Tahun Baharu: Antara Harapan Dan Keresahan Kita

Pendahuluan

Baru sahaja kita melangkah ke tahun baharu, baik tahun baharu Islam mahupun tahun baharu Masihi. Dalam bidang sastera, tentulah kita inginkan perkara-perkara yang baik berlaku dalam dunia sastera kita. Lebih banyak buku diterbitkan dan buku-buku itu pula merupakan buku-buku yang baik; lebih banyak peluang dibukakan untuk para penulis kita, dan sastera kita tetap segar hidupnya di tengah-tengah pelbagai ranjau kehidupan masa kini. Tetapi apakah tahun baharu selalunya bertunjangkan harapan atau banyak pula meresahkan kita?

Sajak ’Surat 1 Januari 2000’ Karya Baha Zain

Saya teringat sebuah sajak karangan Baha Zain, 40 tahun lalu, pada 1969. Sajak berjudul ‘Surat 1 Januari 2000′ masih relevan kita renungkan semasa baru bertatih pada tahun baharu 1430H/2009M ini, saya nukil keseluruhan sajak ini:

3 makhluk dari alam berbeza
membaca surat cinta
di kemuncak rumah pangsa
segumpal awan menyapu muka
meski sinaran memancar dada

tanya mereka yang menawan angkasa
kenapa anak-anak liar di jalan raya

“mereka berjuang untuk bisa bertanya
mereka berjuang untuk tanah seinci
mereka berjuang untuk seorang petani
yang lebih berjasa dari seorang tentera
mereka berjuang untuk roti sebuku
yang lebih berharga dari seribu peluru”

tanya kami dari bumi
betapa trade union di bulan
betapa puasa di perut lautan
sama-sama kami menatap kekosongan
kecil-kecil bintang sayup memberi cabaran
di sini sana komputer telah dewasa
di mana-mana kemanusiaan masih remaja

kami 3 makhluk dari alam berbeza
berhimpun untuk satu utopia
mengutuk hukum hutan belantara
menawan jarak Jupiter dan jiwa manusia
eksodas ke laut dan ke angkasa
30 tahun minta diduga
gelap pekat di lubuk hati kita

Daripada: Puisi Baharu Melayu 1961-1986 KL:DBP, 1990, halaman 284.

Pandangan Ringkas

Apakah yang ditulis Baha masih menjejas kehidupan kita kini? Manusia telah berjaya meneroka sebahagian angkasa, malah bercita-cita menjejakkan manusia ke planet Marikh; orang Melayu telah pun menerawang ke angkasa; ada orang menjadi pelancong menerawang di angkasa dan ada orang pula telah menempa ’tanah jajahan’ peribadi di bulan. Manusia juga telah berjaya meneroka laut dan lautan; pelbagai khazanahnya telah dibongkar dan ada pula dipulihara. Dokumentari-dokumentari mengenai alam laut/an banyak dapat kita ikuti sekarang. Tetapi dalam kita menjelajah ke angkasa raya dan kedalaman samudera, apakah keadaan di bumi kita semakin baik, berbanding tahun 1969?

Dalam kepesatan pembangunan dunia dan era kesejagatan, apakah masalah-masalah pokok pada tahun-tahun 60-an itu masih berulang? Anak-anak kita masih ’liar’, bukan dimabuki budaya ’hippie’ lagi tetapi boleh sahaja diliarkan oleh anasir-anasir lain. Tetapi dalam apa pun ’keliaran’ manusia, masalah pokoknya masih tidak berubah: ada penghuni dunia tetap mahu menegakkan maruahnya sebagai manusia atau sesebuah bangsa yang sering diperkotak-katikkan. Terdapat isu-isu kelaparan dan kemiskinan yang demikian melarat, apalagi kerana jurang mereka yang berada dengan mereka yang tidak berada demikian ketara, 40 tahun setelah Baha menintakan puisinya. Bagi Baha, para petani jasanya lebih besar kepada manusia – betapa bermaknanya ini kepada manusia kini yang kekurangan bahan makanan, yang bahan makanannya boleh sahaja dijadikan bahan bakar api (biofuel), dan ladangnya boleh sahaja dilanda bencana alam yang semakin menjadi-jadi akibat kepanasan Bumi.

Dan seperti zaman Baha, bahasa peluru itu demikian memusnah tetapi yang beliau harapkan ialah jasa seorang petani, bukan peluru, peluru berpandu, kereta kebal, bom, roket dan segala alat pemusnah kehidupan dan peradaban kita. Harapan Baha masih belum kesampaian kerana penghuni dunia masih tegar mahu memusnahkan sesamanya; yang kuat boleh sahaja mewajarkan segala tindakan sewenang-wenangnya dan yang lemah semakin bertindak nekad atau semakin dipinggirkan dalam naratif penghuni dunia. Yang semakin canggih ialah cara kita membunuh, menyeksa, mendera, melukai sesama manusia melalui alat-alat tertentu tetapi yang masih ’remaja’ (dalam konteks ini ’remaja’ tidak bermakna sesuatu yang berharapan, ceria dan sebagainya) ialah nilai peradaban kita sebagai manusia peribadi, bangsa atau penghuni dunia yang masih ’keanak-anakan’, lantas tidak atau kurang bertanggungjawab dalam tindakan kita sesama manusia. Seperti kata Baha:

