Terkenangkan P. Ramlee Dan Saloma – Catatan Ringkas 14 Oktober 2016

Sejak beberapa hari ini, saya asyik terkenangkan P. Ramlee dan juga Saloma serta beberapa orang seniman silam kita.

Betapa lagu ‘Air Mata Di Kuala Lumpur’, lagu terakhir ciptaan P. Ramlee dan dinyanyikan Saloma, menggambarkan hancurnya jiwanya berdepan dengan pelbagai dugaan hidup. Dan betapa Saloma turut menderita kerana pelbagai dugaan yang P. Ramlee hadapi dan betapa kesepiannya Biduanita ini menghadapi hidup tanpa P.Ramlee.

Walaupun cerita ini unik buat mereka, namun gemanya berlaku juga dalam kehidupan seniman lain sezaman dan sesudah mereka dan juga bagi kita, manusia biasa yamg tidak semestinya menjadi orang seni.

Betapa malapnya hidup P.Ramlee apabila pelbagai dugaan yang Allahyarham hadapi, yang membantutkan mercupnya bakatnya. Dan betapa Allahryarham ‘hidup’ tapi jiwanya bagaikan ‘mati’ pada tahun-tahun terakhir kehidupannya. Dan betapa dia bagai diketepikan oleh pelbagai pihak, termasuk media massa ketika itu. Seolah-olah menjadi ‘tugas’ pihak-pihak tertentu untuk memadamkan bakat dan kehidupannya.

Tiap kali mendengar lagu ‘Air Mata Di Kuala Lumpur’ saya berasa begitu sedih – mengingati P. Ramlee dan Saloma. Dan mengetahui kisah-kisah mereka, bukan hanya melalui buku,  tulisan dan sebagainya, bahkan melalui orang-orang yang rapat dengan kedua-dua seniman yang saya sayangi ini – daripada Allahyarham Pak S. Kadarisman, yang dulu merupakan jiran saya, di Lorong L, Telok Kurau Road (melalui anaknya, Marhaini (Comel) yang menjadi sahabat karib saya sejak awal remaja), melalui Allahyarham Pak Hamzah Hussein (penulis, penulis skrip filem-filem Cathay Keris), melalui Pak Bakar Ali (jurugambar P. Ramlee, yang tinggal di estet perumahan saya) dan melalui beberapa wawancara dengan beberapa orang seniman silam yang saya jalankan bagi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1997-1999 untuk projek siri buku Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu – terasa betapa kesukaran-kesukaran yang P. Ramlee, Saloma dan ramai seniman silam kita hadapi, begitu mencalar kehidupan mereka.

Pada pagi Jumaat ini, kenangan saya menghimbau kepada yang silam – P. Ramlee dan ramai lagi, yang bakat mereka seolah-olah dimalapkan bila studio-studio filem di Singapura ditutup dan peluang-peluang lain untuk memanfaatkan bakat seni mereka semakin merudum.

Betapa lagu ‘Air Mata Di Kuala Lumpur’ ini begitu menyedihkan bila mendengarnya – Allah sahaja yang tahu pelbagai kesukaran yang dihadapi P. Ramlee dan seniman-seniman silam kita. Dalam pelbagai kesukaran yang Allahyarham hadapi, semangatnya masih boleh bertahan tetapi lagu ini seolah-olah menunjukkan betapa tusukan pelbagai kesukaran itu menjadikannya ‘hidup’ tapi jiwanya dan jiwa seninya seolah-olah’mati’.

Allah sahaja membalas jasa baik orang-orang seperti P. Ramlee, Saloma dan ramai lagi yang telah memperkayakan kenangan dan kehidupan kita. Dan semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang telah berpulang ke rahmatullah dan memberi ketabahan dan kesejahteraan bagi mereka sezaman P. Ramlee dan Saloma yang masih bersama kita. Amin. Al-Fatihah.

Salam
Rasiah Halil
14 Oktober 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s