapanya, Abdul Rahman bin Ahmad atau dikenali sebagai Aman, berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, dan bekerja sebagai pelukis tirai bangsawan dan juga pelukis. Ibunya, Rahmah Osman, berasal dari Singapura, juga bergiat dalam bangsawan. Ibunya juga mempunyai kumpulan sandiwara (termasuk nyanyian dan tarian) yang membuat persembahan di New World.

Bagaimanakah penglibatan seninya bermula? Menurut beliau, semasa tinggal di Jalan Besar, jirannya merupakan penggubah A. Rahman. Mak Nona ketika itu masih bersekolah (usia 10-11 tahun) suka ‘mengendeng’ mendengar-dengar kumpulan A. Rahman membuat latihan dan akhirnya diajak oleh A. Rahman untuk menyanyi. Lagu nyanyiannya berjudul ‘Justeru Sang Rembulan’ yang dipopularkan oleh S. Abdullah ketika itu dan ini juga merupakan lagu pertama yang dinyanyikan di Radio Malaya, semasa itu terletak di Bangunan Cathay. Selain itu, beliau sering mengikuti ibunya membuat persembahan dan ada juga diajak menyanyi bersama rakan-rakan sebayanya.

Menyanyi Ketika Zaman Jepun

Penceburannya yang lebih serius terjadi secara kebetulan. Ketika zaman Jepun, kumpulan ibunya hanya dibenarkan menyanyikan lagu-lagu Melayu dan Jepun, tetapi kerana persembahan dalam bahasa Jepun mereka tidak seratus peratus sempurna, mereka disuruh mengikuti kursus latihan. Ibu Mak Nona tidak dapat mengikutinya kerana harus menjaga anak-anaknya, selain terlibat dalam bangsawan dan kumpulan seninya. Lantas, Mak Nonalah menggantikan tempat ibunya. Ketika itu beliau baru tamat sekolah rendah. Selepas latihan itu, tiap-tiap minggu bersama seniman yang lain, termasuk Momo Latiff, Salbiah Haron dan lain-lain, Mak Nona dibawa ke kem-kem Jepun di dalam hutan untuk menyanyi. Mereka dibawa dengan lori dan dibayar dengan catuan atau ration sahaja iaitu catuan bagi mendapatkan beras, roti dan rokok. Pengalaman ini, dengan pelbagai unsur lucunya masih menjadi kenangan beliau sehingga kini.

Persekolahan Mak Nona

Bagaimana pula persekolahan Mak Nona? Beliau terdidik di Sekolah Melayu Kampung Gelam sehingga darjah empat. Kemudian beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Perempuan Rochor bagi menyambung darjah lima dan enam. Pada masa itu pendidikan sekolah Melayu hanya setakat darjah enam. Meletusnya Perang Dunia Kedua menghentikan apa pun cita-citanya dalam bidang pendidikan ketika itu. Tetapi beliau tidak pernah mati semangat, malah meneruskan pendidikan bahasa Inggerisnya di sekolah malam setelah Jepun kalah.

Penceburan Seni Mak Nona Selepas Zaman Jepun

Minat Mak Nona dalam bidang seni semakin bercambah selepas zaman Jepun. Bersama beberapa orang rakan, beliau menubuhkan kumpulan muzik ‘Tiga Serumpun’; terdapat seorang pemain piano, gitar dan dram selain penyanyinya Ismail Kassim dan Mak Nona sendiri. Mereka sering diundang menyanyi di Radio Malaya (di Singapura) iaitu pada tiap-tiap hari Rabu. Rakaman dibuat secara langsung dan kumpulan ini amat popular dan mendapat banyak permintaan dan surat peminat dari dalam dan luar negara.

Salah satu persembahan mereka didengari oleh pihak rakaman HMV, lantas Mak Nona ditawarkan untuk membuat rakaman ke piring hitam. Lagu-lagu yang dirakamkan kebanyakannya lagu-lagu Indonesia, misalnya lagu  ‘Sapu Tangan’, ‘Jambatan Merah’ selain lagu Inggeris yang diterjemahkan ke bahasa Melayu misalnya lagu ‘Besame Mucho’ yang diberi judul ‘Ciumku Lagi’ dengan seni katanya ditulis oleh Dol Ramli. Berlakunya rakaman lagu-lagu Indonesia dan Inggeris ini kerana ketika itu Singapura amat kekurangan penggubah-penggubah lagunya sendiri. Mak Nona merakamkan lagu dengan Pathe Records yang bersama Columbia Records bernaung di bawah HMV.

Kisah Rakaman Dan Menjadi Penyanyi Latar Filem Melayu

Beliau mengikat kontrak selama dua tahun dengan HMV pada 1948. Selalunya terdapat dua lagu dalam satu piring hitam dan Mak Nona dibayar $45 bagi setiap lagu dan royalti dibayar setiap enam bulan.

Bagaimanakah keadaan merakamkan lagu ketika itu? Beliau merakamkan lagu di pejabat HMV, sebuah rumah compound yang tidak kalis bunyi. Ketika itu teknologinya tidaklah begitu canggih, lantas seseorang penyanyi mesti benar-benar berlatih dan boleh menyanyi kerana semua dibuat secara langsung dan mikrofon yang digunakan cuma satu. Adakalanya rakaman terpaksa dihentikan, bukan kerana penyanyi atau pemuziknya tetapi kerana ‘gangguan’ – posmen datang dengan deringan locengnya, anjing bergonggong ataupun kapalterbang berlalu, semuanya menggangu rakaman tadi!

Penceburan Mak Nona sebagai penyanyi latar filem-filem Melayu juga berlaku secara kebetulan. Ketika itu beliau menginap di Jalan Besar. Penggubah Zubir Said sering singgah ke rumahnya selepas menonton pertandingan bola sepak di Stadium Jalan Besar. Satu ketika, Pak Zubir dilantik sebagai pengarah muzik bagi filem ‘Cinta’ terbitan Shaw Brothers. Filem ini dibintangi oleh Siput Sarawak dan S. Roomai Noor. Mak Nona diajak oleh Pak Zubir untuk menjadi penyanyi latar dan berduet dengan P.Ramlee. Beliau menyanyikan sebanyak 5 atau 6 buah lagu bagi filem tersebut. Justeru itu bermulalah kerjaya Mak Nona Asiah, bukan hanya sebagai penyanyi piring hitam tetapi juga penyanyi latar filem-filem Melayu pada 1949. Di antara filem-filem yang menggunakan suara beliau termasuklah ‘Hujan Panas’, ‘Nasib’, ‘Juwitaku Sayang’, ‘Irama Kasih’ dan lain-lain.

Bagi rakaman lagu-lagu filem, beliau sering diberitahu latar filemnya lantas mudah baginya menimbulkan mood bagi lagu-lagu nyanyiannya. Satu kelucuan yang sukar beliau lupakan ialah ketika merakamkan lagu filem yang diarahkan oleh pengarah India. Untuk lagu-lagu yang agak romantis, Mak Nona disuruh oleh pengarah tersebut agar bersuara ‘gatal-gatal’ (maknanya bersuara romantis) kerana pengarahnya tidak tahu istilah yang sebenar dalam bahasa Melayu! Dalam bidang nyanyian ini Mak Nona banyak dibimbing oleh Zubir Said, P.Ramlee, Yusof B dan Osman Ahmad. Sepanjang kerjayanya beliau telah merakamkan lebih seratus buah lagu, termasuk lagu-lagu bagi filem-filem keluaran Shaw Brothers dan Cathay Keris.

