Benarkah Seniman Miliki Dunia Tersendiri?

Satu gambaran stereotaip mengenai penulis/seniman ialah mereka ini selalu jiwa-jiwa: mudah disentuh keadaan, senang diganggu sekitaran, dan bagai angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa, jiwanya adalah bayu yang meniupkan dunia romantik yang indah-indah. Begitu juga ada gambaran bahawa jika seseorang itu penulis/seniman, dia selalu dibelenggu dunianya sendiri, kadangkala pakaian dan cara hidupnya tidak terurus, dan segala-galanya bagi dirinya boleh diwajarkan, kerana dia terpanggil ke dunia yang lebih ‘besar’ iaitu dunia kesenimanan. Kata-kata yang biasa kita dengar: ‘yalah dia kan penulis/artis’ dan gambaran penulis/seniman yang kadangkala ‘tidak terurus’ seolah-seolah membenarkan bahawa orang-orang begini ‘diizinkan’ berbuat apa saja kerana dewi seni telah menghuni dalam kehidupannya. Benarkah gambaran sedemikian? Mestikah seseorang itu ‘jiwa-jiwa’ untuk menjadi penulis/seniman yang baik?

Siapakah golongan penulis/seniman ini? Apakah mereka begitu istimewa sehingga sempadan yang membendung sesebuah masyarakat dan sang penulis/seniman adalah salah seorang anggotanya, tidak berlaku bagi dirinya? Besarkah peranan seorang penulis/seniman sehingga dia dibebaskan daripada ikatan-ikatan biasa kemasyarakatan, kerana apa yang lahirkannya mungkin lebih besar daripada dirinya?

Mengkaji sejarah manusia, memang kita temui percikan-percikan stereotaip tersebut. Dari zaman bahari lagi, manusia penulis/seniman itu adalah golongan yang kecil dalam masyarakat. Zaman pra-Islam misalnya, penulis/seniman itu terdiri daripada golongan agama, yang selalunya bertindak sebagai pemikir masyarakatnya. Zaman Islam dan zaman kebangkitan di Eropah, penulis/seniman juga dimonopoli oleh golongan yang hampir sama. Dan di daerah kita juga tidak jauh berbeza. Stereotaip penulis/seniman sebagai manusia yang tersendiri, sukar difahami atau tidak terurus hidupnya adalah semacam romantisme yang wujud sebagaimana wira/wirawati dalam cerita penglipur lara sebati dalam jiwa kita. Maknanya, bukan semua gambaran itu benar.

Memang seseorang penulis/seniman itu harus menjadi orang yang peka terhadap keadaan di sekelilingnya tetapi ini tidak bermaksud dia begitu sensitif dalam perhubungannya dengan manusia lain, misalnya dia menganggap dirinya terlalu penting atau orang lain tidak boleh salah sedikit dengannya, baru dia boleh dianggap penulis/seniman. Dia harus sensitif akan keadaan di sekelilingnya, yang menyentuh diri, masyarakat, negara, dan dunia tetapi sensitivitinya tidak pula berpusar pada persoalan perasaan sahaja.

Kalau hatinya terusik mengenang masa silamnya yang penuh penderitaan misalnya, dia juga harus lebih sensitif terhadap bentuk-bentuk penderitaan yang dialami manusia lain, dan bukan setakat mereka yang menghuni di estet perumahannya atau negaranya sahaja. Dia juga mungkin akan terfikirkan bagaimana corak kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain, jika ekosistem dunia kita semakin rapuh dan akhirnya hancur, walaupun yang dia gambarkan dalam seninya mungkin setakat indahnya pandangan alam di sesebuah kampung ataupun birunya langit di kawasan tanpa jerebu. Dia sensitif, bukan hanya dalam perasaan, tetapi sensitif dalam pemikiran yang tidak bertunjang kepada pendidikan formal sahaja, tetapi menjadi cendekia dan bukan setakat inteligentsia, dalam bidangnya.

Memang penulis/seniman sewaktu-waktu harus menjadi, seperti kata Chairil Anwar, ‘Dari kumpulannya  terbuang’ (sila rujuk sajaknya berjudul ‘Aku’). Dia harus ‘terbuang’ bukan kerana merajuk atau dipinggirkan, tetapi harus berani keluar daripada keselesaannya, berasa seolah-olah dalam ‘pembuangan’ agar lebih memahami permasalahan yang ditelesurinya, untuk akhirnya menghasilkan karyanya. Ramai penulis/seniman yang baik terpaksa ‘berperap’ dan menjauhi orang lain, untuk menghasilkan karya. Walaupun mereka tidak semestinya anti-sosial, penjauhan itu penting demi menghasilkan karya yang saksama. A. Samad Said, misalnya, memang mudah menggauli manusia kebanyakan dan mudah dimesrai, tetapi bila dia berkarya, dia juga harus mengasingkan dirinya, walaupun tidak semestinya dalam bentuk fizikal, daripada kesibukan-kesibukan tadi.

Apakah penulis/seniman itu selalunya berwajah kusut masai, khayal dalam dunianya sendiri dan bagaikan tiada disiplin diri? Memang terdapat seniman yang mungkin tidak semahirnya menguruskan hal-hal kewangan misalnya tetapi tanpa disiplin dalam seninya, dia tidak mungkin melahirkan karya yang baik.

Arena Wati misalnya mendisiplinkan dirinya menulis setiap hari, dan kita dapat lihat baiknya hasil karyanya. Hemmingway pula menyiapkan beberapa batang pensel untuk menulis setiap hari, dan walaupun dia berehat dan bertemu orang lain, pensel-penselnya menjadi pendek pada waktu petang, kerana banyak yang ditulisnya. Proses ‘mengeram’, ‘mencerna’ dan akhirnya menulis itu memerlukan disiplin yang kukuh, dan penulis/seniman yang serius itu tahu makna disiplin tersebut.

Dan apakah penulis/seniman itu boleh berbuat atau bertingkah laku sewenang-wenangnya kerana dia manusia ‘istimewa’? Memang dia harus dari semasa ke semasa berani menongkah arus atau ‘push the envelope’ tetapi ini tidak bermakna perbuatan atau tingkah laku sewenang-wenangnya menjadikan dia penulis/seniman yang baik.

Chairil Anwar menganggap dirinya sebagai ‘binatang jalang’ dan terkenal kerana hubungan-hubungan intimnya. Dia dianggap penyair yang baik bukan bersebabkan hal-hal tersebut tetapi walaupun dia dilingkari hal-hal sedemikian, dia masih boleh melahirkan karya-karya yang cemerlang. Demikian juga Amir Hamzah yang ditariki masalah peribadi dan kehendak sosial masyarakat Langkatnya. Atau seorang Toni Morrison, Dostoevsky, Fadwa Tuqan. Yang ‘jiwa-jiwa’ itu kita harap bukan terbatas kepada gambaran setereotaip tetapi ‘jiwa-jiwa’ yang sebenar: menjiwai perasaan, pemikiran, dan sanubari sekitarnya hinggalah dia dapat melahirkan permata-permata gemerlapan.

Ditulis: 24 Jun 2004
Tajuk Asal: Mestikah Penulis/Seniman ‘Jiwa-Jiwa’?
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 15 Ogos 2004
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s