Sejenak Bersama Gabriel Garcia Marquez

marquez-1marquez-2m-1m-2m3m4

Pengenalan
Gabriel Garcia Marquez dilahirkan pada 6 Mac 1927 di Arataca, Colombia. Dibesarkan oleh datuk dan neneknya, beliau banyak mempelajari kisah silam melalui datuknya. Beliau terdidik di Universiti Cartagena (kursus perundangan, tidak tamat) dan juga kursus kewartawanan di Universiti Bogota. Marquez menjadi wartawan dan semenjak 1954, menginap di luar Colombia iaitu di Paris, Rome, Barcelona, New York dan Mexico kerana tugas dan juga kerana semacam ‘pembuangan’. Marquez diberi Anugerah Nobel bagi Kesusasteraan pada 1982 dan beliau giat menulis sehingga kini.* [*Beliau meninggal dunia pada 17 April 2014.]

Karya-Karya Marquez
Di Amerika Latin, sastera itu begitu hidup dan hebat, sehebat pelbagai kegenjotan politik dan ketenteraan di negara-negara tersebut. Pembauran unsur-unsur hebat ini, yang kadangkala dianggap terlalu di luar kebiasaan, menimbulkan kegetiran masyarakatnya dan mengilhamkan para senimannya. Inilah yang menimbulkan satu genre baharu dalam kesusasteraan yang disebut ‘magic realism’ (realisme magis). Unsur ini mencampurkan perkara yang sebenar dengan unsur magis, membaurkan mitos dengan kesedaran moden, melahirkan yang fantastik dan realiti sekali gus. Dan Marquez terkenal kerana menggunakan unsur realisme magis ini dalam karya-karyanya.

Beliau menulis novel dan cerpen dalam bahasa Sepanyol dan di antara karyanya termasuklah: Leaf Storm (1955), No One Writes to the Colonel (1961), An Evil Hour (1962), Big Mama’s Funeral (1962), One Hundred Years of Solitude (1967), Innocent Erendira and Other Stories (1972), The Autumn of the Patriarch (1975), Chronicle of Death Foretold (1981), Collected Stories (1984), Love in the Time of Cholera (1988), Diatribe of Love Against a Seated Man (1988), Collected Novellas (1990), The General and His Labyrinth (1990), Strange Pilgrims (1993) dan lain-lain.

Cara penulsian Marquez bersahaja, walaupun di sana sini diselitkan fakta-fakta yang sarat. Kadangkala kita tidak tahu apa yang dapat kita jangkakan dalam karyanya kerana penulisannya tidak mendatar dan diselaputi semacam unsur magis. Dalam Chronicle of Death Foretold misalnya, watak utamanya, Santiago Nasar, tidak tahu menahu dia akan dibunuh sedangkan seluruh pekan itu memakluminya. Marquez membuat sesuatu rahsia terbuka (kematian Santiago Nasar) menjadi semacam tanda yang seolah-olah tidak dapat dijawab oleh sesiapa. Cerpen-cerpennya juga menuruti pola sedemikian.

One Hundred Years of Solitude
Karya Marquez yang paling terkenal ialah novel One Hundred Years of Solitude. Garcia Marquez mengumpamakan negara-negara Amerika Latin sebagai daerah yang lama dibiarkan sepi (one hundred years of solitude). Penjajahan menjelang dan menghilang dan muncul semula dalam bentuk neo-kolonialisme; semuanya digambarkan melalui empat generasi keluarga Buendia dan tempat fantasi ‘Macondo’. Keluarga Buendia, keluarga ternama di Macondo, kemaruk dengan hal-hal peribadi dan ketakutan akan melahirkan seorang anak yang berekor khinzir. Meme Buendia, melahirkan Aureliano, Mauricio Babiliona, yang tidak dinikahi, pernah bekerja dengan bapa Meme, dan Mauricio daripada golongan bawahan dan berdarah gipsi. Dia menjadi lumpuh setelah kelahiran anaknya. Aureliano, yang sebenarnya berdarah kacukan ini, akan lebih memaklumi kegenjotan-kegenjotan yang berlaku di Macondo, sedangkan keluarganya yang ternama sukar menebak hal sebenar.

Melalui pelbagai lambang, Marquez mengusulkan berlakunya pelbagai penjajahan di Macondo, terutama setelah sebuah kereta api kuning dibenarkan melintasi Maconda. Aureliano mempelajari sejarah Macondo yang sebenar melalui datuk saudaranya Jose Arcadia Segundo, yang pernah terlibat dalam pemogokan dan pembunuhan beramai-ramai itu. Namun, bagi sebahagian masyarakat Macondo dan dunia, cerita Aureliano hanyalah fantasi yang sukar dipercayai. Novel ini menjadi metafora yang segar mengenai keadaan Amerika Latin yang tidak sunyi daripada ‘dijajahi’ begitu ramai diktator dan anasir korupsi.

Kesimpulan
Walaupun tusukan realismenya begitu tajam, namun karya-karya Marquez tetap menusuk kita dengan pertukangan seninya yang indah dan mengharukan. Beliau membuat kita lebih mengenali masyarakat Amerika Latin dan pembenturan-pembenturan politik dan sosialnya. Seperti kata beliau semasa menerima Hadiah Nobel 1982 dahulu:

Faced with this awesome reality that must have seemed a mere utopia through all human time, we, the inventor of tales, who will believe anything, feel entitled to believe that it is not yet too late to engage in the creation of the opposite utopia. ………..where no one will be able to decide for others how they die, where love will prove true and happiness be possible, and where the races condemned to one hundred years of solitude will have, at last and forever, a second opportunity to earth.’

Demikianlah harapan Gabriel Garcia Marquez terhadap seni dan masyarakat Amerika Latinnya.

Disiapkan : 27 Julai 1998
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), 1998.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s