Penceburannya Dalam Bidang Seni Yang Lain

Penglibatan seninya tidak hanya terbatas dalam bidang nyanyian. Beliau belajar menari secara formal dengan Pak Duyet dari Indonesian Club di Singapura. Selain itu, Mak Nona juga pernah berlakon dalam dua buah filem. Filem pertama lakonannya bercorak dokumentari berjudul ‘Adventure of Yaakob – Documentary of a Bandit’ yang dilakonkan dengan beberapa bekas pengganas pada 1951. Filem keduanya dilakonkan bersama Ismail Kassim, Elony Hayat, Saloma dan lain-lain berjudul ‘Pelangi’ diterbitkan oleh Naz Achnas pada awal 50-an. Selain ini beliau juga menjadi pereka fesyen dan mahir menjahit yang dipelajarinya sendiri. Mak Nona mereka fesyen dan menjahit baju kawan-kawan seninya misalnya Saloma, Latifah Omar, Julie Sudiro, Kartina Dahari dan lain-lain. Rekaan-rekaannya pernah tersiar di akhbar pada Mei 1980.

Mak Nona Dan Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah Dan Televisyen

Mak Nona Asiah terkenal di kalangan pelajar bermula pada tahun 50-an kerana siarannya di radio. Beliau menjadi pembimbing, penyanyi dan penyampai cerita dalam siaran Radio Malaya di Singapura iaitu ‘Siaran Radio ke Sekolah-sekolah Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu dan Sekolah-sekolah Melayu di Singapura’. Beliau juga pernah berlakon adegan sejarah dalam segmen rancangan ini. Lagu-lagu nyanyiannya dalam rancangan ini sering digubah oleh penggubah-penggubah tempatan dan Malaya misalnya Zubir Said, A. R. Ismail, Pak Kasur, Yub bin Rawan, Zainal S. Abbas dan lain-lain. Rancangan beliau tersiar sehingga tahun 60-an.

Ketika Singapura memulakan siaran televisyen pada 1963, Mak Nona turut diundang untuk menyerikan majlis rancangan orkestranya. Malah beliau puas menjelajah ke seluruh Malaya, Sabah, Sarawak dan Brunei mengikuti rombongan-rombongan seni dan radio orkestra. Dan pada tahun 80-an, Mak Nona turut melatih kanak-kanak dalam bidang nyanyian dan sebagainya bagi rancangan televisyen yang amat popular, ‘Mat Yoyo’. Rancangan kanak-kanak ini berterusan sehingga tahun 90-an.

Biduanita Nona Asiah berumah tangga dengan Ismail Kassim (kini allahyarham) pada 1955 dan kurniakan lima orang anak. Seperti beliau dan suaminya, anak-anaknya juga berbakat dalam bidang seni muzik. Satu-satu anugerah yang diterimanya bergelar ‘Serikandi Seni’ yang diberi oleh Kelab Sukma Rindu, Balai Rakyat Geylang Serai pada 1995.*

Penutup

Mak Nona Asiah adalah seorang wanita Melayu yang berbakat. Kesungguhannya dalam pelbagai bidang seni membuat kita bangga dan sekali gus terharu. Kelunakan suaranya tetap menyentuh hati bila sesekali kita berpeluang mendengarnya di corong radio. Banyak khazanah seni yang dimilikinya – mungkin sudah tiba masanya kita lebih menghargainya sumbangannya dalam bidang seni ini dengan cara yang lebih bermakna.

Selain pihak-pihak tertentu mengumpulkan lagu-lagunya dalam bentuk cakera padat dan sebagainya, mungkin dapat juga diusahakan biografi mengenai penceburannya dalam bidang seni dan dunia seni kerana beliau banyak memiliki cerita dan gambar mengenainya. Rancangan ‘Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah’nya dengan lagu-lagu nyanyiannya begitu popular pada satu zaman dan merupakan sejumlah lagu kanak-kanak dan rakyat kita. Mungkin pihak-pihak tertentu, misalnya Perkamus dengan kerjasama Majlis Bahasa Melayu dapat membukukan lagu-lagu tadi berserta nota muzik serta nyanyiannya agar sumbangan beliau dan penggubah-penggubah zaman tersebut tetap kekal dalam perbendaharaan seni. Selain ini, mungkin pengiktirafan yang lebih saksama dan bermakna dapat diusahakan untuk mengenang dan menghargai sumbangan Mak Nona Asiah di persada seni kita.

*Selepas tulisan ini disiarkan, Mak Nona Asiah menerima beberapa anugerah dan penghargaan dari Singapura dan Malaysia, dan yang terkini, lagu-lagu Mak Nona didendangkan dalam ‘Si Cempaka Biru – Meraikan Kehidupan Nona Asiah’ anjuran Esplanade, Singapura pada 14 Ogos 2015 dan anugerah ‘Pingat Budaya’ oleh pemerintah Singapura pada 4 Oktober 2016.

Ditulis: 17 November 2000
Tersiar: Berita Harian (Singapura) dalam dua rencana bersambung, masing-masing bertajuk ‘Nona Asiah Ceburi Seni Sejak Setahun Jagung’ (tersiar pada 2 Disember 2000) dan ‘Nona Asiah Wajar Diberi Penghargaan Yang Lebih Bermakna’ (tersiar pada 16 Disember 2000).
Tulisan: Rasiah Halil.

Perginya Seorang Seniman – Haji Shariff Medan

pak-shariff-1pak-shariff-2
Gambar-gambar yang saya ambil pada 1997, di rumah Pak Shariff di Dido Street, Singapura.

[Saya mewawancara Pak Shariff secara formal pada 19 April 1997 dan tulisan yang lebih padat dan sesuai untuk entri ensiklopedia telah dikirimkan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1997 dahulu. Tulisan di bawah ini berdasarkan wawancara yang pernah saya jalankan dan juga kenangan saya terhadap Allahyarham Pak Shariff Medan.]

Pendahuluan

Apa yang kita rasai apabila orang yang kita anggap seniman, berilmu dan berhemah tinggi, dan berura-ura ingin mendokumentasikan sebahagian besar penglibatan seninya, tiba-tiba tiada lagi di sisi? Selain doa dan tangisan, bagaimanakah dapat kita rakamkan rasa kesedihan ini dengan pemergian beliau? Akankah kita bertemu seorang ‘Pak Malau’ dan ‘Tok Haji’ seperti Allahyarham Shariff Medan, yang meninggal pada 3 Ogos yang lalu (1997), dalam dunia seni kita? Atau pemergian beliau membawa bersamanya satu era gemilang dalam dunia seni dan budaya kita?

Mengenali Dunia Pak Shariff Medan

Saya menemui Pak Shariff secara formal pada 19 April 1997. Dilantik sebagai penulis dan pengkaji untuk projek  siri Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (ESKM), kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, saya diminta menulis mengenai beberapa tempat bersejarah dan seniman yang dipilih oleh sebuah panel akademik. Pak Shariff Medan adalah di antara nama-nama berpangkal abjad ‘R’, ‘S’ dan ‘T’ dan satu dua abjad lain bagi entri ensiklopedia tersebut, buat pusingan kajian kali ini.

Sebelum menemui beliau, saya membaca tulisan-tulisan mengenai penglibatannya dalam kesenian bangsawan, sama ada yang diterbitkan oleh majalah Dewan Budaya, mahupun keratan-keratan akhbar di Singapura dan Malaysia. Dan kebetulan saya juga pernah mengajar kursus drama, di mana bangsawan harus dikaji dan dipelajari sebelum mendalami drama Melayu moden, lantas latar-latar ini membantu saya apabila menemui Pak Shariff.

Saya menghubungi Pak Shariff semasa saya pulang ke Singapura pada bulan April, walaupun tidak sempat menonton pementasan ‘Indera Bangsawan’nya. Beliau amat gembira ketika itu; gembira kerana bangsawannya seolah-olah hidup semula oleh penglibatan anak-anak seni Teater Kami dan terharu dipilih dalam ESKM. Selain ini, beliau gembira mendapat berita mengenai jiran lamanya; keluarga abang Pak Busu saya pernah berjiran dengan beliau, pada tahun-tahun 50-an sehingga 80-an dulu. Mungkin faktor-faktor ini membantu beliau berbual lama dengan saya dan meluahkan banyak isi hatinya pada 19 April itu.

