Biduanita Nona Asiah


na-2nona-asiah-n-ismail-kassimnonana5

[Saya mewawancara Mak Nona Asiah pada 14 Mei 1999 untuk entri projek siri ensiklopedia, Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan tulisan tersebut dikirimkan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 1999. Tulisannya lebih padat dan sesuai untuk entri ensiklopedia. Pada 17 November 2000, saya mengirimkan rencana yang saya tulis mengenai Mak Nona, berdasarkan wawancara itu kepada pihak Berita Harian (Singapura) tetapi diolah dengan lebih santai dan ditambah dengan beberapa hal lain, yang tidak dimasukkan dalam entri ensiklopedia tersebut.]

Pengenalan

Seandainya beliau dilahirkan di zaman dan tempat yang lain, kreativitinya akan tetap digilap dan diberi pengiktirafan yang sesuai dengan pelbagai bakatnya. Suaranya pernah mengalunkan berbagai nada dan emosi dan penceburannya dalam bidang seni bukan pula sesuatu yang baru sahaja dijengahnya atau dibuat sambil lewa.

Latar Dan Perkembangan Hidup Nona Asiah

Biduanita yang dimaksudkan ialah Mak Nona Asiah atau nama sebenarnya Asiah bte Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 29 November 1932 di Singapura. Bapanya, Abdul Rahman bin Ahmad atau dikenali sebagai Aman, berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, dan bekerja sebagai pelukis tirai bangsawan dan juga pelukis. Ibunya, Rahmah Osman, berasal dari Singapura, juga bergiat dalam bangsawan. Ibunya juga mempunyai kumpulan sandiwara (termasuk nyanyian dan tarian) yang membuat persembahan di New World.

Bagaimanakah penglibatan seninya bermula? Menurut beliau, semasa tinggal di Jalan Besar, jirannya merupakan penggubah A. Rahman. Mak Nona ketika itu masih bersekolah (usia 10-11 tahun) suka ‘mengendeng’ mendengar-dengar kumpulan A. Rahman membuat latihan dan akhirnya diajak oleh A. Rahman untuk menyanyi. Lagu nyanyiannya berjudul ‘Justeru Sang Rembulan’ yang dipopularkan oleh S. Abdullah ketika itu dan ini juga merupakan lagu pertama yang dinyanyikan di Radio Malaya, semasa itu terletak di Bangunan Cathay. Selain itu, beliau sering mengikuti ibunya membuat persembahan dan ada juga diajak menyanyi bersama rakan-rakan sebayanya.

Menyanyi Ketika Zaman Jepun

Penceburannya yang lebih serius terjadi secara kebetulan. Ketika zaman Jepun, kumpulan ibunya hanya dibenarkan menyanyikan lagu-lagu Melayu dan Jepun, tetapi kerana persembahan dalam bahasa Jepun mereka tidak seratus peratus sempurna, mereka disuruh mengikuti kursus latihan. Ibu Mak Nona tidak dapat mengikutinya kerana harus menjaga anak-anaknya, selain terlibat dalam bangsawan dan kumpulan seninya. Lantas, Mak Nonalah menggantikan tempat ibunya. Ketika itu beliau baru tamat sekolah rendah. Selepas latihan itu, tiap-tiap minggu bersama seniman yang lain, termasuk Momo Latiff, Salbiah Haron dan lain-lain, Mak Nona dibawa ke kem-kem Jepun di dalam hutan untuk menyanyi. Mereka dibawa dengan lori dan dibayar dengan catuan atau ration sahaja iaitu catuan bagi mendapatkan beras, roti dan rokok. Pengalaman ini, dengan pelbagai unsur lucunya masih menjadi kenangan beliau sehingga kini.

Persekolahan Mak Nona

Bagaimana pula persekolahan Mak Nona? Beliau terdidik di Sekolah Melayu Kampung Gelam sehingga darjah empat. Kemudian beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Perempuan Rochor bagi menyambung darjah lima dan enam. Pada masa itu pendidikan sekolah Melayu hanya setakat darjah enam. Meletusnya Perang Dunia Kedua menghentikan apa pun cita-citanya dalam bidang pendidikan ketika itu. Tetapi beliau tidak pernah mati semangat, malah meneruskan pendidikan bahasa Inggerisnya di sekolah malam setelah Jepun kalah.

Penceburan Seni Mak Nona Selepas Zaman Jepun

Minat Mak Nona dalam bidang seni semakin bercambah selepas zaman Jepun. Bersama beberapa orang rakan, beliau menubuhkan kumpulan muzik ‘Tiga Serumpun’; terdapat seorang pemain piano, gitar dan dram selain penyanyinya Ismail Kassim dan Mak Nona sendiri. Mereka sering diundang menyanyi di Radio Malaya (di Singapura) iaitu pada tiap-tiap hari Rabu. Rakaman dibuat secara langsung dan kumpulan ini amat popular dan mendapat banyak permintaan dan surat peminat dari dalam dan luar negara.