di sini-sana komputer telah dewasa
di mana-mana kemanusiaan masih remaja

Apakah ini bermakna kita harus berputus asa dan menjalani tahun ini dan tahun-tahun mendatang dengan penuh kehampaan dan kekecewaan? Jawapannya tentunya tidak. Memang, apa yang kita harapkan bagi penghuni dunia kadangkala bagaikan sebuah utopia kerana sukarnya ia menjadi kenyataan. Setelah 40 tahun puisi Baha ditulis, ’hukum hutan belantara’ masih diguna-pakai sesama manusia dan negara. Retoriknya masih sama walaupun pelaku di pentas sering bertukar. Betapa benar kata Mahatma Gandhi: “An eye for an eye will only make the world blind”; tetapi sebilangan kita masih yakin mata yang dibutakan itulah pandangan yang jelas dan benar dan tidak terasa tertusuknya kemanusiaan kita bila ada penghuni dunia, dan bukan mereka yang mewah sahaja, menderita kerana tindak tanduk sesama  kita.

Lebih empat puluh tahun dahulu di Amerika Syarikat, empat pemimpinnya yang berwibawa mati ditembak; Presiden John F Kennedy, pemimpin-pemimpin kulit hitam Malcolm X (nama Islamnya Malik El-Shabazz) dan Martin Luther King Junior serta Robert F. Kennedy. Kematian mereka melambangkan suatu era berharapan seolah-olah terkubur bagi Amerika Syarikat dan sebahagian besar dunia. Pada 20 Januari ini, seorang lagi pemimpin, yang berdarah kacukan kulit hitam dan kulit putih, Barrack Hussein Obama, akan menjadi presiden Amerika Syarikat. Apakah harapan manusia akan mercup sebagaimana tahun-tahun 60-an dahulu setelah perlantikan Obama? Atau seperti kata Baha, manusia boleh menawan planet Musytari (Jupiter) walau betapa jauh pun jaraknya, tetapi jarak yang demikian dekat di antara manusia dan benua, dapatkah kita rapatkan dengan sebenar-benarnya? Bagaimana dapat kita rapatkan jarak di antara sesama manusia jika masih terdapat banyak anasir yang ’gelap pekat di teluk hati kita’?

Bukan seorang manusia biasa (tidak termasuk Nabi s.a.w.), baik dari Timur atau Barat kini, betapa berwibawa pun dia dianggap oleh sebilangan penghuni dunia pada tahun 2009 ini, boleh membunga-apikan harapan di hati manusia. Sejarah tidak seluruhnya boleh berulang dan penentu kebahagiaan manusia dan kemanusiaan tidak bergantung kepada seorang manusia biasa atau sesebuah negara sahaja. Benar, banyak perkara akan membobrokan kehidupan manusia; perang akan terus berlaku, yang kuat akan mewajarkan segalanya, yang berada akan bertambah mewah dan yang menderita akan meningkat jumlahnya. Tetapi, jika ada sebilangan penghuni dunia dapat menghilangkan anasir-anasir ’gelap pekat di teluk hati kita’, sebagaimana dikatakan dalam puisi Baha Zain, besar kemungkinan harapan kita untuk kemanusiaan, kehidupan dan kesusasteraan akan tetap mekar bersamanya.

Penutup
Peluru hanya mampu menamatkan riwayat seseorang pemimpin atau harapan yang dilambangkan olehnya tetapi keikhlasan, kejujuran dan kebijakan manusia dan kemanusiaan antara sesamanya boleh saja melenyapkan ’senjata pemusnah raya’ yang sebenar, dalam kehidupan penghuni dunia. Demikian juga harapan kita bagi sastera Melayu khususnya dan sastera Singapura dan sastera dunia umumnya. Putus asa, kehampaan dan kekecewaan, walaupun boleh sahaja menghuni di hati kita dan dijadikan bahan penulisan kita, ia bukannya satu-satu bahan sahaja untuk hidangan sastera kita. Betapa resah, kecewa dan hampa pun kehidupan dan penglibatan seni kita, ia tidak boleh kita benarkan terus-menerus menghakis secebis harapan yang menjadi sumbu penglibatan seni kita. Dengan segala kekecewaan dan kehampaan, bagai burung phoenix yang hangus menjadi debu, kita berupaya untuk bangkit semula menghadapi kehidupan yang terbentang luas ini selagi kita yakin kepada Allah dan jujur dalam dunia seni yang kita libati ini, walaupun ’kemanusiaan masih remaja’ dan terdapat pelbagai anasir ’gelap pekat di teluk hati kita’ sehingga kini, insya-Allah.

Ditulis: 30 Disember 2008
Tajuk Asal: Tahun Baharu: Antara Harapan Dan Keresahan Kita (Teks dan tajuk yang disiarkan dalam Berita Minggu, hilang dalam simpanan saya).
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura), pada 2009.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s