Apa yang saya temui setelah berbual hampit 3 jam bersama Pak Shariff dan ‘diiringi’ oleh bunyi jentera dari rumah jiran sebelah yang sedang diperbaiki? Apakah saya temui sekadar seorang insan yang melibatkan diri dalam dunia seni, yang amat sementara ini, atau insan yang sedia memaklumi tuntutan seninya dan mencerna dan menghalusi keindahan dan ketulusan seni ini melalui seluruh kehidupan yang beliau lalui? Seperti sebuah mesin seni yang sarat dengan pengetahuan dan hikmah, masa hampir 3 jam itu terlalu singkat untuk saya menghadami segala – penglibatan, pengetahuan dan pengajarannya, sekadar titis-titis air daripada gelombang lautan seni yang besar – dari penglibatan seni yang menjangkaui lebih 70 tahun.

Kisah Keluarga Dan Penceburan Seni Pak Shariff

Pak Shariff Medan atau nama sebenar beliau Muhammad Shariff Bin Muhammad Ismail, lahir pada 2 Jun 1910 di Banda Atjeh, Kampung Penayung, Sumatera. Bapanya berasal dari Pulau Pinang tetapi berhijrah ke Sumatera dan berumah tangga di sana. Nama ‘Shairff Medan’ diberi kepada beliau pada 1932 apabila beliau menyertai Sri Nooran Opera – untuk membezakan beliau dengan beberapa ‘Shariff’ dalam rombongan bangsawan ketika itu.

Pak Shariff mendapat pendidikan dasar dari Holland Inlander School di kampungnya. Namun, pendidikan formal ini tidak dapat dilanjutkan kerana terpaksa menyara hidup keluarga. Ini mencetuskan semangat beliau untuk mencari ilmu sebanyak mungkin, sama ada melalui pembacaan, pergaulan mahupun pengkajiannya sendiri. Beberapa kali semasa menceritakan kisah-kisah zaman kanak-kanaknya, mata Pak Shariff berlinang dan suaranya tersekat.

“Dialah sebaik-baik manusia, Nak,” kata beliau mengingati ibu tirinya yang banyak berkorban dan turut membesarkan beliau. Sukar bagi Pak Shariff menerima bahawa seorang ibu tiri itu semestinya ‘jahat’ sebagaimana dalam cerita-cerita bangsawan mahupun pandangan umum, kerana ibu tirinya tidak sedemikan, malah sangat menyayangi beliau dan adik-beradiknya. Kesempitan hidup memaksa ibu tirinya bekerja di kilang atap dan Pak Shariff membantu dengan mengutip ulat tembakau (dibayar 1 sen bagi seekor ulat) pada subuh hari. Kemudian, beliau bekerja di bengkel besi kepunyaan syarikat Belanda untuk membantu keluarganya.

Penceburannya dalam dunia bangsawan berlaku dengan tidak sengaja, apabila beliau turut membantu penjualan tiket bangsawan yang dikendalikan oleh bapa saudaranya. Pak Shariff, yang pada ketika itu berusia awal belasan tahun, tertarik dengan nyanyian dalam bangsawan, cerita dan dunianya yang berwarna-warni. Dan kerana beliau sendiri mempunyai suara yang lunak dan pandai bersyair, beliau diupah untuk membaca ‘Syair Dagang’, ‘Syair Selendang Delima’ dan ‘Syair Indera Bangsawan’ oleh anak-anak wayang bangsawan bagi mengisi masa lapang mereka.

Melibatkan Diri Dalam Rombongan Bangsawan

Tahun 1925 merupakan sejarah yang tersendiri bagi hidup beliau. Tengku Katan, bapa saudara Sultan Deli mendirikan ‘Dahlia Opera’, khas untuk tontonan rakyat, bukan sekadar untuk putera puteri diraja. Pak Shariff dipilih menyertai rombongan itu yang menjelajah ke Betawi (Jakarta). Malah setelah itu Pak Shariff turut menyertai beberapa rombongan bangsawan yang membawanya ke Bengkahulu, Minangkabau, Aceh, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Menurut Pak Shariff, menyertai bangsawan seolah-olah suatu advencer bagi anak-anak muda ketika itu kerana ia membolehkan seseorang itu menjelajah ke tempat lain, menjalin persahabatan, meluaskan pandangan dan mengenali sesuatu masyarakat. Seni bangsawan bagai sebuah universiti terbuka; banyak mengajar dan mendidik Pak Shariff mengenai seni dan kehidupan yang dilaluinya.

Penglibatan Pak Shariff dalam bangsawan bermula dari bawah: sebagai pembantu pementasan, penyanyi, penari, pemimpin korus dan kemudiannya sebagai ‘orang muda’ (hero), pengarah dan penulis skrip. Walaupun bangsawan dipentaskan tanpa skrip ketika itu, sekadar perbincangan jalan cerita sahaja, ia banyak menyerlahkan kreativiti pemainnya terutama dalam penggunaan bahasa serta bertindak-balas dalam lakonan yang agak spontan. Dan cerita-cerita bangsawan membawa Pak Shariff bukan hanya mengenal dunia Melayu malah dunia luar: India, Arab, Cina dan Eropah, yang menurut Pak Shariff, banyak memperkayakan pengalaman hidupnya.

Pak Shariff Dalam Dunia Filem Dan Radio/Televisyen

Sebelum berlakon dalam filem Melayu, Pak Shariff pernah mendapat tawaran berlakon dalam filem Inggeris pada zaman awal itu, tetapi ia tidak menjadi. Penceburannya dalam filem Melayu bermula pada 1952 dengan filem ‘Buluh Perindu’ tetapi filem ini disabotaj oleh pihak-pihak tertentu dan tidak ditayangkan kepada umum. Pak Shariff kemudian banyak berlakon dalam filem Melayu dan juga membantu dalam penulisan dan penyuntingan skrip, kerana ternyata pengetahuan bahasa Melayunya (yang perolehi daripada pembacaan yang luas: daripada sastera klasik, tulisan-tulisan Za’ba, Hamka, Alisjahbana dan lain-lain) amat baik. Salah sebuah filem yang meninggalkan kesan yang mendalam bagi dirinya ialah filem ‘Sri Mersing’ (1961) kerana penggunaan dialognya yang indah; dan Pak Shariff banyak membantu dalam hal tersebut.

Penglibatannya dalam dunia filem Melayu terhenti pada 1966. Dan Pak Shariff pernah menganggur selama dua tahun, sehinggalah Radio Televisyen Singapura (RTS/sekarang Mediacorp) menawarkan beliau berlakon dalam drama 12 siri berjudul ‘Masa‘ pada 1968.
Dalam banyak hal RTS melalui orang-orang seperti Hashim Yusoff dan penerbit-penerbit lain, membaja dan menyirami daya kreativit beliau setelah berlalunya zaman bangsawan dan perfilemannya.  Pak Shariff berlakon dan menulis skrip untuk beberapa rancangan radio misalnya siri ‘Bangsawan di Udara’, ‘Rayuan Budiman’, ‘Pak Haji Bercerita’, ‘Ruangan Pantun’ dan lain-lain.

Dan pada 1978, Pak Shariff diberi kepercayaan ‘menghidupkan’ semula bangsawan di pentas Singapura, dengan kerjasama RTS/SBC. Beliau bukan sekadar menulis skrip malah mengarahnya. Kerjasama ini menghasilkan tiga pementasan bangsawan iaitu: ‘Puteri Gunung Ledang ‘(1980). Dan baru-baru ini, dengan kerjasama Teater Kami, beliau berjaya mementaskan ‘Indera Bangsawan’, yang pernah berkali beliau lakonkan dahulu dan beliau syairkan semasa zaman remajanya, seolah-olah melengkapi pusingan kreativitinya.

