Setiap Pilihan Ada Risiko, Tanggungjawab

Baru-baru ini sebuah lagu nyanyian Sharifah Aini dengan seni katanya ditulis oleh Habsah Hassan terngiang-ngiang di telinga Sri. Lagu ini pernah dipopularkan oleh Roy dan Francesca pada tahun 80-an dulu. Sharifah Aini menyanyikannya semula pada 1996. Sebahagian seni kata lagu Suratan Atau Kebetulan ini berbunyi:

Sesuatu yang tak disangka
seringkali mendatangi kita
itukah suratan dalam kehidupan
atau sekadar suatu kebetulan.

Kita asyik membicarakan
persoalan hidup dan pilihan
serta kejujuran semakin berkurangan
masih tiada bertemu jawapan.

Walau kita dihadapkan
dengan berbagai pilihan
mengapa sering terjadi
pilihan tak menepati
hingga amat menakutkan
menghadapi masa depan
seolah-olah terhapus
kehidupan yang kudus…

Pilihan dan membuat pilihan memang sering kita hadapi dalam kehidupan ini. Kata orang, bila seseorang itu diberi banyak pilihan dalam kehidupan lebih mudah untuknya membuat pilihan yang terbaik, dengan syarat dia mempunyai kemahiran membuat pilihan itu. Tidak kurang pula ada yang dihadapkan dengan keadaan yang ‘tiada pilihan’, lantas keadaan ini terpaksa dijadikan pilihannya. Dan ada orang pula, tanpa memikirkan apa-apa yang harus dilakukan sama ada dalam kehidupan berkeluarganya, kerjaya atau penglibatan sosialnya, dia sendiri dipilih. Dan dalam keadaan ekonomi dunia kini, membuat pilihan kerjaya yang sesuai dan memilih untuk tidak patah semangat juga adalah pilihan yang mungkin sukar, tapi perlu kita lakukan.

Kita mungkin pernah terbaca, ada orang terpaksa bertindak sebagai ayah atau ibu dalam keluarganya dan menjaga serta mengongkosi pembelajaran adik-adiknya, kerana ayah atau ibunya tiada lagi bersama. Demikian juga ada yang terpaksa meneruskan perniagaan keluarganya, walaupun hatinya ingin menceburi bidang lain, hanya kerana keluarganya memerlukan bantuannya. Dan tidak kurang pula ada orang itu, berbagai-bagai pilihan dihidangkan di hadapannya bagai santapan-santapan yang lazat dan cita rasanya yang menentukan pilihannya.

Bukanlah mudah membuat pilihan, terutama mengenai perkara-perkara yang agak besar dalam kehidupan. Tersalah pilih, anda harus menanggung akibatnya kadangkala sepanjang hayat. Tanpa memilih pilihan-pilihan yang diberi juga, akibatnya menjadi tanggungan anda. Pendek kata, tiap pilihan yang kita buat mengandungi risiko, akibat dan tanggungjawab. Dan seperti istilah yang digunakan dalam bidang ekonomi, tiap satu pilihan itu ada ‘kos melepas’/opportunity costnya. Anda memilih untuk lebih bergiat dalam pembelajaran anak-anak anda, ini bererti anda harus mengurangkan kegiatan anda yang lain, misalnya menonton televisyen atau bersembang. Anda memilih untuk meningkatkan diri dalam kerjaya anda, ini bermakna, anda harus sanggup berkorban mendapatkan kemahiran-kemahiran tambahan, bersengkang mata untuk belajar misalnya, sementara orang lain bersuka ria. Demikian juga jika anda memilih untuk menjadi ibu sepenuh masa demi anak-anak anda, ini bererti dunia kerjaya yang anda kenali dan mempengaruhi anda akan berlainan pula maknanya bagi anda dan makna-makna lain pula meruangi kehidupan anda.

Ada di kalangan kita mudah pula membuat pilihan secara tergesa-gesa atau rambang tanpa penilaian yang rasional. Misalnya mendengar ada ubat atau makanan yang dengan segara boleh menyihat, melangsing atau ‘memandaikan’ kita, dengan mudah kita menerimanya. Demikian juga mengenai hal-hal melabur dan ‘membuat duit’. Kita seolah-olah percaya, betapa bertuah kita telah terpilih untuk menjadi kaya oleh satu-satu syarikat misalnya, tanpa menyelidiki muslihat di sebalik pilihan sebegini.

Ramai juga di kalangan kita kadangkala sanggup bekerja keras memerah keringat dan otak, malah bekerja dua giliran, hanya kerana kita tiada pilihan lain untuk menampung keperluan keluarga. Tidak semua yang kita lakukan itu kita gemari, malah kadangkala menyakitkan hati tetapi kerana pilihan kita ialah untuk menyara keluarga, segala pahit maung itu kita sanggup telan, demi kesejahteraan keluarga. Selagi yang kita lakukan itu tidak bercanggah dengan agama dan undang-undang, betapa perit pun pilihan ini sanggup kita pikul. Tapi yang paling sukar ialah bila kita membuat pilihan untuk tidak mahu melakukan apa-apa, bukan reda dengan ketentuan Allah, tetapi lebih tepat lagi, tidak cuba berusaha. Sri yakin, anda pasti tabik kepada sesiapa pun yang mencuba sama ada dalam bidang pelajaran atau pekerjaan tetapi gagal daripada orang yang enggan mencuba kerana takut gagal. Biarlah pilihan kita itu mencuba, walaupun gagal daripada gagal mencuba.

Kadangkala banyak pilihan mendatangi hidup anda dalam keadaan yang tidak anda sangka-sangkakan. Memilih yang terbaik melalui penilaian yang saksama dan seimbang, selain bersembahyang istikharah, kadangkala boleh ‘memeranjatkan’ orang lain tetapi mengejapkan nilai-nilai hidup anda dan memperbaharui keazaman dan pandangan hidup anda.

Ditulis: 27 Mac 2002
Tajuk Asal: Antara Pilihan Dan Kenyataan
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 31 Mac 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s