Catatan 7 Muharam 1438 Hijriah/8 Oktober 2016 Masihi

sabda-nabi-1sabda-nabi-3sabda-nabi-4

1. Kita baru juga memasuki tahun Hijriah 1438. Banyak perkara yang kita terkenang apabila di ambang dan menjalani tahun baharu ini. Pastinya kita terkenangkan penghijrahan Nabi s.a.w. dan makna penghijrahan dan pengorbanan Baginda untuk umatnya dan agama Islam. Tidak lupa juga mereka yang turut berhijrah dan berkorban bersama Baginda, sahabat dan keluarganya, Sayidina Abu Bakar r.a., yang menemani Baginda dan Sayidina Ali r.a. yang tidur di katil Nabi s.a.w., sebagai menggantikan tempat Baginda, ketika Baginda dan Sayidina Abu Bakar meninggalkan Kota Makkah.

Selamanya cerita-cerita penghijrahan dan pengorbanan Nabi s.a.w. dan pengikut Baginda (kaum Muhajirin dari Makkah) serta penerimaan dan pengorbanan kuam Ansar (dari Madinah) akan menjadi iktibar kepada kita. Bahawa seringkali kita terpaksa meninggalkan sesuatu yang kita sayangi demi kemaslahatan yang lebih baik, akan selalu bergema dalam sanubari kita. Bukan mudah melakukan ini tetapi jika jalan pilihan kita benar, sebagaimana diajar Rasulullah s.a.w. dan al-Quran dan bukannya diselaputi unsur-unsur yang tidak sihat, samar mahupun yang membawa kemudaratan kepada diri dan manusia, insya-Allah ‘penghijrahan’ itu akan menemui jawapannya.

Dan setiap kita akan memperbaharui makna penghijrahan itu – tahun demi tahun – berdasarkan kedalaman pengalaman dan penghayatan kita terhadap risalah yang dibawa oleh Junjungan yang kita amat sayangi, insya-Allah. Dan semoga Allah memudahkan kita untuk ‘berhijrah’ kepada perkara-perkara yang lebih baik bukan hanya untuk diri kita malahan kepada semua yang bererti kepada lingkungan kita. Yang baik itu selalu sukar sedikit untuk dimulakan tapi itulah yang mengaspalkan perjalanan kita ke kampung yang lebih kekal.

2. Kadangkala perkara-perkara yang amat kecil boleh sahaja begitu membahagiakan kita. Sebelum subuh, sering kedengaran burung-burung berkicau, seekor dua adakalanya mendayu-dayu. Saya suka mendengar kicauan burung dan lebih bahagia bila melihat burung-burung hinggap di pohon-pohon tanaman saya di koridor atau menjengah di tingkap dapur, di tingkat sepuluh rumah pangsa saya. Kerana burung-burung suka menjelma di tingkap dapur saya, dan saya bahagia dengan kehadiran mereka, saya pun memotong epal secara kecil-kecilan dan meletakkan potongan epal ini di semacam bendul tingkap. Banyaklah burung bertandang pada waktu-waktu tertentu dan memakan potongan epal. Ada burung tiung, sesekali muncul burung pipit dan merpati.

Sesuatu yang menggembirakan saya ialah melihat 2 ekor burung kunyit besar/dendang selayang (black-naped oriole) bertengek di bendul dan palang-palang tingkap saya. Burung-burung ini lain daripada yang lain dan saya begitu teruja melihatnya. Pada mulanya hinggap seekor, kemudian, dua ekor. Lama setelah itu, hanya seekor yang hadir di bendul dan palang-palang tingkap saya.
black-naped-oriole-1black-naped-oriole-2
Kemudian, buat dua tiga minggu, tiada seekor pun burung kunyit besar menjelma. Fikir saya mereka telah meninggalkan estet perumahan saya. Tetapi alangkah gembiranya hati saya apabila suatu hari sebelum azan zuhur, seekor burung kunyit besar yang dewasa (mungkin betina) menjelma di tingkap saya dan membawa seekor burung kunyit besar yang kecil. Ia seolah-olah mengajar si kecil agar mengambil potongan epal dan bertenggek berdekatan tingkap saya. Saya ada mengambil gambar burung-burung ini menggunakan telefon bimbit saya tetapi gambarnya tidak jelas. Saya terlalu gembira ketika itu kerana burung-burung ini seolah-olah tahu, berdekatan tingkap saya ada makanan dan saya tidak akan mengapakan mereka.

Hanya burung-burung berdekatan tingkap dapur saya dan di koridor saya dan saya begitu gembira. Kerana bagi saya, perkara-perkara kecil seperti ini begitu besar ertinya. Dan betapa besar nikmat kehidupan yang diberi-Nya.