Anugerah Dan Pendokumentasian Karya Pak Shariff

Walaupun Pak Shariff tidak sempat menghadiri ‘Malam Seniman’ anjuran Persatuan Seniman Malaysia pada 3 Ogos lalu, namum hubungannya dengan para seniman dan dunia seni tidak pernah terputus. Ramai yang menghargai sumbangan beliau sebagaimana terbukti dengan penganugerahan ‘Tokoh Bangsawan’ oleh Sri Anggerik Bangsawan pada 1987; anugerah daripada Persatuan Seniman Malaysia pada 1994 dan anugerah ‘Sepintas Kenangan Di Layar Silam’ oleh Menteri Besar Johor pada Mac 1997.

Namun, terbetik di hati saya bahawa segala anugerah yang beliau terima tidak dapat membalas segala pengorbanan dan sumbangannya kepada dunia seni kita, ketika bertemu beliau pada 19 April lalu. Saya melihat beliau hampir menangis dalam beberapa ketika; bila mengenang zaman kanak-kanaknya dan kemuliaan hati ibu tirinya dan juga bila mengingati arwah isterinya. Arwah isteri Pak Shariff mempunyai nama yang sama seperti nenek saya: Fatimah Bte Abdullah, dan kedua-duanya meninggal dunia kerana sakit barah. Isteri Pak Shariff meninggal dunia pada 23 Oktober 1996, setelah hidup bersama dengan beliau hampir 62 tahun.

“Bila Bapak terkenang, Bapak selalu berzikir dan berdoa, Nak,” kata Pak Shariff mengingati arwah isterinya. Kesunyiannya ialah kesunyian orang yang kehilangan insan yang paling memahaminya sebagai manusia biasa dan insan seni. Dan berkali dalam perbualan 19 April itu, saya teringatkan P.Ramlee dan Saloma dan pengorbanan-pengorbanan yang sanggup diberi oleh seniman sejati.

Pak Shariff yang saya temui bukan sekadar tokoh bangsawan malah orang yang dalam pengetahuannya mengenai agama; daripada buku-buku yang tetap terus dibaca dan juga muamalatnya. Beliau memberitahu saya erti agama bagi dirinya, makna taubat nasuha, perngertian seni sebagai anugerah Allah dan sebagainya. Ada orang sekadar mahu menarik perhatian kita dengan ucapan atau tingkahnya, terutama dalam pertemuan yang singkat. Tetapi Pak Shariff tidak demikian; malah berterus terang mengenai kekurangan dan kesilapannya. Dan Islam baginya bukan sekadar pameran sahaja. Seperti kata pepatah Inggeris: He walked the talk.

Pak Shariff menunjukkan saya sebuah buku lama (1920) tulisan orang Belanda mengenai kesihatan dan juga beberapa buku lama. Beliau mahu menulis mengenai kesihatan dan lain-lainnya dan bertanya apakah ada orang ingin menerbitkannya. Saya berkata saya akan cuba mendapatkan beliau penerbit, seandainya buku-buku tersebut beliau siapkan. Saya ingin sekali membaca kenangan-kenangan hidupnya dan tidak mahu skrip-skrip bangsawan lama yamg masih diingatinya, hilang begitu sahaja. Tapi apakah keupayaan saya?

Pertemuan dengan Pak Shariff menimbulkan beberapa persoalan di benak saya. Soal mendokumentasikan seni dan budaya kita bukanlah perkara yang baru atau tiba-tiba saya fikirkan; sudah berbelas tahun saya menyuarakannya. Dalam usia yang lanjut (86 ketika itu), fikirannya yang tajam serta penglibatan seninya yang membanggakan, dapatkah kita mengekalkan sumbangan seni Pak Shariff, sebelum terlambat? Pak Shariff pernah ditipu dan dipergunakan oleh beberapa pihak yang mengambil skripnya untuk pendokumentasian, dan saya tidak mahu peristiwa-peristiwa sebegini berulang.

Saya pulang ke Kuala Lumpur beberapa hari setelah bertemu beliau pada April lalu. Tugas saya untuk menulis mengenainya sebagai salah satu entri ESKM telah selesai. Tetapi ‘tugas’ saya sebagai pencinta seni, rasa-rasanya tidak akan selesai. Saya mengirimkan kad ucap terima kasih berserta beberapa gambar yang saya ambil kepada Pak Shariff, dari Kuala Lumpur. Dan saya memberitahunya saya akan cuba mengusahakan agar skrip-skrip bangsawannya dapat dibukukan.

Setelah berfikir-fikir, rasanya ada dua cara terbuka bagi saya mendokumentasikan skrip-skrip Pak Shariff dan kehidupannya:

• Satu, saya mencadangkan ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan mendolumentasikan sendiri skrip-skrip beliau dan dibukukan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Cara ini mungkin mengambil masa, dan tanpa sokongan teknikal dan masa yang terhad (bagi saya), mungkin ini bukan cara terbaik.
• Kedua, saya menghubungi Profesor Rahmah Bujang, yang banyak mengkaji mengenai bangsawan dan drama Melayu dan beliau juga adalah Ketua Jabatan Kesenian, Universiti Malaya, yang mempunyai kelengkapan teknikal secukupnya, untuk menerajui usaha sebegini.

Saya memilih cara kedua dan Profesor Rahmah ternyata amat berminat. Kami (Profesor Rahmah, Salmiah Ismail (salah seorang editor Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia) dan saya ) bercadang menemui Pak Shariff pada 10 Mei 1997. Saya menghubungi Pak Shariff mengenainya.

Dalam pertemuan 10 Mei itu, Pak Shariff kelihatan gembira dan terharu sekali gus. Beliau bersetuju dengan cadangan Profesor Rahmah untuk ke Universiti Malaya, selepas bulan Julai (jangkanya dalam bulan Ogos atau September kerana beliau mahu urusan rumahnya di Dido Street selesai) untuk mendokumentasikan skrip-skrip bangsawan dalam ingatannya. Dan pendokumentasian ini akan dilakukan dari semasa ke semasa (on-going) dan saya dijangkakan membawa beliau ke sana dan pihak Universiti Malaya akan menguruskan segala-galanya.

Pak Shariff memberi Prof. Rahmah tiga naskhah skrip bangsawannya, yang kami buat salinan foto dan pulangkan pada malam itu juga. Dan Prof. Rahmah dan Salmiah sempat juga menemui penggiat-penggiat dari Teater Kami keesokan harinya. Kesan pertemuan dengan Pak Shariff, bagi Prof. Rahmah dan Salmiah, tidak terhenti setakat di situ sahaja.
Saya pulang ke Singapura pada bulan Jun dan menyelesaikan beberapa urusan peribadi. Prof. Rahmah saya hubungi pada minggu terakhir Julai. Saya tidak menghubungi Pak Shariff kerana tahu saya akan menghubungi beliau pada bulan Ogos, sebagaimana jangkanya.

Tiba-tiba pada 3 Ogos, selepas 1.30 tengah hari, ibu saudara saya yang ketika itu menginap di Johor Bahru menelefon saya setelah mendengar berita mengenai kematian Pak Shariff. Saya menelefon keluarga Pak Shariff, Pak Busu saya, Roslan dan Atin (dari Teater Kami) dan kemudian Prof. Rahmah dan Salmiah. Selepas pukul 3.30 saya pergi ke rumah nombor 20 Dido Street dan turut menanti jenazahnya yang diterbangkan dari Kuala Lumpur. Apabila segalanya selesai diuruskan, dan bas bertolak ke Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Singapura, saya menemui beberapa ahli keluarga Pak Shariff dan penggiat-penggiat dari Teater Kami, dan kemudian pulang.

Kesimpulan

Dari Dido Street ke rumah saya di New Upper Changi Road tidaklah begitu jauh, lantas saya berjalan kaki kerana sebak ditemani kesedihan dan kenangan. Saya sering juga ke Dido Street untuk menziarahi ‘Tok Opera’ (Tok dari Opera Estate – Hajah Khatijah Bte Abdul Razak, besan dan sahabat karib nenek saya), ibu Pak Busu saya, semasa zaman kanak-kanak pada tahun 60-an dulu, tetapi tidak tahu Haji Shariff Medan adalah jiran keluarga Tok Opera saya.