Salah satu persembahan mereka didengari oleh pihak rakaman HMV, lantas Mak Nona ditawarkan untuk membuat rakaman ke piring hitam. Lagu-lagu yang dirakamkan kebanyakannya lagu-lagu Indonesia, misalnya lagu  ‘Sapu Tangan’, ‘Jambatan Merah’ selain lagu Inggeris yang diterjemahkan ke bahasa Melayu misalnya lagu ‘Besame Mucho’ yang diberi judul ‘Ciumku Lagi’ dengan seni katanya ditulis oleh Dol Ramli. Berlakunya rakaman lagu-lagu Indonesia dan Inggeris ini kerana ketika itu Singapura amat kekurangan penggubah-penggubah lagunya sendiri. Mak Nona merakamkan lagu dengan Pathe Records yang bersama Columbia Records bernaung di bawah HMV.

Kisah Rakaman Dan Menjadi Penyanyi Latar Filem Melayu

Beliau mengikat kontrak selama dua tahun dengan HMV pada 1948. Selalunya terdapat dua lagu dalam satu piring hitam dan Mak Nona dibayar $45 bagi setiap lagu dan royalti dibayar setiap enam bulan.

Bagaimanakah keadaan merakamkan lagu ketika itu? Beliau merakamkan lagu di pejabat HMV, sebuah rumah compound yang tidak kalis bunyi. Ketika itu teknologinya tidaklah begitu canggih, lantas seseorang penyanyi mesti benar-benar berlatih dan boleh menyanyi kerana semua dibuat secara langsung dan mikrofon yang digunakan cuma satu. Adakalanya rakaman terpaksa dihentikan, bukan kerana penyanyi atau pemuziknya tetapi kerana ‘gangguan’ – posmen datang dengan deringan locengnya, anjing bergonggong ataupun kapalterbang berlalu, semuanya menggangu rakaman tadi!

Penceburan Mak Nona sebagai penyanyi latar filem-filem Melayu juga berlaku secara kebetulan. Ketika itu beliau menginap di Jalan Besar. Penggubah Zubir Said sering singgah ke rumahnya selepas menonton pertandingan bola sepak di Stadium Jalan Besar. Satu ketika, Pak Zubir dilantik sebagai pengarah muzik bagi filem ‘Cinta’ terbitan Shaw Brothers. Filem ini dibintangi oleh Siput Sarawak dan S. Roomai Noor. Mak Nona diajak oleh Pak Zubir untuk menjadi penyanyi latar dan berduet dengan P.Ramlee. Beliau menyanyikan sebanyak 5 atau 6 buah lagu bagi filem tersebut. Justeru itu bermulalah kerjaya Mak Nona Asiah, bukan hanya sebagai penyanyi piring hitam tetapi juga penyanyi latar filem-filem Melayu pada 1949. Di antara filem-filem yang menggunakan suara beliau termasuklah ‘Hujan Panas’, ‘Nasib’, ‘Juwitaku Sayang’, ‘Irama Kasih’ dan lain-lain.

Bagi rakaman lagu-lagu filem, beliau sering diberitahu latar filemnya lantas mudah baginya menimbulkan mood bagi lagu-lagu nyanyiannya. Satu kelucuan yang sukar beliau lupakan ialah ketika merakamkan lagu filem yang diarahkan oleh pengarah India. Untuk lagu-lagu yang agak romantis, Mak Nona disuruh oleh pengarah tersebut agar bersuara ‘gatal-gatal’ (maknanya bersuara romantis) kerana pengarahnya tidak tahu istilah yang sebenar dalam bahasa Melayu! Dalam bidang nyanyian ini Mak Nona banyak dibimbing oleh Zubir Said, P.Ramlee, Yusof B dan Osman Ahmad. Sepanjang kerjayanya beliau telah merakamkan lebih seratus buah lagu, termasuk lagu-lagu bagi filem-filem keluaran Shaw Brothers dan Cathay Keris.

Penceburannya Dalam Bidang Seni Yang Lain

Penglibatan seninya tidak hanya terbatas dalam bidang nyanyian. Beliau belajar menari secara formal dengan Pak Duyet dari Indonesian Club di Singapura. Selain itu, Mak Nona juga pernah berlakon dalam dua buah filem. Filem pertama lakonannya bercorak dokumentari berjudul ‘Adventure of Yaakob – Documentary of a Bandit’ yang dilakonkan dengan beberapa bekas pengganas pada 1951. Filem keduanya dilakonkan bersama Ismail Kassim, Elony Hayat, Saloma dan lain-lain berjudul ‘Pelangi’ diterbitkan oleh Naz Achnas pada awal 50-an. Selain ini beliau juga menjadi pereka fesyen dan mahir menjahit yang dipelajarinya sendiri. Mak Nona mereka fesyen dan menjahit baju kawan-kawan seninya misalnya Saloma, Latifah Omar, Julie Sudiro, Kartina Dahari dan lain-lain. Rekaan-rekaannya pernah tersiar di akhbar pada Mei 1980.

