Bekerja Sendiri Sukar, Tapi Banyak Kelebihan

Kebanyakan anggota masyarakat kita bekerja makan gaji. Pekerjaan begini memanglah baik sebab dalam beberapa hal ia terjamin. Kalau dulu, bagi pekerjaan-pekerjaan tertentu, seseorang pekerja itu akan dapat pencen, rumah, cuti tertentu malah adakalanya latihan di luar negara dan sebagainya. Kita tak perlu terlalu risau mengenai gaji bulanan atau mungkin juga bonus, ini terutamanya bagi mereka yang bekerja sebagai pegawai kerajaan mana-mana negara pun. Malah ada negara-negara tertentu, bekerja sebagai pegawai kerajaan itu begitu menyenangkan sehingga rakyatnya tidak gemar menceburi bidang pekerjaan lain.

Kadangkala Sri terfikir juga nak duduk rumah dan melepak saja. Tapi duduk punya duduk, bosan juga rasanya. Sebab itu ada orang yang dah biasa bekerja boleh juga jatuh sakit selepas bersara. Macam juga emak dan nenek kita yang dah biasa ke dapur, berdedai ke pasar dan membuat pelbagai kerja untuk keluarga, jika tiba-tiba disuruh ‘duduk diam-diam’, resahnya mereka bukan kepalang. Badan mula sengal-sengal, padahal masa bekerja bertungkus-lumus tak pun timbul masalah. Bekerja bukan hanya untuk menyara hidup kita, malah ia memberi makna tambahan dalam kehidupan kita. Sebab itu agaknya tiap pekerjaan halal yang kita lakukan untuk menyara diri dan keluarga dianggap juga satu ibadah.

Bekerja sendiri amat berbeza dengan bekerja makan gaji. Sesiapa yang menceburi bidang ini tahu risiko dan sukarnya laluan-laluan untuk mendapatkan rezeki. Tiada apa yang datang bergolek atau tersembul di depan kita.Tiada apa pun terjamin kecuali keyakinan anda bahawa Allah adalah penentu rezeki dan anda sebagai hambanya harus berusaha selain bertawakal. Usaha anda selalu mesti ditingkatkan dan istilah ‘penat’ tidak wujud dalam kamus anda. Banyak kemudahan juga tidak anda miliki. Anda tak boleh ambil cuti sakit, kadangkala anda tak dapat CPF (tabungan tabung simpanan pekerja di Singapura) ataupun insuran perubatan. Malah waktu bekerja anda pun tak seperti orang lain – sementara orang lain berehat, anda harus bekerja dan dalain-lain. Cuti anda juga tak sama seperti cuti kebanyakan orang dan ini bermakna adakalanya sukar bagi anda pergi bercuti dengan orang-orang yang anda sayang. Anda tak dapat bonus, melainkan kalau anda tubuhkan syarikat dan mesti memberi bonus kepada pekerja tapi tak semestinya untuk diri anda sendiri. Tapi tidak semuanya sukar jika anda cuba bekerja sendiri.

Benar seperti kata Nabi, 9 daripada 10 rezeki itu daripada berniaga maknanya bekerja sendiri. Risikonya tinggi tapi nikmatnya juga tinggi. Kerana banyak perkara tidak terjamin, usaha anda dan ‘injakan paradigma’/paradigm shift harus anda selarikan dalam kehidupan anda. Sri lihat sendiri bagaimana bapa Sri berniaga dan mendapat banyak iktibar daripadanya.

Bapa Sri hanya berbekalkan titik peluhnya dan keyakinannya kepada Allah dan diri sendiri. Beliau tidaklah berpelajaran tinggi atau terlalu fasih dalam bahasa Inggeris. Tapi keistimewaannya, beliaua berani mencuba, menghadapi risiko, tidak terburu-buru atau tamak dalam mengejar peluang perniagaan dan yang penting, beliau jujur dan bijak dalam bidang yang diceburinya. Mula-mula rezeki itu sedikit; wang perbelanjaan rumah pun kadangkala tak cukup. Tapi lama kelamaan rezeki itu bertambah. Cerita ini mungkin sama dengan banyak lagi cerita mengenai peniaga-peniaga kita. Bekerja sendiri itu sukar, tapi kadangkala yang sukar itulah yang memberi kita kecemerlangan.

Bekerja sendiri bukan sekadar menunjuk-nunjuk kerana ada orang yang baru buka perniagaan dah mahu ‘fringe benefits’nya: kereta menjalar, rumah tersergam, pejabat yang hebat dan sebagainya. Ini disebut ‘peripherals’ sahaja. Bukan salah hal ini tapi kalau erti bekerja sendiri hanya setakat ini, pakai nampak kita akan gulung tikar. Yang gah hanya di luar tapi intinya tetap di takuk lama – tiada injakan paradigma. Sama seperti ada orang menganggap kalau berniaga itu mesti memasukkan unsur menipu atau bersubahat dengan sesuatu yang haram, baru boleh berjaya. Padahal konsep rezeki halal dan keberkahan itu amat jelas bagi kita.

Seorang pemikir Jerman, Nietzche, pernah berkata: ‘Apa-apa yang tidak memusnahkan aku akan membuat aku lebih kuat’. Demikian juga dengan usaha bekerja sendiri. Kesukaran-kesukaran bekerja sendiri itu ibarat ‘universiti terbuka’: banyak mengajar seseorang erti ketabahan, kesabaran, ilmu dan kebijaksanaan yang kadangkala amat sukar ditimba melalui pelajaran formal sahaja. Dan kadangkala simpang siur kehidupan ini mesti dilalui bukan hanya dengan yang mudah-mudah saja – lebih banyak cabaran, sepatah kata sahabat Sri, lebih gigih kita belajar meneguhkan peribadi dan berusaha mengatasinya. Otak kita pun akan sentiasa berjalan dan tidak mendap setelah usia tertentu. Dan bekerja sendiri itu bukan sekadar mencari wang kerana kadangkala melaluinya banyak kerja kebajikan dapat kita lakukan.

Bekerja sendiri atau makan gaji – kedua-duanya perlu diisi oleh anggota masyarakat kita. Tapi dalam dunia serba canggih ini, bekerja sendiri itu akan menjadi fenomena yang kian meningkat dan masyarakat kita harus lebih mengembangkan sayap dalam bidang ini, sebelum terlambat, insya-Allah.

Ditulis: November 1999
Tajuk Asal: Bekerja Sendiri
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 21 November 1999
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s