Mengingati perbualan Pak Shariff, saya terkenangkan nenek saya, yang meminati bangsawan dan sastera klasik, dan jarang melepaskan peluang mendengar rancangan radio ‘Bangsawan Di Udara’ atau menonton Opera Cina (kebetulan opera Cina ini diadakan di sebelah rumah saya) semasa kami menginap di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Sayakah yang terkenangkan zaman silam atau kehadiran dan pemergian Pak Shariffkah yang semakin mengingatkan saya betapa indahnya zaman itu dan betapa dengan tergesa-gesanya kita kini, kita selalunya kurang menghargai sumbangan orang-orang zaman itu, seperti Pak Shariff Medan?

Berbagai tarikan yang menyebabkan seseorang itu menceburi bidang seni, adakalanya kerana mahukan glamor, nama, kebendaan atau sebab musabab yang lebih tulus. Ada yang benar-benar jujur kepada dirinya, masyarakat dan Tuhan melalui seni yang dilibatinya. Ada juga yang benar-benar cemerlang dalam seni yang menjadi pilihan. Dan ada juga yang jujur tetapi tidak cemerlang dalam seninya ataupun amat cemerlang dalam seni tetapi tidak jujur dalam erti kata sebenar. Dan saya teringat kata-kata Pak Shariff Medan: ‘Dalam seni, kita mesti eager to learn dan bukan ego.’ Dan bagi saya, Pak Shariff Medan melambangkan kombinasi insan seni yang boleh dijadikan teladan: insan yang jujur dan cemerlang dalam seninya.

Sebagaimana P. Ramlee sebelumnya, beliau mengerti seninya adalah anugerah Allah dan boleh disalurkan untuk memanfaatkan kehidupan manusia. Dan seperti P. Ramlee, beliau tahu makna ‘berkorban apa saja’. Kita menjadi lebih miskin kerana pemergiannya tapi bertuah kerana kehadirannya telah memperkayakan cakerawala seni dan budaya kita. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Pak Shariff Medan. Amin. Al-Fatihah.

Ditulis: 4 – 7 Ogos 1997
Tajuk Yang Disiarkan Berita Harian (Singapura): ‘Pak Shariff Timba Ilmu Melalui Bangsawan’.
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 14 Ogos 1997
Tulisan: Rasiah Halil.

Benarkah Seniman Miliki Dunia Tersendiri?

Satu gambaran stereotaip mengenai penulis/seniman ialah mereka ini selalu jiwa-jiwa: mudah disentuh keadaan, senang diganggu sekitaran, dan bagai angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa, jiwanya adalah bayu yang meniupkan dunia romantik yang indah-indah. Begitu juga ada gambaran bahawa jika seseorang itu penulis/seniman, dia selalu dibelenggu dunianya sendiri, kadangkala pakaian dan cara hidupnya tidak terurus, dan segala-galanya bagi dirinya boleh diwajarkan, kerana dia terpanggil ke dunia yang lebih ‘besar’ iaitu dunia kesenimanan. Kata-kata yang biasa kita dengar: ‘yalah dia kan penulis/artis’ dan gambaran penulis/seniman yang kadangkala ‘tidak terurus’ seolah-seolah membenarkan bahawa orang-orang begini ‘diizinkan’ berbuat apa saja kerana dewi seni telah menghuni dalam kehidupannya. Benarkah gambaran sedemikian? Mestikah seseorang itu ‘jiwa-jiwa’ untuk menjadi penulis/seniman yang baik?

Siapakah golongan penulis/seniman ini? Apakah mereka begitu istimewa sehingga sempadan yang membendung sesebuah masyarakat dan sang penulis/seniman adalah salah seorang anggotanya, tidak berlaku bagi dirinya? Besarkah peranan seorang penulis/seniman sehingga dia dibebaskan daripada ikatan-ikatan biasa kemasyarakatan, kerana apa yang lahirkannya mungkin lebih besar daripada dirinya?

Mengkaji sejarah manusia, memang kita temui percikan-percikan stereotaip tersebut. Dari zaman bahari lagi, manusia penulis/seniman itu adalah golongan yang kecil dalam masyarakat. Zaman pra-Islam misalnya, penulis/seniman itu terdiri daripada golongan agama, yang selalunya bertindak sebagai pemikir masyarakatnya. Zaman Islam dan zaman kebangkitan di Eropah, penulis/seniman juga dimonopoli oleh golongan yang hampir sama. Dan di daerah kita juga tidak jauh berbeza. Stereotaip penulis/seniman sebagai manusia yang tersendiri, sukar difahami atau tidak terurus hidupnya adalah semacam romantisme yang wujud sebagaimana wira/wirawati dalam cerita penglipur lara sebati dalam jiwa kita. Maknanya, bukan semua gambaran itu benar.

Memang seseorang penulis/seniman itu harus menjadi orang yang peka terhadap keadaan di sekelilingnya tetapi ini tidak bermaksud dia begitu sensitif dalam perhubungannya dengan manusia lain, misalnya dia menganggap dirinya terlalu penting atau orang lain tidak boleh salah sedikit dengannya, baru dia boleh dianggap penulis/seniman. Dia harus sensitif akan keadaan di sekelilingnya, yang menyentuh diri, masyarakat, negara, dan dunia tetapi sensitivitinya tidak pula berpusar pada persoalan perasaan sahaja.

Kalau hatinya terusik mengenang masa silamnya yang penuh penderitaan misalnya, dia juga harus lebih sensitif terhadap bentuk-bentuk penderitaan yang dialami manusia lain, dan bukan setakat mereka yang menghuni di estet perumahannya atau negaranya sahaja. Dia juga mungkin akan terfikirkan bagaimana corak kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain, jika ekosistem dunia kita semakin rapuh dan akhirnya hancur, walaupun yang dia gambarkan dalam seninya mungkin setakat indahnya pandangan alam di sesebuah kampung ataupun birunya langit di kawasan tanpa jerebu. Dia sensitif, bukan hanya dalam perasaan, tetapi sensitif dalam pemikiran yang tidak bertunjang kepada pendidikan formal sahaja, tetapi menjadi cendekia dan bukan setakat inteligentsia, dalam bidangnya.

Memang penulis/seniman sewaktu-waktu harus menjadi, seperti kata Chairil Anwar, ‘Dari kumpulannya  terbuang’ (sila rujuk sajaknya berjudul ‘Aku’). Dia harus ‘terbuang’ bukan kerana merajuk atau dipinggirkan, tetapi harus berani keluar daripada keselesaannya, berasa seolah-olah dalam ‘pembuangan’ agar lebih memahami permasalahan yang ditelesurinya, untuk akhirnya menghasilkan karyanya. Ramai penulis/seniman yang baik terpaksa ‘berperap’ dan menjauhi orang lain, untuk menghasilkan karya. Walaupun mereka tidak semestinya anti-sosial, penjauhan itu penting demi menghasilkan karya yang saksama. A. Samad Said, misalnya, memang mudah menggauli manusia kebanyakan dan mudah dimesrai, tetapi bila dia berkarya, dia juga harus mengasingkan dirinya, walaupun tidak semestinya dalam bentuk fizikal, daripada kesibukan-kesibukan tadi.

Apakah penulis/seniman itu selalunya berwajah kusut masai, khayal dalam dunianya sendiri dan bagaikan tiada disiplin diri? Memang terdapat seniman yang mungkin tidak semahirnya menguruskan hal-hal kewangan misalnya tetapi tanpa disiplin dalam seninya, dia tidak mungkin melahirkan karya yang baik.

Arena Wati misalnya mendisiplinkan dirinya menulis setiap hari, dan kita dapat lihat baiknya hasil karyanya. Hemmingway pula menyiapkan beberapa batang pensel untuk menulis setiap hari, dan walaupun dia berehat dan bertemu orang lain, pensel-penselnya menjadi pendek pada waktu petang, kerana banyak yang ditulisnya. Proses ‘mengeram’, ‘mencerna’ dan akhirnya menulis itu memerlukan disiplin yang kukuh, dan penulis/seniman yang serius itu tahu makna disiplin tersebut.