Mak Nona Dan Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah Dan Televisyen

Mak Nona Asiah terkenal di kalangan pelajar bermula pada tahun 50-an kerana siarannya di radio. Beliau menjadi pembimbing, penyanyi dan penyampai cerita dalam siaran Radio Malaya di Singapura iaitu ‘Siaran Radio ke Sekolah-sekolah Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu dan Sekolah-sekolah Melayu di Singapura’. Beliau juga pernah berlakon adegan sejarah dalam segmen rancangan ini. Lagu-lagu nyanyiannya dalam rancangan ini sering digubah oleh penggubah-penggubah tempatan dan Malaya misalnya Zubir Said, A. R. Ismail, Pak Kasur, Yub bin Rawan, Zainal S. Abbas dan lain-lain. Rancangan beliau tersiar sehingga tahun 60-an.

Ketika Singapura memulakan siaran televisyen pada 1963, Mak Nona turut diundang untuk menyerikan majlis rancangan orkestranya. Malah beliau puas menjelajah ke seluruh Malaya, Sabah, Sarawak dan Brunei mengikuti rombongan-rombongan seni dan radio orkestra. Dan pada tahun 80-an, Mak Nona turut melatih kanak-kanak dalam bidang nyanyian dan sebagainya bagi rancangan televisyen yang amat popular, ‘Mat Yoyo’. Rancangan kanak-kanak ini berterusan sehingga tahun 90-an.

Biduanita Nona Asiah berumah tangga dengan Ismail Kassim (kini allahyarham) pada 1955 dan kurniakan lima orang anak. Seperti beliau dan suaminya, anak-anaknya juga berbakat dalam bidang seni muzik. Satu-satu anugerah yang diterimanya bergelar ‘Serikandi Seni’ yang diberi oleh Kelab Sukma Rindu, Balai Rakyat Geylang Serai pada 1995.*

Penutup

Mak Nona Asiah adalah seorang wanita Melayu yang berbakat. Kesungguhannya dalam pelbagai bidang seni membuat kita bangga dan sekali gus terharu. Kelunakan suaranya tetap menyentuh hati bila sesekali kita berpeluang mendengarnya di corong radio. Banyak khazanah seni yang dimilikinya – mungkin sudah tiba masanya kita lebih menghargainya sumbangannya dalam bidang seni ini dengan cara yang lebih bermakna.

Selain pihak-pihak tertentu mengumpulkan lagu-lagunya dalam bentuk cakera padat dan sebagainya, mungkin dapat juga diusahakan biografi mengenai penceburannya dalam bidang seni dan dunia seni kerana beliau banyak memiliki cerita dan gambar mengenainya. Rancangan ‘Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah’nya dengan lagu-lagu nyanyiannya begitu popular pada satu zaman dan merupakan sejumlah lagu kanak-kanak dan rakyat kita. Mungkin pihak-pihak tertentu, misalnya Perkamus dengan kerjasama Majlis Bahasa Melayu dapat membukukan lagu-lagu tadi berserta nota muzik serta nyanyiannya agar sumbangan beliau dan penggubah-penggubah zaman tersebut tetap kekal dalam perbendaharaan seni. Selain ini, mungkin pengiktirafan yang lebih saksama dan bermakna dapat diusahakan untuk mengenang dan menghargai sumbangan Mak Nona Asiah di persada seni kita.

*Selepas tulisan ini disiarkan, Mak Nona Asiah menerima beberapa anugerah dan penghargaan dari Singapura dan Malaysia, dan yang terkini, lagu-lagu Mak Nona didendangkan dalam ‘Si Cempaka Biru – Meraikan Kehidupan Nona Asiah’ anjuran Esplanade, Singapura pada 14 Ogos 2015 dan anugerah ‘Pingat Budaya’ oleh pemerintah Singapura pada 4 Oktober 2016.

Ditulis: 17 November 2000
Tersiar: Berita Harian (Singapura) dalam dua rencana bersambung, masing-masing bertajuk ‘Nona Asiah Ceburi Seni Sejak Setahun Jagung’ (tersiar pada 2 Disember 2000) dan ‘Nona Asiah Wajar Diberi Penghargaan Yang Lebih Bermakna’ (tersiar pada 16 Disember 2000).
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s