3.translate-shakespeare Baru-baru ini saya terlibat sebagai pemudah cara/facilitator bagi terjemahan satu bahagian kecil drama Shakespeare. Ia bersempenakan Hari Terjemahan anjuran The Select Centre dan 400 tahun kelahiran Shakespeare, anjuran British Council, Singapura. Kumpulan peserta acara ini terdiri daripada penterjemah, penulis, aktivis teater, editor dan sebagainya. Saya menjadi pemudah cara selama 2 hari, dari 29 sehingga 30 September lalu, dan bersama kumpulan peserta, menterjemahkan sebahagian kecil adegan ‘Hamlet’ yang terkenal yang bermula dengan: ‘To be or not to be – that is the question…’

Kerja terjemahan ini bukanlah mudah kerana bahasa yang digunakan Shakespeare begitu sarat dengan kiasan dan pelbagai makna. Namun, dapat juga kami membuat terjemahan, yang pada pendapat saya, memuaskan. Banyak sumbang saran (brainstorming) diadakan dan kerana para peserta kumpulan saya terbuka mindanya, dan sedikit ‘gila-gila’ , banyak yang dapat kami pelajari bersama. Dan ini dibantu juga oleh adanya penggerak teater dalam kumpulan kami. Selain itu, pihak British Council sediakan juga para pelakon untuk melakonkan terjemahan kami – dan ini banyak membantu kerana apa yang kelihatan okey semasa terjemahan boleh sahaja tidak sesuai dan perlu dicantas apabila disuarakan oleh seorang pelakon.

Seorang lagi pemudah cara mengendali adegan kecil ‘Romeo and Juliet’ pada 1 hingga 2 Oktober lalu. Terjemahan bagi kedua-dua adegan kecil ‘Hamlet dan ‘Romeo and Juliet’ dibuat dalam kedua-dua bahasa – Melayu dan Mandarin, daripada dua kumpulan berbeza tapi disatukan apabila kami berbincang sesama sendiri di akhir acara dan juga semasa kami ‘skype‘ dengan pengarah Teater Globe di United Kingdom. Pada petang 2 Oktober itu, perbincangan penal yang terdiri daripada 4 pemudah cara bagi teks Shakespeare diadakan.

Pengalaman ini memenatkan saya tetapi ia memberi pengalaman yang unik bagi saya dan saya yakin, para peserta juga. To be or not to be – akhirnya dalam hidup ini kita selalu akan menyoal diri – hendak melakukan sesuatu atau sebaliknya, itulah persoalannya. Bak kata pepatah kita – tepuk dada, tanya selera atau tepuk dada, tanya iman kita.

Semoga tahun baharu Hijriah ini membawa keberkatan bagi kita. Dan semoga apa pun masalah dan kesukaran yang kita hadapi akan dipermudahkan penyelesaiannya dan tidak akan terlalu menjejas penghargaan kita kepada Pencipta kita yang memberi kita nikmat kehidupan ini. Dan semoga hati dan minda kita sentiasa terbuka untuk meneguk titis-titis madu daripada bunga-bunga kehidupan yang masih diberi-Nya, apa pun yang kita hadapi, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
7 Muharam 1438H/8 Oktober 2016.

Advertisements

2 thoughts on “Catatan 7 Muharam 1438 Hijriah/8 Oktober 2016 Masihi

  1. Sungguh cantik gambar burung. Saya pun suka bunyi burung. Alhamdulillah di tempat tinggal saya sekarang, sering juga terdengar kokokan ayam. Ntah siapa yg punya. Mungkin salah seorg yg tinggal di rumah2 lesak berdekatan rumah kami.
    Wassalam.

    • Itulah burung-burung yang muncul pada semacam bendul dan palang-palang tingkap dapur saya. Anaknya yang kecil begitu comel. Di koridor saya, selain burung tiung, pipit, dan sesekali merpati muncul, ada juga burung yang agak kecil berwarna kehijau-hijauan. Suaranya tak sepadan dengan badannya yang kecil – kuat dan merdu. Saya tak tahu apa jenis burung ini.

      Kak Salma pun ‘dianugerahi’ kelebihan ini – dengar kokok ayam dan burung berkicau. Sering juga saya terasa betapa Allah ingin mengingatkan kita alam-Nya begitu indah dan boleh sahaja menyentuh hati kita. Hanya burung-burung dan ayam dan kita terasa indahnya kehidupan ini.

      Terima kasih, Kak Salma, kerana sudi membaca dan berkongsi pandangan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s