Dan apakah penulis/seniman itu boleh berbuat atau bertingkah laku sewenang-wenangnya kerana dia manusia ‘istimewa’? Memang dia harus dari semasa ke semasa berani menongkah arus atau ‘push the envelope’ tetapi ini tidak bermakna perbuatan atau tingkah laku sewenang-wenangnya menjadikan dia penulis/seniman yang baik.

Chairil Anwar menganggap dirinya sebagai ‘binatang jalang’ dan terkenal kerana hubungan-hubungan intimnya. Dia dianggap penyair yang baik bukan bersebabkan hal-hal tersebut tetapi walaupun dia dilingkari hal-hal sedemikian, dia masih boleh melahirkan karya-karya yang cemerlang. Demikian juga Amir Hamzah yang ditariki masalah peribadi dan kehendak sosial masyarakat Langkatnya. Atau seorang Toni Morrison, Dostoevsky, Fadwa Tuqan. Yang ‘jiwa-jiwa’ itu kita harap bukan terbatas kepada gambaran setereotaip tetapi ‘jiwa-jiwa’ yang sebenar: menjiwai perasaan, pemikiran, dan sanubari sekitarnya hinggalah dia dapat melahirkan permata-permata gemerlapan.

Ditulis: 24 Jun 2004
Tajuk Asal: Mestikah Penulis/Seniman ‘Jiwa-Jiwa’?
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 15 Ogos 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Pandangan Sekilas Buku ‘Perempuan Gusti Samseng Rumah Kosong’ Tulisan Pak Hamzah Hussin Terbitan Buku Fixi, November 2015

muka-depan-buku-pak-hamzahpak-hamzah-semasa-mudapak-hamzah-2

[Pandangan sekilas ini saya sampaikan semasa majlis pelancaran buku Perempuan Gusti Samseng Rumah Kosong tulisan Allahyarham Pak Hamzah Hussin. Majlis tersebut diadakan di ILM Centre, Joo Chiat Road, Singapura, dari jam 11 pagi sehingga 1 tengah hari pada 22 Oktober 2016. Ia dianjurkan oleh anak dan keluarga Allahyarham. Ahli panel perbincangan pada hari itu terdiri daripada anak Allahyarham, Sharifah Bte Hamzah, Cikgu Siti Fatimah Muhammad dan saya.  Kata-kata aluan penerbit Buku Fixi, Amir Muhammad, yang tidak dapat hadir kerana terlibat dalam Pesta Buku di Frankfurt, dibacakan oleh moderator majlis tersebut,  anak saudara Allahyarham Pak Hamzah, Hussin Alias]

Pendahuluan

Buku setebal 238 halaman terbitan Buku Fixi ini memuatkan empat cerpen dan 2 buah novel, Samseng dan Rumah Kosong, tulisan Pak Hamzah Hussin. Pak Hamzah bukanlah calang-calang orang – salah seorang pengasas Asas 50, yang kemudian keluar dari persatuan tersebut, orang yang terkenal kerana polemik ‘Seni Untuk Seni’nya berbanding dengan ‘Seni Untuk Masyarakat’ ketika tahun-tahun 50-an dahulu.

Dan beliau menceburi seni pelbagai bidang – menulis cerpen, novel, esei, kritik filem, skrip filem, seni kata lagu, selain ada juga menulis puisi. Pak Hamzah juga pernah bertugas sebagai wartawan, pegawai penerangan dan penulis skrip filem-filem Cathay-Keris, menjadi pengedar filem serta terlibat sebagai pakar rujuk dan sebagainya di FINAS. Hadirnya buku retro ini bagai menimbulkan semula minat generasi baharu bagi karya-karya Pak Hamzah.

Perempuan Gusti

Empat buah cerpen yang dimuatkan dalam buku ini dinamakan ‘Perempuan Gusti’ dan cerpen-cerpen ini hanya diberi angka 1 hingga 4 sebagai judul. Cerpen-cerpen ini berkisar pada kisah seorang perempuan bernama Fatimah, yang berwatak agak berlainan daripada wanita-wanita zamannya. Fatimah menjadi perempuan gusti, berpakaian dan berpandangan yang sedikit berlainan dan tidak disangka-sangka daripada yang lumrah. Melalui watak Fatimah yang dianggap ‘moden’, Pak Hamzah memaparkan perubahan-perubahan watak dan peranan wanita Melayu/Islam zaman itu. Keempat-empat cerpen yang tidak diberi judul ini sebenarnya diambil daripada antologi cerpen Pak Hamzah berjudul Pagar Bukan Penjara, Kumpulan Cerpen 1947 – 1968 Hamzah Hussin yang diselenggarakan oleh Othman Puteh, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1996.

Keempat-empat cerpen ini yang ditulis dari 1951 – 1952, diterbitkan oleh majalah Mutiara dan masing-masing berjudul ‘Perempuan Gusti’, ‘Fatimah Kahwin’, ‘Hendak Ke Mana Fatimah’ dan ‘Fatimah Sebagai Isteri’. Ada keinginan menjelaskan kedudukan wanita dengan lelaki, erti keterbukaan dalam menjalin kasih serta pilihan mencari jalan hidup. Konsep kemodenan dan pembaratan dibaurkan dan perubahan-perubahan yang dibawakan watak Fatimah mungkin dianggap oleh sebilangan pembaca sebagai unsur-unsur kemodenan.

Samseng Dan Rumah Kosong

Pak Hamzah telah melahirkan beberapa novel sejak 1949. Novel-novelnya termasuklah:
1. Tarikh Berlari Liar (1949)
2. Di Mana Terbitnya Di Matahari (1950)
3. Rumah Itu Dunia Aku (1951)
4. Pemburu Pulang Ke Rumah (1953)
5. Samseng (1956)
6. Hujan Air Mata (1958)
7. Rumah Kosong (1965)

Dalam novel Samseng, gejala yang melanda masyarakat Singapura pada zaman 50-an itu, diselongkar oleh Pak Hamzah. Ia berkisar pada watak Ma’mor, Jorah, Bujang, geng-geng samseng dan penularan kisah-kisah meminta wang perlindungan, pertempuran geng, sarang pelacuran dan sebagainya yang bermula sebelum zaman Jepun, semasa zaman pemerintahan Jepun sehinggalah zaman British kembali memerintah Singapura.

Gambaran diberi bagaikan adegan filem – dan Pak Hamzah tidak menyatakan dengan jelas, sebagaimana karya-karya zamannya, bahawa perbuatan samseng itu bercanggahan dengan budaya dan agama masyarakat Melayu Singapura. Namun secara tersirat, gambaran seadanya Pak Hamzah mengenai dunia samseng ini membuka juga tirai pemahaman kita akan gejala yang merajalela di Singapura pada satu zaman dahulu.

Rumah Kosong pula lebih merupakan novel yang berunsur psikologi. Watak-watak seperti Wan, Damin, Siti dan Syed Dzulkifli menggambarkan pelbagai kekosongan yang melanda manusia kerana perbezaan bangsa, kedudukan, kasta, kecantikan dan sebagainya. Banyak naluri terpendam misalnya rasa berahi, cemburu, dendam, marah diluahkan melalui tabir-tabir penulisan Pak Hamzah dan kita lebih terdedah kepada naluri-naluri yang kadangkala bercanggah ini dalam watak-wataknya.

Rumah kosong itu sebenarnya melambangkan kekosongan jiwa watak-wataknya, terutama Wan, yang tidak dapat bertindak sebagaimana seharusnya kerana didera pelbagai kehendak dan keperluan hidup. Dan yang kosong itu bergema dan meriakkan tindakan-tindakan yang di luar kebiasaan seperti cinta yang dihalang kedudukan/kasta dan juga pembunuhan. Novel yang terbit 51 tahun lalu ini memuatkan unsur-unsur yang jarang dibincangkan pada zaman itu dalam novel-novel Melayu.

Namun dalam kisah kekosongan jiwa dan kehidupan dalam novel Rumah Kosong, Pak Hamzah memuatkan juga kisah cintanya, melalui watak Syed Dzulkifli. Syed Dzulkifli mencintai Hanim, anak orang gajinya tetapi cintanya terhalang kerana mereka berlainan kasta dan kedudukan. Hanim kemudian menghilangkan diri tetapi Syed Dzulkifli tetap mencintainya.

Kita tahu nama pena isteri Pak Hamzah ialah H. Hanim (nama sebenarnya Khadijah Abu Bakar) dan beliau juga seorang penulis. Dalam menyatakan pelbagai rasa kekosongan watak-wataknya dalam novel Rumah Kosong, Pak Hamzah tetap mengabadikan apa yang beliau anggap yang murni dan tulus iaitu cintanya kepada isterinya, melalui watak-watak Syed Dzulkifli dan Hanim.

Penutup

Usaha menerbitkan semula karya-karya Pak Hamzah memanglah usaha yang baik dan kita alu-alukan. Namun, banyak lagi karya Pak Hamzah boleh diterbitkan semula, bukan sekadar karya-karya yang boleh dianggap dapat memancing minat sensasi masyarakat pembaca.

Sesuatu yang saya harapkan, seandainya buku ini dicetak semula, mungkin ada baiknya jika tarikh tersiarnya karya-karya asalnya dimuatkan sama. Ini dapat membantu pembaca dan pengkaji memberi konteks kepada karya-karya tersebut walaupun karya-karya yang baik boleh sahaja melangkaui apa pun pembenturan zaman ia dicipta.

Boleh juga diadakan sedikit semakan terhadap ejaan atau jalan bahasa yang sedikit janggal dan juga pembetulan misalnya dalam halaman 118, dalam novel Samseng:

“Apa macam, Din?” tanya Ma’mor. “Aku ingatkan kau dihantar ke bidadari atau Kasim…”

Tanpa konteks dan sedikit pembaikan, kita mungkin terfikir watak Ma’mor bercakap pasal bidadari biasa atau kawannya Kasim, padahal ia seharusnya ditulis dengan huruf besar bagi ‘bidadari’ atau ditambah penerangan bahawa ‘bidadari’ dan ‘Kasim’ yang dimaksudkan ialah ‘Tanah Perkuburan Bidadari’ dan ‘Tanah Perkuburan Kassim’ di Singapura.

Saya harapkan esei-esei tulisan Pak Hamzah, baik mengenai sastera, kajian perkembangan sastera dan kritik filemnya dapat dibukukan suatu hari kelak kerana belum semua karya Pak Hamzah genre ini dibukukan dalam sebuah buku. Dan tulisan Pak Hamzah dalam esei-eseinya selalunya jitu dan bernas.

Dan menjadi harapan saya juga agar skrip-skrip filem tulisan Pak Hamzah dapat dialihkan dalam bentuk buku agar sumbangan Pak Hamzah dalam bidang ini dapat dibaca oleh khalayak dan bukan sekadar ditonton sahaja.

Penyair Indonesia, Chairil Anwar, pernah bersajak dalam puisi berjudul ‘Aku’ yang ditulis pada bulan Mac 1943:

Kalau sampai waktuku
‘Ku mahu tak seorang ‘kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mahu hidup seribu tahun lagi

Chairil Anwar hanya sempat hidup hampir 27 tahun tapi saya yakin beliau akan lama ‘hidup’ dalam dunia sastera Nusantara. Chairil Anwar juga pernah bersajak dalam puisinya berjudul ‘Diponegoro’ dengan mengatakan:

Sekali bererti
Sudah itu mati.

Pak Hamzah Hussin, melalui buku Perempuan Gusti Samseng Rumah Kosong, dan karya-karyanya yang lain, sudah lama bererti dalam dunia kesusasteraan kita. Ketiadaan beliau tidak melenyapkan sumbangannya walaupun ada pihak-pihak yang bagaikan meminggirkannya semasa hidup beliau dan sesudah ketiadaan beliau. Tetapi saya yakin sebilangan karyanya, sebagaimana yang disajakkan Chairil Anwar, akan tetap hidup ‘seribu tahun lagi’, insya-Allah.

Ditulis: 22 Oktober 2016
Tulisan: Rasiah Halil.

Terkenangkan P. Ramlee Dan Saloma – Catatan Ringkas 14 Oktober 2016

Sejak beberapa hari ini, saya asyik terkenangkan P. Ramlee dan juga Saloma serta beberapa orang seniman silam kita.

Betapa lagu ‘Air Mata Di Kuala Lumpur’, lagu terakhir ciptaan P. Ramlee dan dinyanyikan Saloma, menggambarkan hancurnya jiwanya berdepan dengan pelbagai dugaan hidup. Dan betapa Saloma turut menderita kerana pelbagai dugaan yang P. Ramlee hadapi dan betapa kesepiannya Biduanita ini menghadapi hidup tanpa P.Ramlee.

Walaupun cerita ini unik buat mereka, namun gemanya berlaku juga dalam kehidupan seniman lain sezaman dan sesudah mereka dan juga bagi kita, manusia biasa yamg tidak semestinya menjadi orang seni.

Betapa malapnya hidup P.Ramlee apabila pelbagai dugaan yang Allahyarham hadapi, yang membantutkan mercupnya bakatnya. Dan betapa Allahryarham ‘hidup’ tapi jiwanya bagaikan ‘mati’ pada tahun-tahun terakhir kehidupannya. Dan betapa dia bagai diketepikan oleh pelbagai pihak, termasuk media massa ketika itu. Seolah-olah menjadi ‘tugas’ pihak-pihak tertentu untuk memadamkan bakat dan kehidupannya.

Tiap kali mendengar lagu ‘Air Mata Di Kuala Lumpur’ saya berasa begitu sedih – mengingati P. Ramlee dan Saloma. Dan mengetahui kisah-kisah mereka, bukan hanya melalui buku,  tulisan dan sebagainya, bahkan melalui orang-orang yang rapat dengan kedua-dua seniman yang saya sayangi ini – daripada Allahyarham Pak S. Kadarisman, yang dulu merupakan jiran saya, di Lorong L, Telok Kurau Road (melalui anaknya, Marhaini (Comel) yang menjadi sahabat karib saya sejak awal remaja), melalui Allahyarham Pak Hamzah Hussein (penulis, penulis skrip filem-filem Cathay Keris), melalui Pak Bakar Ali (jurugambar P. Ramlee, yang tinggal di estet perumahan saya) dan melalui beberapa wawancara dengan beberapa orang seniman silam yang saya jalankan bagi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1997-1999 untuk projek siri buku Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu – terasa betapa kesukaran-kesukaran yang P. Ramlee, Saloma dan ramai seniman silam kita hadapi, begitu mencalar kehidupan mereka.

Pada pagi Jumaat ini, kenangan saya menghimbau kepada yang silam – P. Ramlee dan ramai lagi, yang bakat mereka seolah-olah dimalapkan bila studio-studio filem di Singapura ditutup dan peluang-peluang lain untuk memanfaatkan bakat seni mereka semakin merudum.

Betapa lagu ‘Air Mata Di Kuala Lumpur’ ini begitu menyedihkan bila mendengarnya – Allah sahaja yang tahu pelbagai kesukaran yang dihadapi P. Ramlee dan seniman-seniman silam kita. Dalam pelbagai kesukaran yang Allahyarham hadapi, semangatnya masih boleh bertahan tetapi lagu ini seolah-olah menunjukkan betapa tusukan pelbagai kesukaran itu menjadikannya ‘hidup’ tapi jiwanya dan jiwa seninya seolah-olah’mati’.

Allah sahaja membalas jasa baik orang-orang seperti P. Ramlee, Saloma dan ramai lagi yang telah memperkayakan kenangan dan kehidupan kita. Dan semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang telah berpulang ke rahmatullah dan memberi ketabahan dan kesejahteraan bagi mereka sezaman P. Ramlee dan Saloma yang masih bersama kita. Amin. Al-Fatihah.

Salam
Rasiah Halil
14 Oktober 2016.

Catatan 7 Muharam 1438 Hijriah/8 Oktober 2016 Masihi

sabda-nabi-1sabda-nabi-3sabda-nabi-4

1. Kita baru juga memasuki tahun Hijriah 1438. Banyak perkara yang kita terkenang apabila di ambang dan menjalani tahun baharu ini. Pastinya kita terkenangkan penghijrahan Nabi s.a.w. dan makna penghijrahan dan pengorbanan Baginda untuk umatnya dan agama Islam. Tidak lupa juga mereka yang turut berhijrah dan berkorban bersama Baginda, sahabat dan keluarganya, Sayidina Abu Bakar r.a., yang menemani Baginda dan Sayidina Ali r.a. yang tidur di katil Nabi s.a.w., sebagai menggantikan tempat Baginda, ketika Baginda dan Sayidina Abu Bakar meninggalkan Kota Makkah.

Selamanya cerita-cerita penghijrahan dan pengorbanan Nabi s.a.w. dan pengikut Baginda (kaum Muhajirin dari Makkah) serta penerimaan dan pengorbanan kuam Ansar (dari Madinah) akan menjadi iktibar kepada kita. Bahawa seringkali kita terpaksa meninggalkan sesuatu yang kita sayangi demi kemaslahatan yang lebih baik, akan selalu bergema dalam sanubari kita. Bukan mudah melakukan ini tetapi jika jalan pilihan kita benar, sebagaimana diajar Rasulullah s.a.w. dan al-Quran dan bukannya diselaputi unsur-unsur yang tidak sihat, samar mahupun yang membawa kemudaratan kepada diri dan manusia, insya-Allah ‘penghijrahan’ itu akan menemui jawapannya.

Dan setiap kita akan memperbaharui makna penghijrahan itu – tahun demi tahun – berdasarkan kedalaman pengalaman dan penghayatan kita terhadap risalah yang dibawa oleh Junjungan yang kita amat sayangi, insya-Allah. Dan semoga Allah memudahkan kita untuk ‘berhijrah’ kepada perkara-perkara yang lebih baik bukan hanya untuk diri kita malahan kepada semua yang bererti kepada lingkungan kita. Yang baik itu selalu sukar sedikit untuk dimulakan tapi itulah yang mengaspalkan perjalanan kita ke kampung yang lebih kekal.

2. Kadangkala perkara-perkara yang amat kecil boleh sahaja begitu membahagiakan kita. Sebelum subuh, sering kedengaran burung-burung berkicau, seekor dua adakalanya mendayu-dayu. Saya suka mendengar kicauan burung dan lebih bahagia bila melihat burung-burung hinggap di pohon-pohon tanaman saya di koridor atau menjengah di tingkap dapur, di tingkat sepuluh rumah pangsa saya. Kerana burung-burung suka menjelma di tingkap dapur saya, dan saya bahagia dengan kehadiran mereka, saya pun memotong epal secara kecil-kecilan dan meletakkan potongan epal ini di semacam bendul tingkap. Banyaklah burung bertandang pada waktu-waktu tertentu dan memakan potongan epal. Ada burung tiung, sesekali muncul burung pipit dan merpati.

Sesuatu yang menggembirakan saya ialah melihat 2 ekor burung kunyit besar/dendang selayang (black-naped oriole) bertengek di bendul dan palang-palang tingkap saya. Burung-burung ini lain daripada yang lain dan saya begitu teruja melihatnya. Pada mulanya hinggap seekor, kemudian, dua ekor. Lama setelah itu, hanya seekor yang hadir di bendul dan palang-palang tingkap saya.
black-naped-oriole-1black-naped-oriole-2
Kemudian, buat dua tiga minggu, tiada seekor pun burung kunyit besar menjelma. Fikir saya mereka telah meninggalkan estet perumahan saya. Tetapi alangkah gembiranya hati saya apabila suatu hari sebelum azan zuhur, seekor burung kunyit besar yang dewasa (mungkin betina) menjelma di tingkap saya dan membawa seekor burung kunyit besar yang kecil. Ia seolah-olah mengajar si kecil agar mengambil potongan epal dan bertenggek berdekatan tingkap saya. Saya ada mengambil gambar burung-burung ini menggunakan telefon bimbit saya tetapi gambarnya tidak jelas. Saya terlalu gembira ketika itu kerana burung-burung ini seolah-olah tahu, berdekatan tingkap saya ada makanan dan saya tidak akan mengapakan mereka.

Hanya burung-burung berdekatan tingkap dapur saya dan di koridor saya dan saya begitu gembira. Kerana bagi saya, perkara-perkara kecil seperti ini begitu besar ertinya. Dan betapa besar nikmat kehidupan yang diberi-Nya.

3.translate-shakespeare Baru-baru ini saya terlibat sebagai pemudah cara/facilitator bagi terjemahan satu bahagian kecil drama Shakespeare. Ia bersempenakan Hari Terjemahan anjuran The Select Centre dan 400 tahun kelahiran Shakespeare, anjuran British Council, Singapura. Kumpulan peserta acara ini terdiri daripada penterjemah, penulis, aktivis teater, editor dan sebagainya. Saya menjadi pemudah cara selama 2 hari, dari 29 sehingga 30 September lalu, dan bersama kumpulan peserta, menterjemahkan sebahagian kecil adegan ‘Hamlet’ yang terkenal yang bermula dengan: ‘To be or not to be – that is the question…’

Kerja terjemahan ini bukanlah mudah kerana bahasa yang digunakan Shakespeare begitu sarat dengan kiasan dan pelbagai makna. Namun, dapat juga kami membuat terjemahan, yang pada pendapat saya, memuaskan. Banyak sumbang saran (brainstorming) diadakan dan kerana para peserta kumpulan saya terbuka mindanya, dan sedikit ‘gila-gila’ , banyak yang dapat kami pelajari bersama. Dan ini dibantu juga oleh adanya penggerak teater dalam kumpulan kami. Selain itu, pihak British Council sediakan juga para pelakon untuk melakonkan terjemahan kami – dan ini banyak membantu kerana apa yang kelihatan okey semasa terjemahan boleh sahaja tidak sesuai dan perlu dicantas apabila disuarakan oleh seorang pelakon.

Seorang lagi pemudah cara mengendali adegan kecil ‘Romeo and Juliet’ pada 1 hingga 2 Oktober lalu. Terjemahan bagi kedua-dua adegan kecil ‘Hamlet dan ‘Romeo and Juliet’ dibuat dalam kedua-dua bahasa – Melayu dan Mandarin, daripada dua kumpulan berbeza tapi disatukan apabila kami berbincang sesama sendiri di akhir acara dan juga semasa kami ‘skype‘ dengan pengarah Teater Globe di United Kingdom. Pada petang 2 Oktober itu, perbincangan penal yang terdiri daripada 4 pemudah cara bagi teks Shakespeare diadakan.

Pengalaman ini memenatkan saya tetapi ia memberi pengalaman yang unik bagi saya dan saya yakin, para peserta juga. To be or not to be – akhirnya dalam hidup ini kita selalu akan menyoal diri – hendak melakukan sesuatu atau sebaliknya, itulah persoalannya. Bak kata pepatah kita – tepuk dada, tanya selera atau tepuk dada, tanya iman kita.

Semoga tahun baharu Hijriah ini membawa keberkatan bagi kita. Dan semoga apa pun masalah dan kesukaran yang kita hadapi akan dipermudahkan penyelesaiannya dan tidak akan terlalu menjejas penghargaan kita kepada Pencipta kita yang memberi kita nikmat kehidupan ini. Dan semoga hati dan minda kita sentiasa terbuka untuk meneguk titis-titis madu daripada bunga-bunga kehidupan yang masih diberi-Nya, apa pun yang kita hadapi, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
7 Muharam 1438H/8 Oktober 2016.